Thursday, March 22, 2012

Catatan pertemuan dengan Makcik Dayang dari Kuala Belait






Sebelum sampai Esso Rugading, ada pusingan U, katanya. Rumah kami, di pagarnya..ada dua lampu.
Di sanalah tujuan kami malam itu.Biarpun ada acara lain di rumah seorang pemimpin di Tanjung Aru tetapi pertemuan dengan Makcik Dayang lebih penting lagi.
Asalkan jumpa, sekejap pun jadilah, saya beritahu Mabul. Pertemuan itu, walaupun telah lama diharapkan, namun tidak pernah dibayangkan akan berlaku di rumah Kak Lainah.

Kami tak pernah berjumpa makcik Dayang. Hanya namanya kami tahu.Walaupun sebelum itu dia pernah datang ke kampung berjumpa arwah bapa, tapi kami tak ada di rumah ketika itu.

Saya diberitahu oleh Wiwi, makcik datang ke Sabah dengan Opoy dan suaminya untuk menghadiri majlis perkahwinan anak kak Melati di Sandakan. Sayang sekali saya tak dapat hadir kerana sesuatu perkara yang tak dapat dielakkan.

Sebenarnya saya telah lama berkira-kira ke Kuala Belait sejak beberapa waktu yang lalu, tetapi sering tergendala kerana tugasan yang tak boleh dimungkiri. Makcik Dayang juga telah lama berhasrat berkunjung ke Kota Kinabalu tetapi hanya kali ini hajatnya termakbul.

Moyang kami namanya Satuh. Isteri Satuh bernama Terelah. Daripada isterinya Terelah ini, beliau dikurniakan anak seramai tujuh orang. Anaknya yang sulung bernama Alim, diikuti Tikah, kemudian Sablah, kemudian Takim, kemudian Selim, lalu Bislah, kemudian Sintah. Semoga saya tidak ketulahan menyebut nama atuk dan nenek saya ini. Kalau dalam budaya kami, dilarang untuk menyebut nama orang yang lebih orang tua, bahkan kalau ada yang bertanya, biasanya orang yang pandai mengeja akan mengejanya S.A.T.U.H atau meminta orang lain untuk menyebutnya. Menyebut nama orang tua kita, dalam masyarakat kami, suatu hal yang dilarang. Tetapi sekarang tidak lagi.

Kerana sesuatu sebab, ada yang mengatakan nek Satuh, (dalam masyarakat kami juga, selalu merujuk atuk dan nenek sebagai nenek saja), dianiaya orang. Beliau seorang pedagang di satu tempat yang bernama Langkum (Langkon) sekarang. Ketika balik dari Langkon itu, ada orang, ada yang mengatakan ada kaitan keluarga dengannya, telah menitipkan kerbau untuk dibawa pulang ke Kota Belud. Tetapi rupanya, kerbau yang dibawanya itu kerbau `banta' atau kerbau curian, tanpa dia ketahui. Setelah melalui proses undang-undang, beliau dihantar ke penjara sinsim selama beberapa bulan. Sekeluarnya dari penjara, beliau tidak lagi balik ke Kota Belud, mungkin kerana marah, mungkin kerana kesal dianiayai oleh kerabatnya sendiri. Beliau kemudian merantau dan membuka tanah di Batu Payung kira-kira tahun 50-an.

Beliau kemudiannya balik ke Kota Belud, dan membawa anaknya yang tua, bernama Alim dan adiknya bernama Duakis atau Dulakis untuk memulakan hidup baru di Batu Payung Tawau.

Semua anaknya tinggal di Kota Belud, di kampung Gunding. Anaknya yang keempat bernama Takim kemudian merantau dan mencari kerja di Bongawan Estate. Pada ketika itu, jalan perhubungan sangatlah jauh.

Nek Takim sempat balik ke Kota Belud sewaktu ibunya, Terelah kembali ke rahmatullah "Dua minggu sebelum pakcik Madshah kahwin pada 1965," kata Makcik Dayang. Makcik Dayang mempunyai tiga adik beradik, abangnya bernama Musa meninggal sewaktu kecil, dan pakcik Ahmadshah dan makcik Dayang. Dulu namanya Dayang Kasinah, entah kenapa ketika mengambil kad pengenalan, namanya hanya Dayang saja.

Nek Alim kahwin di Tawau. Kemudian dikurniakan anak bernama Mahmud, Ismail, Ahmad @ Anting dan Makcik Arijah. Tikah dikurniakan anak iaitu Sinun, Jamlaun, Lenum manakala nek Sablah dikurniakan anak Shaiddin (hasil perkahwinannya dengan Markasham @ Haji Mohd.Hashim) dan makcik Rini (yang jemadin@midi), Minah (yang baisah) dan Norbin (hasil perkahwinannya dengan Mat, perantau dari Jawa). Takim dikurniakan anak bernama Musa, Ahmadshah dan Dayang Kasinah, nama makcik Dayang. Selim pula dianugerahkan anak bernama Mula,Zula,Zaiti, Taksi,Mahmud,Pakah,zaidi, zaiki.

Sementara itu, Nek satuh kahwin lagi di Tawau.Dengan isteri mudanya, beliau dikurniakan tiga anak iaitu Nek Sindung, Nek Napsarah dan Nek Soal. Antara anak nek Sindung di Merotai ialah Mariamah bte Kasim dan Karim bin Kasim. Nek Napsarah pula dikurniakan anak bernama Ag.Latip Omar,Ag Kurus,Saleh,Fatimah, Usop Omar.Melalui suami kedua, beliau dikurniakan anak bernama Roslan Sulaiman, Adisah Sulaiman dan Nurfaizah. Nek Soal pula dikurniakan anak iaitu Suhaili,Suzana,Suhaimi,Suhaidi,Safrimah dan Safrin.

Sewaktu muda remaja dahulu, melalui Radio Sabah, makcik Dayang selalu menujukan lagu melalui Rancangan Lagu Permintaan. Beliau banyak mengirimkan lagu kepada kenalannya melalui Radio Sabah itu. Antara tahun 1965-1966, makcik dayang pernah menyampaikan lagu permintaan, dari Dayang di Bongawan Estate kepada Soal Satuh di Batu Payung. Makcik Dayang tidak tahu bahawa orang bernama Soal itu adalah pakciknya sendiri, iaitu adik beradik dengan ayahnya. Waktu itu masih saudara saudari, katanya.

Antara lagu yang digemarinya ialahgelisah, sumpah setia nyanyian Ahmad jais dan lagu di taman firdausi, nyanyian P.Pamlee, dan banyak lagi lagu lain.

Untuk berhubung satu sama lain, orang-orang dahulu sentiasa surat menyurat antara satu sama lain. Dulu surat bukan sebarang surat. Ada cara mengirimkan surat. Surat yang dikirimkan kepada kenalan belia berbeza dengan surat kepada kekasih. Begitu juga surat yang dikirimkan kepada keluarga.Bahkan untuk memberi khabar bahawa surat yang ditujukan kepada seseorang yang telah meninggal, biasanya dibakar di bahagian hujungnya, untuk menunjukkan bahawa orang yang menjadi destinasi surat itu sudah tiada lagi.

Katanya, mungkin Nek Soal tidak mengetahui sehingga sekarang bahawa orang yang dulu selalu menyampaikan lagu permintaan itu tidak lai adalah anak saudaranya sendiri. Nek Soal pernah mengirimkan fotonya makcik Dayang. Pakcik Soal itu orangnya tinggi, katanya jika dilihat dari gambarnya.

Mereka tidak pernah bertemu sampai sekarang. Sementara itu, tiga bulan selepas berkahwin pada 1968, Makcik Dayang mengikut suaminya pindah ke Brunei.

"Sekarang jadi rakyat Ke Bawah Duli," katanya.

Beliau ingin sekali untuk mengunjungi keluarga di Tawau, tapi hasratnya belum kesampaian.
"Kalau ada gambar nek satuh, pakcik Alim, tolong bawa kalau berkunjung ke Brunei ya," katanya. Kalau ada gambar keluarga di Tawau saya mahu tengok, katanya.

Anak-anak sekaranglah yang menyambungkan silaturrahim setelah terpisah kerana jarak.
Kemudian saya bercerita mengenai bagaimana ceritanya keluarga yang terpisah ini bertaut kembali.

Ketika masih di sekolah menengah, saya selalu mencatat silsilah yang diceritakan oleh arwah bapa. Beliau selalu memberitahu si polan ini saudaramu, sipolan ini sepupumu, sipolan ini makcik ataupun pakcikmu. Dari situ timbullah minat saya untuk mendokumentasikan susur galur keluarga itu mana tahu kelak akan berguna.

Arwah bapa menceritakan bagaimana dulu beliau selalu singgah tempat nek Takim di Tuaran, kalau tak silap. Juga beliau menceritakan bagaimana ketika bertugas di Jabatan Pertanian sabah, beliau pernah ditugaskan di Tawau pada tahun 1977.

Dalam silsilah itu, keluarga Takim dan keluarga di Tawau tidak dapat dikesan.Keluarga di Tawau agak mudah dikesan kerana tempat tinggal mereka di Batu Payung. Keluarga nek Takim di Bongawan Estate entah dimana.

Sehinggalah satu hari, sepupu saya dari pihak ibu, mengkhabarkan bahawa pakcik Ahmadshah kini di Beluran.
Sampailah pada tahun 1998. Hasrat mencari keluarga di Batu Payung akhirnya tercapai setelah pertemuan dengan pakcik Anting di tempatnya bekerja di Puspakom. Guru Besar SK Batu Payung ketika itu yang membawa kami ke sana.

Kemuncaknya sewaktu kami melangsungkan perkahwinan.Sebahagian misi tercapai. Hampir semua keluarga ada.Ada Nek Soal, nek napsarah, nek sindung dan yang sempat menginaikan jari saya bersama bu Rijah , pakcik Fadilah Dulakis dan keluarga di Batu 4.Kak Hasnah dan suaminya Abdul Syeh Haji salim, Kak Mahani, Kak Roseyatimah, Bang Yunus, Maimunah, Otoh dan lain-lain juga hadir dalam majlis itu. dari Batu Payung, pakcik Maing dan isteri dan pakcik Anting juga hadir sama.

Setahun sebelum itu, pertemuan telah terjalin ketika majlis pertunangan saya. Semua keluarga berkumpul, dan keesokan harinya beramai ramai ke Kampung Titingan Hujung sehingga ramai yang hairan, betapa ramai rombongan dari Kota Belud, walhal sebenarnya keluarga dari Tawau.

Dalam perjalanan balik dari Tawau ke KB itu, mereka singgah ke Beluran. Bertemu keluarga. Pakcik Ahmad masih di masjid ketika itu. Agak terpinga-pinga dan terkejut jiga apabila diberitahu ada keluarga dari Kota Belud datang.

Hanya selepas itulah, pakcik Ahmadshah berkirim surat dengan arwah bapa, yang kemudian, adik Dayang Noorkanah pula yang rajin mengirimkan surat kepada pakcik Ahmadshah. surat itu disimpannya baik-baik di Almari sehingga satu hari Azura ternampak surat itu dan membacanya.

Mungkin disangkanya surat itu entah dari siapa. Ketika ditanya, pakcik Ahmadshah memberitahu surat itu datangnya dari sepupumu di Kota Belud. Sejak itulah, Azura pulalah yang rajin berkirim surat dengan Dayang Noorkanah.

Malahan Azura sempat tinggal tiga bulan di kampung. Kata Makcik Dayang, bagus lagi si Azur sampai tiga bulan di kb, saya satu jam pun ndak sampai, katanya.

Selain keluarga di Tawau, makcik Dayang juga bertanya mengenai nek Tikah, nek Selim. Katanya, hanya pakcik Mahmud yang pernah sampai di rumahnya di Kuala Belait.

Pakcik Pakah? Saya bertanya?
Belum.Hanya pakcikmu Mahmud saja. Saya memberitahunya bahawa Pakcik Pakah sekarang sudah bermastautin dan beranak pinak di Johor.

Saya memberitahunya bahawa kalau tidak jumpa di KK, nanti saya akan ke Kuala Belait saja. nasib baiklah Kak Lainah mesej saya di FB menyatakan makcik dayang ada di rumahnya.

Saya diberitahu oleh Azura, dan Norkamalia, makcik Dayang ke tempat Pakcik Madianin.
Kak Lainah ketawa ketika saya tanyakan siapa pakcik madianin tu. Kenalkah? Rupanya Pakcik madianin tu ialah suaminya. Pakcik Madianin ialah sepupu makcik dayang kerana ayahnya adalah adik beradik dengan mama makcik Dayang.

Kalau saya tahu, taklah susah susah mencari.Kerana saya tahu rumah kak Lainah dan pernah satu pejabat dengannya dulu sewaktu saya bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah sekitar 90-92.

Pertemuan dengan makcik Dayang itu, pastilah mengubat kerinduan yang lama. Syukurlah kerana masih berkesempatan berjumpa makcik Dayang, yang masih keluarga dekat, sepupu arwah bapa kerana orang tua mereka adik beradik.

Sesungguhnya silaturrahim itu indah. Saya terharu ketika mengenang peristiwa pertemuan itu.

Sunday, March 18, 2012

Mat Congo, Rumah Ladang dan Kenangan Lama di Membakut





MAT CONGO, RUMAH LADANG DAN KENANGAN LAMA DI MEMBAKUT

"DIA memang nak tunggu aku," kata Bang Mat. Dia yang dimaksudkannya itu adalah sebuah rumah lama di Estate Membakut. Rumah ini seperti menunggu saya pulang, kata Bang Mat. Di depan tangga rumah yang kelihatan masih berdiri gagah itu,Bang Mat menitiskan air mata. Beliau terkenang masa kecilnya ketika tinggal dan bekerja di ladang itu.

Bang Mat atau nama sebenarnya Muhammad Haji Salleh mengajak saya ke rumah lama itu.

"Dulu tak ada pokok kelapa sawit," katanya yang datang bekerja di Membakut ketika usianya 14 tahun. Tahun 1961.Ketika itu, yang ada hanya ladang getah, kata seniman dan pelakon terkenal yang lebih dikenali sebagai Mat Congo itu.

Beliau mengimbas semula masa lampaunya ketika mula sampai ke Membakut, dibawa oleh salah seorang bapa saudaranya untuk bekerja memotong getah. Pakciknya,Jaafar Haji Salleh waktu itu bekerja sebagai mandor.

Pada usia semuda itu, Bang Mat sudah merantau ke Sabah, berjauhan dengan keluarganya di Batu Pahat Johor. Beliau bekerja sebagai penoreh getah. Saya bertanya mengapa bin mereka sama, iaitu sama-sama dibinkan kepada Haji Salleh?

"Nama bapa saya Ibrahim," katanya memberitahu. Tetapi ketika mendaftar di Jabatan Pendaftaran masa itu terjadi sedikit kekeliruan. "Kerani bertanya kepada bapa saya `Siapa nama bapanya?' Terus dijawapnya `"Haji Salleh' kerana menyangka yang ditanya ialah nama ayah kepada Ibrahim,iaitu Haji Salleh padahal sebenarnya kerani itu bertanyakan namanya.

"Itulah sebabnya saya dibinkan kepada atuk saya iaitu Haji Salleh," katanya. Sambil melihat rumah itu, Bang Mat menceritakan semula kisahnya datang ke Sabah. Walau masih kecil ketika itu tetapi dia dapat mengingat semua kedatangannya ke Baitam, iaitu tempat letaknya estate Membakut, masih teringat kerja rutin memotong getah. Selain itu pula, bang Mat ingat bagaimana susah dan sukarnya kehidupan ketika itu. Menanak nasi dengan ikan kering dan sebagainya.

Kalau Bang Mat ke Pekan Membakut, bagaimana pula? Saya bertanya.

Dulu kami jalan kaki saja ke pekan Membakut. Waktu itu kan nda ada kereta, katanya. Waktu itu jalan tidak sebaik begini. Beliau kemudian menunjukkan laluan yang mereka gunakan dan akhirnya membawa saya ke Pekan Lama Membakut. Terlihat deretan kedai lama yang berusia,lebih seratus tahun. Dulu sederet kedai telah musnah akibat kebakaran. Sekarang tinggal sederet lagi dan di seberang laluan keretapi, terdapat dua deret kedai lama, yang membayangkan berapa Membakut dulu makmur dengan hasil ladang getah.

Pekan Lama Membakut itu boleh menjadi salah satu warisan sejarah yang berharga. Ia menyimpan sejarahnya yang tersendiri sama dengan pekan-pekan lain seperti Weston, Bongawan, Kinarut, Kimanis dan lain-lain.

Menurut cerita Membakut berasal dari perkataan "Bakut" yang bermaksud "Kota" manakala perkataan "Mem" adalah kata perbuatan yang apabila digabungkan "Membakut" bermaksud "Membuat Kota'. Membakut kini telah menjadi sebuah daerah kecil seluas 132.8 km meliputi 38 buah kampung. Kebanyakan penduduknya bekerja bercucuk tanam sebagai petani, nelayan, penoreh getah, kelapa sawit dan sebagainya. Masyarakatnya berbilang kaum iaitu suku kaum Brunei, Kadazan, Dusun, Paitan, Kawa, Bisaya dan lain-lain.

Sambil makan soto di sebuah kedai orang Jawa di pekan lama itu, pekan yang didirikan sekitar 1898, saya bertanyakan pengalaman yang dilalui bang Mat, yang tiba-tiba dipanggil `Om' oleh orang-orang yang menyapanya. Panggilan `Om' itu melekat kepadanya kerana pernah berlakon dalam satu telemovie `Orang Kita' bersama Ampal.

Setelah bekerja beberapa tahun Membakut Estate, kata Bang Mat, beliau berpindah ke Estate Mawao juga memotong getah, salai getah dan sebagainya. Tahun 1963, kalau tak silap Kemudian beliau berjalan kaki ke Lumahat. Dari Lumahat beliau berjalan kaki lagi ke Beaufort.Dari Beaufort beliau berjalan kaki ke Jempanga "Tidur rumah kawan, pinjam duit, baru pergi Melalap, "katanya lagi.

Di Melalap, bang Mat bekerja sebagai penoreh getah. Beliau tidak turun menoreh hanya kalau hari hujan.Waktu sebegitu digunakannya untuk turun ke pekan. "Aku tunggu kereta PWD menumpang ke Tenom," katanya. Sampai di Tenom, beliau melihat ada pengambilan rekrut. Sebelum itu, di Beaufort, beliau telahpun mengikuti temuduga itu tetapi gagal kerana `timbangannya ringan, belum cukup berat". Beliau bernasib baik kerana dipilih sebagai askar 2 Renjer.

Ketika menghadiri temuduga itu, beliau ditanya mengenai `Kira-Kira' ." Kalau 5 campur 20, saya tahu jawapannya 25. kalau tolak lima, jadi 20. Tapi kalau 20 bahagi empat, aku nda tahu tu," katanya sambil tertawa lucu mengingat waktu temuduga itu. Tapi nasib menyebelahinya, beliau lulus bersama beberapa orang yang lain.

Setelah lulus dan kembali ke Melalap, beliau tidak datang kerja kerana bersiap-siap. Apabila ketidakhadirannya disedari oleh pengurus, Tuan Steel memanggilnya. "Kenapa tidak kerja? You Malas?" "Aku beritahu dia, aku diterima jadi tentera". Orang Putih itu gembira dan menyuruh bang Mat berjumpa ketua kerani untuk ambil upah. Setelah ditolak, beliau masih mempunyai baki hutang. Tetapi orang putih itu memberikannya RM100 sebagai galakan bang Mat menjadi askar dan berkata kini sudah sampai masanya "you jaga you punya negeri".

Pada tahun 1965, beliau bersama rakan rakan barunya seperti Jamal, Amparang dan lain-lain bertolak ke Kepayan sebelum dihantar naik kapal laut ke Woodland Singapura. Hanya satu malam di sana, beliau kemudian menjalani latihan di Ipoh. Sebagai anggota 2 Renjer, beliau telah bertugas di beberapa tempat di Tawau, Ulu Selangor, ke Labuan, pada 1969 balik ke Lok Kawi,kemudian ditumpangkan ke bahagian perisikan pada 1980, bertugas di Mes Pegawai. Setelah bertugas selama 15 tahun dalam perkhidmatan tentera, beliau bersara pada 1981. Banyak pengalaman dalam tentera, katanya, tapi itu nanti kita cerita waktu yang lain.

Sewaktu berkhidmat dalam tentera itu,gelaran Mat Congo melekat pada namanya. Ceritanya pada masa itu, teralu ramai askar yang bernama Mat. Ada lebih sepuluh Mat. Ada bermacam-macam Mat.Semua dipanggil dengan nama Mat Misai, Mat Panjang dan sebagainya. Tiba gilirannya, beliau ditanya Mat apa? Oleh kerana pegawainya, pernah berkhidmat di Congo, maka beliau memanggil bang Mat dengan nama Mat Congo, nama yang melekat kepadanya hingga sekarang.

Ketika masih berkhidmat dalam tentera, betsama Askar Melayu,beliau pernah menyanyi bersama Allahyarham Seniman Agung P.Ramlee, Latifah Omar, Saloma Seniman AK Jailani dan sebagainya, Beliau sempat menjelajah ke seluruh negara mengisi tabung tentera. Bersama Askar Melayu juga , bang Mat pernah menyanyikan pelbagai lagu, termasuk lagu Hindustan yang popular dalam filem sangam. Sebelum bersara, beliau menjalani masa peralihan di RTM selama enam bulan. Di sana, bang Mat menjadi DJ Sambilan Mari Ke Pesta.

Selepas menghidu peluang yang lebih besar dalam industri hiburan, bang Mat nekad menjadi promoter artis dan berulang alik antara Kota Kinabalu-Kuala Lumpur-Jakarta, dan mendatangkan penyanyi-penyanyi terkenal Indonesia untuk membuat persembahan di Sabah. Antara penyanyi yang pernah dibawanya untuk membuat persembahan di Sabah ialah Lydia Kandou, Benjamin S, Mus Mulyadi, Endang S.Taurina, Betahria Sonatha, Ros Kasumadewi, Iis Sugianto,Ernie Johan. "Itu semua rakan saya," katanya sambil mengakui hubungannya dengan penyanyi Mus Mulyadi agak rapat. Tapi sekarang. Mus Mulyadi khabarnya tidak dapat melihat akibat penyakit kencing manis.

Perjalanan hidup bang Mat atau Mat Congo memang masih banyak yang boleh ditulis. Beliau seorang personaliti yang terkenal. Beliau pernah berkhidmat dalam tentera, dengan pelbagai tugasan dan menjayakan misi Negara, pernah berlakon, pernah membuat persembahan di seluruh negara, dan salah seorang yang berjasa dalam industri hiburan di Sabah dan kini masih aktif. Selain itu, bang Mat telah melahirkan generasi yang berkualiti, anak-anaknya berjaya ke pengajian tinggi, dan mencipta kerjaya masing-masing.

Itulah yang diceritakan kepada saya oleh Bang Mat ketika kami berkunjung ke rumah lama di Estate Membakut itu.Rumah yang membawa banyak nostalgia kepadanya.Beliau teringat rakan-rakannya ketika menjadi penoreh getah, Wak Sakimin, pak Sarpan, dan ramai lagi. Beliau masih ingat ketika berjalan kaki ke Lumahat, Beaufot,Jempanga, Melalap sebelum menjadi anggota 2 Renjer dan kemudian selepas bersara, menjadi salah seorang personaliti seniman yang terkenal di negeri ini. "Rumah ini seperti menunggu saya pulang," katanya ketika kami berkunjung ke Membakut.Beliau amat teruja kerana rumah itu masih kekal gagah dan tidak dirobohkan. Beliau bersyukur kerana masih berpeluang melihat dan berkunjung ke rumah lamanya itu. Air matanya menitis terkenang kisah lama.

Wednesday, March 14, 2012

Pertemuan dengan rakan baru-Sharifudin Shaari

Selepas check in di Lapangan Terbang Tawau, saya menaiki tangga ke tingkat atas, berkira-kira untuk menghantar berita sementara menunggu penerbangan AK6127 ke Kota Kinabalu.
Masih ada lebih satu jam lagi sebelum waktu berlepas. Kemudian saya nampak seseorang yang seperti mengenali saya. Saya terus menyapanya. Dia memberitahu bahawa saya mungkin tidak mengenalinya tetapi dia mengenali saya kerana selalu membaca blog saya.
Beliau sering mengikuti perjalanan dan tulisan saya dalam blog. Itu yang membuat saya terharu.Ia merupakan satu penghargaan apabila ada orang yang membaca tulisan kita.
Dalam perkenalan singkat itu, saya mengetahui beliau bekerja di Lembaga Koko Malaysia (LKM) di Tawau. Orangnya baik dan ramah.Ketika itu, Sharifudin Shaari, kenalan baru saya itu, menghantar ayah dan ibunya balik ke KL. Kini keluarganya menetap di Felda Jengka Pahang. Sejak umur tiga tahun, beliau dibawa oleh ayahnya ke Felda Jengka dan beliau membesar di sana. Mereka berasal dari Pasir Putih Kelantan.
Sharifudin kini dikurnia lima orang cahaya mata.Mana yang tiga lagi? Saya bertanya kerana melihat hanya dua orang dibawanya. Ada tuisyen, katanya. Isterinya orang Kota Belud, kampungnya dekat pekan.
Saya memberitahu bahawa ada sahabat saya bekerja di LKM juga. Namanya Jasni Yakub. Ooo, kata Sharif, saya selalu menyapanya `saudara'. Dia kan aktif dalam persatuan penulis, katanya.
Selepas perbualan singkat itu, saya menyalami mereka dan mohon diri.
Penghargaan sedemikian mendorong saya untuk terus menulis dan berkarya. Saya juga gembira kerana mengenali seorang rakan baru. Pertemuan seperti itu amat bermakna.

Tuesday, March 13, 2012

Catatan di Penimbawan







Hampir semua orang yang pernah ke Penimbawan tidak akan lupa kampung itu.
Jeti tempat nelayan menambatkan perahunya. Tangga kecil yang sengaja dibuat untuk kemudahan penumpang. Rumah-rumah beratap nipah, atau rumah papan yang tiangnya dipenuhi tiram.Ikan julung-julung yang berlarian dalam air.Anak-anak yang berkejaran di atas jambatan.Penduduk yang sentiasa mesra dengan arus air, pasang surut, dan ayunan ombak dan tiupan angin yang selalu meresahkan.
Penimbawan terkenal kerana identitinya sebagai sebuah kampung di atas air.Perkampungan komuniti Bajau yang sering dikunjungi pelancong bagi melihat kehidupan masyarakatnya dari dekat.
Saya pernah beberapa kali ke sana. Pertama kali berkunjung ke sana bagi memenuhi ajakan Cikgu Mustapha Omar, sahabat dan rakan sekelas kerana ada majlis lawatan Datuk Wilfred Madius Tangau, yang ketika itu Ahli Parlimen Tuaran.
Ketika itu saya melihat orang orang membawa gelen untuk mengambil air.Masyarakat di sana ramah dan baik hati.
Selepas itu, ada beberapa kali lagi saya berkunjung ke sana. Tapi kunjungan kali ini kerana mengiringi anak buah kami , Mohd.Din yang bertemu jodohnya di Penimbawan, Junaidah. Junaidah adik kepada Sigar,suami si Dayang, adik perempuan saya.
Saya sengaja datang awal ke jeti serusup. Dari kampung, saya dan Asam sempat singgah di pekan Tuaran. Singgah di restoran depan milimewa, untuk mencari Kiki, yang rupanya sudah pulang lewat Nunukan.Kiki adalah adik kepada Hafiz, rakan saya dari Jawa, seorang penulis anggota FLP, yang kini bertugas di Focus Lumber.
Kami minum nescafe saja. Pelayan kedai enggan mengambil duit kami, mungkin kerana dia tahu kami kesana mencari Kiki.
Terdapat beberapa orang sedang menunggu di jeti ketika kami tiba. Kami sengaja menunggu Amir, yang mahu hadir majlis kahwin itu juga.
Ketika sedang menunggu itu, saya sempat menemuramah Kailu bin Utoh, 70, seorang pengusaha bot penumpang.,
Perahunhya boleh memuatkan kira-kira 20 orang.Tetapi kalau `orang putih' setakat 6 hingga 7 orang, katanya.
Kailu mengeluh kerana tidak ramai penumpang. "Paya bana," katanya yang bermaksud payah betul untuk mendapatkan penumpang, apatahlagi kerana ranmia bot penumpang yang yang berulang alik antara Serusup-Penimbawan.
Beliau mengeluh kerana tidak mendapat sebarang bantuan subsidi dari kerajaan. Bantuan nelayan pun tak dapat. Anak tujuh orang. Selain itu, bantuan warga tua pun tak dapat. Sedangkan orang lain dapat, katanya. Jadi, beliau cuba kenambah sumber pendapatan dengan memancing, memukat dan sebagainya.
Kailu sudah ounya 30 cucu, 10 cicit.Katanya, beliau sudaah menetap di kampung Penimbawan sejak zaman Jepun lagi.
kami tiba lebih awal di Penimbawan. Perubahan kampung itu agak ketara sekali. Hampir semua penduduknya berpindah ke rumah baru. Hanya beberapa keluarga tinggal di atas air.Kebanyakannya sudah berpindah.Rumah-rumah yang dibina itu kelihatan agak tersusun. Masih tak ada bekalan air yang mencukupi. Bekalan Elektrik pula disambungkan dari Kota Belud. Walaupun baru didiami, nampak sekali rumah-rumah yang dibina itu menggunakan kayu yang tidak bermutu. Kelihatan banyak sudah tangga-tangga rumah yang rusak. Jika tak silap ada jaminan bahawa rumah-rumah itu akan diperbaiki.
Terdapat gelanggang futsal didirikan di kampung Penimbawan. Selain tadikan kemas dan beberapa kemudahan lain. Selain itu, terdapat beberapa masalah lain yang dihadapi penduduk.

Pengantin lelaki datang kira-kira jam 1.00 lebih sedikit, dengan tiga buah perahu. Kemudian rombongan di bawah ke sebuah rumah untuk memakai pakaian pengantin. Dalam pada itu, terdapat ibu-ibu, kalangan wanita kanpung itu, yang menarikan tarian limbai secara spontan. Gerak tarian itu, yang gemalai, menunjukkan betapa mereka memelihara kebudayaan. Bukan itu saja, kalangan remaja juga ada yang ikut mengiringi pengantin.
Pengantin dipayungi dengan payung adat.Sambil berjalan ke rumah pengantin perempuan, pengantin diiringi penari limbai dengan pukulan gong, bendil.
Dalam proses nikah itu, imam kurang berkompromi. Biasanya, kerana tuntutan adat, pengantin diakad nikah sambil berdiri.Sementara banyak adat keturunan datu yang tidak lagi dipertahankan, inilah antara adat yang kalau dapat dilaksanakan. "Tapi kita akur kerana kita berada di tempat orang," kata Ma' Sidak yang turut merakamkan pendapatnya dengan membisikkan kepada imam mengenai duduk perkara.
Selepas acara akad nikah selesai, pengantin laki-laki dan perempuan bersalaman dengan sanak saudara. Kemudian selepas itu, kedua-dua pengantin, ikut menari tarian manuk-manuk limbukun. Dengan adanya tarian manuk-manuk limbukun, ia dapat menghalang pengaruh poco-poco. Kini ia digantikan dengan manuk-manuk limbukun. Selepas itu, satu lagi acara tarian itu tari si diang ditarikan bersama-sama hadirin.
Bagaimanapun, kami terpaksa pulang kerana awan semakin hitam. Takut kehujanan.
Dalam perjalanan pulang, Ma' Rani yang menghantar kami ke Serusup. Beliau bercerita mengenai anak-anak sekolah yang sering terlambat kerana ombak. Ada tiga bot semuanya, yang jadi pengangkutan murid murid sekolah yang bersekolah di SMK Sri Nangka.Kadang-kadang bot lambat, tapi masalahnya, kata Ma' Rani, guru baru kurang mengerti mengenai situasi pelajar-pelajar dari kampung Penimbawan itu, memyebabkan mereka sering dihukum kerana lambat masuk kelas.
Kira-kira 15 minit kemudian, kami sudah merapat ke jeti Serusup, meninggalkan penimbawan, dengan pelbagai cerita yang belum sempat dikisahkan.

Monday, March 12, 2012

Catatan di Pulau Selakan










Seorang wanita sedang membelah `tehe-tehe', sejenis hidupan laut ketika kami tiba di rumah Pakcik Mahamud bin Urugan di Pulau Selakan, kira-kira 20 minit perjalanan menaiki bot dari pekan Semporna.
Hari sudah petang.Pakcik Mahamud, 60, adalah seorang pesara polis. Beliau bersara tahun 2008, dan sejak itu, beliau sering menghabiskan waktu hujung minggunya untuk berehat di pulau Selakan, iaitu kampung halamannya sendiri.
Isterinya, puan Karimah binte Omar Ban, bersusah payah menyediakan masakan tradisi pulau itu untuk menjamu kami. Tidak lama selepas kami tiba, beliau menghidangkan `aggang' iaitu ubi kayu yang dikeringkan, dan digoreng tanpa minyak, selain nasi, ikan rebus, ikan bakar, dan sotong.

Ikan ulapai memang bagus untuk direbus, kata Haji Yusuf Haji Shaari. Ikan ulapai, biasanya pelbagai warna manakala ikan batahan, sejenis dengannya, banyak kelabu. Beliau juga menjelaskan bahawa ubikayu boleh diproses menjadi makanan yang disukai penduduk. Selain aggang, ia juga boleh dibuat putu' -dikukus menggunakan tempurung dan periuk tanah, tumpi, bamban-yang biasanya dibungkus daun pisang atau kelapa muda.

Tehe-Tehe, sejenis hidupan laut berduri, yang biasanya dikorek dan kemudian dimasukkan beras ke dalamnya untuk di masak. Nasinya sedap. Dulu pernah dijual setiap kali bazaar Ramadan. Kini masyarakat lebih kreatuf lagi, kerana beras yang ditanak itu sering dicampur dengan udang kering.

Apa padanan Tehe-Tehe dalam bahasa Melayu ya? Saya bertanya kepada Haji Yusuf. Beliau memberitahu, tidak pasti nama saintifiknya tetapi orang menyebutnya `bulu babi'. Dalam bahasa Inggerinya `sea-urchin'.

Saya tertarik dengan kehidupan masyarakat di pulau itu. Sebenarnya, saya sudah lama mendengar nama pulau Selakan. Saya ingin ke sana. Tetapi hasrat untuk berkunjung ke pulau itu termakbul apabila Haji Abdul Ajan Haji Gurimbang, mengajak saya untuk ke pulau Selakan, melihat kehidupan masyarakat di sana.
Saya rasa gembira. Petang itu, hari minggu, cuaca agak baik.Jadi dapatlah kami menikmati angin laut sambil menikmati makanan tradisi itu.
Pakcik Mahamud memberitahu, anak-anak kampung itu masih sering pulang ke kampung mereka kalau ada majlis kenduri arwah hari raya, majlis keramaian ataupun majlis kahwin. Beliau mempunyai enam anak, tiga lelaki dan tiga perempuan.
"Pesta kahwin di sini, kadang-kadang sampai jam 3.00 pagi," kata Pakcik Mahamud. Biasanya ada band muzik atau mengalai. "Kadang-kadang boleh habis tiga cerek besar kopi o', kata Haji Yusuf.

Jika ada majlis keramaian di pulau-pulau, minuman yang popular pastilah kopi o, kerana ia lebih digemari, apatah lagi kalau ada kuih baulu atau kuih sapit, atau kuih jala.
"Kopi O tahan...mata nda' ngantuk," katanya yang mengaku pertama kali ke pulau itu, sungguhpun nenek moyangnya berasal dari sana, meskipun dia pernah mengelilingi hampir semua pulau di Semporna kerana satu ketika dahulu pernah bertugas sebagai kerani pembahagian saham amanah Yayasan Sabah, yang kemudiannya dikenali sebagai saham amanah Tun Mustapha.

Banyak potensi yang boleh dibangunkan di pulau itu. Selakan terletak sehala dengan pulau Bohey Dulang, iaitu sebuah pulau peranginan yang terkenal di Pantai Timur Sabah. "Di sini, salah satu yang boleh dibangunkan ialah industri inap desa atau homestay," kata Haji Ajan.

Pelancong selalu menginginkan kehidupan kampung yang sebenar. Jika ada satu masakan tradisi, budaya tradisi dengan kemudahan bilik dilengkapi tandas yang teratur, ia sudah cukup untuk membangunkan potensi Inap desa di pulau itu.

Selain nelayan, penduduk juga mengusahakan agar-agar atau rumpai laut. Ia banyak permintaan. Satu ketika dahulu, di pulau itu terdapat banyak balat, atau gamat, tetapi kemudian dengan kedatangan pendatang asing, gamat semakin berkurangan.

Penduduk di pulau itu masih mengharapkan air hujan untuk keperluan harian.Elektrik dibekalkan melalui generator sendiri, kata Ketua Kampung, Haji Rubani Imam Isnin,66.
Terdapat 500 penduduk di pulau itu termasuk kanak-kanak.

"Kalau bukan nelayan, mereka kebanyakannya mengusahakan tanaman rumpai laut dan memancing," katanya. Kehidupan penduduk kampung sangat bersahaja.Kebanyakan mereka mempunyai talian keluarga.

"Kalau malam, biasanya sejuk. Kalau tengahari, panasnya bukan main. Kalau musim angin, suasananya nyaman," katanya.
"Kalau angin kuat penduduk tidak takut?"
"Kami sudah biasa.Kalau adapun angin, tidak begitu kuat. Haji Rubani juga bercerita mengenai anak-anak yang tercicir dari pelajaran, dan hanya menikmati pelajaran setakat darjah tiga. "Jika naik tahun empat, mereka ditempatkan di sekolah berpusat pulau Bumbum," katanya.

Tindakan Jabatan Pelajaran itu dibuat mungkin kerana Semporna menduduki tangga yang tercorot dalam pencapaian peperiksaan, kata Haji Hajan. Selain itu pula, guru-guru enggan ditempatkan di pulau-pulau terpencil menyebabkan masalah kekurangan guru. katanya.Itulah sebabnya kerajaan mengambil langkah untuk menempatkan pelajar tahap dua di pulau-pulau berdekatan di sekolah berpusat di pulau Bum Bum untuk meningkatkan kualiti pendidikan.

Namun niat baik itu terhalang kerana terdapat ibubapa yang enggan berpisah dengan anak mereka yang relatifnya masih kecil. Berusia awal sepuluh tahun.Selain itu, terdapat juga ibubapa yang kurang mampu menghantar anak-anak mereka bersekolah ke pulau Bum-Bum. Itu menyebabkan ramai kanak-kanak yang tidak meneruskan persekolahan setelah tamat tahun tiga. Mereka menjadi penganggur sebelum waktunya.

Sebelum meninggalkan rumah pakcik Mahamud, saya melihat ada minyak masak, gula tebu, kelapa dan beras yang disimpan dalam besen dan diletakkan dalam rumah.
Beliau menjelaskan ia dipanggil `baumbu', iaitu sejenis adat tradisi yang masih diamalkan oleh golongan tertentu yang mempunyai makna tersendiri bagi mereka.

Sayang sekali kerana ketika itu tiada yang dapat menjelaskan dengan baik asal usul pulau Selakan itu. Apa makna Selakan dalam bahasa Bajau. Kalau pulau Silangau atau Mantabuan, dapat dimengerti mungkin kerana banyak lalat.

Menurut Haji Liyu bin Usop, 75, beliau masih kanak-kanak ketika tinggal di pulau Selakan.Saya masih telanjang, ketika musim Jepun datang. Kami sempat lari ke Pulau Sitangkai untuk mengelakkan kekejaman tentera Jepun, katanya.

Saya tidak sempat bertanya kerana mereka membawa saya ke sebatang jeti sejauh kira-kira 500 meter. Saya melewati anak-anak dan remaja kampung itu yang sedang bermain bola di atas pasir. Saya menyaksikan rumah-rumah penduduk, yang sebenarnya tidaklah jauh ketinggalan. Saya melihat jusri, pelajar SMK Abdullah sedang berdayung di atas kadbod yang dijadikan sampan.

"Kita minta supaya kerajaan memberikan bantuan untuk mempercepatkan pembinaan jeti," kata Haji Rubani. Jeti sepanjang kira-kira 500 meter itu tidak dapat digunakan oleh para nelayan kerana ia terputus selepas roboh. Saya mengambil gambar jambatan yang terputus itu.

Pemandangan senja amat cantik.Matahari sebentar lagi turun dari langit untuk memasuki horizon, dan kami, sebentar kemudian berangkat meninggalkan pulau Selakan yang indah itu.

Saturday, March 10, 2012

Antara gurindam Ustaz Hamdani dan nasib sekolah agama

ANTARA GURINDAM USTAZ HAMDANI DAN NASIB SEKOLAH AGAMA

SETIAP kali berkunjung ke kampung-kampung dan melewati bangunan sekolah-sekolah agama di negeri ini, saya segera teringat ucapan Ustaz Hamdani Omar.

Ucapan itu disampaikannya dalam satu majlis di Hotel Promenade, kira-kira tiga tahun yang lalu. Bukan saja isinya, tetapi yang lebih menarik ialah kerana ucapan itu sendiri disampaikan diselangi gurindam.

Ketika itu, beliau mewakili kira-kira 700 guru Sekolah Agama Negeri (SAN) dulunya Sekolah Ugama Islam (SUI) dan Sekolah Agama Rakyat dari seluruh Sabah yang berhimpun untuk sambutan Hari Guri JHEAINS Peringkat Negeri.

Ramai ustaz dan ustazah yang menghadirinya. Ucapan Ustaz Hamdani itu melekat dalam ingatan saya, mungkin kerana perkara yang disampaikannya itu, saya fikir masih lagi relevan. Saya mengenalinya, walaupun tidak begitu rapat, dan pernah beberapa kali dengan beliau tetapi pada saya, ucapan yang disampaikannya pada hari itu, sungguhpun diselitkan gurindam amat memerlukan perhatian pihak kerajaan.

Ketika melukiskan keadaan sekolah agama di negeri ini,yang serba kekurangan, Ustaz Hamdani berkata halangan dan kekangan yang dihadapi pihak sekolah bukanlah sedikit di sebalik harapan ibubapa yang menggunung. Katanya, kemampuan guru agak terbatas.

"Koleh kami sedepa, halangan kami selaut, telapak kami pendayung, harapan tuan segunung", katanya. Selain itu, Hamdani juga menceritakan mengenai permasalahan pelajar, prasarana yang tidak mencukupi, bangunan yang semakin uzur dan sebagainya.

Keadaan fizikal kebanyakan sekolah agama, katanya; "condong ke datar tanah, meja yang kurang, kursi yang hampir patah."

"Bilangan guru yang makin pupus, tilam bantal kusam". tambahnya lagi.

Walau bagaimanapun, kata Hamdani, kita harus menghadapi pelbagai cabaran untuk terus cemerlang, melaksanakan yang terbaik bak kata pepatah "umpama memiliki beras segenggam bagi menjamu jiran sekampung".

Seterusnya beliau meminta; "maaf jika ketidakselesaan ketika ke sekolah kami,yang rimbun dengan rumput, yang lusuh pudar warna, yang padat lagi sendat,pintu tak berdaun,tingkap tak berkelopak, taman tak berbunga,halaman tanah merah , tempat riadah sekangkang kera.

JIka dibandingkan dengan sekolah-sekolah lain yang serba lengkap, pencapaian sekolah agama juga agak memuaskan dan setanding dengan sekolah lain. Oleh sebab itu, kerajaan hendaklah memberikan perhatian terhadap kekurangan tenaga pengajar, dan kekurangan dana yang dihdapi sekolah.

Kerajaan perlu menyediakan peruntukan kerana; "masih ada lagi sekolah menengah agama yang menumpang, dan sekolah rendah yang makin uzur".

Keadaan sekolah agama, dan guru-gurunya, seperti yang dilukiskan oleh Ustaz Hamdani itu memerlukan perhatian pihak kerajaan. Dalam setiap kunjungan saya, ke kampung-kampung di seluruh negeri, saya seringkali menemui perkara itu. Prasarana yang tidak mencukupi, sekolah yang fizikalnya uzur, guru yang yang tidak mencukupi, dan sebagainya. Walaupun begitu, masih banyak juga sekolah agama yang mencatatkan kecemerlangan dalam pelajaran. Pencapaian mereka boleh ditingkatkan lagi sekiranya semua keperluan mereka dilengkapi.

Dalam Belanjawan 2012 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, tidak lama dulu, beliau mengumumkan peruntukan berjumlah RM100 juta untuk sekolah-sekolah agama bantuan kerajaan di seluruh negara.

Kita berharap, peruntukan itu juga dapat dinikmati oleh sekolah-sekolah agama di negeri Sabah. sekolah-sekolah agama di Sabah, baik yang berada di bawah kelolaaan JHEAINS atau sekolah agama rakyat, masih memerlukan bantuan agar prasarana yang ada dapat ditingkatkan demi kepentingan pelajar.

Jika sekolah-sekolah agama mendapat bantuan yang diperlukan, ia akan memberikan suasana pembelajaran yang lebih selesa kepada para pelajar selain dapat meringankan bebanan guru melalui bayaran gaji dan elaun.

Koleh kami sedepa, halangan kami selaut, saya teringat kata-kata Ustaz Hamdani.Semoga Allah merahmatinya. Tapi katanya,telapak kami pendayung, harapan tuan segunung. Sungguh mengesankan kata-katanya itu, dan kita harus memikirkan dan menaakulnya bersama-sama.