Monday, November 26, 2012

gambar kanak-kanak yang membuat hati rawan




KELOPAK mata saya terasa berpasir setiap kali saya melihat gambar itu. Sekeping gambar yang membuat saya tak berani menatapnya. Sekeping gambar yang membuat saya marah sekaligus membuat saya pilu terharu.

Gambar itu, dan foto-foto lain, dipautkan di ruang buku wajah saya oleh beberapa orang rakan. Tetapi entah kenapa saya tak berani melihatnya. Padahal rakan-rakan saya yang dekat, tahu bahawa saya dulu tidak menolak ketika ditugaskan membuat liputan di Mindanao yang bergolak atau berkunjung ke wilayah Pattani yang bergejolak.

Namun melihat sekeping gambar itu membuat hati rawan. Sekaligus membangkitkan amarah. Sesungguhnya gambar itu, entah siapa yang memotretnya, membuatkan saya bertanya apakah tidak ada lagi rasa kemanusiaan, apakah tidak ada lagi rasa belas kasihan, apakah tidak ada lagi rasa bersalah sehingga kemanusiaan diinjak-injak sebegitu rupa.

Saya sungguh terharu melihatnya. Seorang kanak-kanak terbaring tidak berdaya. Kepalanya luka.Berdarah-darah. Dia adalah antara ratusan malah ribuan kanak-kanak yang menjadi mangsa kekejaman `satu bangsa yang sombong dan hina’.

Saya segera teringat Munir, seorang gadis kecil yang dikisahkan penyanyi arwah Zubir Ali dalam lagunya Balada Gadis Kecil. Sebuah lagu yang mengisahkan seorang gadis kecil yang `telah bertahun dicengkam derita, di khemah pelarian, yang menjanjikan duka cita’

Katanya, Munir tak mengenal erti cinta, (kerana) telah kering airmata, menangisi kematian, ayahbonda dan saudara.Pada suatu senja, kata Zubir, langit syatila menyaksikan pembunuhan anak kecil dan wanita. “Munir ditembak penuh luka, tapi ajalnya belum tiba, kerana Tuhan mengasihi dia’.

Kira-kira 30 tahun kemudian, gambar kanak-kanak yang terbaring itu mengingatkan saya tentang Munir. Sebenarnya, kekejaman yang dilakukan `bangsa yang sombong dan hina itu’ tidak pernah berhenti sejak mereka menduduki tanah Palestin pada tahun 1948. Setiap tahun terjadi pencerobohan, setiap tahun terjadi keganasan, setiap tahun terjadi kekacauan, dan bangsa Palestin dinafikan hak mereka sebagai manusia.

Reccep Tayyip Erdogan dan Dr.Muhammad Morsi membuat pernyataan yang keras bahawa mereka akan membantu mempertahankan Gaza dari keganasan Israel. Bukan itu saja, di seluruh dunia terjadi bantahan dan demontrasi bagi mengutuk kekejaman itu.

Hampir setiap hari, di ruang buku wajah, saya menerima puluhan kiriman gambar yang menunjukkan tindakan tidak berperi kemanusiaan itu.Namun terdapat satu gambar , kali ini gambar yang  lebih menyejukkan.

Gambar itu menunjukkan bahawa persoalan itu bukan antara Islam dengan Yahudi. Tetapi ia adalah persoalan sejagat, persoalan yang melangkaui bangsa dan negara. Persoalan kemanusiaan lawan nafsu kebinatangan.

Sekurang-kurangnya,  gambar Cristiano Ronaldo, bintang pasukan Real Madrid yang sanggup menyerahkan kasut emas yang dimenangi tahun 2011 kepada Yayasan Real Madrid untuk dilelong boleh diteladani. Wang hasil lelongan itu, 1.5 juta Euro didermakan untuk membiayai  pendidikan kanak-kanak di Gaza dan tebing barat.

Sebenarnya saya mulai mengenal Palestin melalui  puisi penyair  Salma Khadra Al Jayussi, juga melalui puisi-puisi Usman Awang. Sejak itu saya berusaha mencari tahu mengenai sejarah palestin,membaca buku-buku mengenai dan menonton filem-filem yang pernah dihasilkan mengenai wilayah itu.

Bagaimanapun, sebuah buku yang saya fikir amat menarik  untuk mengetahui dan menghayati  kisah palestin ini adalah sebuah buku yang ditulis oleh Dr.Ang Swee Chai, seorang doktor dari Singapura yang dilahirkan di Pulau Pinang. Beliau pernah bertugas di Sabra dan Shatila pada ketika pembunuhan beramai ramai pada 15-18 September 1982. Melalui buku Dari Beirut ke Jerusalem itu,  saya mendapat informasi yang lebih dekat mengenai kekejaman rezim zionis terhadap Palestin itu.

Kekejaman yang berlaku berulang kali. Ketika dunia mulai menuai rasa aman, tiba-tiba dunia dikejutkan dengan keganasan yang dilakukan rezim Zionis terhadap Gaza. Itulah sebabnya saya tidak berani menatap gambar kanak-kanak  yang terluka itu tanpa melakukan sesuatu yang bererti untuk memperjuangkan nasib mereka. Saya malu tidak dapat berbuat sesuatu untuk meringankan kesengsaraan mereka.

Friday, November 23, 2012

Ustaz Jalidar, tokoh nasyid yang banyak berjasa



SETELAH bermusim musafir di sini, di dunia tiada kekal abadi, sediakan amal sebelum kau pergi, itulah antara bait-bait lirik nasyid bertajuk Muhasabah ciptaan Tokoh Nasyid  yang tidak asing lagi, Ustaz Haji Jalidar Abdul Rahim. Lagu yang pernah dinobatkan sebagai pemenang lirik terbaik kebangsaan itu amat menyentuh dan menginsafkan. Ukhuwah membina umat yang padu, jangan memandang bangsa dan suku, kasih sayang jalinlah selalu, bagaikan ansar muhajirin selalu.

USTAZ HAJI JALIDAR ABDUL RAHIM dilahirkan di Bedagai,sebuah daerah terpencil, di Medan Sumatera Utara pada 21 Julai 1949. Beliau mendapat pendidikan awal sekolah rendah dan sekolah agama hingga peringkat sanawi di daerah kelahirannya. Haji Jalidar kemudian mengikuti pendidikan guru agama atas di peringkat aliyah di Tanjung Balai, Asahan. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di Fakultas Tarbiyah di Universiti Islam Sumatera Utara sehingga lulus sarjana muda pada tahun 1973. Setahun kemudian, beliau berhijrah ke Sabah dan berkhidmat di beberapa buah sekolah agama sebelum dilantik sebagai Penyelia Dakwah di Majlis Ugama Islam Sabah.

Disamping tugasnya sebagai guru agama, Haji Jalidar lebih dikenali sebagai seorang tokoh nasyid yang telah mengangkat nama Sabah ke peringkat Kebangsaan. Beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid di negeri ini, mencipta hampir 300 lirik dan lagu nasyid.Bermula dengan kejayaan kumpulan Noor El Kawakib yang menjadi Johan Pertandingan Nasyid Peringkat Kebangsaan pada 1979, beliau telah membimbing pelbagai kumpulan nasyid, termasuk Kumpulan Orkestra Dakwah Noor  El Sabah yang telah mewakili Asia Tenggara ke Festival Die Garten des Islam ( The Garden of Islam)  di Berlin,Jerman. Beliau pernah menjadi hakim pertandingan nasyid di peringkat kebangsaan dan rantau Asean.
Haji Jalidar juga adalah seorang pemuisi yang tidak asing lagi di Sabah yang menjadi kampung halamannya sejak 38 tahun lepas. Atas jasanya yang tidak terhingga terhadap perkembangan seni nasyid di Sabah, Ustaz Jalidar telah menjadi penerima Anugerah Al-Farabi yang pertama pada tahun 2001.Beliau juga pernah dianugerahkan Tokoh Penyair Islam Sabah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu tengahari di salah sebuah restoran terkemuka di Jalan Gaya untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau sepanjang terlibat dalam seni nasyid di negeri ini.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit bagaimana mulanya Ustaz hijrah ke Sabah?
USTAZ JALIDAR:       Saya menjejakkan kaki ke Sabah 29 Mac 1974 setelah lulus temuduga yang dikendalikan oleh Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) setahun sebelumnya. Kami telah diminta oleh Haji Bahrum Jamil SH untuk menghadiri temuduga itu. Hanya 18 daripada 40 yang hadir temuduga itu dinyatakan lulus dan terpilih untuk Sabah.
Sebelum itu, Ketua Menteri Sabah ketika itu, Tun Datu Haji Mustapha Datu Harun telah meminta bantuan Buya Hamka, seorang ulama terkenal, ketika itu Ketua Majlis Ulama Indonesia (MUI) untuk membantu gerakan dakwah di Sabah.

UB:       Dimana ustaz bertugas sebaik tiba di Sabah?
UJ:      Ketika itu isteri saya, Hajah Husna Mohd.Yatim sedang sarat mengandung anak kami yang pertama. Selepas Ibnus Shobah lahir pada 5 Mei 1974 di Hospital Queen, saya dihantar bertugas ke Sekolah Agama Islam Papar. Pada tahun 1976, saya ditugaskan ke Sekolah Menengah Rendah Islam Papar. Dua tahun selepas itu, saya dilantik sebagai Guru Besar Sekolah Ugama Islam (SUI) Kampung Pengalat Besar Papar yang ketika itu baru dibuka. Pada tahun 1980, saya dilantik pula sebagai Penyelia Dakwah di ibu pejabat Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

UB:       Bagaimana pula Ustaz terlibat dalam aktiviti Nasyid?
UJ:      Semasa berkhidmat di Papar, saya telah mewujudkan Kumpulan Noor El Kawakib, kumpulan nasyid yang kemudian menjadi juara nasyid di peringkat negeri pada tahun 1979, johan peringkat Kebangsaan anjuran RTM. Ketika itu, Datuk Mohammad Rahmat menjadi Penerangan. Kumpulan Noor El Kawakib  sempat merakamkan album lagu-lagu nasyid. Salah seorang penyanyi solo kumpulan Noor El Kawakib ialah  Hajah Norsiah Talip (kini almarhumah). Selepas menjadi johan nasyid, kami terus merakamkan album pada tahun 1979. Bila kita buat album yang pertama, seni nasyid mendapat lonjakan baru. Orang yang banyak membantu ialah Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Menteri Kewangan pada ketika itu. Beliau membantu apa-apa saja keperluan untuk menerbitkan album nasyid itu. Ketika itu, kita buat album di Kuala Lumpur. Sesuai dengan nama Noor El Kawakib yang bermakna cahaya bintang-bintang, lagu-lagu nasyid mula menyinar selepas itu.

UB:       Sebelum itu belum ada album lagu nasyid di Sabah?
UJ:      Album Kumpulan Noor El Kawakib itulah album nasyid pertama di Sabah.

UB:       Bagaimana pula perkembangan nasyid selepas itu?
UJ:      Selepas itu, Sabah telah mencipta banyak kejayaan di peringkat kebangsaan.Sampai hari ini, jika menyertai pertandingan, menang atau tak menang, Sabah sentiasa digeruni kerana kehebatannya.

UB:       Apa kumpulan yang Ustaz bimbing selepas Noor El Kawakib?
UJ:      Setelah berpindah  ke ibu pejabat di MUIS, di samping menjalankan khidmat sebagai penyelia dakwah, saya juga keliling mengajar dan membimbing kumpulan nasyid. Saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid di Semporna hingga mereka muncul johan.Ketika itu, Datuk Haji Salsidu Ibrahim menjadi Pegawai Daerah di Semporna. Beliau juga seorang pencinta nasyid.  Pemimpin prihatin.Alhamdulillah.Saya juga membimbing Kumpulan Shoutol Hadhari dari Tawau, hingga mereka menjadi Johan peringkat bahagian, negeri dan kebangsaan sebanyak dua kali 2005 dan 2007. Masa itu, Haji Salsidu Haji Ibrahim menjawat presiden MPT. Selain itu, saya juga pernah membimbing kumpulan nasyid dari Kota Belud, yang juga muncul johan kebangsaan. Saudara Lamsil Hamidsor adalah orang kuat dakwah di Kota Belud. Pernah juga di Kinabatangan, dimana kumpulan nasyid dari Kinabatangan menjadi johan, di Sipitang juga, mereka muncul johan. Alhamdulillah, sudah terbangun asas yang baik nasyid ini.

UB:       Biasanya siapa yang buat lagu ?
UJ:      Kadang-kadang mereka yang buat lagu.Saya Cuma perhalusi. Tapi kebanyakan saya buat sendiri. Alhamdulillah, Allah berikan saya maziah, kelebihan iaitu boleh menulis lirik dan boleh membuat lagu, selain boleh bermain muzik. Ada orang boleh menulis lirik, tapi tak boleh buat lagu. Alhamdulillah, ada beberapa kali, tak kurang lima kali, ciptaan saya menjadi lirik terbaik kebangsaan.Sabah pula  lebih sepuluh kali menjadi johan kebangsaan. Kumpulan Noor El Sabah terpilih mewakili Malaysia dan juga Asia untuk menyertai Festival Garden of Islam pada tahun 1993. Itu dianjurkan oleh Kerajaan Jerman. Sepanjang festival itu, diadakan persembahan, seminar, pameran tentang Islam. Ia diadakan selama empat bulan.Acaranya dibuat di Berlin.

UB:       Mungkin banyak kenangan sewaktu di sana?
UJ:      Banyak juga. Tapi yang paling mengesankan bagi saya ialah apabila Tun Haji Ahmadshah Abdullah, mantan Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, waktu itu beliau masih menjadi setiausaha Majlis Ugama Islam  Sabah (MUIS) membelikan saya gambus. Beliau memang seorang yang prihatin. Ia satu kenangan yang manis bagi saya. Dibelikannya saya gambus di Berlin. Gambus itu buatan Turki.Sampai sekarang, saya tak bagi bagi orang main. Masa itu, kami berkunjung ke sebuah kedai muzik di Jerman. Ketika ternampak gambus itu, beliau bertanya saya.Walaupun teringin memilikinya tapi harganya mahal iaitu kalau tak silap 600 mark, mata wang Jerman. Tapi Tun Ahmadshah, beliau orang yang baik, membelikan saya gambus yang sangat berharga itu.

UB:       Wah, rupanya ada kenangan manis bersama Tun. Sudah lama kenal beliau?
UJ:      Beliau pernah jadi bos saya  di MUIS, Ketika beliau menjadi Setiausaha MUIS, waktu itu diselenggara Pengucapan Puisi Islam Sabah, yang kemudian dikenali dengan Mahrajan Sastera Islam. Sebagai pengendali, saya selalu melaporkan proses kemajuan kerja. Tapi beliau selalu memberi keyakinan kepada saya dengan mengatakan beliau yakin saya boleh melaksanakan  kerja yang diamanahkan.

UB:       Saya tertarik dengan persembahan di Festival The Garden of Islam di Jerman itu. Bagaimana sambutan khalayak di Jerman ketika itu?
UJ:      Sambutan khalayak di Jerman agak luar biasa.Benarlah kata orang, bahawa bahasa muzik boleh difahami secara sejagat.Bahasa seni boleh difahami oleh khalayak yang kebanyakannya terdiri daripada orang Jerman itu. Mereka di Eropah sana, sangat menghormati seni. Ketika kita tampil ke pentas, semua hadirin berdiri dan bertepuk tangan. Begitu juga ketika membuat persembahan, mereka duduk diam, bahkan jika ada jarum jatuhpun boleh kedengaran.Sampai begitu sekali penghargaan mereka terhadap seni, hormat mereka terhadap seni.Setelah kita membuat persembahan, mereka bertepuk tangan. Memang seni ini bahasa dunia, bahasa yang melintasi benua.

UB:       Berapa lama membuat persembahan di sana?
UJ:      Kami membuat persembahan selama dua malam di sana, dengan sambutan yang begitu membanggakan. Bahkan kami sempat tampil dalam slot tv selama sepuluh minit yang ditayangkan di TV Jerman.

UB:       Oh ya, selain Festival The Garden of Islam itu, pernahkah Orkestra Dakwah Noor El Sabah membuat persembahan di tempat lain?
UJ:      Kita pernah buat persembahan dalam Pertemuan Seniman Muslim MABIM Asean di Ambon, Maluku pada tahun 1996. Kita juga pernah buat persembahan nasyid di Medan Sumatera Utara pada tahun 2000.

UB:       Bagaimana mulanya lahir minat Ustaz terhadap nasyid? Boleh ceritakan sedikit?
UJ:      Dulu rumah kami di kampung, selalu menjadi tempat tumpuan guru-guru lagu al-Quran, guru qasidah dan sebagainya. Rumah kami jadi tempat belajar. Waktu itu umur saya lapan tahun, saya ikut belajar dan sudah akrab dengan lagu-lagu arab.Ketika itu saya tinggal tempat bapa saudara saya, Mukhtar Umar.Beliau yang telah membela saya, orang yang terkenal kedermawanannya. Bila ada bot besar, mereka akan singgah di rumah kami, yang terletak di tepi laut. Semasa berada di Indonesia, saya sudah terlibat dalam seni lagu nasyid melalui Kumpulan El-Surayya di Tanjung Balai Asahan.

UB:       Apakah kehidupan masa kecil itu mempengaruhi karya-karya Ustaz?
UJ:      Tentu sekali ia banyak mempengaruhi karya saya. Ketika di kampung, saya berguru dengan Ustaz Haji Mohd.Iyen Atim. Malah, saya khatam Quran dengan Ustaz Iyen, guru saya yang kini jadi besan saya.

UB:       Barangkali banyak lagi pengalaman Ustaz yang boleh dikongsikan dalam bidang seni nasyid ini?
UJ:      Antara kenangan manis saya dalam bidang nasyid ini ialah apabila dilantik sebagai Ketua Hakim Festival Nasyid Peringkat Asean di Kuala Lumpur pada 1994. Saya menjadi ketua hakim dalam panel hakim yang dianggotai oleh hakim dari Singapura, Negara Brunei Darussalam dan Indonesia. Selain itu, saya pernah menjadi hakim di peringkat negeri, di peringkat kebangsaan malah pernah pula dijemput menjadi hakim dalam satu festival vokalis qasidah dan nasyid Peringkat Nasional di Jakarta.

UB:       Apa yang ustaz lihat masalah nasyid kita sekarang?
UJ:      Masalah kita ialah kita selalu menggunakan muzik secara live.Dulu termasuk dalam satu syarat. Tetapi sekarang, kumpulan nasyid hanya menggunakan minus one. Ini secara tidak langsung mematikan bakat pemuzik kita.Dulu banyak orang boleh bermain gambus, violin, tapi sekarang orang terpaksa gunakan minus one, yang tidak banyak membantu mengembangkan nasyid kita, kerana muzik latarnya tidak original. Patutnya kita benarkan orang menggunakan muzik secara live.

UB:       Sekarang masanya pun pendek Ustaz.Apa komen?
UJ:      Dulu dua lagu diberi masa 15 minit iaitu tujuh minit bagi setiap lagu. Sekarang ia menjadi empat minit bagi satu lagu. Ini tidaklah memadai.Taqsin lagu, intronya hilang keindahannya.Lagu tidak boleh kita buat kelamkabut. Ia bukan siaran langsung. Sepatutnya waktu tujuh minit itu kita pertahankan. Bagi saya waktu tujuh minit itu, sudah bersesuaian. Biar berkembang nasyid kita, baru ada indahnya.
Empat minit tidak mencukupi. Ia sebenarnya tidak baik untuk kelangsungan perkembangan seni nasyid kita. Saya pun tidak tahu sama ada mereka ada berbincang dengan tokoh-tokoh seni sebelum membuat peraturan itu.

UB:       Apa pendapat Ustaz mengenai kategori nasyid moden dan tradisi itu?
UJ:      Kalau saya, nasyid ini satu saja. Iramanya irama timur tengah. Tak perlu ada kategori nasyid moden dan tradisi. Cukup nasyid saja. Bahkan tokoh nasyid, Tan Sri Hassan Azhari juga hairan juga kerana ada nasyid moden, ada nasyid tradisi. Lagu nasyid berbeza dengan lagu dakwah.Lagu dakwah lain. Sekarang timbul lagu pop dakwah, lagu rock dakwah. Itu tak jadi masalah.Cuma jangan sebut ia nasyid kerana nasyid, sudah jelas ia lagu daripada irama Timur Tengah. Yang mereka sebut moden itu, itu bukan moden, Cuma kreativiti saja, yang berkembang dari zaman ke zaman.

UB:       Apa pula cadangan ustaz untuk mengatasi pro kontra nasyid moden dan tradisi ini?
UJ:      Sebaiknya adakan satu bengkel di peringkat kebangsaan.Kita bincang balik hala tuju nasyid kita. Perbincangan itu haruslah melibatkan tokoh-tokoh yang terlibat dalam nasyid. Dulu sewaktu  zaman Tan Sri Hamid Osman, selalu ada seminar kebangsaan yang mendatangkan pelbagai pemakalah untuk mencari satu peraturan mengenai nasyid itu termasuk penentuan waktu tujuh minit itu.Sekarang dengan waktu empat minit, seni nasyid jadi tidak indah.Terpaksa potong sana, potong sini. Apa salahnya kalau ia diteliti dan ditinjau kembali.Buat seminar. Tan Sri Hassan Azhari masih ada, ilmunya boleh dimanfaatkan. Tokoh-tokoh ini boleh dijemput untuk bertanya, mewujudkan suasana yang lebih subur dalam lagu nasyid disamping dapat membina jati diri kita.

UB:       Bagaimana pula dengan nasyid etnik dalam bahasa tempatan?
UJ:      Itu bukan nasyid. Sebut saja ia irama dakwah, atau lagu etnik dakwah.

UB:       Di Sabah ini, mungkin ustaz boleh beberapa nama yang berjasa menghidupkan festival nasyid di peringkat awal?
UJ:      Antaranya Haji Yahamad budin, Haji Ahmad Yakub, Awang Mumin dan lain-lain lagi. Sewaktu zaman PBS, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri ketika, Datuk Haji Hassan Ibrahim adalah Pengerusi Pertama Festival Nasyid. Saya jadi Timbalan Pengerusinya yang pertama, tapi kemudian saya mengundur diri dan menjadi pegawai teknikal dan penasihat saja. Selepas itu, Timbalan Pengerusinya disandang oleh Maming Staming, Pengarah Protokol ketika itu.

Kita jangan lupakan sejarah. Jangan kita tinggalkan mereka.Tidak ada hari ini tanpa orang terdahulu.

UB:       Selepas bersara, apa kegiatan Ustaz?
UJ:      Alhamdulillah, sekarang saya sedang membimbing belia-belia Islam dalam seni nasyid di daerah Membakut selain giat mengadakan ceramah-ceramah di masjid-masjid di daerah itu dan sekitarnya atas pelawaan Ahli Dewan Undangan Negeri Membakut, Datuk Haji Mohd.Arifin Arif. Kami juga sudah menerbitkan Orkes Gambus Bustanul Arifin dengan album Satu Malaysia.  Bukanlah maksudnya terlalu taksub.  Ia lambang kecintaan saya kepada Malaysia.  Selain itu pula, saya juga di Kampung Brunei,Membakut, saya membimbing kumpulan Syukbanul Arifin. Sebelum ini, sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, atas ihsan Tengku Arrafiah Sultan Salahuddin, kami telah berjaya menerbitkan album Kumpulan marhaban Al-Badar.

UB:       Saya terjumpa ada nasyid Ustaz di Youtube juga? Dimana tu?
UJ:      Oh itu! ia album nasyid yang diterbitkan di Balai Asahan sebagai tanda rasa cinta saya kepada tanah leluhur.

UB:       Setelah lebih 30 tahun terlibat dalam nasyid, berapa jumlah lagu nasyid yang pernah ustaz lahirkan?
UJ:      Kira-kira 200 lagu. Dalam sisa-sisa umur ini, kalau boleh saya mahu mencipta hingga  500 lagu..Mudahmudahan umur panjang, dan tiap tahun boleh melahirkan album. Yang penting dalam berbuat ini, ikhlas saja.Buat baik. Soalnya kita berlari dengan masa. Kalau tak bolehpun, tak apa. paling tidak saya berasa bahagia kerana pasti ada yang meneruskannya.

UB:       Siapa idola Ustaz ya dalam seni nasyid ini?
UJ:      Idola saya ialah guru saya Prof Haji Ahmad Baqi.Selain itu Tan sri Hassan Azhari. Sewaktu bermukim di Kuala Lumpur, saya selalu bertandang ke rumahnya.saya bawa violin, main sama-sama. Saya kagum semangatnya. Sebenarnya dalam nasyid ni, saya tak berani juga mengatakan bahawa saya pencipta. Barangkali boleh saya katakana saya pengumpul. Dalam ciptaan saya, ada pengaruh Abdul Wahab, Umi kalsom, Farid al Atras, Wardah Al jazirah dan banyak lagi.

UB:       Akhir sekali apa harapan Ustaz?
UJ:      Saya berharap seni Islam akan terus subur dan mempunyai masa depan yang cerah.




Monday, November 19, 2012

burung yang hinggap dan monyet yang bergayut dalam lukisan pelukis Sabah




BURUNG YANG HINGGAP DAN MONYET YANG BERGAYUT DI DAHAN DALAM LUKISAN PELUKIS SABAH

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

BEBERAPA ekor burung hinggap di dahan pohonan yang rendang. Daunnya rimbun. Burung-burung yang lain berterbangan. Bunga-bunga berkembang mekar di tengah hutan. Ada sinar matahari. Juga tupai-tupai yang berlompatan. Eh, di sana ada burung yang entah kenapa seperti terpesona mendengar alunan sompoton.
Semua ini hadir dalam lukisan-lukisan Arthur Siowou, seorang pelukis Sabah yang tidak asing lagi.

Kisah kehidupan dalam belantara Borneo ditangkap ke dalam kanvas dan diterjemahkan dengan mata seni Arthur, pelukis dari Kampung Nambazan, Penampang yang lahir 35 tahun yang silam.

"Saya melukis untuk memperkenalkan khazanah hutan kita yang kaya," katanya dicelah-celah Pameran Lukisan Gaya Naive Sabah yang Pertama (1st Sabah Naive Artist Showcase) yang diselenggarakan di Hotel Jesselton, salah sebuah hotel tertua di ibu negeri.

Di ruang pameran yang sederhana besar itu, Arthur menjelaskan bahawa Sabah memiliki flora dan fauna yang mungkin tidak boleh didapati di tempat lain. "Saya rajin masuk hutan, selalu meredah hutan dan sering melihat burung burung," katanya yang meminati bidang seni lukis sejak kecil lagi. Arthur menandai kehadirannya dengan lukisan `The Jungle Life 1-3' Borneoan Bristlehead,Sompotin Man, Hornbills of Borneo. Kini, hasil karya lukisnya telah dipamerkan di Balai Seni Lukis Sabah, dan tidak lama lagi akan dipamerkan di Kuala Lumpur.

Selain Arthur Siowou, pelukis lain yang menyertai pameran itu ialah Jainal Anambing, Azlan Dulikab, Awang Fadilah dan Rosmaini Sunarjo.

Azlan Dulikab, pelukis dari Kampung Sokuli Telipok, mempamerkan bentuk lukisan yang menarik. Beliau gemar motif paku pakis, terutamanya lembiding. "Kenapa suka melukis lembiding?"
"Saya suka bentuknya," kata Azlan mengulas lukisan `Lemiding Sama Pakis'yang turut menampilkan monyet belanda (proboscis monkey) dalam karyanya. Watak monyet selalu muncul daripada karya Azlan,pelukis berbakat yang telah menyertai beberapa pameran di Kota Kinabalu.  Lukisan lain yang dipamerkannya ialah Selalu Ada, Mari Pulang  dan Siri My Home 1-5.

Awang Fadilah, mungkin lain daripada yang lain.Pelukis terkenal dari Kampung Masjid Menumbok ini banyak mendapatkan sumber ilham dari cerita rakyat, cerita dongeng yang berkembang dalam masyarakatnya. Kebolehannya mengolah lukisan dari sumber yang tidak biasa itu menjadikannya seorang pelukis yang layak diberikan perhatian. Mula melukis tahun 1998, Awang Fadilah pernah menyertai pelbagai pameran di Kuala Lumpur, dan pernah juga melukis untuk ilustrasi buku. Selain cerita rakyat Sabah, beliau juga melukis unsur-unsur budaya sabah, alam flora dan fauna serta pelbagai tema lain.

"Saya belajar melukis sendiri, " kata Awang Fadilah yang kini seorang pelukis sepenuh masa. Antara lukisan yang beliau pamerkan ialah siri lukisan Ajaibnya di Tanah Borneo 1-4, Harmoni di Tanah Borneo, Pemburu 1 dan khazanah di Tanah Borneo,

Bagi Rosmaini Sunarjo, lukisannya banyak menyerlahkan mengenai keindahan cara hidup di negeri ini. Bukan itu saja, beliau menterjemah kehidupan masyarakagt seharian, misalnya bagaimana bermulanya gosip, bagaimana ianya disebarkan dari mulut ke mulut, dari telinga ke telinga  dalam lukisannya yang bertajuk `Bermulanya Gossip" Lukisan-lukisannya yang lain ialah Musim Buah Musim Bahagia, Siapa yang buta dan Badang di Kinabalu.

Walaupun terburu-buru pergi kerana sesuatu urusan, Jainal Anambing yang ikut menyertai pameran itu bersama lukisannya Nabalu Rafflesia I-III, Myself at farm sempat mengambil foto bersama lukisannya yang dipamerkan dalam pameran sepanjang dua hari itu.
,
Penganjur pameran itu, Dr.Awangku Hassanal Bahar Pengiran Bagul yang juga seorang kolektor seni, berkata masing-masing pelukis mengemukakan karya bergaya naive.

"Tetapi saya mensyaratkan mereka mengemukakan karya-karya baru yang menyerlahkan  keunikan dan kelainan dalam pameran yang diadakan ini," katanya.

"Gaya Naive masih tergolong  sebagai gaya baru dalam seni catan di Malaysia dan pamderan itu bertujuan untuk membantu pelukis-pelukis memasarkan karya seni mereka," kata Dr. Awangku Hassanal yang juga pensyarah kanan di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

"Pelancongan seni berpotensi untuk dimajukan dalam di rantau BIMP-EAGA," katanya sambil mendorong pelukis untuk terus berkarya dengan mengetengahkan pelbagai keistimewaan dan keunikan Sabah melalui karya-karya baru mereka.

Seni catan gaya naive di Sabah menampilkan kepelbagaian citra yang diolah dari subjek seperti hutan, kehidupan seharian, unsur-unsur peribumi cerita rakyat,  flora dan fauna serta pelbagai lagi warna kehidupan rakyat di negeri ini.

Melalui pameran itu,banyak karya lukisan yang telah dibeli dan ditempah oleh peminat-peminat seni dengan harga berpatutan di antara RM350 hingga RM500 bagi sebuah karya.

Sementara itu, seorang pengumpul karya seni halus, Dr.James Alin, yang juga seorang pakar ekonomi yang tidak asing lagi berkata pasaran seni halus karya artis dari Sabah walaupun masih muda tetapi kini sudah mempunyai petanda perkembangan yang memberangsangkan.

Menurutnya, tiga dekad yang lalu, artis-artis pelopor seperti Datu Mohd Yaman, Rita Rimmer, Christianne Goonting dan ramai lagi artis lain yang seangkatan dengan mereka telah mengalami kesukaran mempamerkan apatah lagi menjual dengan harga yang tinggi.
"Pada ketika itu pembeli karya-karya seni halus hanya terhad kepada sekumpulan kecil pembeli yang terdiri daripada hotel-hotel, expatriate (professional bukan warganegara Malaysia bekerja di Sabah), orang politik, ahli perniagaan dan pelancong (yang biasanya membeli karya sebagai souvenir bukannya tanda apresiasi nilai seni yang tinggi)," katanya.
Pasaran seni halus di Kota Kinabalu khasnya sudah menjadi semakin besar sejajar dengan pertumbuhan ekonominya amat pesat. Di sini sudah wujud golongan pembeli yang dikategorikan sebagai pengumpul hasil seni (arts collectors).
"Apakah yang membezakan mereka dari dengan pembeli-pembeli biasa? ," katanya dalam ulasannya yang dikirimkan melalui surat elektronik.
" Walaupun mereka datang dari pelbagai latarbelakang pekerjaan (professional , ahli perniagaan, ahli akademi dan sebagainya) tetapi mempunyai citarasa yang unik serta apresiasi seni yang mendalam.
"Motif pembelian mereka juga serupa, iaitu untuk mengumpul berdasarkan gaya-gaya tertentu (abstrak, naïve dan lain-lain) dan medium yang diminati. Mengumpulkan karya seni bagi mereka, bukannya untuk kegemaran, kepuasan diri atau simbol kekayaan dan status semata-mata, tetapi juga satu bentuk pelaburan berinsuran yang kalis inflasi dan penurunan nilai matawang," katanya.
Dr.James berkata, gologan pengumpul karya seni halus mempunyai rangkaian media sosial yang luas untuk berkongsi maklumat berkaitan dengan collectable items.
"Mereka membeli melalui orang tengah (arts dealer/house) tetapi sebaliknya lebih suka mengunjungi sendiri galeri persendirian tempatan tetap misalnya MaryJean gallery, Tianne gallery dan Borneo Sunrise Art Gallery atau pameran sekali-sekala seperti Arts Bash (yang dianjurkan oleh Dr.Awangku Hassanal seorang art dealer/art collector).
"Selain daripada itu mereka juga berkunjung ke pameran-pameran serta jual lelong seni halus di Kuala Lumpur (khasnya semasa Art Expo Malaysia), di Bali, Bandung, Singapora, Manila, Taipei dan Hong Kong," katanya..
Beliau berkata, hari ini sudah ramai artis  dari Sabah telah mengukir nama di peringkat antarabangsa. Karya artis-artis seperti Yee I- Lann (pelukis batik dan photographer terkenal), Adrian Ho (pemilik Borneo Sunrise Art Gallery), Awang Fadilah, Huang Poh Lo dan yang lainnya bukan sahaja telah memenangi pelbagai pertandingan tetapi juga menjadi buruan pengumpul, pengemar dan peminat karya seni dari luar negara.
"Di sebalik kejayaan mereka yang membanggakan ini, karya-karya mereka belum lagi mendapat tempat dan pengiktirafan dalam bentuk pameran kekal di Balai Seni Lukis Negara di Kuala Lumpur," katanya yang datang ke pameran itu bersama keluarganya.Isterinya Naomi Kato, juga seorang pelukis manakala anaknya peminat seni lukis, yang sukakan lukisan mengenai hutan di Borneo.
Meskipun masih baru, seni catan gaya naive mempunyai masa depan yang lebih baik. Berbanding negeri-negeri lain, Sabah mempunyai banyak kelebihan kerana pelbagai citra boleh diolah dari subjek seperti hutan, kehidupan seharian, unsur-unsur peribumi, cerita rakyat, flora dan fauna serta pelbagai lagi warna kehidupan rakyat di negeri ini.