Sabtu, 29 Disember 2012

CATATAN PERJALANAN DARI KOTA KINABALU KE JAKARTA 27 DIS

Tags


CATATAN PERJALANAN DARI KOTA KINABALU KE JAKARTA 27 DIS

Matahari sudah terbenam ke dalam laut ketika pesawat Air Asia AK1601 berlepas meninggalkan lapangan terbang Kota Kinabalu menuju Jakarta. Kami dalam perjalanan untuk menyertai Pertemuan Penyair Nusantara (PPN) VI yang akan berlangsung di Jambi pada 28 Disember hingga 31 Disember.

Pertemuan itu berskala antarabangsa kerana selain menghimpunkan penyair-penyair dari Indonesia, turut dihadiri oleh penyair dari Malaysia, Singapura, Brunei, Thailand, Belanda, Korea Selatan, dan beberapa negara lain.

Puisi yang ditulis oleh Mabulmaddin Shaiddin lulus pemilihan sebagai antara puisi yang lolos seleksi daripada 3,000 puisi yang diterima panita.Hanya 300 puisi terpilih dalam saringan akhir.

Saya turut menjadi peserta PPN V! atau Jambi International Poet Gathering. Selain itu, saya bercadang untuk ke Kuala Tungkal dan tempat-tempat bersejarah untuk menelusuri jejak sejarah lampau dan merenung semula hubungan akrab yang pernah berlaku di antara kerajaan-kerajaan di Nusantara ini.

Sebelum ke Jambi, di Sumatera, kami bercadang untuk singgah di Jakarta lebih dahulu.Sambil menunggu kang Acep dari Indramayu kami akan berkeliling Jakarta esok, walaupun khabarnya banjir dua tiga hari yang lalu.

Setelah mendengar khabar kunjungan kami ke Jakarta, Ma' Sidaq, abang kami yang sulung, sempat menyediakan Kamus Mudah Jakarta. Tiga puluh tujuh perkataan semuanya. Beliau memulakan dengan perkataan lepes yang bermaksud seluar jean.Bebek ertinya itik, patung-boneka, diskon-diskaun, bon-resit,biaya-belanja, lewat-melalui,sabuk keamanan-tali pinggang keledar dalam pesawat, lajur-lorong,lajur darurat-lorong-kecemasan, nyetir-memandu,batas kecepatan-had kelajuan, tabrak-berlanggar, gede’-besar, dorong-tolak/sorong, polos-tiada corak /(kosong (kain) grosir-borong, kasir-cashier, porter-tukang angkat,bilik-kamar, lantai-aras, impor-import, gratis-percuma, obral-sale/jual murah, air dingin-air sejuk, air hangat-air panas, bajai-kereta roda tiga, ojek-motosikal penumpang, pesawat-kapal terbang, bis-bas, mobil-kereta,truk-lori , kamar kecil-tandas, tandas pria-tandas lelaki, macet-jalan sesak.

Sekarang pesawat sudah lebih satu jam meninggalkan Kota Kinabalu. Saya sengaja mencatat mengenai perjalanan kami ini.
Kami kemudian memesan Nasi Lemak Pak Nasser dengan harga RM18 satu set beserta ribena blackcurrant dan Kit Kat   Wafer dalam Coklat Susu.
Martabat nasi lemak pun terangkat kerana naik kapal terbang, padahal kalau makan di kedai mbak di Taman Kemajuan Likas, boleh makan tiga kali.
Nasi lemak seberat 300 gram dengan nilai kalori 567 itu boleh tahan sedapnya tetapi “ masakan Amai Shafiq lebih sedap lagi kalau dia masak ayam kampung,” kata Amai Shukri.
Kami  berangkat jam 6.40 dari Kota Kinabalu dan tiba jam 8.25 malam waktu Jakarta.
Cuaca sangat baik. Padahal Jakarta baru saja hujan dan banjir beberapa malam yang lepas.

“Bulan inikah yang membikin dingin
Membuat pucat kaku segala pohonan” kata Mabul yang tiba-tiba teringat puisi Chairil Anwar.
Kalau sempat kita berkunjung ke tempat Chairil menghasilkan pusi-puisinya, katanya.

Mengenai puisi Buya Hamka dan pak Natsir

Tags


MENGENAI PUISI BUYA HAMKA DAN PAK NATSIR

Dengan pensil kayu, Buya Hamka menulis puisi di atas secarik kertas.
Kertas itu disisipkannya ke dalam saku baju Pak Natsir. Ketika itu, 13 November 1957, Pak Natsir baru turun dari mimbar selepas berucap pada sidang Konstituante.

“Meskipun bersilang keris di leher
Berkilat pedang di hadapan matamu
Namun yang benar kau sebut juga
Cita Muhammad biarlah lahir
Bongkar apinya sampai bertemu
Hidangkan di atas persada nusa

Jibril berdiri di sebelah kananmu
Mikail berdiri di sebelah kiri
Lindungan Ilahi memberi tenaga
Suka dan duka kita hadapi
Suaramu, hai Natsir, suara kaummu

Ke mana lagi Natsir, ke mana kita pergi
Ini berjuta kawan sefaham
Hidup dan mati bersama-sama
Untuk menuntut redha Ilahi
Dan akupun masukkan
Dalam daftarmu……..

Puisi ini sangat bersejarah kerana ia ditulis dalam satu peristiwa yang sangat menentukan masa depan Indonesia. Bandung penuh sesak hari itu, dan Pak Natsir baru saja membentangkan konsep Dasar-dasar hidup Bernegara di depan sidang yang juga dihadiri oleh pelbagai parti, pelbagai golongan, aliran, dalam suhu politik yang semakin memanas ketika itu.

Puisi itu membuat Pak Natsir terharu. Pak Natsir atau Muhammad Natsir adalah seorang pemimpin yang terkemuka, bukan saja di Indonesia malah di seluruh dunia Islam. Beliau pernah menjadi Perdana Menteri Indonesia dan pernah juga memimpin Dewan Dakwah Islamiyah Indonesia.

Beliau adalah seorang tokoh yang buah fikirannya masih relevan hingga kini. Tetapi puisi yang dicipta Buya Hamka itu ternyata mengharukan Pak Natsir.Buya Hamka seperti yang kita kenali adalah seorang ulama yang juga seorang sasterawan yang terkemuka. Puisi yang berisi kata-kata semangat kepada Pak Natsir agar terus berjuang `meskipun bersilang keris di leher; berkilat pedang di hadapan matamu,” namun pesanan Buya Hamka `Namun yang benar kau sebut juga’.

Jangan gentar untuk menyebut yang benar, dan memperjuangkannya, begitu kira-kira yang dikatakan Buya Hamka.

Dua tahun kemudian, pada 23 Mei 1959, malam hari ketika berada di pedalaman Sumatera Barat, Pak Natsir mencipta sebuah puisi untuk menjawab puisi yang ditulis Buya Hamka itu.

Dalam puisi itu, Pak Natsir mengakui bahawa beliau lama tidak mendengar khabar mengenai Hamka. Kadang-kadang, katanya, di tengah-tengah dentuman bom dan meriam sahut menyahut itu, beliau mendengar irama puisi yang dihadiahkan oleh Buya Hamka kepadanya itu.

“Tiba-tiba,
Di tengah-tengah gemuruh ancaman dan gertakan,
Rayuan umbuk dan umbai silih berganti
Melantang menyambar api kalimah hak dari mulutmu
Yang biasa bersenandung itu
Seakan tak terhiraukan olehmu bahaya mengancam”.

Kerana itu, beliau meminta agar Hamka terus memancangkan panji-panji kalimah tauhid. Puisinya yang dibacakan di tengah hutan itu didengar orang dan kemudian disampaikan kepada Buya Hamka.

Sekarang sukar bagi kita untuk mencari tokoh-tokoh seperti Buya Hamka dan Pak Natsir. Pemimpin yang ikhlas dan jujur, sederhana dan bersahaja dalam kehidupannya.


Isnin, 24 Disember 2012

Semoga diterangi cahaya perjalananmu, allahyarham Amir Bustan

Tags
Kelmarin saya dikejutkan oleh satu lagi berita.
"Hari ini, empat  hari kawan kita Amir Bustan" kata Haji Hakim kepada saya dalam perjalanan kami dari Sugarbun.
Amir Bustan Haji Imam Muksan menutup usia pada angka 51.Saya mula mengenali beliau ketika mula aktif dalam Usia. Saya ingat pertemuan kami yang pertama di pejabat USIA.
Sejak itu, beliau selalu menghubungi saya jika ada apa apa bahan berita yang mahu disiarkan.Dia seorang aktivis dakwah dan siasah di Lahad Datu.
Menurut cerita Haji Hakim, Amir aseolah-olah tahu hari kepulangannya. Beberapa hari sebelum itu, beliau telah mengunjungi adik beradiknya, juga mengunjungi kuburan arwah orang tuanya.
Ketika mahu dihantar ke rumah sakit oleh isterinya, beliau enggan kerana katanya menunggu hari Jumaat.
Beliau minta dimandikan dan dipakaikan pakaian yang putih bersih.
Hari Jumaat tiba, dan keluarga mahu membawanya ke hospital untuk dapatkan rawatan. Katanya, waktunya akan tiba selepas Jumaat.
Kemudian dalam perjalanan ke hospital, beliau memberitahu rasa mengantuk dan menyandarkan kepalanya ke bahu isterinya.
Setibanya di hospital, beliau telah disahkan meninggal dunia. Saya kenal dia sebagai orang yang baik. Semoga lurus perjalanannya dan semoga diterangi cahaya keampunan dalam kuburnya.Alfatihah

Terkenang arwah Pakcik Iddrisa Marintan, personaliti Iranun dari Tungku

Tags
Dalam perjalanan balik kampung itu kami tersesat jalan.
Mungkin kerana lama tidak pulang,kami menyusuri saja jalan aspal itu sehingga sampai ke tepi pantai.Laut terbuka begitu luasnya.
Menyedari tersalah arah, kami kembali ke pangkal jalan yang tadinya kami lalui.Setelah itu, barulah kami menemui arah yang benar menuju ke rumah.
Barangkali itulah pertama kali pakcik Iddrisa Marintan sampai ke kampung kami. Beliau berhasrat untuk berkunjung ke kampung masyarakat Iranun dan saya diminta untuk menunjukkan jalan.Malangnya saya menunjukkan arah jalan yang salah sehingga kami tiba pada destinasi yang juga salah.
Saya ingat kejadian itu. Beliau juga pasti ingat kejadian itu.
Waktu adik saya wahid, kahwin di kampung Tamau, beliau menyempatkan diri untuk datang ke majlis itu.Saya dengan bangganya memperkenalkan pakcik Iddrisa kepada keluarga bahawa kami ada tetamu yang istimewa, orang Iranun dari Kampung Nala Tungku. Bagi sebilangan orang di kampung kami, mungkin itulah kali pertama mereka bertemu dengan orang Iranun dari sebelah Pantai Timur Sabah.
Perkenalan kami berlangsung agak lama. Namanya sudah terkenal dan popular pada tahun-tahun pertengahan 80-an sebagai salah seorang ahli perniagaan Iranun yang agak berjaya di Lahad Datu.Beliau seorang yang agak berpengaruh pada masanya.Bahkan beliau adalah salah seorang Ahli Majlis Daerah Lahad Datu yang terlama.
Bagaimanapun, beliaulah yang membawa saya ke Nala untuk menuliskan isu mengenai masalah tanah yang dihadapi oleh sebilangan  penduduk kampung ketika itu.Kami berkereta dari Lahad Datu.Perjalanan itu agak jauh tetapi perjuangan untuk mengetengahkan masalah yang dihadapi penduduk kampung tetapi lebih jauh.
Jika ke Kota Kinabalu, beliau sering mencari saya. Kadang-kadang sekadar untuk mengajak minum.Kadang-kadang meminta saya mendraf surat.Kadang-kadang beliau menceritakan sesuatu isu untuk saya telaah sebagai satu bahan berita menarik.
Sikapnya yang kebapaan itu membuat saya agak rapat dengannya. Beliau seorang yang prihatin dan tidak pernah kedekut terhadap saya.
Meski saya tahu dia sakit dan pernah pula menjalani pembedahan, tetapi semangatnya luar biasa.Semangat berjuangnya agak tinggi. Kepeduliannya terhadap masyarakatnya juga tinggi.Saya yakin jika punya dana yang banyak pasti beliau akan banyak membantu saya untuk meneruskan penyelidikan dan kajian mengenai masyarakat Iranun.
Terkenang juga satu peristiwa, dan ini sangat saya sesali, ketika beliau mengajak minum sebentar sementara saya agak kelam kabut hari itu untuk menyelesaikan  beberapa perkara yang belum selesai.
Saya hampir tidak percaya bahawa itulah pertemuan kami yang terakhir.
Yang terakhir kerana selepas itu saya terkejut apabila diberitahu beliau telah kembali ke rahmatullah November lalu. Semoga amal baiknya diterima dan semua dosanya diampuni. Alfatihah

satu catatan pendek mengenang arwah Pakcik Haji Sadin

Tags
Saya berdiri di luar saja. Orang begitu ramai.Saya lihat ramai saudara mara jauh dan dekat berkumpul di bawah khemah.Juga di bawah rumah. Di dalam rumah memang tak muat lagi. Sedangkan di halaman, ramai orang duduk takzim menunggu jenazah disembahyangkan.
Petang sebelumnya, kira-kira jam 5.00 petang saya menerima khabar mengenai pemergiannya ke alam yang satu lagi meninggalkan alam kini yang ternyata memang tidak kekal.Perasaan saya tiba tiba diserang perasaan haru mengenai pakcik yang kini menjadi arwah.
Dia pakcik saya. Sewaktu kecil, ketika masih berada di bangku sekolah menengah saya selalu menginap di rumah mereka di kampung Linau. Kalau ada acara atau majlis atau musim cuti, saya selalu menghabiskan masa berlama-lama di kampung Linau, yakni kampung halaman ayah saya.
Pakcik meninggal kami di di usianya yang ke-84.Sebenarnya beliau adalah suami kepada makcik saya iaitu sepupu ayah saya.Akan tetapi, rasa kekeluargaan di antara mereka itu amatlah rapat dan dekat.
Saya ingat betapa beliau seorang yang dengan gigihnya mempertahankan adat istiadat keluarga kami.Ketika saya melangsungkan perkahwinan di Tawau, di pantai Timur Sabah, beliau bersama ayah saya-tentunya, memastikan agar kami menggunakan usunan. Ketika itu, mungkin buat pertama kalinya, orang-orang di sepanjang perjalanan kami dari Batu 4 1/2 ke Kampung Titingan Hujung, di kampung isteri saya melihat adat istiadat orang Kota Belud.
Bukan itu saja, adik beradik saya yang lain semuanya memakai usunan ke majlis perkahwinan sesuai dengan adat turun temurun, dengan tambahan, upacara nikah bagi pengantin lelaki dilakukan dengan berdiri, sesuai dengan adat keturunan nenek moyang kami.
Penjaga adat itu  kini sudah tiada.Pakcik Haji Sadin sudah pergi meninggalkan isteri dan enam anaknya, kak Loi, kak Mata, abang aphil, abang ipok, kak rose dan kai. Kak Rose,(Dr.Bangrose Sadin)  adalah salah seorang wanita Bajau yang pertama lulus dalam bidang perubatan dari Universiti Gent, Belgium.
Ketika orang-orang berdatangan, ingatan saya melayang ke masa remaja, ketika mandi di sungai Linau yang dalam airnya.Kini sungai itu tinggal separas lutut setelah ditutup di sebelah hulunya. Di sanalah, di Sungai itu, saya melihat dua sukarelawan Jepun dan OISCA, Akiko Iinoo dan Mr Kobayashi seronok mandi manda.
Selain sungai dekat rumah Haji Mansor di Kampung Tamau itu, sungai Linau adalah sungai yang paling meninggalkan kesan ketika masa kecil saya. Waktu mandi adalah waktu yang sangat menyeronokkan.
Tetapi segalanya sudah berubah. Waktu juga berubah. Kini dekat tebing Sungai yang dulunya lapang itu, ditumbuhi pokok-pokok rambutan yang sedang berbuah lebat.
Pakcik yang menanamnya. Dia juga menanamkan perasaan cinta dan bangga di hati kami.
Beliau seorang yang sederhana. Suka melayani kami anak-anak buahnya sebagai orangtua yang bijaksana.
Kini dia telah menutup usia.Kami yang ditinggalkan akan selalu mengenang kebaikan dan nasihat-nasihatnya. Semoga rohnya ditempatkan di sisi orang-orang yang saleh. Alfatihah




Isnin, 17 Disember 2012

Kisah Banjir, pakcik Mijat dan perjalanan bersama Sangkura

Tags


"Ini rumah kawanku. Namanya Banjir," kata HA sambil memandang ke arah rumah di tepi jalan di Kampung Lumadan Darat itu.
Banjir?
"Dia diberi nama Banjir kerana dilahirkan sewaktu banjir melanda kampung ini," kata HA. "Nama sebenarnya Jamali Mardi", katanya. Ketika itu kami sedang dalam perjalanan ke rumah Pakcik Mijat.

Sebelum itu, kami singgah sebentar di rumah HA, begitu kami memanggilnya. Beliau lebih dikenali sebagai Hasyuda Abadi dalam dunia kesusasteraan Sabah. Seorang tokoh penulis yang telah menghasilkan lebih seribu buah puisi, dan pernah beberapa kali menang Hadiah Sastera Sabah (HSS) selain pernah juga dianugerahkan sebagai tokoh penyair Islam Sabah.

Di rumahnya, kami sempat dijamu minum dengan sedikit kuih. Sayangnya hari itu, ibunya, Hajah Subiah Sidek, 71,tidak membuat soto kerana hanya pada hari tertentu saja beliau menjualnya. Ayahnya, Haji Usin Ripan, 79, ada di rumah waktu itu. Kami sempat bercerita mengenai peristiwa banjir yang sering melanda Kampung Lumadan. Juga mengenai masjid yang sepatutnya diimarahkan. Sempat juga saya bertanya sedikit apakah sewaktu kecilnya HA seorang yang nakal atau bagaimana perwatakannya ketika kecil.

Hasyuda Abadi atau nama sebenarnya Sukor Haji Usin adalah anak kedua dari enam adik beradik. Kini sudah berusia 52. Abangnya meninggal sejurus selepas dilahirkan. Lima adiknya terdiri dari seorang lelaki dan empat perempuan iaitu Hassimah,Hamidah,Rosly,Melati dan Melor. Semuanya kini sudah berusia 40-an kecuali Melor, yang berusia pertengahan 30-an.

Ayahnya Haji Usin Ripan berasal dari suku kaum Murut dari Tenom tetapi dipelihara oleh datuknya sebelah ibu keturunan banjar dan neneknya dari keturunan Dusun. Ibunya pula, Haji Subiah Sidek berketurunan Jawa dari Beaufort. Kerana itu secara bercanda, Hasyuda selalu menyebut sukunya Suku Murja atau gabungan Murut dan Jawa.

Ketika kecilnya, entah kenapa, Hasyuda dipanggil Sangkura atau Sangkura Batu. Sama seperti kanak-kanak lain, Hasyuda sering mandi sungai kerana itu sering dimarahi ibunya. Jika dimarahi ibunya, dia mengadu pada atuknya, Pengiran Abbas Pengiran Hassan.Begitu sebaliknya, jika dimarahi datuknya, dia pulang semula ke rumah ibunya.Tapi seingatnya, dia hanya pernah sekali dipukul oleh ayahnya kerana kenakalannya.

Begitupun dia takut minum ubat. Menurut ibunya, kalau mahu meminum ubat, pipinya terpaksa dipicit untuk dibukakan mulutnya. Kisah-kisah masa kecil itu diceritakan ibunya sambil kami minum teh.


"Dulu pernah juga berlaku banjir tetapi tidaklah seteruk sekarang," kata Haji Usin. Beliau memberitahu perkara itu sudahpun sampai ke pengetahuan wakil rakyat tapi sehingga kini, masyarakat kampung masih menunggu lagi tindakan kerajaan selanjutnya.

Tidak lama kemudian kami sampai di rumah pakcik Mijat. Beberapa anak bermain dengan basikalnya. Sejurus kemudian pakcik Mijat turun mendapatkan kami.

Beliau segera menunjukkan kesan paras banjir di tiang rumahnya. Kesan banjir yang pernah berlaku. Tercatat 7. 2.2011. 
Banjir tahun lalu?
Itu banjir yang paling teruk, katanya sambil memberitahu sebenarnya baru beberapa hari lepas kawasan itu kering. 

"Ini baru dua tiga hari hujan berhenti, ada keringlah," katanya. Jadi dapatlah anak-anak main basikal, katanya. Jika hujan lebat  turun dua jam secara berterusan, kawasan itu pasti ditenggelami air.

Apabila sudah dinaiki air, ia mengambil masa seminggu lebih untuk surut semula, katanya. Keadaan ini sudah lama berlaku, sudah lebih 15 tahun, katanya.

Saya mengeluarkan buku catatan. Siapa nama penuh pakcik?
"Nama saya dalam I/C, Kajat bin wahab. Tapi nama betul saya Mijat bin Wahab," katanya. Beliau berusia 77 tahun.Dulu bekerja sebagai upas di estet Lumadan, dengan gaji 2.70 satu jam.

Sekarang tidak ada pendapatan lagi, katanya. Pokok rambutan habis mati mati. Pakcik Mijat menanam 43 pokok rambutan, tapi kini hanya tinggal satu pokok lagi. 

Katanya, dulu dia boleh mendapat RM2,000 hingga RM3,000 sebulan. Sekarang rambutan tidak pernah berbuah lagi. Pokok durian, yang ada di hadapan rumahnya juga hampir mati, dan tidak berbuah lagi akibat banjir yang selalu terjadi.

Menurut pakcik Mijat, Datuk Sapawi (Ahli Parlimen Sipitang) dan Datuk Kamarlin Haji Ombi (ADUN Lumadan) sudah memaklumi perkara itu.

Bagaimanapun sehingga kini, masyarakat kampung itu terus trauma kerana ancaman banjir yang menjejasakan hidup mereka.

Ayam habis mati, katanya kerana reban dinaik air. Jika hujan, mereka terpaksa mengalihkan kereta ke tempat yang lebih tinggi. Banyak kerugian lain yang dialami. Mereka pernah menerima bantuan, iaitu sekampit beras lima kilo, duit 50 ringgit dan beberapa tin ikan sadin. Selepas itu tak ada tindakan lain.

Apa cadangan pakcik?
"Buka parit supaya air jalan sama sungai perlu dikorek," katanya. Beliau meminta agar parit dibersihkan dan dibesarkan manakala Sungai Lumadan diperdalamkan. 

Banjir teruk itu sering berlaku sejak 15b tahun lalu akibat aktiviti perladangan seperti kelapa sawit tapi pakcik Mijat tidak pernah menyebutnya.

"Kalau hujan dua jam saja, kami sudah bingung," katanya.

Kalau hujan, air naik dari paras lutut hingga paras kepala," katanya. Pernah juga berlaku majlis perkahwinan terpaksa dipindahkan ke Dewan kerana kawasan rumah mereka dinaiki air.

Ada satu ketika, ngam-ngam pengantin datang, banjir berlaku menyebabkan banyak acara pada malamnya terpaksa dibatalkan.

"Pakcik selalu cakap-cakap, ndak kena peduli," katanya. Kalau banjir ada ikan juga pakcik? saya bertanya.
 Ada juga, kata Pakcik Mijat.Dia pernah pasang pukat.Dapat ikan karuk dan ikan keli. Ikan karuk adalah nama tempatan bagi ikan puyuh.

"Tapi walaupun sakit hati, saya undi kerajaan juga," katanya sambil mempelawa kami naik untuk menikmati sedikit minuman.

Dari rumah pakcik Mijat, HA membawa saya ke jambatan, melihat sungai Lumadan yang semakin kecil. Sungai ini tempat kami mandi manda dan berhanyut hanyut, kata Hasyuda.Beliau menunjukkan bekas ladang tempat kegiatan kesenian seperti bangsawan, sandiwara dan pertunjukan kugiran selalu diadakan. Hasyuda masih ingat nama pengurus ladang itu, Mr Robertson.

Kegiatan seni itu selalu dimeriahkan oleh guru-guru di SRK Lumadan dan pekerja-pekerja estet.Biasanya semasa hari gaji, persembahan seni dan pelbagai aktiviti diadakan di Estet Lumadan yang dulunya ditanami pokok getah. (kini Ladang Sawit Lumadan)

Hasyuda menunjukkan panggung tempatnya mula-mula membaca puisi di khalayak ramai ketika berusia sembilan tahun.Waktu itu hasyuda atau nama di kampungnya sangkura batu berada dalam darjah tiga.

Dalam perjalanan pulang itu, kami singgah di Masjid Raudah Kampung Lumadan yang agak sepi. Hanya seorang dua pemuda berada di masjid ketika kami tiba di sana. Kelihatan puluhan tangki 1Malaysia yang belum diagihkan kepada penerimanya.

Azan Zohor dikumandangkan seorang pemuda kampung.Kami cepat-cepat mengambil wuduk.Air paip mengalir agak perlahan. Keadaan tandasnya seperti tidak terurus. Khabarnya keadaan itu sudah beberapa kali ditegur oleh jabatan agama tapi penduduk agak kecewa kerana belum ada tindakan diambil oleh pihak jawatankuasa masjid.