Wednesday, January 16, 2013

Batang hari airnya tenang



BATANG HARI AIRNYA TENANG

KALAU bukan kerana sekeping pasport, saya tidak merasa berada di negeri asing.
Tapi hanya dengan pasport itulah, saya dapat berkunjung ke bumi yang dikenali sebagai Sepucuk Jambi Sembilan Lurah itu.
Sepucuk Jambi kerana wilayah itu memiliki sebuah gunung yang tinggi dan Sembilan lurah yang menjadikan bumi Jambi terkenal bukan saja kerana Sungai Batang Hari yang mengalir di dadanya tetapi juga kehidupan yang terus berdenyut di kalangan warganya.

Ketika mendarat di Bandara Sultan Thaha, -bandar atau Bandar udara- iaitu lapangan terbang satu-satunya di Jambi, anehnya saya teringat sebuah pantun.

“Seri Langkat Kuala Tungkal
Padi Pulut enak rasanya,
Kalau kail panjang sejengkal,
Jangan laut hendak diduga”.

Pantun ini  bukan saja menarik kerana bunyinya tetapi juga kerana makna yang dikandungnya. Kuala Tungkal adalah sebuah tempat yang terletak kira-kira tiga jam perjalanan dari Kota Jambi. Saya tidak sempat ke sana. Keadaan tidak mengizinkan, kata seorang rakan di sana.Bukan saja kerana tempatnya jauh tetapi kerana air Batang Hari juga melimpah. Selain itu, rakan saya juga agak jengkel kerana kereta sewa yang kami tempah sering pula merubah-rubah harganya.

Hasrat ke Kuala Tungkal terpaksalah ditunda. Tapi dalam pantun itu menyatakan, padi pulut enak rasanya. Jambi memang bergantung dengan tanaman pertanian. Sepanjang perjalanan dari Kota Jambi ke arah MuaraJambi, kira-kira 26 kilometer dari ibu kotanya, pemandangannya memang mengasyikkan. Saya tertarik dengan usaha-usaha yang dijalankan penduduknya. Saya melihat petani-petani kecil memasang tangkul untuk menangkap ikan sepat dan sebagainya.

Saya melihat masyarakat Melayu Jambi yang masih menjunjung tinggi nilai-nilai budi pekerti, bahasa dan budayanya yang kaya.Banyak perkara yang mengingatkan saya kepada kampung sendiri.Mendengar orang berbicara sesama mereka, saya merasa seolah-olah sedang berada di tengah rakan-rakan.

Perjalanan kami ke Jambi itu sebenarnya adalah untuk menyertai Pertemuan Penyair Nusantara ke-VI atau International Poet Gathering 6th yang diadakan di Hotel Shang Ratu, sebuah hotel yang terkemuka di propinsi itu.

Sepanjang berada di Jambi, kami telah bertemu dan berkenalan dengan penyair-penyair dari seluruh Indonesia, juga penyair dari Brunei, Singapura, Thailand, Korea, Perancis, tidak terkecuali dari negara Malaysia sendiri. Seramai 261 penyair menghadiri pertemuan bertaraf antarabangsa itu. Selain pembentangan makalah-makalah, peserta juga telah dibawa melawat ke Candi Muarajambi yang dikatakan didirikan antara abad ke 11 hingga 13. Ia terletak di atas kawasan seluas 12 kilometer dan dibangunkan di tepian Sungai Batanghari, yang dikatakan antara kompleks candi yang terbesar di kawasan Asia Tenggara. Ia juga dikatakan antara Kerajaan Melayu tertua di Dunia Melayu. Sehingga kini, kalangan sejarawan dan pakar arkeologi masih terus mengkaji dan meneliti mengenai kerajaan Melayu yang dikatakan wujud pada tahun 1025 M itu sehingga ia dikalahkan dua ratus kemudian oleh kerajaan Singosari.
Namun rangkap pantun yang seterusnya itu, masih terngiang-ngiang di telinga saya.Kalau kail panjang sejengkal, jangan laut hendak diduga. Maksud pantun itu dapatlah kita fahami dengan mudah tetapi saya tersenyum memikirkan bahawa bukan saja kami tidak memiliki `kail panjang sejengkal’ malah kami tidak membawa kail sama sekali. Sementara itu pula, kami hanya ingin melihat sungai Batang hari.

Seorang teman mengatakan kalau kami terminum air sungai Batang Hari, kami pasti akan kembali semula ke Jambi. Saya sengaja mengamati sungai yang terpanjang di Sumatera itu ketika kami melintasi jambatan dan mencari-cari misteri yang mengalir bersamanya. Saya membayangkan betapa kapal-kapal saudagar, kapal kapal dagang dari seantero dunia mudik di sungai batang hari.Sudah tentu sungai itu pernah dimudiki oleh pelaut, utusan kerajaan, pahlawan bahkan mungkin oleh nenek moyang kami di Borneo sana.

Ketika berfikir-fikir itu, saya terkenang betapa baik dan ramahnya, betapa indah dan mulia budi pekerti orang-orang yang melayan kami sepanjang berada di Jambi. Namun seorang rakan cepat-cepat berpantun” Batanghari airnya tenang;Sungguhpun tenang deras ke tepi;Anak jambi jangan dikenang;Kalau dikenang merosak hati”.

Namun saya yakin  mengenang budi baik orang pasti tidak  merosak hati.

No comments: