Saturday, January 19, 2013

Cara Korea `menakluk' kita



CARA KOREA `MENAKLUK’ KITA

DI sepanjang deretan kedai itu terlihat tulisan Korea. Banyak kedai yang menjual barangan Korea. Restoran makanan Korea dan banyak lagi yang berbau Korea. Kami juga berjumpa dengan pelajar-pelajar Korea. Malah saya sempat terbaca iklan-iklan yang ditampal di tiang-tiang dan dinding blok yang menawarkan perkhidmatan kepada orang-orang Korea.

Apakah kami tersesat jalan? Saya melihat di seberang jalan dan ternampak pejabat suratkhabar The Korean Sunday Times di tingkat 2 bangunan itu. Saya mengajak rakan-rakan untuk merakamkan gambar kenangan berlatarbelakangkan suasana Korea.

Sebelum terlanjur menyangka kami berada di Seoul atau di Hankuk, di Pusan atau Pyongyang, Taegu atau Kimpo, lebih baik saya beritahu lebih awal bahawa kami bukan berada di Korea, sebaliknya kami berada di Ampang, sebuah Bandar yang terletak benar-benar di antara sempadan Kuala Lumpur dan Selangor.

Bagi seseorang yang baru saja membaca buku Catatan Perang Korea oleh Mochtar Lubis yang pernah membuat liputan Perang Korea pada dekad awal tahun 1950-an, fikiran saya masih melekat pada puing-puing bekas runtuhan bangunan yang terbakar akibat perang antara dua Korea itu. Melalui buku itu, terngiang-ngiang di telinga saya desing peluru dan bunyi pesawat perang. Anak-anak yang berbaju koyak dan kotor, ibu-ibu dan orang tua yang kelaparan mencari  makanan dan banyak lagi bayangan buruk yang melintas dalam fikiran saya ketika selesai membaca buku catatan perang itu dengan asyiknya. Kata wartawan dan sasterawan terkemuka itu, `perang menghasilkan kesedihan, bencana, duka, air mata dan lain-lain. Perang adalah keruntuhan perikemanusiaan dan tentulah sesuatu yang memilukan.

Pecahnya Korea menjadi utara dan selatan adalah satu isu besar yang sampai sekarang masih menjadi persoalan yang belum selesai lagi. Dua Korea itu masih bertelingkah, meski tidak lagi berperang seperti dulu. Kita melihat betapa dua negara itu tumbuh berbeza. Pada dasawarsa 90-an, Korea Selatan menjadi salah satu negara Harimau Asia manakala Korea Utara masih menutup dirinya. Bagaimanapun, kedua-dua Korea itu sama-sama layak dalam final Piala Dunia yang diadakan di Afrika Selatan pada 2010.

Perang Korea sudah lama berlalu. Tiba-tiba saya terfikir betapa Korea melancarkan `perang’ yang lain terhadap kita dan mereka telahpun berjaya menakluki kita.

Kita dikejutkan bagaimana industri budaya pop berubah kiblatnya dari Amerika ke Seoul dengan kejayaan Korea mempopularkan `Gangnam Style’. Seluruh dunia mengarah ke Seoul hanya kerana tarian `gangnam style ’ itu.  Puluhan juta  orang telah menontonnya melalui Youtube, dan menjadi satu fenomena di seluruh dunia.

Seorang penulis, Yudhistira ANM Massardi dalam satu tulisannya di majalah Gatra pernah menulis betapa kita sudah menjadi korban dengan apa yang disebutnya Virus-K (Kimchi). Terlalu banyak orang korea yang `hadir’ di rumah kita, katanya dan ternyata mereka pandai menyanyi, menari dan berlakon.

Virus-K (Kimchi) masuk melalui drama bersiri di tv, masuk melalui muzik dan videoklip K-Pop, juga melalui perkakas TV, AC, telefon seluler, sudu dan sebagainya. Bayangkan bagaimana Korea Selatan yang pernah diduduki Jepun pada 1905-1945 bangkit maju sebagai sebuah negara yang menguasai dunia kerana teknologinya.

Siapa yang tidak tahu Samsung Electronics dengan teknologi Android nya yang telah menjadi perusahaan elektronik terbesar di dunia. Bukan itu saja, Korea Selatan menaklukan dunia secara damai melalui cita rasa makanan Korea di restoran-restoran Korea yang terdapat di seluruh dunia.

Kini Korea Selatan menjadi negara pengeksport kelapan terbesar di dunia. Bukan saja dalam bidang internet berkecepatan tinggi, semikonduktor , telefon genggam dan sebagainya malah negara itu juga unggul dalam pembuatan kapal, pengeluaran tayar, automotif dan lain-lain lagi. Korea Selatan yang bakal dipimpin Presiden baru, Park Geun-hye, seorang wanita mulai Februari nanti dijangka terus memenangi `perang’ melalui pelbagai inovasinya dalam segala bidang.

Sambil mengambil gambar berlatarkan pejabat The Korean Sunday Times yang terletak di Ampang itu, saya terfikir betapa negara yang pernah hancur lebur kerana perang itu kini menggoyangkan dunia dengan tarian gaya gangnamnya.Korea menakluk kita dengan budaya pop dan teknologi dan inovasi dan sebagainya dan sebagainya. Apakah kita pernah memikirkan dan mempelajarinya?


No comments: