Wednesday, January 2, 2013

Catatan 27 Disember 2012 Terminal 3-Pejaten Mall-warung di Mangga Besar-Kedai Lentera No 10 Jalan Sawo Manila



Ketika sedang tercari-cari Pak Deni di antara orang-orang yang menunggu di terminal 3 itu, saya sempat membeli sim dan pulsa indosat untuk memudahkan perhubungan sepanjang berada di Jakarta dan  Jambi.
Saya menekan nombor yang diberikan dan kemudian ternampak seorang lelaki berkaca mata, berbaju batik cuba menyambut panggilan itu.
Dengan cara itulah saya mengenali Pak Deni, yang pertama kali saya temui.Di ruang facebook, beliau kelihatan seorang pencinta dunia Melayu. Dia orang Sunda. Kini sedang mengikuti pengajian S2 di salah sebuah universiti di Jakarta tetapi kecintaannya terhadap sejarah, bahasa dan budaya layak diberi pujian.
Sehari sebelumnya dia bertanya bila saya akan ke Jakarta. Sebelum ini, Pak Deni telah menjanjikan untuk memberikan saya sebuah buku lama mengenai Pak Natsir, seorang tokoh terkemuka dalam dunia Islam.Mantan Perdana Menteri Indonesia yang sederhana dan bersahaja dalam hidupnya. Seorang pejuang, seorang pemimpin yang aneh sekali saya kenali melalui kisah dalam sebuah buku yang mengatakan beliau memakai jas yang bertampal ketika menjawat jawatan Perdana Menteri Indonesia.
Bersama Pak Deni, ada mbak Dewi, seorang yang mencintai sastera dan menulis dalam majalah.Beliau juga sedang menuntut S2 dalam pengajian bahasa Inggeris, satu universiti dengan pak Deni. Selain itu, ada Ratu, gadis kecil yang pintar.
Sejam sebelum itu, Pak Deni menyambut ketibaan Dr.Phaosan Jehwae dari Universiti Islam Yala,Thailand  yang menaiki pesawat KLM dari Kuala Lumpur. Kami pula menaiki pesawat Air Asia dari Kota Kinabalu dan tiba jam 8.25 malam Waktu Indonesia Barat (WIB).Kami singgah di Jakata dalam  perjalanan menghadiri Pertemuan Penyair Nusantara ke 6 atau International Poet Gathering di Jambi.
Banyak juga topik yang kami bicarakan sepanjang perjalanan ke Pejaten,Jakarta Selatan. Mereka menghantar saya ke sana kerana saya telah berjanji untuk bertemu dengan Sadat Abdul Latif dan Arafat Abdul Kadir di Pejaten Mall.
Percakapan kami berkisar sekitar dunia Melayu, mengenai cucu pendiri Muhammadiyah, KH Ahmad Dahlan yang kini menjadi pensyarah di Chulalangkorn Universiti di Bangkok. Menurut ceritanya, anak Kyai Ahmad Dahlan berkahwin dengan gadis Thailand ketika menuntut di Pakistan dan tidak lagi pulang ke Indonesia.
Dalam percakapan kami itu juga, timbul minat untuk berkunjung ke perkampungan Suku Baduy Dalam di Banten.
Tidak lama kemudian kami tiba di Pejaten Mall. Kebanyakan kedai di dalamnya sudah gelap tetapi saya telah berjanji untuk bertemu Sadat dan Arafat kira-kira jam 10.00 malam. Kami terlewat kira-kira 8 minit kerana sukarnya mencari tempat itu.
Saya beritahu Mabul bahawa kami akan bertemu dengan Orang Mesir dan Orang Palestin dan bertanya apakah dia fasih bertutur dalam bahasa Inggeris kerana tentu kami tidak boleh berbahasa Arab.

Setelah berjumpa kami berpelukan. Inilah pertemuan kami yang kedua selepas kali pertama bertemu April lalu. Sadat berasal dari Kalawi, Marawi City manakala Arafat juga dari Marawi City. Mereka sedang menuntut di sebuah Maahad di Jakarta, iaitu cawangan sebuah universiti di Timur Tengah.Terdapat hampir 30 orang dari Mindanao yang belajar di maahad itu.

Selepas itu kami mencari warung makan. Perut terasa lapar. Sambil makan itu, kami bercerita banyak mengenai kesenian, puisi dan budaya Iranun.

Mabul sempat menghuraikan beberapa bayuk Iranun mengenai persaudaraan, jati diri bangsa dan semangat kesatuan bangsa. Anak-anak muda dari Mindanao itu seronok mendengar bayuk beserta huraiannya itu dan menyifatkan Mabul sebagai `miakatatas’, yang membawa maksud fasih dalam topic yang mereka bincangkan.
Sadat dan Arafat merasa gembira dan seronok dengan cerita-cerita mengenai bahasa dan budaya Iranun. Mereka adalah Iranaon dari Ranao.
Dari warung di tepi jalan Mangga Besar itu, kami naik teksi ke Jalan Sawo Manila, Jatipadang. Tujuan ialah Kedai Lentera. Di sana, Tengku Dhani Iqbal, Ketua Perkumpulan Lentera Timur telah menunggu.
Waktu menunjukkan dekat jam 12.00. Sebaik kami tiba, dan dijamu minum kopi Lombok, kami terlibat dalam percakapan yang mengasyikkan. Topik yang merangkumi mengenai budaya, sejarah, bahasa dalam dunia Melayu. Persamaan-persamaan yang dimiliki, antara masyarakat dari seluruh pelosok dunia Melayu. Tengku Dhani menegeskan bahasa terjemahan bagi The Malay Archipelago ialah kepulauan Melayu dan bukanlah Nusantara.Baginya perkataan Nusantara itu tidak membawa maksiud yang tepat untuk menterjemahkan atau menggambarkan mengenai dunia Melayu.

Selain itu, percakapan itu menyentuh mengenai seni bina rumah panggung, di Sumbawa yang mempunyai 99 tiang, sama dengan Asmaul Husna. Bahasa-bahasa dan dialek yang terdapat dari satu tempat ke satu tempat.
Kami sempat juga memberitahu dan menjelaskan mengenai perkataan lanun yang dipelesetkan dari perkataan Iranun, kerana suku bangsa Iranun adalah bangsa yang sering berjuang menentang penjajah yang menceroboh kepulauan Melayu pada abad ke 16 hingga 18. Saya menyebut mengenai bagaimana Sultan Mahmud III mengutus Encik Talib ke Tempasuk semata-mata untuk meminta bantuan untuk menghalau Belanda di Tanjung Pinang seperti yang tercatat dalam Tuhfat Alnahfis. Menurut dokumen British, perang itu terjadi pada Mei 1787. Ketika itu Belanda kalah. Kerana khuatir akan kemungkinan diserang semula, Sultan Mahmud memutuskan untuk meminda pusat pentadbirannya di Lingga.
“Jadi pada malam ini, ada dua lanun menginap di tempat Tengku ini”. Kami semua tertawa dan menghimbau semula sejarah silam. Perbincangan berlarut-larut dari satu topik ke satu topik. Sehinggalah kami tersedar, waktu sudah hampir pagi apabila terdengar orang-orang bertarhim dari masjid, tidak jauh dari sana.

No comments: