Thursday, January 31, 2013

Catatan perjalanan ke Batu Gadung

Hari Isnin itu, kami pulang kampung.
Beberapa hari sebelumnya, saya sudah berjanji dengan Asam untuk melihat Tanah Perkuburan Batu Gadung. Menurut cerita makin teruk keadaannya. Banyak kuburan terpaksa dipindahkan. Banyak pula yang rosak. Gabian yang dibuat untuk menghadang ombak tidak berkesan malah hakisan ombak itu telahpun sampai ke jalan raya.
Kami sampai di Kota Belud menjelang tengahari. Singgah sebentar membeli kuih di jalan bypass sebelum membelok melalui jalan kampung Kotabungan.Saya fikir jalan dari Jawi-Jawi ke Kotabungan itu perlu diaspal untuk memudahkan perjalanan.
Sesampainya di rumah, Ina' sedang sibuk membuat gula tebu.Kalau dulu proses membuat gula tebu ini agak sukar juga kerana terpaksa menggunakan kerbau, kini prosesnya lebih mudah lagi kerana hanya menggunakan mesin pengisar tebu.Gula tebu yang dihasilkan itu kemudian dijual di tamu atau di kedai. Permintaannya tinggi kerana ia biasanya digunakan untuk membuat kuih muih seperti wajit dan sebagainya. Jika makan ubi rebus, cecah gula tebu, tentu sangat menyelerakan. Tapi sekarang tidak ramai lagi yang membuatnya. Jika tak ada generasi muda yang meneruskannya, sudah pastilah sebahagian lagi keahlian masyarakat Iranun akan pupus. Wajit atau kuih penjaram yang dihasilkan satu masa kelak akan berbeza ramuan dan resepinya.
Sebenarnya banyak kepakaran yang dimiliki masyarakat Iranun hampir pupus. Kepandaian membuat garam, misalnya, boleh dikategorikan sudahpun hilang. Kepakaran membuat simen, yang dipanggil rabur,jauh sebelum adanya simen, juga telah lama dilupakan.Begitu juga kepandaian meramu minyak wangi, yang menurut orang-orang tua, harumannya boleh bertahan hingga tiga bulan lamanya. Semua ini sudah tiada.
Sekarang Kuburan Batu Gadung juga semakin terancam dan kemungkinan lenyap oleh hakisan ombak jika tidak ada usaha untuk menyelamatkannya.
Kuburan Batu Gadung bukan saja terkenal kerana legenda batu gadung, kuburan seorang aulia yang dikatakan boleh berpindah-pindah, tetapi juga kerana kuburan itu adalah antara kuburan tertua masyarakat Iranun di Kota Belud.
Kebanyakan nenek moyang orang Iranun dikuburkan di Batu Gadung. Beratus ratus tahun lamanya. Oleh sebab itu, kuburan Batu gadung mempunyai ikatan batin dengan masyarakat itu. Kalau dahulu, setiap tibanya hari lebaran, masyarakat Iranun dari beberapa buah kampung berdekatan akan bertumpu di kuburan batu gadung untuk menziarahi kuburan nenek moyang mereka.
Kuburan Batu Gadung itu masih digunakan sehingga sekarang. Tetapi apabila beberapa kubur lama dihanyutkan dan tebingan runtuh, masyarakat kampung merasa cemas. Air sungai yang dulunya mengalir ke laut di kuala pantai emas, kini bertukar muaranya di Batu Gadung.
Matahari tegak di atas kepala ketika kami memasuki kawasan kuburan itu. Kami melihat gabian yang dibuat tidak dapat menahan kuatnya hempasan ombak terutamanya ketika ribut barat bertiup kencang. Kami juga melihat tiga orang sedang memancing sambil duduk di atas batu-batu yang dilonggok untuk menghalang ombak. Tayar-tayar dan karung pasir yang dibina untuk menghalang ombak memecah tebing juga tidak dapat menghalang hakisan berlaku. Beberapa makam pecah dan terpaksa dipindahkan ke tempat lain.
Kami menyaksikan pohonan tidak berdaun.Di atas perkuburan itu, tempat persinggahan sebelum ke alam yang lebih kekal itu, saya merasakaan betapa sementaranya hidup manusia.

Sebenarnya banyak perubahan berlaku di kampung kami. Rumah-rumah yang dulu tak ada kini berdiri  tanpa kita tahu siapa penghuninya, berasal dari mana. Jalan yang dulunya hanya laluan pejalan kaki kini telah diaspal hingga ke kawasan kuburan. Bahkan, orang kampung mengatakan tempat itu menjadi lokasi lumba haram setiap malam sabtu atau minggu.

Masalah perkuburan Batu Gadung itu telah mendapat perhatian banyak pihak.Termasuk wakil rakyat Tempasuk, Datuk Musbah Haji Jamli malah Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia telah berziarah ke kuburan itu untuk melihat sendiri keadaan kuburan batu gadung yang dilaporkan bertambah teruk itu.

Salah satu yang boleh dilakukan ialah membina benteng pemecah ombak, kata Asam. Isu mengenai hakisan ini juga berlaku di Pengerang Johor dan Selangor. Asam atau nama sebenarnya Abd.Nazir Maning pernah bertugas di Semenanjung dan juga sering mengikuti perkembangan semasa.

Bagi Dabalun Balau, antara kaedah terbaik ialah penanaman bakau. Pokok-pokok bakau ditanam untuk mengelakkan hakisan yang lebih besar.Menurutnya, beberapa pihak seperti OISCA boleh dirujuk untuk meminta khidmat nasihat dan kepakaran.

Satu lagi ialah mengembalikan kawasan itu kepada keadaan yang asal, yakni menimbus muara untuk menghalang air laut keluar masuk di Batu gadung sebaliknya membiarkannya mengalir sepenuhnya melalui kuala Pantai Emas seperti dulu.

Masalah Batu gadung sebenarnya berkait juga dengan masalah penutupan beberapa laluan sungai di sebelah hulu. Laluan Sungai Linau misalnya terpaksa ditutup untuk mengelakkan banjir begitu kawasan lain. Ini menyebabkan sistem ekologi terganggu.Warna air sungai bertukar, banyak sungai akan mati dan kehidupan orang kampung terjejas kerana mereka tidak dapat lagi mencari siput atau lokan dan sebagainya kerana sungai mengering dan sebagainya. Inilah salah satu akibat paling fatal lepada penduduk kampung juga secara tidak langsung kepada kuburan Batu gadung.

Tiada sesiapa yang dapat menduga tinggi besarnya gelombang yang menghempas pantai Tamau tetapi manusia dibekalkan akal fikiran untuk berikhtiar mencari solusi kepada pemecahan masalah itu.

Membina pemecah ombak patut difikirkan, walaupun kosnya mungkin tinggi. Selain untuk menghalang ombak, ia juga boleh digunakan sebagai tarikan untuk pemancing ikan atau sebiah destinasi pelancongan yang menarik.

Sesuatu perlu difikirkan bersama, bukan asyik menyalahkan antara sesama sebaliknya ia perlu dipikul bersama.Bersama-sama.


No comments: