Saturday, January 19, 2013

Haji Khairan, Berani nyatakan yang benar



HAJI KHAIRAN, BERANI NYATAKAN YANG BENAR

NAMA Haji Khairan Untoh bukan saja dikenali sebagai Pengarah SIRIM Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan tetapi juga sebagai Pengerusi Yayasan Amal Malaysia (AMAL Malaysia) Negeri Sabah. Amal Malaysia adalah sebuah organisasi bantuan dan khidmat sukarela yang terkenal bukan saja di negara ini bahkan ke peringkat antarabangsa. Beliau adalah seorang tokoh yang banyak terlibat dalam gerakan dakwah dan pernah menghadiri pelbagai konvensyen antarabangsa di Istanbul Turki, Dubai dan Manila.

Haji Khairan Untoh lahir di Kampung Payas-Payas Kota Belud pada 24 Februari 1958. Anak ketiga daripada tujuh adik beradik ini mendapat pendidikan rendah di SRK Timbang Dayang 1969-1971 sebelum meneruskan pendidikan menengahnya di SMK Arshad Kota Belud hingga Tingkatan Tiga (1972-1975)

“Saya tidak masuk tingkatan empat.Ngam-ngam ayah meninggal.Kita bukan orang kaya.Tiada yang menanggung belanja persekolahan,” katanya.

Berbekal keputusan Sijil Rendah Pelajaran Gred C, Haji Khairan mengikuti latihan di Hospital Tawau. Pada tahun 1981, beliau mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) sebagai calon persendirian.Sambil bekerja di Hospital,beliau mengikuti kuliah secara separuh masa di Institut Teknologi Mara (ITM) kini UiTM dalam jurusan Pentadbiran Awam.

Selepas itu, beliau bertugas pula di SIRIM sebagai pegawai kerani. Tidak lama kemudian, beliau bertukar ke Kuala Lumpur dan kesempatan itu digunakannya untuk melanjutkan pelajaran dalam Pengajian Perniagaan di UiTM, dan merupakan salah seorang dari kumpulan pertama yang mengikuti pengajian itu ketika diperkenalkan di universiti itu.

Kemudian Haji Khairan dilantik sebagai Pegawai Tadbir di Sirim pada tahun 1986. Apabila Sirim dikorporatkan pada 1996, beliau dilantik sebagai Pengurus Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia. Beliau berpindah ke Sabah pada tahun 2000. Beliau kemudian dilantik sebagai Pengurus Kanan selama tiga tahun sebelum dinaikkan sebagai Pengurus Besar Sirim dan kini beliau dilantik sebagai Pengarah Sirim Sabah sejak April 2011.

Dalam kegiatan kemasyarakatan, beliau adalah Pengerusi Yayasan Amal Malaysia Cawangan Sabah. Beliau juga adalah ahli IFRAD (International Federation for Relief and Development). Di peringkat kepimpinan Yayasan Amal Malaysia, beliau  adalah Ahli Jawatankuasa, Pusat Dakwah Serantau  selain menjadi Pengerusi Penyelidikan dan Pembangunan

Selain itu, beliau adalah Ahli Jawatankuasa Masjid Negeri, Pengerusi Lembaga Madrasah Islamiah Sabah.  Selain menguasai bahasa Melayu, Haji Khairan juga boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, Cina dan Arab.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat bersembang-sembang dengan Haji Khairan Untoh di salah sebuah restoran di Jalan Gaya, baru-baru ini bagi mengetahui serba sedikit mengenai beliau, pengalamannya di SIRIM,penglibatannya dalam Yayasan Amal Malaysia dan pandangannya mengenai pelbagai isu membabitkan masyarakat kini.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan haji?

HAJI KHAIRAN:         Saya lahir di Kampung Payas-Payas pada tahun 1958. 24 Februari. Kampung Payas-Payas adalah sebuah perkampungan masyarakat Iranun. Kebanyakan penduduknya hidup dengan hasil-hasil pertanian. Saya mendapat pendidikan rendah di SK Timbang Dayang sebelum meneruskan pelajaran menengah di SMK Arshad Kota Belud hingga Tingkatan 3. Bagaimanapun saya tidak masuk tingkatan empat. Ngam-ngam ayah meninggal. Kita  bukan orang kaya.Tiada yang menanggung belanja persekolahan.

UB:       Selepas itu, tuan haji ke mana?
HK:       Dengan berbekalkan keputusan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) Gred C, saya mengikuti latihan di Hospital Tawau selama dua tahun. Ketika latihan itu saya bertemu jodoh orang Lahad Datu. Umur saya ketika itu 21 tahun. Kemudian saya bertugas di Hospital Tawau.

UB:       Kemudian, apa yang berlaku selepas itu?
HK:       Saya fikir tidak boleh jadi. Dengan kelulusan hanya SRP (sekarang PMR). Saya berusaha untuk memperbaiki diri. Pada tahun 1981, saya mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), satu kali, terus lulus. Saya mendapat empat kepujian termasuk Bahasa Melayu lulus cemerlang. Kemudian saya berpindah ke Kota Kinabalu. Ambil diploma Pentadbiran Awam di ITM Sabah (Kini UiTM Kampus Sabah) pada tahun 1982. Pada tahun itu juga, lahir anak saya yang pertama.

UB:       Ketika itu dimana tuan haji mengikuti kuliah?
HK:       Saya mengikuti kuliah di kampus ITM di Sembulan secara separuh masa. Kadang-kadang kuliahnya di kampus Menggatal. Selepas mendapat diploma dalam Pentadbiran Awam, isteri saya melanjutkan pelajaran di Melaka di peringkat diploma kejururawatan. Ketika itu, saya bertugas di SIRIM sebagai pegawai kerani. Saya ikut bertukar ke KL dan kemudian mengambil peluang untuk mengikuti pengajian dalam bidang perniagaan di ITM Shah Alam. Selepas mendapat ijazah dalam bidang perniagaan, saya diberi pilihan sama ada mahu dilantik sebagai pegawai tadbir atau penyelidik. Saya memilih menjadi pegawai tadbir.Lagi pula latar belakang saya bukan dalam bidang teknikal. Saya bertugas di Kuala Lumpur dari tahun 1986 hingga tahun 2000.

UB:       Apa fungsi SIRIM?
HK:       SIRIM atau Institut Penyelidikan Piawaian dan Perindustrian Malaysia adalah syarikat milik kerajaan di bawah Kementerian Kewangan. Sirim Berhad bertindak sebagai organisasi standarisasi dan kualiti negara. SIRIM juga merupakan pelopor dalam menjalankan penyelidikan dan pembangunan industri serta mempromosikan kedinamikan negara melalui kecemerlangan penggunaan teknologi dan penerimaan produk dan perkhidmatan Malaysia di peringkat antarabangsa.
Apabila Sirim dikorporatkan pada tahun 1996, saya dilantik sebagai Pengurus Perancangan dan Pembangunan Sumber Manusia. Saya juga melalui pelbagai pengalaman dalam berbagai bidang seperti standardisasi, akreditasi dan sebagainya.
UB:       Selepas itu, bila tuan haji pindah ke Sabah?
HK:       Pada tahun 2000, saya minta tukar ke Sabah.Mula-mula pihak pengurusan tidak beri kelulusan. Tapi saya bagi alasan, saya perlu bertukar ke Sabah kerana orang tua saya, tiada orang yang dapat menjaganya. Akhirnya saya dapat bertukar ke Sabah. Ketika itu, pejabat Sirim belum siap lagi. Pejabat itu siap pada tahun 2002. Saya dilantik sebagai Pengurus kanan selama tiga tahun sebelum dilantik sebagai Pengurus Besar Sirim Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan.Selepas tiga tahun kemudian, saya dilantik sebagai Pengarah Sirim Sabah & Wilayah Persekutuan Labuan pada April 2011.
UB:       Tentu banyak pengalaman di Sirim. Selain Sirim, khabarnya tuan haji aktif dalam Yayasan Amal Malaysia. Boleh cerita?
HK: Yayasan Amal Malaysia (Amal Malaysia) merupakan sebuah Badan Bukan kerajaan (NGO) Islam yang berdaftar secara sah dan ditubuhkan pada 30 Mei 2001. Ia merupakan sebuah Ngo yang berkhidmat untuk kemanusiaan dan beramal kerana Allah dan bergerak ke seluruh pelusuk negara dan dunia bagi menabur bakti kepada umat manusia yang ditimpa musibah.
UB:       Boleh tuan haji beritahu, apa antara program yang dilaksanakan oleh Amal Malaysia di Sabah?
HK:       Kita banyak mengadakan program di seluruh negeri. Antara aktiviti yang dijalankan oleh Amal Malaysia antaranya ialah membaiki   masjid di Kampung Luanti Ranau. Malah sebelum kampung itu terkenal sebagai sebuah destinasi pelancongan. Program membaiki  Masjid Al-Amal itu dilaksanakan dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM). Saya masih ingat bersama mantan Pengarah Jakim Sabah, Haji Paimuzi Yahya, kami tidur tidur  di Luanti.
UB:       Ada program lain?
HK:       Selain itu, kita menjalankan projek di Pitas. Projek kemasyarakatan. Kita masuk kampung bawa doktor perubatan, buat rawatan percuma, di Kudat, Banggi, Keningau, Sandakan.Kita buat program di Kota Belud dan sebagainya. Selain itu kita juga adakan program berkhatan.Tiap-tiap hari raya Qurban, kita adakan majlis qurban. Pada hari raya, baru-baru ini, kita agih-agihkan kira-kira 20 ekor sapi, 20 kambing untuk diqurbankan dan diagih-agihkan hampir ke seluruh Sabah.
Kita juga membuat program untuk menyalurkan air gravity di Sook.Penduduk kampung di sana merasa amat gembira kerana tempat itu sendiri belum dikunjungi wakil rakyat.
UB:       Apakah Amal Malaysia ini mempunyai ahli atau cawangan di setiap daerah?
HK:       Di setiap daerah, kita lantik kordinator kordinator yang akan menyelenggara program-program yang kita adakan.
UB:       Bagaimana sambutan orang ramai terhadap program Amal Malaysia?
HK:       Masyarakat memberikan sambutan yang amat menggalakkan. Tujuan kita semata-mata beramal kerana Allah dan berkhidmat untuk kemanusiaaan. Walaupun ada juga orang yang salah tafsir dan menganggap kita berpolitik tapi sebenarnya tidak. Saya sendiri bukan orang politik dan tidak minat politik. Kita bergerak semata-mata untuk kebajikan dan kesejahteraan masyarakat yang memerlukan perhatian. Di setiap kampung yang kita kunjungi, kita juga anjurkan program-program berbentuk riadah, sukan dan sebagainya. Kalau tiba waktu sembahyang, kita berhenti dahulu untuk solat. Masa sembahyang kita sembahyang.Kita lebih kepada dakwah bil hal.
UB:       Sebagai seorang yang banyak terlibat dalam kegiatan-kegiatan kemasyarakatan, bagaimana tuan haji melihat masyarakat kita hari ini?
HK:       Saya bukan orang politik.Saya juga tidak minat politik.Tapi ini tidak bermakna kita tidak peduli bangsa atau masyarakat kita. Kita lihat generasi muda kita, generasi Iranun contohnya.Adakah begini-begini saja.Kita tengok kampung kita, kemudian kita lihat kampung orang lain, banyak bezanya. Saya melihat dari aspek pendidikan masyarakat kita juga perlu ditingkatkan.
 Saya fikir kita perlu mengadakan wacana pelan strategik bagaimana memajukan masyarakat kita. Kita bandingkan dengan bangsa lain atau masyarakat lain.Penyertaan masyarakat kita dalam pelbagai bidang perlu ditingkatkan.Selain itu, saya juga melihat betapa pendidikan agama perlu diutamakan di kalangan masyarakat. Ini perlu supaya masyarakat kita terkeluar dari amalan syirik dan khurafat. Saya melihat sekolah-sekolah agama juga perlu diperbanyakkan.
UB:       Apa lagi yang tuan haji rasakan perlu?
HK:       Kita perlu mengadakan pelan strategik untuk meningkatkan ekonomi, misalnya apa industri yang sesuai untuk masyarakat kita. Melalui SIRIM umpamanya, kita berusaha memartabatkan produk belacan di Pintasan, gula tebu di kampung Tamau, dan sebagainya. Banyak lagi yang kita boleh buat.Misalnya industri inap desa dan sebagainya. Ini sekadar contoh.
UB:       Bagaimana kita tahu kehendak dan keperluan masyarakat kita?
HK:       Saya fikir kita perlu juga membuat satu database atau pangkalan data, mengenai masyarakat kita dari segala aspek. Kita mesti ada data berapa dari masyarakat kita yang memiliki pelajaran tinggi, PhD, peguam,arkitek, jurutera, berapa orang yang jadi pendidik, tahap pendidikan, berapa yang bergantung kepada pertanian, berapa nelayan, berapa kakitangan kerajaan, swasta dan sebagainya.Saya melihat usaha pengumpulan data ini perlu dilaksanakan.
UB:       Mungkin ada lagi yang salah tafsir nanti
HK:       Banyak lagi yang perlu kita lakukan. Kita bukan ada kepentingan.Yang penting apa yang kita nyatakan itu perkara yang benar.Kita mahu menaikkan masyarakat kita standing dengan masyarakat lain. Katakan yang benar walaupun pahit. Jangan ada kebencian kepada pihak tertentu atau individu tertentu. Masyarakat kita kena matang.Kita jangan kutuk mengutuk antara satu sama lain hanya kerana berbeza pandangan dalam sesuatu.
UB:       Oh ya, ketika menyertai konvensyen antarabangsa beberapa tempat seperti Istanbul, Dubai, Manila yang pernah tuan haji hadiri itu, apa antara perkara yang ditimbulkan?
HK:       Antaranya mengenai isu kanak-kanak jalanan dan pelbagai topik lagi yang berkaitan.
UB:       Terima kasih tuan haji kerana dalam sudi memberi masa untuk bersembang-sembang secara santai.Kebetulan konsep ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo adalah agak santai.Mungkin lain kali, jika ada masa kita boleh bersembang lagi.
HK:       Terima kasih.

No comments: