Wednesday, January 16, 2013

Jika kita mampu berfikir, fikirkanlah yang baik





JIKA KITA MAMPU BERFIKIR,FIKIRKANLAH YANG BAIK
Berkenalan dengan CEO PBNS, Haji Baharuddin Ab Wahid

KEJAYAAN Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) mendapat pengiktirafan empat bintang dalam Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara dan beberapa kejayaan yang dicapai oleh perbadanan itu tidak terlepas daripada peranan dan kepakaran yang dimiliki oleh Ketua Pegawai Eksekutif PBNS, Haji Baharuddin Ab.Wahid. Beliau berjaya mengemudi PBNS sehingga perbadanan itu semakin dikenali dan mendapat kepercayaan di kalangan masyarakat di negeri ini.

Haji Baharuddin Ab Wahid dilahirkan di Semporna pada tahun 1954. Beliau mendapat pendidikan rendah di SRK Bubul Semporna dari darjah satu hingga enam sebelum melanjutkan pendidikan menengah di GSS Semporna hingga tingkatan tiga. Beliau kemudian meneruskan pelajaran di SMK St Patrick Tawau hingga lulus MCE. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi di YS-ITM Sabah dan ITM Shah Alam. Selepas itu, beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk mengikuti pengajian di Southern Illinois University (SIU) sehingga mendapat ijazah sarjana muda dalam bidang pemasaran dan ijazah sarjana dalam pengajian perniagaan.

Beliau pernah bekerja selama 28 tahun dalam industri perbankan dan pengurusan kewangan sejak 1983. Selain mahir dalam bidang kewangan, Haji Baharuddin juga mahir dalam bidang keibubapaan. Haji Baharuddin  juga pernah mengajar di UiTM Sabah sebagai pensyarah sambilan selama lapan tahun 1995-2003.

Sejak 2000, beliau menumpukan perhatian terhadap amalan tadbir urus korporat dimana beliau mengelolakan seminar bersama syarikat GLC dan syarikat swasta. Beliau telah melatih lebih 1,000 pengarah syarikat dan syarikat berhad di Sabah. pada tahun 2005, beliau diberi kepercayaan untuk menyusun semula Baitulmal Negeri Sabah yang kini dikenali sebagai Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, ringkasnya PBNS.

Selepas tiga tahun, PBNS mencapai taraf empat bintang dalam Indeks Akauntabiliti oleh Jabatan Audit Negara Malaysia.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual HAJI BAHARUDDIN AB WAHID  untuk berkongsi pengalaman dengan tokoh tadbir urus korporat yang tidak asing lagi negeri ini. Berikut petikan temubual bersama beliau yang diadakan pada satu petang di pejabatnya di Inanam Khamis lepas.


UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit kisah sewaktu masih bersekolah dahulu?
HAJI BAHARUDDIN:  Saya mendapat pendidikan awal di SRK Bubul Semporna pada tahun 1962. Saya antara anak murid pertama di sekolah itu. Sekolah itu didirikan oleh orang-orang kampung secara bergotong royong. Kebanyakan yang mengajar di sekolah itu adalah pakcik dan makcik saya. Antara cikgu yang masih saya ingat ialah Cikgu Sh Ibrahim Sh Jaafar, yang juga guru besar.Cikgu Rapiah, Cikgu Martah. Itu antara cikgu saya di sekolah rendah. Kehidupan dulu agak susah.Saya terpaksa berulang alik sejauh enam batu ke sekolah, dari Bugaya ke SRK Bubul.Jadi pulang balik saya terpaksa berjalan kaki kira-kira 12 batu dalam sehari selama tiga tahun iaitu dari darjah empat hingga enam. Ketika darjah satu hingga tiga, kami tinggal di Batu Dua yang agak dekat dengan sekolah. Sewaktu di sekolah di SRK Bubul, saya selalu mendapat nombor  satu.

UB:       Siapa rakan-rakan tuan haji sewaktu bersekolah rendah dahulu?
HB:       Kebanyakannya jadi Cikgu. Antaranya ialah Cikgu Omar Ali, Cikgu Santa, Cikgu Abdul Wahid Toksu dan lain-lain.

UB:       Di mana tuan haji bersekolah Menengah?
Kemudian saya berpindah ke Government Secondary School of Semporna (GSS Semporna) yang kini dikenali sebagai Sekolah Menengah Panglima Abdullah. Saya bersekolah di sana hingga tingkatan 3. Oleh kerana tidak ada aliran sains di sekolah itu, saya berpindah ke Tawau, ke sekolah SM St Patrick Tawau dari Tingkatan empat hingga lima.

UB:       Siapa rakan-rakan tuan haji ketika itu?
HB:       Antaranya Datuk Haji Ujang Haji Sulani, (kini Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Industri Makanan) rakan dari tingkatan satu hingga tiga, Datuk Haji Salsidu Ibrahim (Pencetak Kerajaan)  Mr Koh Kiang Wah, rakan baik saya dari tingkatan satu hingga lima dan ramai lagi. Mengenai Mr Koh ini, `my best friend’  beliau kini adalah CEO Dupont Chemical di Shanghai Cina. Mr Koh pandai bercakap Bajau walaupun dia Cina. Sewaktu beliau belajar di Leeds, di England ,saya pernah melawatnya.Begitu juga ketika saya menikah, beliau datang ke Amerika untuk meraikan majlis perkahwinan saya.

UB:       Selepas tingkatan lima, tuan haji belajar dimana pula?
HB:       Selepas tingkatan lima, saya mengajar sementara di SM St Patrick dalam mata pelajaran matematik. Saya menjadi guru sementara sebelum masuk ke Institut Teknologi Mara (kini UiTM), dulu dikenali YS-ITM selama satu tahun sebelum melanjutkan pelajaran di ITM Shah Alam dalam jurusan pengajian perniagaan. Setelah lulus tahun 1978, saya balik ke Sabah dan bekerja di Unit Penyertaan Bumiputera dari bulan Julai hingga November.

UB:       Kenapa begitu singkat?
HB:       Saya terbang ke Amerika Syarikat.Saya bertekad untuk melanjutkan pelajaran.Waktu itu belum ada biasiswa.Saya pinjam RM10,000 dari Yayasan Sabah dan pinjam daripada keluarga.Sepatutnya saya belajar di sana dalam dua tahun dalam bidang pemasaran antarabangsa.Kemudian saya ditawarkan biasiswa sehingga di peringkat sarjana di Southern Illinois University (SIU). Saya anak Semporna pertama yang memperolehi ijazah sarjana (MSc).

UB:       Tentu banyak pengalaman sewaktu belajar di Amerika?
HB:       Saya pernah buat kerja sambilan.Cuci piring, menjaga perpustakaan, berniaga nasi lemak dan sebagainya. Ketika belajar itu, saya menikah dengan isteri saya di sana. Selepas itu, setelah tamat belajar, saya balik ke Malaysia.

UB:       Kemudian kerja di mana?
HB:       Selepas balik ke Malaysia, saya bekerja dengan Bina Wood sebuah syarikat milik Tan Sri Majid Khan. Kemudian saya berkhidmat dengan Malayan Banking di Jalan Yong Chok Lin di Petaling Jaya. Selepas itu saya ditukar ke Kota Kinabalu kira-kira satu tahun. Bagaimanapun saya terpaksa meletakkan jawatan di Maybank kerana terbang semula ke Amerika. Isteri saya melahirkan anak pertama, Noor Hanef, yang kini jadi pilot.Ketika itu majikan tidak memberi cuti.Terpaksalah saya meletakkan jawatan.

UB:       Apa kerja tuan haji di sana?
HB:       Di sana saya bekerja sebagai `graduate assistant’, tutor kalau istilah di sini, selama satu tahun sambil menunggu isteri menghabiskan ijazah sarjananya.

UB:       Selepas itu?
HB:       Kami balik ke Malaysia. Saya menyertai Public Bank di Shah Alam pada tahun 1985.Pada tahun 1986, saya dilantik sebagai Penolong Pengurus Cawangan Public Bank di Sandakan. Waktu itu, saya merupakan bumiputera Islam pertama dilantik sebagai sebagai pengurus bank di Sabah dan Sarawak.

UB:       Kalau tak silap tuan haji pernah jadi pengurus Public Bank di Kota Belud?
HB:       Ya. Saya pernah menjadi pengurus Public Bank di Kota Belud.Barangkali dalam sejarah Public Bank, saya menjadi orang yang masuk dua kali berkhidmat di bank itu.Kemudian, ketika krisis kewangan, saya berniaga sekejap sebelum masuk perkhidmatan perbankan semula.Kali ini berkhidmat pula dengan Affin Bank sebagai Pengurus cawangan Kota Kinabalu. Kemudian saya meletak jawatan dan kemudian dilantik sebagai pengurus Credit Guarantee Corportion (CGC) sebuah anak syarikat Bank Negara. Kemudian selepas itu, saya ditawarkan pula untuk memasuki sektor awam. Saya ditawarkan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) pada Disember 2005 sehingga sekarang.

UB:       Selain pengalaman 28 tahun dalam sektor perbankan, apa lagi tugas yang penah tuan haji  laksanakan?
HB:       Saya pernah menjadi pensyarah sambilan dalam bidang pengurusan dan pemasaran di UiTM Sabah dari tahun 1995 hingga 2003. Saya juga bergiat aktif sebagai penceramah panel dalam Program Latihan untuk pengarah syarikat khasnya dalam Isu Tadbir Urus Korporat sejak tahun 2000. Selain itu, saya juga menyandang jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Audit dan Tadbir Urus di beberapa buah syarikat milik Kerajaan Negeri sabah. Di samping itu, saya juga sering menjadi penceramah Motivasi Institusi Keluarga dan Kepimpinan Asas pelajar-pelajar universiti.

UB:       Khabarnya tuan haji juga menulis buku?
HB:       Saya juga menulis buku. Setakat ini saya telah menghasilkan empat buah buku kecil mengenai keibubapaan, institusi kekeluargaan, motivasi dan sebagainya.

UB:       Nampaknya semakin ramai kalangan anggota masyarakat yang menaruh kepercayaan dengan aktiviti perniagaan yang dijalankan PBNS Holding? Boleh cerita sedikit?
HB:       PBNS Holding adalah badan pelaburan Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS) Apa yang kita buat ialah menjalankan perniagaan insuran takaful, pajak gadai Islam. Kita juga telah dapat lesen untuk mengelolakan perkhidmatan BSN,Skim Ar Rahnu.Kita juga sedang berunding dengan Amanah Raya Berhad (ARB) untuk menjalankan penulisan wasiat.Kita akan konsentrasi kepada kewangan.Kita juga menjalankan latihan untuk ibu tunggal, peniaga kecil, motivasi pelajar. Kita mahu meningkatkan amal jariah kita. Saya juga berharap dapat bekerjasama dengan jabatan lain menjalankan tadbir urus korporat.Selain itu, kita menjalankan modul tadbir urus institusi keluarga.
Selain itu, saya juga menulis dan menerbitkan buku.Buku-buku yang saya terbitkan itu, semua hasilnya kepada Baitulmal. Kalau kita sudah berhenti, kita tinggalkan kepada mereka amal jariah.

UB:       Kalau boleh tahu, apa cita-cita tuan haji sewaktu kecil dahulu?
HB:       Ada tiga impian saya. Yang pertama, saya suka tercatat pencapaian akademik di belakang nama saya. Alhamdulillah ini sudah tercapai. Yang kedua ialah saya suka berucap di khalayak ramai.Ini pun sudah tercapai kerana saya sering diundang untuk berceramah, dan sebagainya dan yang ketiga, saya mahu menulis buku. Sekarang saya telah berjaya menghasilkan empat buku.

UB:       Mungkin ada orang yang tuan haji  jadikan mentor atau idola?
HB:       Idola saya sewaktu kecil dahulu ialah Datuk Tahir Jaafar, anak Semporna pertama yang berjaya menjejakkan kaki ke universiti. Beliau pernah menjadi Timbalan Pengarah Yayasan Sabah. Beliau adalah mentor saya.

UB:       Mungkin ada cita-cita tertentu ketika berhijrah dari Semporna dulu?
HB:       Cita-cita saya ialah saya nak mengubah nasib.Itulah sebabnya kenapa saya tinggalkan kampung.Kehidupan waktu itu amat susah.Saya mahu mengubah nasib dengan belajar melalui pendidikan.Saya

UB:       Apa buku-buku yang tuan haji suka baca?
HB:       Saya suka membaca buku-buku biografi seperti biografi jutawan terkemuka, Aristotle Onassis, Adnan Khassoggi.Juga autobiografi oleh John F Kennedy,, kalau di Malaysia saya suka membaca Pendeta Zaaba, Ahmad Boestamam, Tan Sri Dr.Tan Chee Koon, Tun Dr.Ismail Abdul Rahman yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri, Tun Ismail Ali, mantan Gabenor Bank Negara. Saya juga suka membaca Revolusi Mental oleh Datuk Senu Abdul Rahman, di dalam buku itu juga Tun Abdullah Ahmad Badawi ada menulis. Jangan cerita Buya Hamka, memang semua bukunya saya minati. Saya juga baca Desa Pingitan karya Ibrahim Omar, Buku-buku tulisan Bey Arifin juga saya banyak baca.
Sewaktu di sekolah dulu, ada buku Look And Learn, buku itu juga turut mendorong saya untuk mencintai ilmu pengetahuan.

UB:       Kalau penyanyi pula?
HB:       Kalau penyanyi saya suka John Lennon kerana dia seorang yang membawa perubahan, seorang pendesak ke arah perdamaian sehingga lagunya yang antara seni katanya `just give peace a chance’ itu mampu turut menggoncang hingga turut mendorong terhentinya Perang Vietnam.
Di Malaysia sudah tentu saya peminat Seniman Tan Sri P.Ramlee penyanyi sepanjang zaman.

UB:       Tuan haji  banyak menulis mengenai institusi keluarga?
HB:       Saya percaya kepada institusi keluarga. Saya rasa sekarang pun masih bercinta dengan isteri saya. Saya khaskan nombor dan telefon untuknya. Tadi pagi saya  selepas sembahyang tahajud, saya mengirim sms kepadanya. Insya Allah, kami akan menunaikan Umrah tidak lama lagi bersama rakan baik kami. Bagi saya persahabatan adalah sesuatu yang amat penting. Looking for a friend is a choice but maintaining friendship is a responsibility.


UB:       Menarik sekali. Boleh cerita sedikit mengenai pertemuan dengan isteri?
HB:       Panjang ceritanya. Tapi kami menikah sewaktu menuntut di Amerika. Iaitu pada 17 Ogos 1981 Waktu itu isteri saya berumur 19 tahun.Dari dulu sampai sekarang, saya merasa  kami masih  bercinta. Alhamdulillah, kami telah dikurnia empat anak.Yang pertama Noor Hanef, juru terbang, Anak kedua Nor Dyanna, kini bertugas di UMS, anak ketiga Nor Hannani, belajar dalam bidang pelancongan manakala Norhidayah mengambil jurusan kejururawatan.
Setiap hari saya mengirim SMS kepadanya. Apatah lagi isteri saya sekarang bertugas di SMK Sindumin sebagai Pengetua, Hajah Norulashikin Haji Mohd.Taib. Jika ada kelapangan, kami selalu menghabiskan masa lapang bersama.Dalam institusi kekeluargaan, sikap maaf memaafi, toleransi adalah sesuatu yang penting.Saling hormat menghormati, saling menyayangi akan menjadikan kehidupan lebih indah dan sempurna.

UB:       Mungkin ada sedikit kata-kata atau pesanan kepada pembaca?
HB:       Mengakui kesilapan dan berusaha untuk membetulkannya akan dapat membantu anda menjadi insan yang berkualiti dan dihormati.Tanamkan dalam jiwa keinginan untuk maju, betulkan sikap dan buatlah keputusan untuk maju ke hadapan. Jika mampu bercakap, katakanlah yang benar, dan jika mampu berfikir, fikirkanlah yang baik.
Akhir kata, gunakanlah ilmu dan pengalaman yang sedia ada untuk membantu dan mendidik diri, keluarga dan generasi yang akan datang.



No comments: