Wednesday, January 16, 2013

Kita hadapi masalah kritikal dalam bidang kemahiran



KITA HADAPI MASALAH KRITIKAL DALAM BIDANG KEMAHIRAN

KEPERLUAN dalam bidang kemahiran di negara ini boleh dikatakan agak kritikal. Proses pembangunan negara terus berkembang pesat sehingga negara terpaksa bergantung kepada pejerja-pekerja asing untuk mendapatkan tenaga mahir. Sementara itu, belia masih teragak-agak untuk menceburi bidang ini walaupun ia mendatangkan pulangan yang lumayan. Kekurangan tenaga kerja dalam bidang kemahiran adalah fenomena global namun lebih ramai pekerja mahir siap dilatih untuk melahirkan pekerja yang berkualiti. Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) Sabah, Tadzul Radim menggesa agar lebih ramai belia menceburi bidang kemahiran.

Tadzul Radim  dilahirkan di Kampung Rampayan Laut, Kota Belud  pada 3 Mac 1972. Anak kelima daripada enam adik beradik ini  mendapat pendidikan awal dalam darjah satu hingga darjah lima di SK Bengkongan (1979-1983), Kota Marudu dan darjah enam di SK Nanamun Kota Belud (1984) kemudian melanjutkan pelajaran di SM Kulim Kedah dalam Tingkatan 1 hingga 3 (1985-1987), Tingkatan 4-5 di SM Sains Kedah (kini SM Sultan Muhammad Jewa) di Sungai Petani (1988-1989), Matrikulasi UPM (Sains Fizik) Pusat Matrikulasi MRSM 1990-1992 sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Pertanian Malaysia dalam bidang kejuruteraan mekanikal dalam tahun 1993-1996 sehingga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Muda Kepujian Kejuruteraan.

Beliau pernah menjadi Pembantu Jurutera di Aokam Industries Sdn.Bhd, Keningau pada 1996, Jurutera Tapak Power Project Consultant di Kota Kinabalu 1997-1999,Pengurus Pusat GiatMara Kota Kinabalu 2000-2002, Pengurus Giatmara Kota Kinabalu, 2003-2008 dan Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia (ABM) sejak 2008 hingga kini.

Tadzul juga pernah menjadi Penyelaras Pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin Negeri Sabah melalui Giatmara Tahun 2001, Penyelaras Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Giatmara Negeri Sabah 2001,Penyelaras Program Penyelidikan Insenerator UMS bagi pihak Giatmara  Negeri tahun 2003, Timbalan Ketua Kontinjen Mara Negeri Sabah untuk Sukan Mara Semalaysia 2001, Ahli Majlis Perundingan Belia Negeri Sabah (2006-2007) Ahli Majlis Tertinggi Persatuan Iranun Sabah, Naib Presiden Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), AJK PIBG SRK Lok Yuk Likas, AJK Penasihat Teknikal Latihan Penjara Kota Kinabalu, AJK Penasihat ILP Kota Kinabalu dan Sering terlibat alam ceramah keraja dan motivasi belia peringkat daerah. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Dayang Kuntum bte Kaib dan dikurniakan tujuh orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemubual Ketua Pegawai Operasi Akademi Binaan Malaysia Sabah,TADZUL RADIM pada satu petang di salah sebuah café di Jalan Gaya untuk berkongsi pendapatnya mengenai pelbagai isu berkaitan bidang kemahiran.

UTUSAN BORNEO:      Apa khabar tuan? Apa perkembangan terkini yang boleh dikongsikan bersama pembaca?
TADZUL RADIM:         Baik Alhamdulillah. Pada November lalu kita mengikuti Asean Skill Competition iaitu satu pertandingan kemahiran Peringkat ASEAN yang disertai sepuluh negara. Pertandingan itu dibuat dua tahun sekali.Tahun lepas, tuan rumahnya ialah Indonesia dan diadakan di Jakarta Convention Centre. Malaysia menghantar peserta dalam pelbagai bidang kemahiran. Kita menang tiga emas, empat perak, empat gangsa.Tiga emas itu kita perolehi melalui bidang letrik, plumbing (pemasangan paip) dan masakan. Empat perak yang kita menangi,salah satunya ialah bidang Jubin dimana pesertanya dari ABM Sabah. Namanya Lewi Steven dari Melangkap Kota Belud.

UB:       Wah, hebat ya. Selepas itu?
TR:       Peserta ini melalui latihan insentif untuk menyertai pertandingan di Leipzig Jerman pada Julai 2013.Ini adalah salah satu kejayaan ABM Sabah dalam bidang kemahiran.Kita menang di peringkat Kebangsaan dan mewakili Malaysia di peringkat Kebangsaan. Kita hanya kalah kepada kepada Vietnam. Pencapaian ini dikira cukup cemerlang.

UB:       Khabarnya, masih ramai pekerja dalam bidang kemahiran yang diperlukan. Apa komen tuan?
TR:       Kalau dikira bidang kemahiran adalah fenomena global sekarang di seluruh dunia. Bidang  Kemahiran diperlukan di Hong Kong, China, Dubai, Amerika Syarikat, Australia. Semua ini menghadapi masalah pekerja dalam bidang kemahiran.Selain itu kebanyakan negara membangun juga memerlukan tenaga kerja yang mahir. Apatah lagi sekarang, banyak negara membuka pintu, dunia tanpa sempadan. Misalnya Myanmar, yang kini membuka pintu kepada dunia luar memerlukan banyak pekerja dalam bidang kemahiran.Begitu juga di Hong Kong, China, dan lain lain yang memerlukan pekerja mahir dalam pelbagai industri pembuatan dan pembinaan.

UB:       Bagaimana situasi di negara kita?        
TR:       Di Malaysia, situasinya agak kritikal terutamanya dalam bidang minyak dan gas Banyak pekerja mahir diperlukan dalam bidang kemahiran minyak dan gas, terutamanya di Kimanis, Sipitang, di Rapid Pengerang Johor juga memerlukan pekerja dalam bidang minyak dan gas.

UB:       Setakat ini, apa kaedah yang digunakan untuk memenuhi permintaan dalam pasaran tenaga kerja?
TR:       Untuk memenuhi permintaan,kita terpaksa mengambil pekerja asing dari Nepal,Bangladesh, Thailand, Vietnam, Indonesia, Filipina dalam hampir semua sektor kemahiran. Bidang kemahiran ini adalah satu bidang yang mempunyai masa depan yang cerah.Ini bidang yang menjanjikan pulangan dari segi pendapatan yang lumayan jika dibandingkan dengan pekerjaan lain seperti bidang perkeranian, dan sebagainya.Permintaan untuk pekerja mahir juga amat tinggi dalam bidang  industry dan sebagainya.

UB:       Menurut pendapat tuan, mengapa ramai belia masih ragu untuk menceburi bidang kemahiran?
TR:       Bagi saya belia kita masih dalam dilema dan lambat membuat keputusan.  Mereka masih menganggap bidang kemahiran, pekerjaan yang second class, tiada standard, padahal sebaliknya ia adalah satu pekerjaan yang banyak diperlukan di pasaran.Malah saya menganggap tidak sepatutnya ada pengangguran. Oleh kerana itu, kita dapati ada juga yang pernah mengikuti kursus dalam bidang kemahiran, contohnya letrik, selepas tamat kursus akhirnya hanya jadi `security’ pengawal keselamatan, padahal gaji dalam bidang kemahiran jauh lebih baik lagi.

UB:       Di Sabah,apa bidang kemahiran yang boleh diceburi?
TR:       Bidang kemahiran terlampau luas. Sabah memerlukan pekerja yang banyak dalam bidang kemahiran. Situasi kita sekarang agak kritikal. Cuba lihat proses pembangunan dari Tuaran hingga Papar. Kita lihat banyak perumahan yang dibina di tepi jalan, pusat komersil, banyak bangunan kerajaan, bangunan pentadbiran kerajaan dan swasta, kompleks beli belah, banyak yang dibina.Keperluan dalam bidang kemahiran terlalu besar.Potensi terlalu besar , terlalu luas dalam bidang pembinaan.

UB:       Oh ya, boleh ceritakan sedikit sejarah ABM Sabah dan kursus yang ditawarkan?
TR:       Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Sabah berpejabat  di Batu7, Inanam, Kota Kinabalu.  Nama ABM sudah dikenali sejak ia ditubuhkan pada bulan Mac 2001. Meskipun pada awalnya, ABM hanya menawarkan lima bidang kursus iaitu Penerapan Bata, Pelepaan dan Penjubinan, Joinery dan Formwork tetapi kini menawarkan 25 bidang kursus bagi program latihan belia.

Jika ditanya apa bidang kerjaya yang sentiasa ada kekosongan, jawapannya ialah bidang kemahiran. Setiap hari terdapat kekosongan dalam bidang kemahiran. Bacalah suratkhabar tempatan atau nasional setiap hari, pasti ada iklan yang memerlukan pekerja dalam sektor industri.

UB:       Mungkin ada yang menganggap bidang ini agak sukar?
TR:       Sudah sampai masanya supaya kita, belia kita untuk mengubah mentaliti. Jangan anggap bidang industri ini sebagai sukar tetapi ia bidang kerjaya yang menjanjikan pulangan lumayan.

UB:       Boleh bagi contoh?
TR:       Sebagai contoh, seorang tukang paip mampu memperolehi pendapatan RM100 sehari jika mereka ada kemahiran malah lebih daripada itu. Seorang pemandu jengkaut atau jentolak menerima gaji antara RM3,000 hingga RM4,000 sebulan di Semenanjung. Malah seorang pelatih lulusan ABM yang bekerja di Asia Barat menerima gaji RM25,000 sebulan kerana mempunyai kemahiran dalam bidang kimpalan. Ini sekadar contoh. Bidang kemahiran adalah satu bidang yang sentiasa ada kerja kosong,sentiasa ada kekosongan.

Oleh sebab itu, saya menggesa agar para belia yang memiliki sekurang-kurangnya darjah enam hingga tingkatan lima, boleh memohon untuk menyertai program-program latihan yang ditawarkan ABM.

UB:       Bagaimana sambtan terhadap kursus-kursus yang dianjurkan ABM?
TR:       Sambutan terhadap kursus-kursus yang ditawarkan ABM amatlah menggalakkan. Jika banyak belia kita yang mahir, kita tidak perlu bergantung kepada pekerja asing. Kita mampu membina negara kita dengan tangan kita sendiri.

UB:       Apa pandangan tuan terhadap sektor pembinaan di negara ini?
TR:       Sebagaimana yang kita semua ketahui,sektor pembinaan mempunyai multiply effect dalam perkembangan ekonomi negara Jika sektor pembinaan berkembang, ia turut merangsang perkembangan ekonomi sehingga tujuh rangkaian seperti ia juga merangsang munculnya restoran dan kedai makan, pengangkutan, minyak dan sebagainya.Jangan anggap sukar kerja dalam bidang ini, walaupun ia selalu dihubungkan dengan Tri-D iaitu dangerous (bahaya), difficult (sukar) dan dirty (kotor).Walaupun begitu, bidang ini sentiasa ada keperluan dan permintaan malah setiap hari, terdapat permintaan di suratkhabar seperti menerlukan tukang paip, dan sebagainya.Saya selalu menyebut, bidang kemahiran menjanjikan kerjaya yang menarik. Bina kerjaya sambina negara.Saya menyeru ibubapa agar membenarkan anak-anak mereka untuk menceburi bidang kemahiran, yang amat diperlukan dalam industri pembinaan.

UB:       Apa matlamat dan objektif penubuhan ABM?
TR:       Antara matlamat penubuhannya adalah untuk menyediakan latihan kemahiran di dalam bidang pembinaan bagi mengeluarkan personel binaan yang berkemahiran, berketrampilan, berkualiti dan produktif mengikut standard kemahiran yang ditetapkan. Melalui program latihan yang diadakan mereka akan diperlengkapkan dengan perkembangan dan kehendak terkini industri bagi membolehkan mereka meningkatkan kerjaya dan daya saing mereka di dalam industri pembinaan.
Antara objektif ABM ialah mengeluarkan lebih ramai pekerja mahir dan separuh mahir tempatan dalam industri pembinaan bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing.
Kita boleh bangunkan negara kita menggunakan tangan kita sendiri.
ABM menyediakan latihan peningkatan kemahiran yang terancang, berkualiti dan diiktiraf yang dilaksanakan secara profesional oleh pengajar yang terlatih, mengeluarkan pekerja binaan yang produktif, berorinetasikan kualiti, berketrampilan dan mengamalkan keselamatan selaras dengan kehendak semasa industri pembinaan, menyediakan peluang untuk pekerja binaan meningkatkan kemahiran dari masa ke semasa, membangun dan menyediakan laluan bagi mengeksport pekerja tempatan yang terlatih ke pasaran tenaga kerja antarabangsa dan melaksanakan program akreditasi kemahiran.

UB:       Apa program-program yang dilaksanakan ABM?
TR:       Beberapa program dilaksanakan oleh ABM iaitu Program Latihan Kemahiran Pekerja Binaan, Program Latihan Kemahiran Belia, Program Akreditasi Kemahiran Pekerja Binaan, Program Latihan Kontraktor Tred dan Program Kad Hijau CIDB.

Bagi Program Latihan Kemahiran Pekerja Binaan ia ditawarkan kepada semua pekerja binaan tempatan dan asing.

Ianya bertujuan untuk memberi latihan secara formal kepada pekerja binaan bagi meningkatkan tahap kecekapan dan pengetahuan mereka di dalam bidang kemahiran yang diceburi. Selain dari itu, program ini juga menyediakan peluang kepada pekerja binaan bagi menambahkan bidang kemahiran mereka dalam bidang baru yang mereka minati.

Kita mahu melahirkan pekerja binaan yang mempunyai kemahiran pelbagai (multi skill) yang akan dapat memperkembangkan kerjaya pekerja binaan. Tempoh latihan di bawah program ini adalah selama 4-6 hari,

Untuk pekerja tempatan, latihan ini adalah dibiayai sepenuhnya oleh CIDB.Bagi pekerja asing mereka perlu membayar yuran seperti yang ditetapkan,

Mereka yang telah berjaya mencapai tahap kecekapan yang ditetapkan akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB dan boleh berdaftar dengan CIDB sebagai pekerja mahir.
Bidang kursus Penerapan bata (bricklaying), pelepaan (plastering), penjubinan (tiling), perpaipan (Bangunan dan Kelengkapan sanitari (Plumbing (building & sanitary fitting), Perpaipan )retikulasi air), Plumbing (water reticulation)Pertukangan kayu (Acuan), Carpentary, Tanggam (Joinery) Pemasangan Pendawaian bangunan, Penyelenggaraan dan operasi bangunan awam. Operasi Excavator Hodraylik, Operasi Backhoe Loader, Operasi Kren Bergerak, Pemancangan Perancah (Prefabricated)(Scaffolding, Pemasangan Perancah (Tubular).

Bagi Program Latihan Kemahiran Belia, ia ditawarkan kepada semua golongan belia tempatan berumur 16 tahun tahun ke atas. Ianya bertujuan untuk memberikan latihan kemahiran kepada belia tempatan di dalam bidang kemahiran industri pembinaan.
Matlamatnya adalah untuk mengeluarkan pekerja mahir tempatan yang mampu memulakan kerjaya di dalam industri pembinaan untuk perkembangan kerjaya mereka.

Selain itu, melalui program ini jumlah pekerja binaan tempatan akan dapat ditambah dan ini akan mengurangkan penggantungan negara kepada tenaga kerja asing. Tempoh latihan di bawah program ini adalah dari dua hingga 12 bulan bergantung kepada bidang kursus yang diikuti.

Pelatih-pelatih yang berjaya akan dianugerahkan Sijil Kecekapan Kemahiran CIDB, manakala permohonan boleh dibuat dengan mengisi dengan lengkap borang permohonan yang boleh didapati dari pejabat CIDB Wilayah Sabah atau ABM Wilayah Sabah

Pengambilan adalah dibuat berdasarkan bidang kursus dan tempoh. Pelatih baru, yang berumur sekurang-kurangnya 16 tahun ke atas dan tamat darjah enam akan diambil sebaik sahaja latihan sebelumnya menamatkan latihan. Antara bidang yang ditawarkan ialah Penerapan Bata, Pelepaan & Penjubinan,Pertukangan Kayu, Kerja Konkrit & Membongkok Besi,Pemasangan Sesekat,Perpaipan, Pemasangan Pendawaian Bangunan,Wireman Fasa Tunggal. Penyelenggaran & Operasi Bangunan, Operasi Excavator Hidarulik, Operasi Kren Bergerak dan Lukisan Seni Bina.

UB:       Apakah kursus ABM juga dapat pengiktirafan?

TR:       Beberapa program ABM diiktiraf oleh The Wielding Institute (TWI) bagi kursus kimpalan, Suruhanjaya Tenaga Malaysia bagi kursus elektrik PW2 dan PW4 dan lesen plumbing pula diiktiraf oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

UB:       Ini bermakna, peranan ABM amat penting dalam melahirkan pekerja berkualiti?
TR:       ABM berperanan untuk memastikan kerja pembinaan yang dihasilkan adalah berkualiti, dijalankan secara produktif dan cekap. Oleh sebab itu, kita menggalakkan semua pekerja binaan sedia ada supaya menjalani latihan kemahiran untuk memenuhi tahap kecekapan kemahiran yang diperlukan dalam industri pembinaan negara..

UB:       Boleh cerita sedikit mengenai kejayaan ABM Sabah?
TR:       ABM Sabah telah berjaya memenangi anugerah tangan emas PM dua tahun berturut-turut. Terutamanya dalam  bidang jubin.ABM Sabah telah berjaya melatih personel binaan, memberi latihan kepada pekerja binaan,, antara yang tertinggi di Malaysia.

UB:       Bagaimana kerjasama dengan pihak lain?
TR:       Kerjasama daripada pelbagai agensi dan institusi lain amatlah menggalakkan.Kita juga mendapat kerjasama dengan isntitusi lain seperti IKM, Politeknik, Giatmara, ILP, JPSM, jabatan dan agensi berkaitan,Kita sentiasa menjalin kolaborasi. Tahun lepas kita banyak menjalin kerjasama dengan pengendali latihan swasta KKLW. Kita juga melatih peserta e-Kasih, lebih kurang 200 orang latihan dalam bidang kemahiran.

UB:       Oh ya, apa prinsip hidup tuan, kalau boleh tahu?
TR:       Gagal sekali bukan bererti gagal selama-lamanya. Gigih kita kena terus berusaha.Usaha tangga kejayaan.Kita tidak boleh berputus asa atau kecewa.

UB:       Sebagai seorang anak kampung, apa yang kita boleh teladani dari orang tua kita?
TR:       Kalau kita lihat orang tua kita, yang boleh menjadi teladan kita ialah kegigihan mereka. Kehidupan mereka susah, minum air telaga, bila difikir, mereka sangat kuat dan tabah. Untuk hidup seharian, mereka mengangkat air telaga, membelah kayu untuk memasak semata-mata untuk  menghidupkan kita.


No comments: