Saturday, January 19, 2013

Laliman Ahmad, jadi buruh untuk bayar yuran sekolah

LALIMAN BICARA, JADI BURUH UNTUK BAYAR YURAN SEKOLAH

KALAU ada makhluk asing turun dari kapal angkasa lalu mendarat di tanah air kita kemudian dia diminta menggambarkan mengenai identiti budaya dan jati diri kita sebagai bangsa Malaysia, mungkin dia akan kebingungan dan keliru, kata seorang tokoh budaya, Laliman Ahmad.

Katanya, adalah sukar bagi kita untuk memberi gambaran yang sebenar mengenai rupa bentuk budaya Malaysia kerana budaya yang ada, jika ditinjau dari segala aspeknya ialah budaya cacamerba, campur baur dan tidak jelas kerana konsep budaya yang dihadirkan juga tidak jelas. Kita masih belum berupaya membentuk dan membina identiti, budaya dan jati diri sebagai bangsa Malaysia yang satu. Inilah cabaran kita yang sebenar.

Pembinaan budaya Malaysia perlu diberi keutamaan dan tidak boleh diketepikan dalam proses pembangunan negara, katanya.



Laliman Ahmad dilahirkan di Kota Peladok Kota Belud tetapi mendapat pendidikan awal di SRK Nanamun dalam darjah 1 hingga 3. Selepas itu, beliau bersekolah di SRK Timbang Dayang hingga darjah 6. Pada tahun 1971, beliau meneruskan pendidikan menengah di SMK Kota Belud. Bagaimanapun, beliau menempuh alam pekerjaan dalam usia yang muda, dan menjadi buruh pelabuhan setiap kali tibanya cuti sekolah. Selepas peperiksaan SPM, beliau menjadi buruh beberapa ketika sebelum ditawarkan jawatan sebagai  pembantu kerani di Kementerian Kewangan iaitu pada tahun 1978. Pada tahun 1980, beliau berpindah ke Pejabat Daerah Kota Belud sebagai kerani Mahkamah Anak Negeri. Setahun kemudian beliau menjadi kerani pelesenan dan pemungut hasil di pejabat daerah Kota Belud sehingga 1982 apabila beliau bertukar semula di Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Beliau menyambung semula pelajaran secara koresponden sehingga lulus SPM dan kemudian menyambung hingga peringkat STP. Selepas itu, beliau mengikuti kuliah dalam bidang Pentadbiran Awam dan Undang-Undang di ITM tetapi kemudian ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran di University of Toledo namun gagal mendapat biasiswa. Tidak lama kemudian, beliau diterima untuk mengikuti Kursus Sijil Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia (USM) dan kemudian meneruskan pelajaran di peringkat ijazah Sarjana Muda sehingga lulus dengan kelas dua kepujian. Sekembalinya ke Sabah, beliau ditempatkan di Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan ditempatkan di Jabatan Keretapi Negeri Sabah. Selepas itu, beliau memasuki perkhidmatan persekutuan dan dilantik sebagai Penolong Pengarah Unit Penyelidikan dan Pemuliharaan di Kementerian Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan  bermula 1992. Pada tahun 1994, beliau dinaikkan pangkat sebagai Pengarah di Jabatan Kebudayaan,Kesenian dan Pelancongan  Negeri Sarawak sehingga tahun 1996 apabila beliau memilih untuk meletakkan jawatan dan menceburi bidang perniagaan.
Selepas itu, beliau dilantik sebagai Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia (1999-2002). Beliau pernah menjadi Setiausaha Pemuda AKAR, Exco Pemuda BN Pusat dan kini menjadi Ahli Jawatankuasa Penasihat Biro  Penyelidikan  dan Pembangunan Sosial Budaya di Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS). Selain juga beliau adalah aktivis masyarakat yang gigih dan memegang jawatan dalam pelbagai NGO, antaranya Yang Di Pertua Persatuan Ibubapa Guru (PIBG) SK Likas, Naib Presiden Majlis Gabungan Persatuan Penjaja Kecil Negeri Sabah. Beliau juga adalah seorang penulis dan telah menghasilkan buku “Teater Moden Sabah” , sebuah kajian mengenai perkembangan teater dan “Tempasuk yang Kuimpikan” sebuah buku sosiobudaya.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau mengenai secara santai mengenai pelbagai pengalamannya dalam bidang perkhidmatan, NGO dan pandangannya terhadap perkembangan budaya di negara ini. Laliman juga adalah contoh peribadi yang gigih, menapak setangga demi setangga dari jawatan pembantu kerani hingga menjadi pengarah sebuah jabatan kerajaan sehingga beliau meletakkan jawatan untuk menceburi bidang perniagaan dan kegiatan-kegiatan kemasyarakatan.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang tuan?
LALIMAN AHMAD:      Saya dilahirkan di Kota Peladok, sebagai anak kelima dari lapan adik beradik. Ayah saya adalah seorang petani dan nelayan. Saya membesar dan bersekolah  di SRK Nanamun dalam darjah satu hingga tiga.Oleh kerana keluarga berhijrah dari Kampung Nanamun ke Kota Peladok, saya berpindah ke SK Timbang Dayang Kota Belud pada tahun 1967. Ketika itu guru besarnya Cikgu Raskan Asing. Selepas itu, pada tahun 1971, saya melanjutkan pelajaran di sekolah menengah di SMK Kota Belud sehingga tahun 1977. Saya adalah pelajar aliran sains.

UB:       Siapa pelajar seangkatan dengan tuan?
LA:       Antara pelajar yang seangkatan dengan saya ialah Abdul Gari Haji Itam, sekarang Pegawai Daerah Kota Belud, Hajah Tunganai Datu Alang, Senator Maijol Mahap, Cikgu Suhaindo Rambayau, Musram Rakunman, Kibin Haji Samad, Rakim Haji Jali, Mausar Haji Dambah. Sementara junior kami ketika itu ialah Haji Muar Haji Mulia dan Datuk Haji Musbah Haji Jamli, kini ADUN Tempasuk, yang juga Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan.

UB:       Bagaimana keadaan persekolahan pada ketika itu?
LA:       Ketika itu kebanyakan orang hidup dalam keadaan yang susah. Ramai yang tidak mampu untuk membayar yuran sekolah, dua puluh ringgit pada masa itu. Ibu saya terpaksa menganyam tikar untuk dijual untuk membayar yuran peperiksaan. Itu sebabnya ketika berusia 16 tahun lagi, saya sudah turun ke Kota Kinabalu untuk cari kerja. Saya dapat kerja sebagai buruh pelabuhan. Saya ingat, saudara Abdul Gari juga pernah jadi tukang kimpal besi di NBT. Saya pula kerja sebagai buruh pelabuhan dengan syarikat Sebor.

UB:       Berapa upah?
LA:       Upah saya ketika itu, lapan ringgit satu hari atau satu ringgit untuk satu jam. Agak lumayan juga ketika itu kerana satu bulan saya boleh mengumpul antara RM240 hingga RM280 sebulan. Duit ini saya simpan untuk belanja sekolah. Saya simpan duit itu dengan kakak saya. Saya tidak menyimpan dalam tabung buluh yang biasanya dilekatkan di tiang rumah kerana takut diambil adik adik. Saya simpan duit sebagai persiapan untuk beli buku, walaupun sebenarnya perkara ini tidak diketahui oleh bapa saya.

UB:       Dalam usia muda tuan sudah ikut bekerja di KK?
LA:       Ya.Ketika itu saya berusia antara 15 hingga 16 tahun. Setiap cuti sekolah, sepanjang satu bulan setengah itu, saya gunakan untuk mengumpul duit untuk  belanja sekolah. Letak pelabuhan tidak jauh dari Kampung Likas. Saya tinggal dengan keluarga di Likas. Sebelum itu, pakcik-pakcik  saya di sebelah ibu, sudahpun bermastautin di Likas. Antaranya, Haji Mahmud Taham, Arwah Imam Haji Latip Taham, Kemad Taham, mantan WKAN Surat Taham, pakcik Awal Taham, yang pernah menjadi pemain bolasepak Sabah dan pernah menjadi jurulatih bolasepak Sabah. Saya selalu menumpang di rumah pakcik arwah Imam Haji Latif. Kadang saya pindah tempat pakcik Awal di Kampung Jawa, sebilik dengan sepupu Jikran Mahmud. Sebenarnya atuk saya, Datu Taham Datu Kalawi adalah angtara peneroka awal Kampung Likas Lama. Atuk saya ini seorang yang suka merantau dan bekerja di sebuah ladang di Beaufort kira-kira pada tahun 1938 iaitu sebelum Perang Dunia Kedua.Beliau pernah bekerja di kapal Keningau sehingga Perang Jepun meletus pada 1941. Di sana beliau berjumpa dan berkahwin dengan Taminah  binti Awang Damit. Khabarnya, ibu saya dan ibu kepada Budiman Abpa (pensyarah di IPG Keningau) dilahirkan di Beaufort. Itu sebabnya ramai saudara kami di Beaufort.

UB:       Selepas SPM, tuan terus bekerja di KK?
LA:       Mulanya saya bekerja semula sebagai buruh pelabuhan selepas SPM. Kemudian saya ditawarkan bekerja sebagai pembantu kerani di Kementerian Kewangan pada Februari 1978. Selepas mendirikan rumahtangga dengan isteri, Puan Jemayah Aman  pada tahun 1979, saya memohon untuk ditukarkan di Kota Belud lalu ditempatkan di Pejabat Daerah sebagai kerani di Mahkamah Anak Negeri. Setahun kemudian, saya dilantik sebagai kerani pemungut hasil dan pelesenan, juga di Pejabat Daerah Kota Belud sehingga tahun 1982.
Pada tahun itu, saya bertukar kembali ke Kota Kinabalu. Sebenarnya, antara alasan saya untuk berpindah ke Kota Belud sebelum itu adalah untuk menjaga adik-adik saya, Lumin dan Luman masih bersekolah. Selepas itu, saya memohon semula untuk bertukar semula ke ibu negeri secara tukar suka sama suka dengan saudara Baghdad Haji Turugan.

UB:       Lepas itu, tuan terus melanjutkan pelajaran ke IPT?
LA:       Belum lagi. Saya terus belajar melalui Correspondent College yang berpejabat di Johor Bahru dengan bayaran RM43 sebulan. Pada tahun 1983, saya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kemudian menyambung pelajaran hingga Sijil Tinggi Persekolahan (STP) hingga mendapat 2P 2 subsidiary. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di Institut Teknologi Mara (ITM) dalam bidang pentadbiran awam dan undang-undang. Kemudian saya memohon untuk mengikuti pengajian di luar negara iaitu di University of Toledo. Bagaimanapun saya gagal mendapat biasiswa kerana biasiswa dibekukan ketika itu.

UB:       Kemudian?
LA:       Saya dipertemukan oleh Allahyarham Datuk Haji Shuhaibun Yussof dengan Profesor Dr Ghouse Nasaruddin yang kemudian mempelawa saya untuk mengikuti Kursus Sijil Penulisan Kreatif dan Deskriptif di Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang. Daripada 45 pelajar itu, hanya tiga pelajar melanjutkan pelajaran ke peringkat ijazah iaitu Laliman Ahmad, saya dari Malaysia, Sabri Buang dari Singapura dan Junit Ramli dari dari Negara Brunei Darussalam. Di USM, antara rakan saya ialah seniman Zaibo, Ahmad Tarmimi Siregar, Roseminah Tahir, Helmi selain Jamal Sulai, Datu Matlan Unjong.

UB:       Aktif dalam kegiatan mahasiswa?
LA:       Saya aktif dalam kegiatan mahasiswa sebagai Presiden Persatuan Pelajar Sabah USM (PERSIS) 1988-1989 dan Yang Di Pertua Kelab Sastera USM 1989-1990.

UB:       Selepas lulus dari USM, dimana tuan bekerja?
LA:       Saya balik ke Sabah. Sepatutnya saya ke KKBS semula tapi jawatan pegawai penyelidik telah dipangku orang lain. Oleh sebab itu,  saya bekerja secara sangkutan di Jabatan Ketua Menteri (JKM) dan ditempatkan di Jabatan Keretapi Negeri Sabah.   Antara rakan saya sewaktu di Jabatan Keretapi ialah saudara Abd.Gari Haji Itam, Awang Shahminan, manakala pegawai yang lebih senior di sana ketika itu ialah Salsidu Haji Ibrahim (Kini Datuk Haji Salsidu). Di Jabatan Keretapi, saya dilantik sebagai penanggung kerja Pegawai Akaun, walaupun sebenarnya kelulusan saya ialah sarjana muda sastera. Tapi oleh kerana saya mempunyai asas yang baik dalam matematik, lebih lebih lagi saya belajar dalam aliran sains, dan pengalaman sebagai pemungut hasil, pekerjaan itu dapat saya lakukan dengan baik.
Kemudian saya dinasihatkan oleh Datuk Tahir Jaafar untuk berpindah ke jabatan persekutuan kerana itu lebih baik.Kebetulan waktu itu, ada kekosongan di Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan.

UB:       Oh begitu! Selepas itu?
LA:       Saya dilantik sebagai Penolong Pengarah Unit Penyelidikan dan Pemuliharaan pada 1992. Waktu itu, Menterinya ialah Datuk Sabaruddin Chik (kini Tan Sri) dan Setiausaha Bahagian ialah Datuk Tengku Alauddin Tengku Abd.Majid. Di sana, saya diberi kepercayaan untuk menjalankan kerja-kerja penyelidikan dan pemuliharaan. Kemudian saya diminta oleh Tengku Alauddin untuk melihat kertas konsep sebagai asas penubuhan Akademi Seni Kebangsaan (ASK) yang tergendala begitu lama iaitu sejak Kongres Kebudayaan Kebangsaan 1977. Saya pun mengambil tanggungjawab itu bersama Roseminah Tahir, Ayub Ibrahim dan lain-lain untuk merealisasikan penubuhan ASK, yang kini dikenali sebagai ASWARA. Selepas itu, saya ditugaskan pula untuk merealisasikan Anugerah Seniman Negara. Saya menemui Dr Anwar Ridhwan (kini Sasterawan Negara) untuk melihat kertas konsep Anugerah Sasterawan Negara (ASN) yang telah dilaksanakan ketika itu, untuk dijadikan contoh. Begitulah ceritanya sehingga sehingga Anugerah Seniman Negara yang pertama dilaksanakan.

UB:       Tuan lama bertugas di KL?
LA:       Sebaik saja selesau majlis itu, pada hari berikutnya diadakan Konvensyen Kebudayaan Asli Sedunia di Pusat Dagangan Dunia Putra. Anehnya saya tidak disuruh bertugas  sebaliknya diminta untuk berehat sahaja. Berbagai persoalan timbul dalam kepala.Apa yang tak kena? Tapi sebagai seorang pegawai yang menurut perintah, saya berehat saja dalam bilik pejabat.Tiba-tiba kira-kira jam 3.00 petang, pintu pejabat saya diketuk dan Datuk Tengku Alauddin yang menjadi ketua pengarah masuk dan duduk berbincang secara peribadi. Beliau memberitahu cadangan saya ditukarkan ke Sarawak bagi mengisi jawatan pengarah yang kosong disana kerana penyandangnya, Muhammad Radzi meneruskan pengajian sarjana di England. Jadi sebelum surat tawaran dikeluarkan, pak engku datang berbincang. Saya bertanya kepada beliau, mengapa saya yang di;ilih sedangkan terdapat 17 orang lagi pegawai yang lebih kanan. Beliau memberitahu bahawa setelah melihat rekod perkhidmatan yang ada, serta pelbagai pengalaman yang ada, beliau merasakan saya adalah calon yang paling sesuai. Saya meluahkan rasa terharu kerana dalam usia 34 tahun ketika itu, saya diamanahkan sebagai pengarah walaupun jika diberi pilihan, saya lebih suka bertugas di Sabah. Namun ketika itu, kekosongan jawatan ada di Sarawak, jadi saya diberi masa satu minggu untuk menguruskan pertukaran ke Kuching. Saya mula bertugas sebagai pengarah pada 2 Februari 1994 hingga 1996. Sepanjang berada disana, banyak program yang dijalankan, mewujudkan unit pelancongan, program pengembangan kebudayaan, kesenian dan warisan, program tunas budaya, giat budaya, penyelidikan dan sebagainya. Cuma yang agak terkilan kerana ketika itu belum sempat merealissaikan Kompleks Seni Budaya di Sarawak kerana ketiadaan tempat yang sesuai.

UB:       Jadi tidak lama di sana?
LA:       hanya satu tahun Sembilan bulan.Dalam satu seminar di Johor Bahru, saya diberitahu oleh Datuk Tengku Alauddin yang menemui saya secara peribadi agar bersiap sedia untuk berpindah semula ke ibu pejabat dengan jawatan baru sebagai Pendaftar di ASK. Bagaimanapun, saya beritahu beliau bahawa kali ini saya belum bersedia lagi,sebaliknya keinginan pulang ke Sabah membuak buak.
Saya mengambil keputusan untuk bercuti. Kemudian cuti tanpa gaji selama tiga bulan. Selepas itu, saya dipanggil bertugas. Saya amat berterima  kasih atas kepercayaan yang diberikan tetapi saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan untuk menceburi bidang perniagaan.

UB:       Apa bidang perniagaan yang diceburi?
LA:       Saya berniaga.Jadi pembancuh teh tarik. Ketika itu, saya belajar membancuh teh tarik. Apabila Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia, ketika itu Menteri Pertanian dan Perikanan terdengar saya berhenti, beliau memanggil saya untuk menemui beliau.Setelah bertanya khabar dan mendengar alasan saya berhenti kerja kerana ingin belajar berniaga dan ingin balik ke Sabah, beliau menghormati pendirian saya.

UB:       Selepas itu, apa yang  berlaku?
LA:       Katanya, bagus kamu tolong saya. Beliau meminta saya membantu beliau dan melantik saya sebagai Setiausaha Sulit Presiden Parti. Waktu itu, beliau merupakan Presiden AKAR, salah satu komponen BN.Saya dilantik sebagai Setiausaha Pemuda AKAR dan dilantik sebagai Exco Pemuda BN 1999-2001. Kerja parti bukan suatu yang asing  bagi saya kerana saya pernah menjadi Penolong Setiausaha Pemuda UMNO Gaya 1991-1992.

Jadi apabila beliau dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri, beliau meminta saya untuk menjadi Setiausaha Sulit Menteri di Jabatan Perdana Menteri sehinggalah habis tempohnya sebagai Senator. Setelah itu, beliau melantik saya sebagai Pegawai Khas di Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) pada  2004-2008. Selepas itu, saya giat dalam kegiatan kemasyarakatan selain dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa Penasihat  Biro Penyelidikan dan Pembangunan Sosiobudaya Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS).

UB:       Apa kegiatan lain selain itu?
LA:       Saya juga menjadi AJK Perkemas Sabah (Pertubuhan Kebajikan Masyarakat Sabah), Ahli Lembaga Koperasi Penduduk Likas, Persatuan Kreatif dan Inovasi sabah, Yang Di Pertua Persatuan Penjaja Kecil Rumpun Melayu Sabah dan sebagainya. Penglibatan saya dalam NGO ini bukan perkara baru.Saya terlibat sejak dulu lagi, sejak zaman belia. Saya juga menjadi Yang Dipertua PIBG SK Likas hingga kini. Sebelum ini saya pernah jadi Naib YDP PIBG Sekolah Raja Muda 1993-1994, YDP PIBG SMK Petrajaya Kuching 1994-1996. Saya juga pernah menjadi Penolong Setiausaha Persatuan Anak-Anak Sabah 1992-1994. Ini semua membantu saya menguruskan persatuan. Saya sudah 33 tahun dalam kegiatan Ngo dan kemasyarakatan.

UB:       Oh ya. Apa pandangan tuan mengenai pertembungan budaya di kalangan generasi muda?
LA:       Kita melihat adanya pertembungan antara generasi ICT yang celik internet dengan golongan yang cuba mempertahankan budaya tradisi. Pertembungan ini tidak dapat dielak dan mencetuskan budaya baru yang merombak kehidupan budaya dan sosial kita. Pola fikir, cara berkomunikasi, tindak tanduk, tbiat berubah. Amat sukar bagi kita untuk mencari suatu bentuk budaya sebenar.  Kita melihat tiga kelompok masyarakat, yang pertama , celik budaya, yang kedua, masyarakat yang keliru, budaya keliru dan ketiga yang mengamalkan kerencaman sehingga tidak mementingkan jatidiri lagi. Sehingga kalau ada makhluk asing dari kapal angkasa turun ke tanahair kita, mereka akan kebingungan dan keliru jika ditanya apa identiti dan jati diri kita. Inilah cabaran kita.Kita masih belum berupaya membentuk dan membina identiti, budaya dan jati diri sebagai bangsa Malaysia yang satu. Inilah cabaran kita yang sebenar.

UB:       Akhir sekali, apa kata-kata penutup?
LA:       Dalam hidup ini, kita tidak boleh static.Kita perlu dinamik. Selain itu, kita mesti sentiasa belajar kerana ilmu pengetahuan tak ada akhirnya. Kepuasan bekerja menghasilkan sesuatu yang berkualiti.

No comments: