Wednesday, January 30, 2013

Rainus bimbang kehilangan sumpitan

Setiap kali orang Murut Tagol atau Murut Paluan mengadakan  majlis peminangan, satu perkara yang perlu ada ialah sumpitan.
Ibu bapa pihak perempuan pasti akan meminta sebatang sumpitan sebagai barang hantaran. Kalau tiada, pihak lelaki mesti mencari sumpitan atau meminta tukang untuk membuatnya.
Tapi sekarang tidak ramai yang tahu membuat sumpitan, kata Rainus Sagulau, 41, Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Pengulobon, Abingkoi, Korolok dan Ahuron.
"Tinggal bapa saya saja yang tahu bikin," katanya. Ayahnya, Sagulau Mangga, 66, boleh membuat sumpitan dari kayu batang kayu mangaris atau kayu tarap.
Kalau kayu mangaris, waktu untuk membuatnya lebih lama, mungkin sekitar tiga bulan kerana kayunya keras. "Satu bulan untuk membuat lubang...Itu baru lubang.
Tapi kalau batang kayu tarap, kayu yang lembut, mungkin satu bulan boleh siap," katanya Rainus lagi. Katanya, satu hari boleh buat satu lubang ukuran satu jengkal.
"Hanya yang orang biasa biat saja yang boleh buat.Yang tidak biasa tidak boleh," katanya.

Sumpitan menjadi satu salah  barang hantaran atau berian yang diminta pihak perempuan. Menurut kepercayaan suku kaum itu, pemberian sumpitan itu berkaitan pula dengan umur panjang. Ia dipercayai boleh menjadi pelindung kepada bakal pengantin yang mendirika n rumah tangga.
"Waktu saya kahwin, saya berikan dua batang sumpitan," katanya. Tiada orang murut Tagol atau paluan yang gagal meminta pihak lelaki menyediakan sumpitan. Permintaan ini tidak mudah digantikan dengan wang. Dulu sebatang sumpitan itu berharga RM100.00. Kini mungkin harganya mencapai RM150.00.Sumpitan menjadi perkara penting dalam perkahwinan suku kaum Murut Tagol atau Paluan.

Pihak lelaki akan  berusaha untuk mendapatkan sumpitan, kata Rainus lagi. Kedudukan sumpitan ini sama dengan parang berambut yang menjadi senjata suku kaum Murut. Sumpitan berfungsi bukan saja untuk berburu binatang bahkan juga untuk perkahwinan.

"Saya fikir anak-anak muda sekarang perlu mempelajari cara membuat sumpitan jika mereka tidak mahu generasi akan datang kehilangan budaya" katanya.

Rainus berkata, sekurang-kurangnya setiap rumah di Mukim Rundum dan Mukim Dalit menyimpan sebatang sumpitan di rumahnya. Tapi jika tidak dilestarikan adat budaya ini akan pupus.

Jika mereka tidak mendapat sumpitan, kadang-kadang mereka sanggup untuk menukarkan gong atau tajau untuk mendapatkan Sumpitan.

Inilah amalan turun temurun kami di Abingkoi."Saya lahir tahun 72 di kampung Abingkoi. Bapa saya, Sagulau bin Mangga lahir tahun 46 di kampung Abingkoi, manakala atuk saya Mangga bin Guna lahir tahun 28, juga di Abingkoi. Nenek moyang kami lagi," katanya. Ini bermakna kami adalah penduduk asal dan berhak untuk menuntut tanah adat kami.

Menurutnya, budaya ini juga akan tergilas oleh roda zaman jika tanah adat mereka tidak dipertahankan. Untuk mendapatkan peluru sumpitan,untuk digunakan ketika berburu, mereka terpaksa masuk ke dalam hutan kerana peluru sumpitan itu dibuat daripada bahan yang diadunkan dari akar-akar kayu pokok tertentu.

Apa yang menjadi kebimbangan Rainus ialah jika budaya itu pupus, atau jika kerajaan melarang penggunaannya. Bagi Rainus, apa yang perlu dilakukan ialah harus ada usaha untuk memulihara sumpitan, termasuk membimbing generasi baru untuk mengenali budaya mereka dan mempertahankannya.



No comments: