Monday, January 28, 2013

Roti telur satu, roti kosong satu



ROTI TELUR SATU, ROTI KOSONG SATU

PILIHANRAYA kali ini dijangka sengit. Lebih sengit dari pilihanraya pilihanraya yang lepas-lepas, kata kawan saya sebaik-baik kami duduk di sebuah kedai mamak berdepan Wisma Merdeka. Kalau satu lawan satu, tentu menarik. Tapi kali ini, rakyat akan pilih mana calon yang terbaik menurut mereka.

Kami memesan minuman. Saya memesan teh o, kawan saya memesan teh tarik. Roti telur satu, roti kosong satu. Suasana cerah pada petang itu. Kedai mamak yang terletak di bawah opis kami memang popular sebagai tempat pertemuan ahli-ahli politik, peniaga,  broker, kakitangan kerajaan, bank, swasta, pelancong malah orang-orang dari luar KK yang mempunyai urusan di ibu negeri.

Saya fikir pilihanraya kali ini banyak bergantung kepada faktor calon, katanya. Mana-mana parti yang dapat mengemukakan calon yang disenangi rakyat, itulah yang berpotensi untuk menang. Kalau dikatakan bahawa rakyat akan memilih dasar perjuangan parti atau program-program yang ditawarkan oleh parti untuk kesejahteraan rakyat, mungkin itu satu faktor juga. Namun bagi saya, katanya, rakyat akan melihat siapa calon sebelum mereka memangkah di hari pengundian.

Katanya, peluang pembangkang untuk menang lebih cerah kalau pertandingan satu lawan satu. Tapi kalau saingan tiga penjuru, empat penjuru, lima penjuru, BN senang-senang boleh menang.

Tapi rakyat sekarang mahu berubah? Saya sengaja menghujahnya. Walaupun berapa penjuru, mereka akan mengundi calon pilihan mereka. Kalau ramai orang bertanding, sudah pasti pecah undi. Yang berpecah adalah undi pembangkang, dan ini akan memudahkan kemenangan BN, katanya kepada saya.

Bagaimanapun, katanya, agak sukar untuk melihat pertandingan satu lawan satu. Lebih ramai calon bebas akan bertanding dalam pilihanraya kali ini, katanya. Tidak seperti pilihanraya yang lalu, dimana ada masa tiga hari untuk `tempoh bertenang’, kali ini,tidak ada masa bantahan dan nama-nama calon yang bertanding akan tetap tercatat dalam kertas undi selepas pengumuman calon-calon yang bertanding oleh pegawai pengurus pilihanraya.

Kamu mungkin sudah sedia dengan nama nama dan gambar-gambar calon yang dijangka bertanding, katanya menduga. Kecuali kalau ada calon baru, gambar hampir semua Yb ada dalam simpanan kami, kata saya. Malah gambar calon-calon pembangkang juga, sebahagiannya kami simpan, saya memberitahunya sambil menghirup teh dan menikmati roti canai.

“Kalau calon Bebas boleh masuk muka depan kah?” tiba-tiba kawan saya itu bertanya. Mengapa tidak? Semua orang kami berikan liputan yang sama, kata saya menjawab pertanyaannya. Tapi kalau mahu cepat terkenal, dan dikenali pengundi, buatlah sesuatu yang luar biasa, maksudnya perkara yang tidak pernah dibuat orang. Itu pasti keluar muka depan, kata saya sambil memandangnya.

Contohnya? Antaranya ialah seseorang calon bebas yang belum dikenal boleh menjadi terkenal jika dia belum dikenali oleh pengundinya. Cubalah naik kuda ke pusat penamaan undi, kata saya. Sudah tentu ia akan mendapat sorotan media. Pakaikan kuda itu dengan segala macam perhiasan, lengkap dengan `sariau’ dan sebagainya, kemudian pakai pakaian tradisi untuk ke penamaan calon, pasti akan menimbulkan minat masyarakat. Mereka akan beranggapan bahawa calon itu kelak, apabila terpilih akan bekerja seperti kuda untuk kepentingan rakyat jelata.
Mungkin calon juga boleh memakai pakaian angkasawan. Pakaian ini menarik, kata saya kepadanya kerana ia menunjukkan betapa calon mempunyai impian dan cita cita setinggi angkasa tapi tidak mudah digapai oleh rakyat biasa.

Untuk menarik perhatian, satu lagi yang boleh dicuba oleh calon bebas ialah memakai topeng sepanjang perjalanan ke pusat penamaan calon, bagi menimbulkan suspen. Sudah tentu orang ramai akan mengingat mereka. Mereka boleh buka topeng ketika memasuki pusat penamaan calon. Cadangan itu membuat kami tertawa. Bagaimana mahu jadi terkenal dan boleh masuk muka depan akhbar?

Tapi bukankah banyak orang yang tidak memakai topeng sebenarnya memakai topeng? Bukankah selama ini mereka menyembunyikan wajah mereka disebalik topeng yang mereka buat sendiri sehingga rakyat tidak mengenal wajah sebenar pemimpin mereka. Sehingga mereka salah pilih dan salah undi?

Wakil rakyat kita sepatutnya bekerja seperti kuda, tidak perlu memakai macam-macam topeng, tidak perlu juga menjanjikan janji yang muluk-muluk, yang tinggi-tinggi. Mereka hanya perlu berjejak di bumi nyata dan menepati janji-janji mereka.

Eh, mahu ke mana percakapan kita ini?. Kami bangun dan bersalaman kerana semakin ramai orang yang duduk di sebelah menyebelah, mungkin menyangka kami gila kerana banyak ketawa.


No comments: