Monday, February 18, 2013

Cerita Tikus, Mentaliti tikus dan puisi Norawi



CERITA TIKUS,MENTALITI TIKUS DAN PUISI NORAWI

NENEK kami menyebutnya `puteri’. Saya mendengarnya dengan telinga saya sendiri betapa nenek kami itu begitu sopan dan beradat dengan memanggil sang tikus seperti itu. Hasilnya, karung beras nenek saya tidak pernah dikacau oleh `puteri’ sementara guni beras milik orang lain habis diratahnya.
“ babai a ria’u, kua angkan su bagi ka, sama ingka bu saken”, katanya dalam bahasa Iranun yang kira-kira bermakna `sang puteri, ambil lah bahagianmu, tinggalkan bahagian saya”.

Saya yang kurang percaya kepada kearifan seperti itu, selalu menjadi mangsa tikus.Kadang-kadang apabila menyimpan makanan di rumahnya, selalu yang tersisa hanyalah pembungkusnya. Bukan sesuatu yang jarang apabila ubat gigi saya selalu dimamahnya. Juga pernah terjadi beg saya –ya begsandang saya-juga dimakannya malah yang saya tidak dapat maafkan ialah buku-buku yang saya perolehi dari pelbagai kota itu juga pernah menjadi habuannya.

Saya tidak dapat berdamai dengan tikus.Tapi kemudian saya berfikir bahawa mungkin ia berpunca daripada kesilapan saya sendiri. Malas mengemas bilik, membiarkan kertas dan buku bersepah dan sebagainya. Satu hari, anak saudara saya agak geram kerana `burger’ yang dibelinya malam sebelumnya, habis dijamah tikus.

Mungkin kerana itulah tiba-tiba saja topik perbualan kami berkisar mengenai tikus dan mentaliti tikus.

Bagaimana orang yang mindanya seperti tikus?. Saya segera teringat kata-kata seorang penulis yang mengingatkan agar kita tidak menjadi ayam yang kelaparan di lumbung padi. Jangan pula menjadi tikus yang menjadi gemuk di gudang beras. Guni-guni bocor, berasnya habis. Tikus beranak pinak dan selain gemuk, juga membiakkan generasi tikus yang baru, yang kerjanya sebagaimana tikus tua, yang asyik membocorkan guni untuk memakan beras.

Jadi apabila seorang penyair Sabah, Norawi Haji Kata, menulis puisi mengenai tikus, saya teringat beberapa episode permusuhan saya, juga kebencian saya dengan tikus-tikus.

“Di mana-mana pun sang tikus berduyun-duyun/mencari tempat untuk terus hidup/kumpulan mereka telah terkenal di beberapa buah restoran terkemuka di ibu kota/kerana sang tikus ada restoran yang terpaksa /gulung tikar kerana pelanggan muak /dengan tabiat sang tikus yang pengotor/itulah kuasa tikus sebagai pemusnah”. Kita mendapat gambaran mengenai tikus yang menyebabkan pengusaha restoran terpaksa gulung tikar kerana olah sang tikus.

Puisi Norawi mengenai tikus ini semakin menarik kerana beliau menggambarkan bagaimana  “di mana-mana juga orang sibuk bercerita/tentang politik, tentang janji,tentang masa depan/politik hari ini lain,sekarang lain,esok lain/ nilai politik bukan diukur pada keikhlasan/tapi pada diri seseorang yang ingin mencari peluang/lagipun dalam politik kau harus bersedia untuk dibunuh/dan membunuh/tapi sebelum dibunuh kau harus membunuh terlebih dahulu/jika tidak, kuasamu hilang bersama suaramu ditelan zaman.

Penyair tidak lagi berkias kias sebaliknya terus mengkritik politik yang penuh janji tentang masa masa depan, yang tidak lagi diukur dengan keikhlasan, sebaliknya lebih kepada orang yang mencari peluang, bersedia dibunuh dan membunuh.

Sampai seteruk itukah dunia politik?. Namun entah kenapa dan bagaimana penyair melihat hubungan antara politik yang tidak jujur dengan tikus yang juga tidak jujur.

“di mana-mana pun orang akan bercerita /tentang politik dan tikus/tikus sekarang tidak takutkan kucing/walau setiap penghuni rumah pelihara kucing/tikus tetap berada di rumah atau di corong/yang bersalut kekotoran/di mana-mana pun tikus suka main kotor/dalam politik pun orang suka main kotor”.

Dimana-mana pun, kata penyair, tikus suka main kotor, sama seperti dalam politik pun, orang suka main kotor.

“di mana-mana pun ada yang menyebut politik tikus/walau pada dasarnya tikus terkenal membaiki labu/tapi sebenarnya,biarlah manusia hebahkan tikus adalah perosak/tikus adalah perosak kepada masa depan yang direncanakan”. Saya bersetuju dengan penyair, kalau dia menyifatkan tikus  sebagai perosak, tetapi dia melihat bahawa tikus, mungkin maksudnya `tikus politik’ mampu menjadi perosak masa depan yang direncanakan.

Penyair bertanya “masihkah kalian ingat,kerana tikus dua orang/selebriti kesayangan terkorban angkara kencing tikus/di mana-mana pun awasi tikus kerana kumpulan ini/telah mencipta wabak di seluruh dunia/itulah kejayaan tikus dalam politiknya yang suka main kotor/lalu membunuh masa depan generasi manusia.

Bahasa puisi ini agak mudah difahami, waima oleh bukan kalangan penyair sekalipun. Dalam puisinya yang tersiar di alam alfisbuki itu, penyair Norawi bertanya “ tidak kah kau ingin mempelajari budaya tikus/atau tidak kah kau berangan-angan menyebarluaskan/politik tikus?.

Saya agak terkejut apabila beliau menutup puisinya dengan menyerahkan gambar sang tikus. “nah!!! ini gambar sang tikus kesayanganmu...”, katanya.

Hakikatnya saya tidak pernah atau tidak dapat menyayangi tikus. Gambar tikus pun saya tidak punya.


No comments: