Monday, February 18, 2013

Golongan seniman turut prihatin kematian gajah pygmy



GOLONGAN SENIMAN TURUT PRIHATIN KEMATIAN GAJAH PYGMY


Kes kematian gajah pygmy di Gunung Rara pada 29 Januari lepas turut mengusik perasaan golongan seniman dan penulis di negeri ini.

Seorang penyair terkemuka, Sabahuddin Senin mencipta puisi mengenai keprihatinannya terhadap kematian gajah pygmy, salah satu jenis haiwan yang dilindungi tetapi kini semakin jarang ditemui.

Dalam sajaknya bertajuk “Pemergian Gajah Pygmy Sabah, Kami Berkabung”, penyair Sabahuddin dalam puisinya yang disiarkan dalam blog www.puisisabahuddin.blogspot.com memberikan respon terhadap kematian gajah gajah, kini mencecah 14 ekor, tanpa diketahui punca dan penyebabnya.

Sabahuddin, penulis berpengalaman ini pernah mengikuti pengajian di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, NIDA, University New South Wales dan Australian National University, Canberra.

Setakat ini, beliau telah menghasilkan empat puisi mengenai peristiwa mengejutkan itu, dengan jumlah 154 baris kesemuanya, menceritakan mengenai episode kematian gajah pygmy, nasihatnya kepada warga, mengenai kegiatan pemburu dan satu lagi mengenai Kejora, anak gajah pygmy yang berjaya diselamatkan.

Empat puisinya itu bertajuk “Pemergian Gajah Pygmy Sabah, kami berkabung”, “Satu amanat kepadamu”, “Segerombolan pemburu” dan “Kejora, anak gajah pigmy Sabah”

Dalam puisi-puisinya, penyair Sabahuddin menegaskan bahawa gajah pygmy adalah sebahagian daripada khazanah bumi Sabah yang kini semakin terancam.

Beliau menyatakan bahawa pihak yang bertanggungjawab terhadap kejadian itu perlu didakwa mendapat hukuman yang setimpal.

Sabahuddin menyifatkan pembunuh gajah-gajah itu adalah `musuh dan pengkhianat segala anak bangsa dan wajar menerima hukuman’.

Puisi yang ditulisnya sebaik berita itu tersiar, juga menunjukkan golongan seniman dan penyair turut prihatin terhadap episode kematian gajah itu.

Katanya, gajah-gajah pygmy yang tersisa perlu diselamatkan untuk diwarisi oleh generasi akan datang.

No comments: