Isnin, 18 Februari 2013

Sabah Tidak Asing bagi saya, kata Haji Jamaluddin Mohd.Sulong

Tags



SABAH TIDAK ASING BAGI SAYA,
BERKENALAN DENGAN PENGARAH DBP SABAH, HAJI JAMALUDDIN MOHD.SULONG

NEGERI Sabah tidak asing bagi saya, katanya. Walaupun baru pertama kali bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah pada Julai 2012, tetapi beliau sering berkunjung ke negeri ini malah beliau bermenantukan orang Sabah kerana dua anak lelakinya berkahwin dengan gadis di bawah bayu. Beliau melihat masih banyak perkara yang boleh dikembangkan di negeri ini khususnya dalam bidang penerbitan, bahasa dan sastera.

HAJI JAMALUDDIN MOHD.SULONG dolahirkan pada 24 Julai 1954 di Kampung Jaya Gading, Kuantan, Pahang. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 8 dalam darjah satu hingga enam (1961-1966) sebelum melanjutkan pelajaran di Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Akar dalam Tingkatan Satu hingga Tingkatan Tiga. Selepas itu, beliau menyambung pelajaran dalam Tingkatan empat hingga lima di Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART) sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya dalam tahun 1975 untuk mengikuti kursus Prasains. Beliau mengambil bidang kimia, matematik, fizik dan geologi pada tahun pertama dan kedua di Universiti sebelum mengkhusus dalam bidang fizik dan matematik dan menjadi satu-satunya pelajar Melayu yang mengambil pengkhususan dalam bidang fizik dan matematik pada masa itu.
Selepas menamatkan pengajian di Universiti Malaya dalam bidang Fizik dan Matematik pada tahun 1980, beliau ditawarkan bertugas di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya sebagai Tutor Fizik. Selepas tiga tahun bertugas sebagai tutor, beliau ditawarkan untuk menyertai Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).
Sepanjang berkhidmat di DBP, Haji Jamaluddin pernah menjadi Editor Sains dalam bidang Fizik, Kejuruteraan dan Matematik. Selain terlibat dengan penerbitan buku pengajian tinggi, beliau pernah dipinjamkan ke Bahagian Buku Teks selama dua tahun untuk menangani penerbitan buku teks sekolah rendah dalam bidang sains dan matematik. Pada tahun 1998 sehingga tahun 2008, beliau mengetuai mengetuai Bahagian Multimedia DBP. Selepas itu, pada penghujung 2008,beliau dinaikkan pangkat mengetuai Bahagian Sains dan Teknologi. Pada Ogos 2010, beliau dilantik sebagai Ketua Bahagian Buku Umum DBP sehingga Julai 2012 sebelum bertukar ke Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah sebagai Pengarah.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemui HAJI JAMALUDDIN MOHD.SULONG di pejabatnya Teluk Likas kelmarin untuk berkongsi sedikit  pengalaman beliau sejak zaman kanak-kanak, zaman persekolahan hingga menjejakkan kaki ke Universiti Malaya selain bertanyakan pengalaman beliau sepanjang hampir 30 tahun bertugas di Dewan Bahasa dan Pustaka. Ikuti petikan wawancara yang dilakukan secara santai di pejabatnya, pagi kelmarin.


UB:       Boleh ceritakan sedikit masa kecil tuan haji? Dimana dilahirkan?
HJMS:             Saya dilahirkan di Kuantan, betul-betul berdekatan dengan Pengkalan Tentera Udara. Kira-kira 10 km dari bandar Kuantan. Ia juga tempat Jepun mendarat di Pantai Timur, sewaktu Perang Dunia Kedua. Tempat tu strategik .Tak begitu jauh dari Laut China Selatan. Masa saya kecil, saya dah biasa  nampak jet pejuang. Nama kampung saya, kampung Jaya Gading. Nama tu diberi oleh atuk saya sewaktu mula meneroka kampung itu. Waktu itu kawasan hutan  banyak gajah. Itulah sebabnya diberi nama Jaya Gading.

UB:       Dimana tuan haji bersekolah dulu?
HJMS: Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Batu 8. Darjah 1 tahun 1961, tahun 66 darjah enam. Sekolah itu terletak kira-kira 3 kilometer dari rumah. Ketika kecil arwah ayah saya menghantar saya ke sekolah naik basikal. Kiri kanan hutan.Kereta pun susah nak jumpa, mungkin setengah jam baru nampak satu. Itulah pemandangan tahun 60-an. Masa itu radio pun tak ada. Pernah satu ketika radio dipanggil `tetuang udara’ tetapi kerana istilah tu tak popular, sampai sekarang kita gunakan istilah radio. Hiburan tv pun tak ada.Sekolah Kebangsaan Batu 8 sekarang terletak berhampiran Sekolah Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah.

UB:       Sekolah menengah?
HJMS: Saya menduduki sekolah menengah di SMK Alor Akar, Kuantan, terletak berhampiran sebelah kem polis hutan dan sebelah Technical Institute. Waktu itu duduk asrama. Pertama kali berpisah dengan keluarga, air mata menitis. Waktu itu, nak pergi sekolah seperti waktu kita nak hantar jemaah haji. Bila kita balik asrama, bawa bekal pisang, bekal keledek dan macam-macam lagi. Naik tingkatan empat, pindah sekolah ke Sekolah Menengah Abdul Rahman Talib (SMART). Waktu peperiksaan dapat grade 3. Kemudian belajar sendiri. Lepas lulus, dapat tawaran belajar farmasi di Universiti Sains Malaysia (USM) dan dapat tawaran juga untuk belajar di Universiti Malaya.

UB:       Jadi tuan haji pilih UM?
HJMS: Saya pilih UM mengikuti Kursus Prasains. Waktu itu tahun 1975. Pertama kali naik bas ke Kuala Lumpur. Itulah pertama kali ke Kuala Lumpur. Kemudian turun Jalan Pekeliling. Lepas itu panggil teksi, beritahu pemandu teksi nak pergi ke UM.  Sampai di UM, turun di Dewan Tunku Canselor. Kemudian saya diberitahu, tempat belum ada. Terpaksa tunggu Prof Ungku Aziz, ketika itu sedang mesyuarat. Malam tu, terpaksa cari tempat tinggal sendiri, menumpang tempat kawan.Pinjam kain pelikatnya. Besoknya baru dapat tempat tinggal.

UB:       Berapa ramai pelajar dari Pahang ketika itu?
HJMS: Hanya saya seorang dari Kuantan masa tu, seorang lagi orang Temerloh, belajar biologi.

UB:       Tuan haji ambil jurusan apa?
HJMS:             Pada tahun pertama dan kedua, saya mengkhusus dalam bidang Kimia, Matematik, fizik dan geologi. Tahun ketiga, saya ambil fizik dan matematik. Saya buat pengkhususan dalam bidang fizik dan matematik.

UB:       Tuan haji tak ambil biologi?
HJMS: Waktu tingkatan 5, mata pelajaran biologi, adalah matapelajaran wajib. Pelajar diminta belah katak.Saya tak tahan bau klorofom. Diminta belah tikus putih itu, saya tak tahan. Ketika di universiti, saya tak ambil biologi.  Saya ambil empat subjek untuk tahun pertama. Geologi, Fizik, matematik dan kimia.Tahun dua, paling kritikal, kadar drop out tinggi, tapi kalau kita boleh lepas, tahun tiga dan tahun empat, Insya Allah lebih mudah. Kemudian saya ambil double major dalam bidang fizik dan matematik. Terdapat hanya lapan orang pelajar dalam fakulti sains ketika itu, satu orang melayu, seorang India dan enam lagi Cina.

UB:       Sungguh menarik pengalaman yang tuan haji lalui. Bagaimana boleh bersaing?
HJMS: Saudara bayangkan, saya ambil double major, fizik dan matematik. Saya terpaksa berhadapan satu sama satu dengan pensyarah saya. Hanya saya seorang pelajar yang ambil double major fizik dan matematik. Tapi saya yakin saya boleh melakukannya. Bangsa asing bukannya cerdik sangat tapi mereka kerja keras dan yakin. Kebolehan dan kemampuan sebenarnya sama saja.Bila kita tengok kalangan pelajar ketika itu, ada di antara mereka datang dari sekolah yang bagus.MCKK (Kolej Melayu Kuala Kangsar), SDAR (Sekolah Dato’ Abdul Razak) dan lain-lain. Tapi bila sampai ke Universiti, semuanya sama saja. Orang Melayu dikatakan malas, itu sebenarnya masalah sikap seseorang.

UB:       Ada rakan sekelas yang tuan haji masih ingat sewaktu di UM?
HJMS: Antaranya Prof Datuk Dr.Mohd Jamil Maah,Prof Dato Dr Mohd Sufian Azirun, Dr Zamri, Prof Shahrir  itu semua rakan sekelas saya. Seorang lagi ialah Dato’ Sri Dr.Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara (KSN)

UB:       Lepas dari UM, tuan haji kerja dimana?
HJMS: Saya ditawarkan untuk menjadi tutor di Pusat Asasi Sains Universiti Malaya. Pada masa itu, untuk masuk ke universiti, setiap negeri ada kouta. Malah ada juga yang memohon memasuki universiti dengan surat sokongan istana ketika itu. Kita ambil surat itu dan simpan. Pemilihan pelajar dibuat berdasarkan prestasi pelajaran mereka. Ikut kouta.

UB:       Apa keseronokan mengajar tuan haji?
HJMS: Yang menyeronokkan ialah apabila kita disapa oleh pelajar kita. Satu ketika saya pergi ke klinik gigi berdekatan Jalan Raja Laut. Doktornya seorang wanita, ketika itu dia menggantikan bapanya. Kita nampak macam kenal.Rupanya dia pelajar kita dulu.Namanya Dr Fauziah Yunus. Ada ketikanya ketika berada di Hospital Besar KL, ada doktor yang menegur kita, rupanya pelajar kita dulu sewaktu di UM.

UB:       Mungkin suasana universiti dahulu berbeza dengan sekarang?
HJMS: Saya masuk universiti, setahun selepas demonstrasi Baling. Waktu itu Universiti ada autonomi. Polis sendiri tak boleh masuk kawasan universiti. Waktu itu ada speaker corner, yang terletak dekat pintu masuk perpustakaan.  Sebenarnya speaker corner yang diadakan itu  banyak melatih.

UB:       Berapa gaji tutor ketika itu?
HJMS:             Kami adalah penerima yang pertama Skim Gaji Kabinet RM1,000 . Sebelum basic gaji hanya RM850 untuk lulusan universiti.

UB:       Berapa lama bertugas sebagai tutor?
HJMS: Kira-kira tiga tahun.     Selepas itu menerima tawaran untuk bekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Sebelum itu dapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran ke Swansea tetapi kerana tawaran lambat sampai, akhirnya memilih untuk berkhidmat di DBP.

UB:       Tahun berapa tu tuan haji?
HJMS: Tahun 1983. Pada masa itu, DBP juga amat memerlukan editor dalam bidang sains. Pada bulan Ogos 1983, saya bertugas di DBP sebagai Editor Sains dalam bidang fizik, kejuruteraan dan matematik. Waktu itu saya menguruskan penterjemahan buku-buku sains dan teknologi ke dalam bahasa Melayu. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pula mula menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di universiti. Selepas 15 tahun terlibat dalam penerbitan buku pengajian tinggi, saya diminta pula untuk menangani penerbitan buku teks sekolah rendah dalam bidang sains dan matematik.

UB:       Apa pengalaman yang menarik sewaktu bertugas di Bahagian Buku Teks?
HJMS: Pada mulanya saya agak keberatan untuk menangani buku teks sekolah rendah kerana saya terbiasa untuk menguruskan pengajian tinggi.  Apatahlagi saya tidak mempunyai asas pedagogi.Tetapi Timbalan Ketua Pengarah DBP  meminta saya ke Bahagian Buku teks dan mempelajarinya.Saya terpaksa menghayati kurikulum sekolah, tebal buku teksnya pula sudah ditentukan.Kalau sudah ditentukan 130 muka surat, ia mesti setebal itu, tak boleh lebih atau kurang. Bulan Oktober, buku teks mesti sudah siap dicetak. Kita bekerja sampai malam.Kadang-kadang satu minggu tak balik. Kalau tiba waktu malam, suasana macam pasar kerana panas.Penghawa dingin terpaksa dimatikan. Kami makan nasi ayam saja. Buku terpaksa disiapkan . Tidur sejam atau dua jam terpaksa berbantalkan kamus.Bentang suratkhabar sebagai tikar. Sebelum orang datang jam 7.30 pagi esoknya, kita mesti sudah siap mandi dan berus gigi.

Banyak juga pengalaman sewaktu bertugas di bahagian buku teks. Pada satu hujung minggu, saya pernah ditahan polis kerana memandu kereta dalam keadaan mengantuk. Dia mahu mengiringi saya pulang, tapi saya menolak. Akhirnya kerana tak tahan lagi, saya memberhentikan kereta di pinggir jalan dan hanya terbangun apabila terdengar siren ambulans.

UB:       Selepas itu, tuan haji pindah ke bahagian mana pula?
HJMS: Saya ditugaskan untuk mengetuai bahagian multimedia iaiatu satu bahagian baru yang ditubuhkan di DBP. Saya menjadi perintis dan bertugas di sana dari tahun 1998 hingga 2008. Pada penghujung 2008, saya dinaikkan pangkat dan mengetuai Bahagian Sains dan Teknologi. Tidak lama kemudian, iaitu pada bulan Ogos 2010, saya dinaikkan pangkat lagi dan mengetuai Bahagian Buku Umum sehingga Julai 2012 sebelum dilantik sebagai Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sabah.

UB:       Selain tugas sebagai editor, apa tugas lain yang tuan haji laksanakan?
HJMS: Selain tugas hakiki, saya juga melibatkan diri dalam pengendalian Bengkel Penulisan Buku Ilmiah, Bengkel Penerbitan Elektronik, Bengkel Penyuntingan, Bengkel Gaya Dewan, Bengkel Bahasa, dan Bengkel Perolehan Judul Baharu.

UB:       Sepanjang bertugas di DBP, berapa buku yang tuan haji uruskan?
HJMS: Sepanjang berkhidmat sebagai editor di DBP, saya telah berjaya menguruskan berpuluh-puluh buah buku karya asli dan terjemahan dan menghasilkan sekitar 60 judul penerbitan multimedia dan portal penerbitan elektronik.

UB:       Mungkin banyak negara yang tuan haji pernah kunjungi?
HJMS: Saya pernah mendapat peluang untuk menimba pengalaman penerbitan di London, Tokyo, Korea dan Frankfurt Jerman.

UB:       Oh ya, setelah bertugas di Sabah, apa pandangan tuan haji terhadap kesusasteraan di negeri ini?
HJMS: Banyak lagi yang boleh diperkuatkan. Kita mesti mengangkat dan menghargai khazanah kita. Banyak yang kita boleh kembangkan lagi, bukan saja dalam bentuk penulisan, malah dalam bentuk video, animasi dan sebagainya.
Selain itu, kita mengharapkan kerjasama yang erat daripada pihak kerajaan khususnya Kerajaan Negeri.  Badan-badan korporat dan syarikat-syarikat juga diharapkan boleh membantu supaya bahasa dan sastera kita boleh berkembang.

UB:       Apa agaknya kelemahan kita?
HJMS: Saya melihat antara kelemahan kita ialah pengurusan masa. Kita banyak membazir waktu.Kalau di Jepun atau Jerman misalnya mereka sangat menghargai waktu. Ketepatan masa. Kita harus mendidik masyarakat kita agar menghargai masa.Pemimpin harus menjadi contoh.

UB:       Apa azam tuan haji sebagai pengarah DBP Sabah?
HJMS: Iltizam saya ialah saya mahu memantapkan program kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan di Sabah.Masih terdapat banyak lagi ruang yang boleh diperbaiki dan dipertingkatkan. Bagaimanapun dalam usaha memantapkan program kebahasaan, kesusasteraan dan penerbitan di negeri ini, saya mengharapkan sokongan dan kerjasama yang padu daripada badan penulis, agensi kerajaan dan swasta. Kita juga berharap kerjasama dan sokongan padu daripada semua pihak kepada DBP selama ini akan berterusan.


            UM banyak mengubah hidup saya, memberi banyak pengalaman dan sebagainya.


2 comments

Assalamualaikum wbt Saudara Abd Naddin
Saya ingin bertanya kepada Saudara berkaitan penghantaran karya-karya puisi atau cerpen ke media-media di sabah. Saya baru berjinak2 dgn bidang penulisan kreatif dan sekarang menetap di kuala lumpur. Teringin utk menghantar karya penulisan saya ke media media di sabah seperti suratkhabar dan majalah-majalah tapi saya tidak menemui cara menyalurkannya. Harap Saudara Abd naddin dapat membantu saya untuk menyumbang sesuatu kepada negeri Sabah.

Terima kasih.

A Wang Ku Mohd Khairy
mdkhairy30@gmail.com

salam. terima kasih atas respon.
Saudara Awangku boleh menghantar puisi kepada abdnaddin@yahoo.com. hantar tiga atau empat puisi dan biodata sekali. tk. semoga terus berkarya