Saturday, February 2, 2013

Tak ada yang kekal kecuali perubahan

TAK ADA YANG KEKAL KECUALI PERUBAHAN

SIAPA tidak kenal nama Datuk Haji Karim Ghani dalam arena politik Sabah?.  Namanya hampir tidak dapat dipisahkan dengan sejarah politik Sabah sejak beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) 1976. Lima bulan kemudian, beliau kalah 16 undi di Kawang dalam pilihanraya yang diadakan pada tahun yang sama. Jatuh bangun dalam politik tidak mematahkan semangat bekas Naib Presiden USNO ini. Malah beliau adalah antara orang yang mula-mula mencadangkan kemasukan UMNO ke Sabah, yang mengakibatkan beliau dipecat dan kehilangan kerusi. Selepas UMNO mengembangkan sayapnya ke negeri ini, Datuk Karim Ghani dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Sabah. Sepanjang penglibatannya dalam politik, beliau pernah menjadi ADUN dilantik, ADUN dipilih, ADUN dipecat dan kemudian pernah dilantik sebagai Ahli Dewan Negara dari dari tahun 1999-2002.
Bagaimanapun pada Oktober 2010, beliau mengambil tindakan drastik keluar daripada UMNO.
Beliau kini adalah Pengarah Biro Strategik Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sabah selain kegiatan sehariannya  bercucuk tanam, memelihara kambing dan lain-lain

Datuk Haji Karim Ghani menerima pendidikan awal di beberapa daerah iaitu Sipitang, Beaufort, Mempakul,Membakut,Bongawan, Keningau  kerana mengikut ayahnya, Abdul Ghani Pendek yang bertugas sebagai guru. Selepas itu, beliau meneruskan pendidikan menengah di Sabah College (kini Maktab Sabah) 1957-1961. Anak sulung daripada 13 adik beradik ini pernah melanjutkan pelajaran di United Kingdom dalam bidang pentadbiran dan undang-undang. Beliau juga pernah menjadi kerani di Jabatan Pelajaran, Penolong Pegawai Daerah (ADO) Luar Bandar di Tawau, Keningau dan Tenom, Penolong Setiausaha Perjawatan, Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri, Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan dan banyak lagi.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual DATUK HAJI KARIM GHANI pada satu pagi yang cerah di sebuah restoran di Jalan Gaya. Dalam sesi temubual santai itu, beliau menceritakan  pengalamannya ketika masih kanak-kanak, remaja dan penglibatan awal dalam bidang politik, pandangannya mengenai PRU-13.

UTUSAN BORNEO:      Sejak bila datuk minat dalam bidang politik?
DATUK KARIM:           Bermula dari zaman sekolah lagi. Saya pergi sekolah Melayu.Bapa saya cikgu. Itulah sebabnya saya pindah banyak sekolah. Sipitang, Beaufort, Bongawan, Mempakul, Membakut.Dimana bapa saya dipindahkan saya pun ikut. Lepas darjah lima tukar sekolah lagi.Balik darjah 1 hingga tiga di St John Beaufort Apabila  bapa tukar ke Keningau, balik darjah satu lagi. Kemudian bapa mengajar di Kawang.Tahun 57 saya lulus darjah enam.Dulu tidak macam sekarang. Waktu usia 17 tahun, saya baru tingkatan satu di Sabah College.

UB:       Siapa rakan sekolah datuk di Sabah College ketika itu?
DK:       Antaranya Bahari Aship, Vernon Skinner, Dr Tham, Shirley Chin dan lain lagi.

UB:       Banyaklah pengalaman datuk pindah-pindah sekolah. Datuk anak keberapa dalam keluarga?
DK:       Saya anak pertama dar 13 adik beradik. Empat sudah meninggal. Ayah saya, Cikgu Abd.Ghani Pendek. Bapa saya datang dari Malaya kira-kira 100 tahun yang lalu. Mungkin sebagai PTI juga waktu itu. Dia masuk ke Sabah dan ditangkap oleh atuk  saya sebelah emak. Masa itu Sabah diperintah Chartered Company. Polis  yang menangkap bapa saya itu, akhirnya jadi mertuanya. Ibu saya adalah cucu saorang Kadazan Papar…kg Tamoi. Nenek perempuannya mempunyai 10 adik beradik.Semuanya perempuan.Nenek perempuan saya Dusun/Kadazan dari Membakut/KualaPenyu,berketurunan Dusun/murut/iban.. Atuk saya sebelah mama, kira-kira 160 tahun yang lalu dibawah oleh Chartered Company. Oleh sebab itu, banyak darah mengalir ditubuh saya. Sewaktu kecil, Kami tinggal di Sipitang, maka bolehlah saya bercakap Brunei. Kalau bercakap dusun, emak saya masih Dusun. Cuma sekarang lidah agak kelat sedikit. Saya bersekolah di Kawang, bolehlah saya bercakap Bajau.

UB:       Bagaimana suasana persekolahan ketika di sekolah menengah?
DK:       Ketika bersekolah menengah, saya tinggal di asrama. Boleh dikatakan saya mewah pada masa itu. Saya menulis cerita pendek di Radio Sabah. Satu cerpen dibayar 15 ringgit, kalau dua cerita pendek, sudah cukup lumayan. Selain itu saya jadi tukang kebun di rumah guru besar.Dapat upah 30 ringgit. Saya juga menulis di akhbar. K.Bali waktu itu pengarang Kinabalu Sabah Times. Antara rakan yang menulis ketika itu, Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Tahir Hamid (Kisnawati), Saidi Lampoh (S.Mala) dan lain-lain.

UB:       Apa respon pelajar ketika cadangan penubuhan Malaysia dikemukakan?
DK:       Malaya merdeka pada 31 Ogos 1957. Pada tahun 1961, ketika berucap di depan wartawan di Adelphi Hotel Singapura, Almarhum Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia. Ketika itu, saua sudah bekerja di Jabatan Pelajaran dengan gaji 150 ringgit sebulan. Dengan gaji itu, saya dapat beli basikal raliegh secara pinjaman. Bayar-tiao-tiap bulan lima ringgit. Ketika itu kami tinggal di rumah panjang di Tanjung Aru. Selepas Tunku mencadangkan penubuhan Malaysia itu, Tun Mustapha memberikan sokongan penuh. Kami para pemuda, pergi ke satu majlis yang diadakan di  masjid Kampung Sembulan. Antara yang saya ingat ada waktu itu ialah Sanin Pandin. Malam habis waktu  isyak,Saya tanya Tun, apa jaminan jika masuk Malaysia? Tun marah sampai buka baju, pakai singlet saja.Saya dituduh komunis. Lepas itu, apabila diberitahu, bahawa saya anak cikgu Ghani, dia sebaliknya mendekati saya, dan sayang kepada saya. Rupanya bapa saya dulu, di bawah ke Kudat dan tinggal sama dia.

UB:       Lepas itu datuk banyak terlibat dalam proses pembentukan Malaysia?
DK:       Pada hujung tahun 62, ada interview divisyen 3.Saya ikut temuduga itu. Apabila bderjaya saya ditukar ke Tawau. Saya dilantik sebagai Penolong Pegawai Luar Bandar. Ketika itu, Suruhanjaya Cobbold mengadakan tinjauan. Ramai golongan rakyat yang hantar memorandum. Saya ditawar untuk menjadi penterjemah. Jadi saya yang menterjemah memorandum itu dari bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris. Sewaktu pembentukan Malaysia, saya menjadi penterjemah IGC. Waktu itu saya menjadi ADO Tenom. Antara rakan saya yang lain ialah Marcus Otigil, Haji Jasni Gindug, dan Datuk Alip.
Kerana terlibat sebagai penterjemah itu, saya diberikan penghargaan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri. Selepas jadi ADO Tenom, saya dilantik sebagai ADO Keningau.Satu bulan kemudian, saya ditukar lagi menjadi ADO Papar. Lepas itu, saya bertolak ke London, belajar bidang pentadbiran di South Devon Technical College, England.

UB:       Bila pula tu?
DK:       Mulanya saya pergi tahun 64, belajar Public Administration di South Devon Technical College. Pada tahun 1968, sekali lagi saya ke London untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pentadbiran.Pada tahun 1970, saya ke London semula untuk mempelajari bidang undang-undang.

UB:       Oh ya, Boleh ceritakan sedikit pengalaman datuk dalam bidang kerjaya?
DK:       Mula-mula selepas tamat persekolahan, saya kerja sebagai kerani di Jabatan Pelajaran. Kemudian apabila ada temuduga untuk jawatan divisyen tiga, saya menyertai dan lulus. Kemudian saya dilantik sebagai ADO Luar Bandar di Tawau, Tenom, Keningau dan Papar. Pada tahun 1964, saya bertolak ke South Devon Technical College,Selepas balik dari London, saya dilantik sebagai Setiausaha Sulit kepada Tuan Yang Terutama Yang Di Pertua Negeri Sabah pada tahun 1966. Ketika itu, Tun Ahmad Raffae yang menjadi Yang Di Pertua Negeri.

UB:       Selepas itu?
DK:       Tahun 1967, ada pilihanraya. Tun Mustapha datang minta tolong untuk memenangkan USNO. Jadi Mulkiaman (Sherzeman Mulkiaman Sherzeman)  tanding di Bongawan manakala Jumah Sallim tanding di Papar. Dua-duanya menang. Sebelum itu, tahun 1966, ada pilihanraya majlis daerah. Saya di keningau. Madi, bapa si Emin, satu orang disana dia menang sebagai calon USNO.

UB:       Lepas itu datuk berkhidmat dimana?
DK:       Selepas pilihanraya 1967, saya dilantik sebagai Penolong Setiausaha Perjawatan. Datuk Dzul (Dzulkfli Abdul Hamid) ketika itu DO Tuaran dipanggil untuk menjadi Assistant Special Secretary (ASS) tapi kerana dia tidak suka singkatan jawatan itu, maka jawatannya ditukar kepada Special Asistant Secretary (SAS).
Sebagai pegawai kerajaan, kita datang pejabat jam 8.00 pagi dan pulan jam 4.00 petang. Sebagai pemimpin kita memberikan contoh yang baik.

UB:       Lama berkhidmat di sana datuk?
DK:       Pada tahun 1970, saya ditukar ke Sipitang. Tapi saya tidak jadi ke Sipitang sebaliknya,saya terbang ke London untuk belajar undang-undang di Royal Public Administration London. Baru satu tahun lebih disana, saya dapat telegram suruh pulang. Saya dapat telegram jam 9.00 pagi, jam 10.00 pagi, Crown Agent datang bawa tiket. Selepas pulang saya dilantik sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Perhubungan Kerjaya dari tahun 72 sampai  Julai tahun 75. Waktu itu saya rapat dengan datuk Harris dan Tun Fuad. Mereka jemput saya sertai Berjaya, tapi saya bilang tidak.
Kemudian pada tahun 1976, saya dilantik sebagai Adun dilantik dan menjadi ayam sabung dalam dewan. Lima bulan kemudian ada pilihanraya kecil. Saya tanding lawan Datuk Fred Sinidol. Saya kalah 16 undi. Datuk Fred Sinidol dapat 2,260, saya dapat undi 2,244 undi.
Tahun 1986, saya tanding N.34 Bongawan atas tiket USNO dan menang.  Kalau berdasarkan rekod, tahun 76, USNO dapat 20 kerusi, tahun 81 dapat tiga kerusi, tahun 85 dapat 16 kerusi, tahun 86 tinggal 12 kerusi.

UB:       Apakah itu sebabnya yang membuka laluan kepada UMNO untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah?
UB:       Sebelum itu banyak peristiwa yang terjadi. Pada tahun 1985, Tun Dr.Mahathir mengumumkan akan timbul tenggelam bersama Berjaya. USNO membuat pakatan bersama PBS melawan Berjaya dalam pilihanraya 1985.  Kira-kira jam 10.00 malam ketika keputusan diumumkan, saya telefon Herman Luping (Tan Sri) supaya sediakan paper kabinet. Saya telefon dia tidak jawap.  Saya rasa perjanjian sebelum itu tidak ditepati.Saya kemudian telefon Datuk Harris, Datuk Majid Khan yang jawap.Saya tanya apakah dia boleh jamin ADUN Berjaya, dia kata boleh. Kemudian dia datang ke rumah Tun Mustapha, Datuk majid Khan dan Datuk Malik Chua. Mereka kemudian naik ke bumbung rumah Tun untuk berbincang. Tun suruh saya supaya tidak perbincangan itu. Selepas mereka pulang, TYT Tun Adnan  Robert telefon minta Tun Mustapha datang pergi istana. Ketika itu, TYT boleh melantik ketua menteri, siapa yang dia fikir mendapat sokongan majoriti.  Dia setuju angkat sumpah bentuk kerajaan pukul tiga pagi. Ketika itu ada kouta ADUN dilantik. Tiba-tiba, Majid Khan mahu dilantik menteri kewangan.Tun Mustapha tidak setuju.Dia orang pulang. Kemudian Tun Musa Hitam beri keputusan, Pairin angkat sumpah. Begitulah lebih kurang senario ketika itu.
Kalau Tan Sri Herman Luping, jawap telefon ketika itu, mungkin sejarahnya lain.

UB:       Oh begitu!
DK:       Kemudian dalam pilihanraya yang diadakan setahun kemudian, kita hanya mendapat 12 kerusi. Ketika itu, kita berasa kita dikhianati. Kerana itu kita bawa UMNO masuk ke Sabah. Pada akhir tahun 86, kita bawa usul untuk membawa UMNO masuk ke Sabah. 46 bahagian USNO menyokong, hanya dua iaitu Penampang dan Pensiangan yang menolak. Kita rasa ada keperluan untuk membawa UMNO masuk ke Sabah ketika itu. Bagaimanapun akhirnya saya dipecat . Kemudian Tun Mahathir mempelawa Tun Mustapha menyertai UMNO. Ungkapan Allahyarham Tun ketika itu ialah berpindah dari kapal kecil ke kapal besar.

UB:       Maknanya datuk terlibat membawa UMNO ke Sabah?
DK:       Benar, saya yang mencadangkan supaya UMNO di bawah masuk ke Sabah pada 1986. Tapi ketika UMNO masuk ke Sabah tahun 1991, saya tiada kena mengena.Waktu itu saya berada di luar USNO. Di peringkat cadangan saya terlibat, di peringkat pelaksanaan saya tidak terlibat. Selepas di pecat itu, saya terpaksa kosongkan kerusi. Kalau tidak dipecat mungkin sejarahnya lain. Tapi saya tidak masuk Berjaya atau PBS, saya hanya masuk UMNO apabila parti itu mengembangkan sayapnya ke Sabah. Saya dilantik Ketua Penerangan UMNO Sabah.

UB:       Apa peranan datuk ketika pilihanraya 1994 itu?
DK:       Saya dilantik pengarah gerakan pengundi luar. Saya memastikan dimana pengundi membuang undi.Dimana dia orang mengundu.Yang di Kudat, pulang ke Kudat. Saya yang atur mereka mengundi.Kami cari senarai pengundi yang ada dalam buku daftar, dan kita aturkan mereka mengundi.           

UB:       Rasa ingin tahu juga, apa pendapat Datuk mengenai pilihanraya kali ini?
DK:       Kita tengok sejarah. Ketika pilihanraya kecil Batu sapi, ketika itu slogan ini kalilah selalu disebut oleh rakyat. Kita tengok sejarah.Tahun 1976, slogan rakyat ialah Berjaya! Berjaya!, hasilnya USNO kalah. Tahun 1985, PBS dan USNO lawan Berjaya, slogannya tukar Baju. Akibatnya berjaya kalah. Pada 1994, tiada apa apa slogan, PBS Tumbang apabila Datuk Lajim, Datuk Rubin melompat kepada UMNO. Kali  ini slogan `Ini kalilah’ semua orang Sabah tahu, di KL pun orang selalu sebut.

UB:       Apa ramalan datuk?
DK:       Dalam pilihanraya ini kali, pembangkang boleh menang. Cuba tengok, USNO kalah tahun 76. Tujuh campur enam, jawabnya 13. Angka 13 bagi orang Cina atau orang barat dianggap tidak bagus. Cuba lihat lagi. Berjaya kalah tahun 85. Lapan campur lima, jawabnya 13, Kemudian tahun 94, sekali lagi bertukar kerajaan, Sembilan tambah empat, jawabnya 13. Kalau kita lihat, tahun ini 2013. Benar-benar angka 13.Ini membawa isyarat yang tidak bagus kepada BN. Satu campur tiga, jawabnya empat.Empat dalam bahasa Cina, bunyi Se, yang maksudnya mati.

UB:       Apa yang datuk harapkan, kalau PR ditakdirkan menang?
DK:       Cita-cita saya sederhana sekali.Harga kelapa sawit naik sikit, harga baja turun sikit, syukur Alhamdulillah.

UB:       Apa agaknya harapan yang boleh dicapai lagi?
DK:       Saya sedang mencari pokok, yang kalau kita tanam sekarang berbuah lima puluh tahun kemudian. Sekarang kalau kita tanam, pokok durian, lapan tahun sudah berbuah. Kalau kita tanam pokok bambangan, Sembilan tahun sudah berbuah. Saya mahu mencari pokok yang berbuah lebih lama.

UB:       Nampaknya datuk juga aktif ber`facebook?’
DK:       Ya. Cuma saya nasihatkan kepada orang muda, supaya mereka lebih berani memberi pandangan.jangan takut.Guna nama sendiri.jangan bersembunyi di sebalik nama.

UB:       Apa nasihat datuk?
DK:       Alam sabah ini belum diteroka sepenuhnya.Kita memiliki kekayaan alam yang taiada taranya. Lautan kita luas, hidupan marin kita pelbagai dan banyak lagi. Kita Cuma perlu mencari cara bagaimana kita menjinakkan burung tekukur, atau burung punai untuk dikomersilkan. Kita telah berjaya untuk memelihara burung puyuh.Saya fikir ilmu penternakan perlu diperhebatkan lagi.
Nasihat saya supaya kita menceburi bidang yang kita kuasai. Kita berniaga apa yang kita tahu. Kalau tidak, nanti kita berniaga kambing rugi, pelihara ayam rugi, tanam tanaman tidak menjadi kerana kurang ilmu.  Buat kerja yang kita sudah mahir.

UB:       Kata-kata akhir daripada datuk?
DK:       Tak ada yang kekal di dunia ini kecuali perubahan. Kita kena menyesuaikan diri dengan perubahan.Perubahan saja yang kekal. Umpamanya, kalau dulu, kita minum  hotel lima bintang, sekarang kerana masa sudah berubah, kita biasakan diri minum di  kedai kopi. Kalau dulu kita mampu naik mersedez, kita kena sesuaikan diri dengan masa.Kalau tidak tidak kita boleh jadi gila. Tak ada yang kekal di dunia ini kecuali perubahan.Ingat itu.Perubahan saja yang kekal.




2 comments:

Muhamat Abd.Rahman said...

Salam Sdr Abd.naddin,
Temuramah anda dengan Datuk Karim Ghani amat baik sekali. Imformatif dan penuh dengan peristiwa sejarah

abd naddin said...

ya terima kasih cikgu atas apresiasi. semoga saya dapat menemuramah lebih ramai lagi tokoh untuk melengkapkan catatan sejarah kita