Friday, March 29, 2013

CIKGU YAKUB UTON, DARI BURUH KASAR JADI GURU BESAR



CIKGU YAKUB UTON, DARI  BURUH KASAR  JADI GURU BESAR


Ketika berumur 13 tahun, beliau sudah biasa masuk hutan keluar hutan. Dalam usia semuda itu, semangat patriotisme dan nasionalismenya tumbuh dan tekadnya kuat untuk membela negara. Pada masa itu, beliau menjadi `pandu jalan’ kepada Askar Melayu Diraja yang sedang memerangi gerombolan dari seberang sewaktu konfrontasi Malaysia-Indonesia.  Tiada siapa menyangka, kanak-kanak yang sanggup meredah denai itu,setelah melalui pengalaman pahit manis sepanjang liku liku hidupnya,  akhirnya menjadi guru dan pernah menjadi Tokoh Guru Kota Kinabalu 2010. Siapakah dia?

Cikgu  Yakub Uton lahir di Mentadak, pulau Sebatik pada tahun 1951. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan Sungai Tamang Tawau bermula 1965 dan tiga tahun kemudian lulus peperiksaan darjah enam. Selepas itu, pada tahun beliau menuntut di SMK Kuhara dalam kelas peralihan. Kerana kemiskinian, beliau terpaksa berhenti sekolah dan menjadi buruh kasar. 

Beberapa tahun kemudian, beliau memohon menjadi guru dan diterima mengajar di SRK Mentadak dari tahun 1971 hingga 1973. Pada 3 Mac 1971, Cikgu Yakub berpindah ke SK Kuala Merotai. Tahun 1972, beliau mengambil peperiksan SRP dan lulus pangkat A. Kemudian beliau memasuki Maktab Perguruan Kent 1974-1975. Sebaik lulus maktab, beliau mengajar di SRK Kalabakan dan kemudian SK Bergusong pada tahun yang sama iaitu 1976. Tahun 1977 hingga 1985, beliau bertugas di SRK Mentadak Baru. Pada tahun 1985 hingga 1988,Cikgu Yakub dinaikkan pangkat sebagai guru besar. Pada tahun 1988-1989, beliau berpindah ke sekolah yang lebih besar iaitu SK Balung dan dilantik sebagai Penolong Kanan.

Pada tahun 1989-1997, beliau dilantik sebagai Guru Besar SK Batu 4, Jalan Apas Tawau dan kemudian dilantik Guru Besar SK Tempasuk 1 Kota Belud pada 1997-1998. Selepas itu, beliau ditugaskan sebagai Guru Besar SK Kinarut 1998-2000. Setelah itu, pada 2000-2001, beliau dilantik sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu.Cikgu Yakub  dilantik sebagai Guru Besar SK Tanjung Aru 1 pada 2001-2003, kemudian pada tahun 2004, Cikgu Yakub dilantik sebagai Penyelia Kanan Penilaian dan  Peperiksaan, dan Ketua  Unit UPSR sehingga bersara pada 14 Februari 2008.
Beliau pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali iaitu 1985 dan 2003, Pingat Ahli Mangku Negara (AMN) 2002, Ahli Darjah Kinabalu (ADK) 2009.

Selain itu, atas jasa baktinya beliau diiktiraf sebagai Tokoh Guru Kota Kinabalu 2010. Pada tahun 2011, beliau mendalami kaedah perubatan Islam dan mendapat ijazah Perubatan Islam pada tahun 2012 daripada Dato Dr.Harun Din. Selain itu, beliau pernah menjadi Timbalan Presiden Kesatuan Guru Kerajaan Sabah (KGKS) Cikgu Yakub mendirikan rumah tangga dengan Puan Normah binti Abdul Hamid dan dikurniakan lima orang anak.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual Cikgu Yakub Uton di ibu negeri untuk berkongsi pengalaman mengenai kehidupannya sejak kecil sehingga menjadi guru. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan secara santai di sebuah restoran di Jalan Gaya.

UTUSAN BORNEO:      Apa khabar Cikgu? Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.

CIKGU YAKUB:             Khabar baik.Terima kasih.

UB:       Boleh ceritakan sedikit kisah masa kecil ketika berada di Pulau Sebatik, mungkin banyak yang menarik.
CY:       Saya lahir di Mentadak, Pulau Sebatik pada awal 1951. Antara tahun 1962-1963, saya ikut Askar Melayu Diraja memerangi gerombolan Indonesia semasa Konfrontasi. Antara askar yang masih saya ingat namanya ialah Sarjan Yakub Kedah, Koperal Yahya. Waktu itu saya jadi ` pandu jalan’ dalam hutan. Bukan hutan besar, hutan belukar saja.

UB:       Cikgu tidak bersekolah masa itu?
CY:       Apabila Sabah mencapai kemerdekaan dengan terbentuknya negara Malaysia pada tahun 1963, kami pindah ke Sungai Tamang. Di Rancangan Sungai Tamang, ada dibangunkan sebuah sekolah pada tahun 1964. Nama sekolahnya Sekolah Rendah Kerajaan Mentadak Baru.Nama kampungnya Kampung Rancangan Sungai Tamang. Pada tahun 1965, orang lain sudah sekolah. Saya mundar mandir kerana umur saya sudah 14 tahun lebih.

Ada seorang kawan, Mohammad bin Taham, kami sama-sama berusia 14 tahun lebih, masuk 15 tahun tapi tidak sekolah.Kemudian pada 1 Mac 1965, saya daftar sekolah dalam darjah 1. Sebaliknya arwah adik saya, Yatim Uton sudah darjah dua. Setahun kemudian entah kerana saya pandai, atau kerana saya sudah tua, saya dinaikkan darjah dua. Selepas itu, saya dinaikkan darjah 3 dalam tahun yang sama iaitu tahun 1966. Pada tahun 1967, saya dinaikkan darjah empat. Kemudian Cikgu Isdup Yusof, kumpulkan murud-murud yang boleh lulus peperiksaan darjah enam. Seramai 12 orang pelajar dilompatkan dan menduduki peperiksaan tahun 1968. Daripada 12 orang yang mengambil peperiksaan darjah enam itu, sepuluh orang lulus. Saya mendapat nombor dua di seluruh Pantai Timur. Seorang calon dari Lahad Datu mendapat nombor satu. Tapi saya nombor satu yang terbaik di Tawau. Ketika itu keputusan peperiksaan disiarkan di akhbar Daily Express dan Kinabalu Sabah Times.

UB:       Selepas itu, dimana cikgu menduduki sekolah menengah?
CY:       Saya memasuki SMK Kuhara sebagai pelajar `bridge class’ atau kelas peralihan. Tetapi kerana kemiskinan, pada 30 April 1969, saya terpaksa berhenti sekolah dan kemudian bekerja sebagai buruh kasar. Gaji RM54.00 sebulan.Pendapatan bersih hanya RM1.95 sebulan setelah ditolak hutang piutang, belanja makan dan sebagainya.  Saya menebas pokok lalang di Sungai Tongkang.  Antara rakan saya waktu itu ialah Husein Abdul Hamid dan Kullang Hussein.

UB:       Cikgu kerja dimana selepas itu?
CY:       Saya bekerja sebagai buruh kasar di NBT dengan gaji RM130.00 sebulan pada tahun 1970. Kemudian pada tahun 1971, saya bekerja sebagai buruh kasar di Syarikat Bakau Sabah dengan gaji RM150 sebulan.

UB:       Bagaimana pula kisahnya Cikgu memasuki kerjaya dalam bidang perguruan?
CY:       Pada 1 Jun 1971, saya memulakan kerjaya sebagai guru dengan gaji RM106.88 sen sebulan termasuk elaun. Itulah permulaannya. Saya dibantu oleh Cikgu Isdup. Saya mengajar matematik. Pada masa itu saya banyak membaca dan belajar buku Sejarah Melayu, Tenggelamnya Kapal Van Der Wijck Karya ulama terkenal Hamka, Sejarah Dunia, Sejarah Jepun, Syair Siti Zubaidah. Buku-buku itu dari Cikgu Isdup. Buku yang lain saya cari sendiri.

UB:       Lama mengajar di sana? Dimana tu?
CY:       Saya mengajar di Mentadak Baru dari tahun 1971 hingga 1973. Apabila ada sedikit perselisihan, saya ditukarkan 24 jam ke SRK Kuala Merotai iaitu pada 3 Mac 1973.

UB:       Apa yang cikgu lakukan masa itu untuk meningkatkan pencapaian dalam kerjaya?
CY:       Dalam tahun 1972, saya mengambil peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) secara persendirian dan lulus dengan Pangkat A. Dengan itu, saya layak memasuki Maktab Perguruan Kent. Waktu itu gaji RM150 sebulan.

UB:       Siapa rakan satu maktab yang cikgu masih ingat?
CY:       Antaranya Cikgu Hussin Basiran, Cikgu Kassim Sayuti,Cikgu  Jastin Naina, Cikgu Chacho Muhama, Cikgu Nurbayah Pangiran, Cikgu Roslee Umbang, Cikgu Jati Gunak, Cikgu Junaidi Haji Mansor.

UB:       Selepas itu, cikgu ditempatkan di mana?
CY:       Selepas keluar maktab, pada tahun 1976, saya ditempatkan di SRK Kalabakan. Dalam tahun yang sama, saya dipindahkan ke SRK Bergusong. Kemudian pada tahun 1977 hingga 1985, saya berkhidmat semula di SRK Mentadak Baru. Pada tahun 1985 hingga 1988, saya dinaikkan pangkat sebagai Guru Besar SRK Mentadak Baru, Sebatik. Pada tahun 1988 hingga 1989, saya dipindahkan ke sekolah yang lebih besar iaitu SK Balung sebagai Penolong Kanan. Dalam tahun 1989 hingga 1997, saya dilantik sebagai Guru Besar SK Batu 4, Jalan Apas. Kemudian pada tahun 1997 hingga 1998, saya ditugaskan sebagai Guru Besar SK Tempasuk 1 Kota Belud. Dalam tahun 1998 hingga tahun 2000, saya dilantik sebagai Guru Besar SK Kinarut. Selepas itu, pada tahun 2000 hingga 2001, saya dilantik sebagai Penolong Pegawai Pendidikan Daerah Kota Kinabalu. Kemudian saya dilantik sebagai Guru Besar SK Tanjung Aru 1 dalam tahun 2001 hingga 2003. Pada tahun 2004 hingga 2008, saya dilantik sebagai Penyelia Kanan  Penilaian dan Peperiksaan  atau Ketua Unit UPSR di Jabatan Pelajaran Sabah sehinggalah saya bersara pada tahun 2008, tepatnya pada 14 Februari 2008.

UB:       Mungkin ada anugerah yang cikgu terima sepanjang berkhidmat sebagai guru?
CY:       Saya pernah menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak dua kali. Kali pertama pada tahun 1985 dan kali kedua pada tahun 2003.Saya juga pernah mendapat pingat Ahli Mangku Negara (AMN) pada tahun 2002 dan kemudian Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada tahun 2009. Saya juga pernah dianugerahkan Anugerah Tokoh Guru Kota Kinabalu pada tahun 2010.

UB:       Bolehkah cikgu ceritakan sedikit pengalaman mengajar terutamanya ketika mengajar di Sebatik? Bagaimana pengalaman kalau misalnya mahu ke bandar Tawau?
CY:       Pada tahun 1971, saya selalu mengunakan perahu.Muatan perahu tidak melebihi sepuluh orang, biasanya hanya lima hingga tujuh orang boleh muat. Itu pada tahun 70 an. Pada tahun 1978, sudah ada bot. Biasanya dari kampung kita berangkat jam 5.00 pagi, baliknya jam 11.00 pagi, menggunakan bot Apolo 1, Hong Kong dan sebagainya.

UB:       Pernah karam di laut?
CY:       Saya pernah karam di laut pada tahun 1975, bulan Disember. Perahu disambar ribut. Waktu itu dalam perjalanan  pulang ke Pulau Sebatik dari Tawau. Kami empat orang. Arwah adik saya, Yatim Uton,Haji Lamri Suman dan Haji Dahlan Suman. Kami karam kira-kira jam 9.00 malam,tetapi perahu tak terbalik sebab ada papan dalam perahu.. Terpaksa berkayuh balik ke Sebatik.Kami hanya sampai di Mentadak Baru kira-kira jam dua atau tiga pagi.

UB:       Apa beza guru dahulu dengan sekarang?: Boleh beri komen?
CY:       Sebenarnya hampir sama saja. Kalau dulu guru punya komitmen, masa sekarang pun guru mempunyai komitmen. Guru-guru sekarang tinggi komitmen. Kalau dikatakan guru sekarang ada masalah, dulu pun ada guru yang bermasalah. Pada keseluruhannya guru-guru tinggi komitmen mereka dalam meningkatkan kualiti pelajaran. Komitmen guru sama walaupun tidak dinafikan memang ada yang bermasalah. Minta maaf saja, suratkhabar selalu `highlight’ yang bermasalah. Guru yang mengajar dengan penuh komitmen lebih ramai. Ini yang mungkin media lupa. Sepatutnya ini yang banyak ditulis.

UB:       Sewaktu bertugas dulu, apa pendekatan yang cikgu buat?
CY:       Seorang ketua mesti tegas. Saya agak serius dan agak tegas dalam banyak hal.Tanya guru-guru yang pernah berkhidmat di bawah jagaan saya.

UB:       Bercakap mengenai cabaran masa kini, mungkin masa kini lebih mencabar? Apa komen cikgu?
CY:       Ya, cabaran masa sekarang lain sikit. Dulu satu kelas, satu orang guru. Ini salah contoh. Sekarang tidak. Enam kelas terdapat 18 orang guru. Bayangkan. Cabaran masa kini lain sedikit.

UB:       Oh ya, apa lagi yang cikgu lakukan untuk meningkatkan diri?
CY:       Saya lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun 1976, Lulus Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) pada 1979, semuanya sebagai calon persendirian. Kemudian saya belajar Bahasa Inggeris dari UiTM pada 1990. Saya tidak pernah berhenti belajar. Saya sentiasa belajar. Saya lulus Ijazah Perubatan Islam  tahun 2012.

UB:       Apa cita cita cikgu dulu? Pernah terfikir jadi guru?
CY:       Dulu saya tak tahu apa-apa. Tiada cita-cita jadi cikgu. Maklumlah di kampung. Apa yang saya lakukan, petang main takraw, lepas main takraw main  badminton.

UB:       Sepanjang jadi cikgu, mungkin ada pengalaman yang menarik yang boleh dikongsikan?
CY:       Sewaktu bertugas di Sektor Pengurusan, Penilaian dan Peperiksaan, saya berpeluang melawat seluruh negeri dalam Malaysia.Hanya Perlis yang saya tak sempat pergi.


UB:       Berapa adik beradik cikgu?
CY:       Abah  mempunyai tiga isteri. Apabila meninggal isterinya yang pertama, kahwin dengan arwah emak saya. Apabila meninggal emak saya, beliau kahwin lagi, isteri ketiga. Kami sepuluh orang semuanya.

UB:       Apa yang cikgu ingat mengenai arwah bapa?
CY:       Beliau seorang yang tegas dan pemarah. Di sebaliknya beliau seorang yang amat penyayang. Ketika saya beusia setahun setengah, ketika melahirkan adik saya, arwah ibu saya meninggal. Sebab itu nama adik saya Yatim. Saya dipelihara oleh makcik dan nenek saya.  Bapa   saya seorang nelayan, saya ikut berkelong dengan arwah bapa.

UB:       Dulu kebanyakan orang hidup dalam kesusahan, bukankah begitu  Cikgu?
CY:       Cerita mengenai kesusahan hidup ini memang sudah sebati dengan saya.Sebab itu saya tidak boleh lihat orang susah. Semasa saya sekolah dalam darjah enam, sebenarnya pada sebelah petang saya bekerja di kedai sebagai tukang timbang barang. Gaji saya 30 ringgit sebulan dan  bos saya, John Weedon. Sejarah hidup saya amat sukar. Saya terpaksa berhenti sekolah pada 30 April 1969 dan memohon `orderly’ (budak pejabat) tapi tak dapat. Itulah antara cebisan hidup saya.

UB:       Sepanjang hidup cikgu, mana kerjaya yang paling menyeronokkan?
CY:       Saya lebih seronok berkhidmat sebagai guru besar. Apa yang paling menarik ialah apabila ada bekas murid kita berjaya. Jadi doktor, jadi pegawai bank dan sebagainya.Ada banyak pengalaman dimana ada murid kita menyapa Cikgu Yakub, masih kenal saya?

UB:       Apa hobi cikgu?
CY:       Saya minat membaca.Sebenarnya saya banyak membaca. Tidak memilih bahan. Saya juga minat bahasa dan sastera, walaupun saya bukan penulis. Tapi saya minat. Selain itu, saya selalu membaca al-Quran.

UB:       Mungkin ada kata-kata yang cikgu mahu sampaikan untuk pembaca?
CY:       Kalau kita bermain, jangan main-main, tapi bermainlah bersungguh-sungguh. Satu lagi, kalau kita bekerja, kita kena ikut masa dengan betul. Saya fikir, kalau kita lambat satu minit dalam satu hari, bermakna kita lambat sebanyak 365 minit dalam setahun. Jadi kalau kita fikirkan,  katakankah satu jam kita digaji satu ratus  ringgit bermakna ada 600 ringgit, duit yang tidak betul dalam gaji kita kerana 365 minit sama dengan enam jam lima minit.

UB:       Menarik untuk difikirkan cikgu. Ada lagi mutiara kata?
CY:       Bercakaplah kamu apabila kamu diminta bercakap. Bercakaplah kamu apabila kamu perlu bercakap. Mendengarlah apabila orang bercakap kerana semasa kamu mendengar, hati kamu sedang bercakap.


3 comments:

Kathy Rbain said...

salam..ni guru besar saya di sk mentadak baru dulu..

tano kemalak said...

Salam. Bagaiman dapat saya hubungi Cikgu Yakub Uton? Dzul Karnain Abdullah dzcar9@yahoo.com

tano kemalak said...

Salam. Bagaimana dapat saya hubungi Cikgu Yakub Uton? Dzul Karnain Abdullah dzcar9@yahoo.com. TQ