Saturday, March 23, 2013

ikan sadin pun boleh dianggap rasuah



JANGAN BERIKAN IKAN SADIN

KALI ini saya ingin bercerita mengenai seorang kenalan. Orangnya biasa saja. Orang biasa. Orang kampung yang biasa-biasa saja. Sebenarnya dia tidaklah begitu istimewa tetapi kehadirannya di pejabat kami petang kelmarin adalah sesuatu yang agak istimewa.

Istimewa kerana perkara yang diajukan atau diadukan itu bukanlah satu perkara yang biasa malah luar biasa. Apatahlagi, dia bukan orang yang berpendidikan dari kota tetapi dia datang dari kampung yang jauh terpencil di Kota Marudu.

Mulanya saya fikir dia datang untuk mengemukakan masalah mengenai tanah adat di kampungnya. Tetapi kedatangannya kali ini bukan kerana isu tanah warisan sebaliknya mengenai ikan sadin.

Ikan sadin?
Ya, soal ikan sadin. Katanya, satu tin ikan sadin, kalau diberikan semasa berkempen dalam pilihanraya boleh dianggap rasuah.

Kalau mahu berikan bantuan, apa saja jenis bantuan, berikanlah sekarang. Sebab kalau DUN atau Parlimen sudah dibubarkan, pemberian satu tin ikan sadin pun boleh dianggap rasuah.

Namanya Masidar.  Hari itu dia berbaju batik. Dia datang bersama Lonny . Seorang wanita bernama Andoni dan anaknya yang bernama Bibi Clorina. Sejak awal pagi lagi dia berangkat dari Koromoko. Jam 9, mereka berjanji untuk berjumpa di Kota Marudu. Minum pagi sebentar sebelum meneruskan perjalanan ke Kota Kinabalu. Tujuannya semata-mata untuk memastikan pilihanraya akan datang berjalan dengan bersih dan adil.

“Saya berharap pilihanraya kali ini berjalan lancar dan `halus’” katanya. Dia menggunakan perkataan halus sebagai anonim atau lawan kepada perkataan kasar. Menurutnya, proses kempen dalam pilihanraya yang pernah dialaminya agak kasar. Penuh dengan gertakan dan ancaman.

“Kalau kamu  undi parti ini, bantuan kamu akan ditarik balik,” katanya. Baginya, bukan soal siapa yang menang atau siapa yang kalah dalam pilihanraya itu nanti, yang penting jangan lakukan penipuan.  Jangan lakukan penyelewengan. Kerana kalau ada penyelewengan atau penipuan, akhirnya hasilnya tidak baik.

“Siapa saja yang menang, kita terima. Kalah menang dalam pilihanraya adalah perkara biasa,yang penting kita puas hati,” katanya. Oleh sebab itu, beliau menggesa agar jika ada apa saja jenis bantuan kepada orang ramai, disampaikan pada waktu sebelum dewan dibubarkan kerana jika ia dilakukan ketika musim berkempen, ia boleh dianggap sebagai rasuah.

Beliau meminta pihak-pihak pemantau pilihanraya, juga Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) supaya memainkan peranan  untuk memantau dan memastikan pengundi dapat menggunakan hak memilih mereka dengan baik. Jangan berlaku gertakan atau paksaan atau sogokan untuk mereka memilih sesuatu yang bertentangan dengan hati mereka. Rakyat mempunyai hak untuk memilih pihak yang mereka sukai.

Cuma Masidar meminta supaya pilihanraya berjalan dengan lancar dan ‘halus’. Beliau mahu supaya amalan rasuah semasa pilihanraya dihentikan. Ikan sadin pun boleh dianggap rasuah, katanya, jika ia diberikan dengan tujuan memancing undi.

Itu saja? Saya bertanya apakah beliau mempunyai urusan lain sanggup mengeluarkan perbelanjaan yang bukan sedikit semata-mata untuk berkunjung ke pejabat kami agar suaranya didengar dan diperhatikan.

Katanya, hanya itu saja tujuannya datang ke Kota Kinabalu supaya keputusan pilihanraya yang akan diadakan nanti `menimbulkan rasa puas hati’. Kalau tiadak unsur-unsur penipuan dan penyelewengan, kita rasa gembira dan puas hati.

Bagaimana kalau pilihanraya tidak adil? Saya sengaja bertanya. Andoni yang datang bersamanya menjawab “Kalau pilihanraya tidak adil, tidak payah mengundi.Kalau undipun sama saja,” katanya.

Yang penting jangan menindas kepentingan rakyat, katanya sambil mengkritik sikap sesetengah pemimpin khususnya wakil rakyat yang dianggap `bapa’ oleh rakyatnya sebaliknya wakil rakyat menganggap mereka sebagai anak tiri.

Apabila bubar, bantuan tidak boleh lagi bagi. Satu sadin pun juga boleh dianggap rasuah, katanya mengulangi lagi perkataan ikan sadin itu. Saya tertanya-tanya mengapa ikan sadin menjadi pengukur kepada bantuan yang dihulurkan. Mungkinkah mereka hanya menerima bantuan setakat ikan sadin atau pernyataan bahawa sekecil kecil ikan sadinpun jika diberikan sewaktu pilihanraya boleh dianggap rasuah?

“Kita mahu pilihanraya adil.Kita mahu `halus’ katanya. Siapa saja menang nanti kita berikan sokongan, asalkan jangan ada penipuan, gertakan atau penyelewengan. Sungguh, fikiran beliau maju dan istimewa.Padahal dia hanya orang biasa.Orang kampung biasa.

No comments: