Saturday, March 16, 2013

JAME ALIP, DULU BELAJAR GUNA LAMPU PELITA KINI JADI PENGARAH



JAME ALIP, DULU BELAJAR GUNA LAMPU PELITA KINI JADI PENGARAH

BAGAI sirih pulang ke gagang. Barangkali itulah peribahasa yang tepat untuk menggambarkan kepulangan Jame Alip ke Sabah. Sebelum ini, tokoh yang pernah menerima Sijil Anugerah Kecemerlangan (SSB) Peringkat Kebangsaan ini pernah menjadi Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia. Kini beliau kembali berkhidmat di negeri kelahirannya sebagai Pengarah Pelajaran Sabah yang baru sejak 4 Mac lepas.

Jame Alip lahir di Tenghilan, Tuaran pada 30 Mac 1956. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan (SRK) Tenghilan sebelum meneruskan pelaran Menengah di ST James Junior Secondary School Linsuk dari tingkatan 1 hingga 3 (1969-1972). Selepas itu, Jame menuntut di SMK Tamparuli dari tingkatan 4 hingga 5 (1973-1974). Setelah tamat persekolahan,   memasuki Maktab Perguruan Gaya dan berjaya mendapat Sijil Perguruan pada tahun 1976-1977.

Sebaik keluar maktab, beliau ditempatkan di SMK Mat Salleh,Ranau (1978-1981). Tidak lama kemudian Jame  melanjutkan pelajaran di Southern Illinois University (SIU) di Carbondale sehingga mendapat ijazah sarjana muda (BA) dalam bidang sejarah dan (MA) dalam bidang sejarah dan pengurusan pendidikan pada tahun 1981-1985.

Sekembalinya ke tanahair,  beliau bertugas  di SMK Arshad Kota Belud (1986-1990)  dan pernah menjadi Ketua Disilpin dan kemudian menjawat jawatan Penolong Kanan Hal Ehwal Murid. Pada tahun 1990, beliau menjadi pengetua pertama dan pelopor SMK Pekan Kota Belud yang baru dibuka,
Selepas itu, Jame dilantik sebagai pengetua SMK Taun Gusi (1991-1995). Kerjanya menapak setingkat lagi, apabila  dilantik sebagai Pegawai Pendidikan Bahagian Pantai Barat Utara (PBU) merangkumi Kota Belud, Ranau, Pitas ,Kota Marudu dan Kudat (2001-2003). Kemudian beliau dilantik pula sebagai Pegawai Pelajaran Gabungan  KOBTAR, Kota Belud, Ranau, Tamparuli (2003-2005)  Pada September 2005, beliau dilantik sebagai Ketua Nazir Negeri Perak dan merupakan orang Sabah pertama dinaikkan pangkat ke DG52. Pada tahun 2006-2008, beliau dilantik Pengarah IPG Keningau. Pada Ogos 2009, beliau dinaikkan pangkat ke JUSA C dan  dilantik sebagai Pengarah Bahagian Sukan Seni dan Kurikulum  di Kementerian Pelajaran. Jame kemudian dilantik Pengarah Bahagian Buku Teks Kementerian Pelajaran Malaysia.

 Pada 4 Mac 2013, beliau memulakan tugas secara rasmi sebagai Pengarah Pelajaran Sabah. Atas jasa baktinya, beliau telah dianugerahkan bintang kebesaran iaitu KMN (Kesatria Mangku Negara) dari Duli Yang Maha Mulia Yang di Pertuan Agung, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) dan Bintang Setia Kinabalu (BSK).

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual Jame Alip di pejabatnya di Tingkat 7, Bangunan Persekutuan, Jalan Sembulan  baru-baru ini. Ikuti petikan temubual  bersama beliau mengenai pengalaman sewaktu zaman kanak-kanaknya dan juga mengenai hala tuju pendidikan di negeri ini.


UTUSAN BORNEO:      Selamat bertugas tuan. Kami amat berterima kasih kerana kesudian tuan untuk ditemubual bagi mengisi ruangan Sembang Sabtu Utusan Borneo. Kami rasa berbangga kerana menjadi media pertama yang berpeluang menembual tuan. Mungkin ada program baru yang tuan perkenalkan sebaik dilantik Pengarah?
JAME ALIP:     Saya tidak perkenal program baru.Memadai kita teruskan  apa yang telah ada. Hanya kita buat transformasi.Saya lebih suka kepada transformasi. Kita balik kepada asas (go to the basic) untuk melonjakkan pencapaian pendidikan di sabah. Yang penting  guru mengajar, murid belajar. Jangan pula guru mengajar, murid tak belajar atau murid belajar, guru tak mengajar. Bagi saya, untuk meningkatkan mutu pelajaran di Sabah ialah kita kembali kepada asas. Guru Mengajar, murid belajar.

UB:       Apa yang tuan harapkan daripada profesion perguruan?
JA:      Kita mengharapkan guru-guru tetap dedikasi dan komited dalam kerjaya mereka. Dalam Pelan Pembangunan pendidikan (PPP) kita mahu guru guru produktiviti, kreatif dan inovatif dalam usaha melahirkan pelajar cemerlang.Kalau boleh semua A, semua pelajar dapat A. Kita tidak mahu hanya seorang dua orang dapat 5A. Kita mahu kalau boleh semua dapat A.

UB:       Bagaimana mencapainya?
JA:      Guru mesti kreatif, punya banyak bahan dan alat bantu mengajar untuk mengajar. Cabaran dunia pendidikan hari ini tidak seperti dahulu.Kini kita perlu membuat inovasi yang baru, misalnya guna ICT dan sebagainya.

UB:       Apa transformasi yang tuan harapkan?
JA:      Seperti yang saya katakan tadi, saya lebih suka melakukan transformasi.Apa yang sedia ada kita transformasi saja. Satu lagi yang saya fikir penting dalam memajukan sekolah perlunya penglibatan, ibu bapa, murid, guru, pengetua dan pemimpin.PIBG mesti menekankan kepada ibubapa betapa pentingnya pendidikan. Hanya pendidikan yang boleh membawa kemajuan dan mampu merubah keluarga. Sementara itu, kita harapkan agar murid berdisiplin, tidak nakal, tidak ponteng sekolah. Kita juga harap guru memiliki komitmen. Guru kalau komitmen tinggi, tidak kira masa. Pengetua pula mesti ada visi yang jelas, pencetus idea dan penjana pemikiran. Semua pihak perlu berganding bahu, tidak terkecuali juga pemimpin perlu memainkan peranan.

UB:       Cabaran dunia pendidikan makin sengit terutamanya alam mencipta kecemerlangan. Sebenarnya kita bersaing dengan siapa sekarang?
JA:      Sekarang saingan kita tidak seperti dulu.Kita bukan bersaing antara sekolah atau daerah. Kita akan fokus Kita tidak lagi bersaing dengan sesame sekolah di daerah kita tetapi kita bersaing dengan sekolah-sekolah terbaik di seluruh negara seperti Sekolah Alam Shah, Tunku Khursiah dan sebagainya. Saingan bukan lagi antara SMK Arshad atau SMK Taun Gusi misalnya, tetapi bersaing dengan sekolah yang lebih hebat.

UB:       Guru juga mesti berubah?
JA:      Saya mahu guru-guru berubah, bukan sekadar berubah tetapi mesti melangkah ke hadapan.Sekadar berubah tapi tidak melangkah, tidak guna juga. Kita harus berpandangan jauh, futuristik.Kita harus berubah dan melangkah ke hadapan.Selain itu kita mesti lebih fokus. Kalau mengajar, mengajar betul bukan sampingan.

UB:       Kembali kepada pencapaian UPSR di Sabah.Ramai yang mengatakan Bahasa Inggeris sebagai satu mata pelajaran `killer subject’.Apa komen tuan?
JA:      Kita mesti membudayakan penggunaan bahasa Inggeris di sekolah-sekolah.Misalnya ada hari tertentu, dimana kita perlu bertutur dalam bahasa Inggeris. Di samping kita memartabat bahasa Malaysia, kita juga memperkukuh bahasa Inggeris di sekolah sesuai dengan dasar MBMMBI atau MBMMBI Memartabatkan bahasa Malaysia dan Memperkukuh Bahasa Inggeris


UB:       Apa fokus Jabatan Pelajaran Sabah bagi tahun 2013?
JA:      Kita menyediakan 17 fokus sepanjang tahun ini. Antaranya, yang pertama  ialah Peningkatan Prestasi peperiksaan Awam UPSR, PMR, SPM dan STPM.Kedua, pencapaian Sub NKRA Pendidikan (GTP 2.0) yang meliputi pra sekolah Cemerlang dan Pra Sekolah Pendidikan khas Inklusif, Linus 2.0, Tawaran Baru dan Sekolah Berprestasi Tinggi.

Kita juga menumpukan Pencapaian Program Transformasi PPD termasuklah Pengurangan Bilangan Sekolah Band 6 dan Band 7, Peningkatan Gred Purata Sekolah (GPS), pengurangan Kadar 25 % perbezaan jurang bandar dan luar bandar dan Pencapaian enrolmen murid sebanyak 95 %.

Jabatan Pelajaran Sabah juga memfokuskan Pemantapan Pelaksanaan Dasar-Dasar Kementerian Pelajaran Malaysia, yakni pertama, Pelaksanaan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) & (Pentaksiran Berasaskan Sekolah ( PBS, kedua,Pelaksanaan Dasar MBMMBI (Memartabatkan Bahasa Malaysia Memperkukuh Bahasa Inggeris) dan ketiga Pelaksanaan Dasar 1 Murid 1 Sukan dan Melindungi Masa Instruksional (MMI).

Fokus kita yang seterusnya ialah Pemantapan Pengurusan Kewangan dan Akaun di Peringkat JPN Sabah, PPD dan Sekolah. Kita juga memfokuskan Pelaksanaan Projek Pembangunan Fizikal Institusi Pendidikan di bawah RP3 dan RMK-10, Pengurangan Kadar Ponteng Dalam Kalangan Murid Sekolah, Pemantapan Kepimpinan Pengurusan Sekolah, Pemantapan Sistem Pengurusan Kualiti di JPN Sabah, Pemantapan Pengurusan Data dan Maklumat, Pembangunan Sukan dan kokurikulum,Peningkatan Penguasaan Asas Pendidikan Islam Program J-Qaf.

Selain itu kita memfokuskan Pemantapan Kualiti Pengurusan Sekolah-Sekolah Agama di Sabah, Pemantapan Pengurusan Pelaksanaan Modul-Modul HRMIS di semua peringkat, pemantapan Pengurusan dan pengendalian Peperiksaan Awam, Pemantapan Perkhidmatan Kaunseling kepada pegawai dan kakitang pendidikan dan Pendemokrasi Kecemerlangan-Pencapaian Program Akun.

UB:       Saya tertarik dengan beberapa fokus Jabatan Pelajaran Sabah. Antara Peningkatan Prestasi Peperiksaan Awam khususnya UPSR.Boleh tuan jelaskan sedikit?
JA:      Kita akui bahawa prestasi UPSR di bawah prestasi kebangsaan dan prestasi rendah berbanding negeri-negeri lain. Kita letakkan sasaran GPN 2013 iaitu 2.20.Prestasi GPN 2012 ialah 2.31 dan KPI Kebangsaan ialah 2.30.

UB:       Bagaimana tentang Linus?
JA:      Program Literasi dan Numerasi (LINUS), kita mahu semua murid menguasai literasi dan numerasi Bercakap mengenai prestasi kita pada 2012 ,Kohort 1 yang berada di tahun 4 sekarang ialah Literasi 99.90 %, Numerasi 99.96 %. Kita meletakkan KPI 100%,Kohort 2 (iaitu Tahun 3 sekarang) kadar literasi ialah 93.72 % dan Numerasi 96.42 %. KPI kita ialah 100 %. Bagi Kohort 3 yang berada di tahun 2 sekarang, kadar literasi ialah 74.37 % manaka kadar numerasi ialah 84.23 %. KPI ialah 100 %. . Banyak yang kita lakukan untuk mencapai Sifar LINUS, ternasuk Selia Bantu Linus, perkasa Fasilinus, PLS-Lesson Study Linus, Bimbingan Berfokus FasiLinus dan Kepimpinan Pengajaran Transformatif.


UB:       Bagaimana pula sekolah band 6 dan band 7?
JA:      Masih terdapat sekolah band 6 dan 7 di Sabah. Tahun lalu, sebanyak 32 masih berada dalam band 6 manakala 3 sekoalh dalam Band 7 menjadikan jumlahnya 35. Sasaran kita untuk 2013  ialah 9 Sekolah Rendah Band 6.  Untuk Sekolah Menengah sebanyak 40 sekolah dalam Band 6 dan 6 sekolah dalam band 7 menjadikan jumlah kesemuamnya 46. Sasaran kita untuk 2013 ialah band 6 ialah 15 sekolah.

Antara tindakan yang kita buat ialah Program Pembudayaan Amalan PKS-SKPM 201 iaitu Program pengupayaan Pegawai JPN,PPD, Pengetua, Gutu Besar dan pehgawai Meja PKS-SKPM Sekolah, Task Force PKS-SKPM JPN dan PPD dan Program Skor 5.


UB:       Oh ya, boleh ceritakan sedikit pengalaman waktu sekolah dahulu?
JA:      Ketika sekolah dahulu memang susah. Sewaktu sekolah rendah, saya berjalan kaki sejauh 2 kilometer ulang alik ke sekolah. Kalau malam tiba, saya  belajar pakai lampu pelita. Dulu tidak ada lampu elektrik seperti sekarang. Saya memang dari keluarga yang susah. Selalu bantu ibu bapa. Jika sekolah petang, sebelah pagi saya membantu ibu bapa menoreh getah. Kalau mereka ke kebun getah,  Saya ikut potong getah.

UB:       Apa kerja bapa dulu?
JA:      Ayah saya, Alip bin Badar Beliau bekerja sebagai mandor ladang getah.manakala ibu saya Rahmah binte Tanjung.Mereka tiada pelajaran, pemotong getah tetapi menggalakkan anaknya belajar sekolah hingga ke peringkat yang lebih tinggi.


UB:       Tuan aktif dalam sukan dulu? Apa kepentingan sukan?
JA:      Saya aktif dalam sukan 100 meter dan 200 meter. Melalui sukan, kita bukan saja dapat melahirkan pelajar yang pandai tetapi pintar, bukan saja bijak tetapi bijaksana.

UB:       Dalam persatuan? Aktif juga?
JA:      Saya juga  aktif dalam persatuan Pengakap. Selain itu, saya pernah menjadi Timbalan yang Di Pertua Persatuan Guru Pelatih Maktab Gaya, sewaktu menjadi guru pelatih.Sewaktu menjadi pengetua, saya pernah menjadi Timbalan Presiden Persatuan pengetua-Pengetua Sabah. Saya juga pernah menjadi Timbalan Presiden Kesatuan Guru-Guru bumiputera Sabah

UB:       Sebagai seorang yang pernah menuntut di Amerika, mungkin ada pengalaman yang boleh dikongsikan kepada pembaca?
JA:      Banyak juga pengalaman sewaktu disana. Di Amerika, saya pernah bekerja secara sebagai pembersih bangunan dengan gaji $3.20 dolar sejam.



UB:       Apa cita-cita tuan dahulu?
JA:      Cita-cita pertama saya jadi peguam, Cita-cita kedua saya jadi cikgu.

UB:       Dari dulu pernah bercita-cita jadi guru?
JA:      Dulu di sekolah sewaktu tiada guru, saya yang jadi pengawas, selalu diminta menggantikan guru. Saya juga pernah jadi guru sandaran di St Joh Tuaran denfan gaji RM205.00. Dengan jumlah gaji itu, saya masih boleh memberikan duit kepada ibu bapa

UB:       Apa prinsip tuan dalam bekerja?
JA:      Prinsip saya dalam bekerja, saya tegas tapi tidak sampai zalim, saya lembut tapi tidak sampai lemah.

UB:       Apa hobi tuan jika ada masa lapang?
JA:      Jika ada masa lapang saya suka bermain golf. Tetapi sekarang semakin jarang saya lakukan kerana kesibukan. Saya banyak membaca.Buku terbaru yang saya baca ialah How To Win Argument, buku yang menceritakan bagaimana menang berhujah tanpa melukai hati orang lain.  Saya juga membaca Blue Ocean Strategi. Strategi gelombang biru, yang menitiberatkan unsur penjimatan, unsur keceoatan, jangan terlalu banyak birokrasi. Misalnyakita  sebagai contoh saja, dulu pasport boleh dibuat dalam tiga bulan, kemudian dua minggu, sekarang hanya dalam satu jam, pasport boleh selesai. Ini yang kita perlu contohi, iaitu mempersingkat dan mempercepatkan sesuatu, dengan lebih efektif dan berkesan.

UB:       Oh ya? Apa komen tuan mengenai ada sebilangan guru yang melibatkan diri dalam politik?
JA:      Kita sebagai guru adalah penjawat awam.Sebagai penjawat awam, kita sokong dasar kerajaan yang ada. Perjuangan kepartian tak perlu bawa di sekolah. Kalau kita melibatkan diri dalam politik, akhirnya masyarakat keliru dan memandang negative kepada kita. Jangan pula kerana seekor kerbau membawa lumpur semuanya terpalit. Sebagai guru kita mesti fokus. Bidang politik biarlah orang lain yang buat.maju mundur pendidikan di Sabah adalah kita.

UB:       Ada kaedah untuk meningkatkan lagi pencapaian jabatan?
JA:      Kita mahu dengar dari bawah.Kita mahu buka akaun facebook jabatan bagi membolehkan orang ramai beri idea, pandangan secara terbuka.Kita amalkan ketelusan dan keterbukaan. Kita gunakan halaman sosial seperti ini.


UB:       Siapa idola tuan?
JA:      Datuk Seri Najib Tun Razak, Perdana Menteri Kita. Kalau di peringkat dunia, John F.Kennedy.

UB:       Apa kata-kata terakhir dari tuan?
JA:      Hidup jangan ada istilah kecewa sebab kecewa bawa kehancuran. Kita perlu bersyukur pada yang ada tetapi jangan puas hati.Cari lagi jalan untuk mempertingkatkan diri. Selain itu, saya suka membantu orang yang perlu bantuan. Bantu bukan dalam bentuk wang bagi bantuan  dalam bentuk idea.

No comments: