Monday, March 11, 2013

Kemiskinan tidak dapat diatasi dengan jumlah wang,kata Kibin Haji Samad



KEMISKINAN TIDAK DAPAT DIATASI DENGAN JUMLAH WANG,KATA KIBIN HAJI SAMAD

KEMISKINAN tidak dapat dibasmi menggunakan wang. Bukan jumlah wang atau banyaknya peruntukan  yang boleh mencegah kemiskinan. Sebaliknya kemiskinan mampu diatasi dengan program-program yang dilaksanakan secara tersusun dan sistematik dan melibatkan golongan miskin untuk mengambil bahagian di dalamnya.  Pembangunan yang sebenar bukan hanya sekadar perubahan fizikal semata-mata tetapi juga perubahan dalam peningkatan taraf hidup rakyat dan meningkatnya sumber pendapatan mereka, kata mantan Kordinator Konsultan di Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS), Kibin Haji Samad.

Kibin Haji Samad dilahirkan pada tahun 1959 di Kampung Rampayan Laut Kota Belud. Beliau mendapat pendidikan rendah hanya dalam waktu tiga tahun  di Sekolah Kebangsaan Nanamun pada tahun 1968 hingga 1971. Selepas itu, beliau melanjutkan pelajaran di SM Sanzac pada 1972 dan tidak lama kemudian berpindah ke SMK Kota Belud sehingga lulus cemerlang dalam peperiksaan SPM pada 1976, Selepas itu, beliau adalah antara pelajar pertama aliran bahasa Melayu di SMK Menggatal dalam tahun 1977-1978.

Setelah itu, beliau memasuki perkhidmatan kerajaan sebagai Kerani Akaun Bendahari Negeri pada 1979 dan ditempatkan di Jabatan Kerja Raya. Pada tahun 1980-1981, beliau menjadi guru di SM St Patrick Tawau sebelum dipindahkan sebagai guru di SMK Merotai Besar Tawau. Antara jasanya di sekolah itu, ia mencipta lencana sekolah. Selepas itu, Kibin menjadi Pegawai Latihan di Unit Penyertaan Bumiputera di Bahagian Latihan Perniagaan. Masa itu, Unit Penyertaan Bumiputera bekerjasama dengan Pusat Daya Pengeluaran Negara, Jabatan Belia Persekutuan membentu Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Negeri dan menjalankan kursus-kursus perniagaan dan Keusahaan EDP 1 dan EDP 2 Kementerian Pembangunan Industri pada 1982-1984.

Beliau kemudian pangkat sebagai Pegawai Wilayah di Kudat selama setahun sebelum memutuskan untuk melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat dan tiba di negara Paman Sam itu pada 25 Disember 1984. Sewaktu belajar di American Languages Institute, University of Toledo, Ohio, pernah mendapat Anugerah Dekan. Selepas itu, beliau memperolehi ijanah sarjana muda  dan kemudian ijazah sarjana sains dalam ekonomi di Indiana State University pada tahun 1989.

Kibin pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di Indiana State Universiti dan pernah menjadi Presiden Majlis Pelajar Sabah.

Sekembalinya ke Sabah pada tahun 1989,  beliau bekerja sebagai Pegawai Eksekutif Unit Perancang Ekonomi selama dua tahun dan kemudian bertugas sebagai Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan) Kuala Penyu. Beliau juga pernah menjadi Setiausaha Politik di tiga kementerian antara tahun 1994-1999. Selepas itu beliau dilantik menjadi kordinator Konsultan di Institut Kajian Pembangunan Sabah (IDS) dan pernah bertugas sebagai  Pensyarah di Open Universiti dan Timbalan Pengarah Open University  Malaysia di Pusat Pembelajarann OUM di Tawau.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN sempat menemubual beliau di ibu negeri kelmarin untuk berkongsi pengalaman beliau sewaktu menjadi pelajar, kakitangan kerajaan dan pandangan beliau mengenai isu kemiskinan dan pembangunan di negeri ini Ikuti petikan temubual secara santai dengan beliau yang lebih mesra dengan panggilan Dok, sambil menikmati teh limau dan meehoon di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri.

UTUSAN BORNEO:      Boleh ceritakan sedikit mengenai masa persekolahan Dok. Mungkin ada yang menarik?
KIBIN HAJI SAMAD:  Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Kerajaan Nanamun hanya dalam tempoh tiga tahun. Masa itu ada sistem lompat darjah. Saya beberapa kali lompat darjah dari tahun 1968 hingga 1971. Kemudian saya melanjutkan pelajaran di SMK Sanzac pada tahun 1972.Ketika itu, ia masih menumpang di SK Tanjung Aru Tidak lama kemudian, saya berpindah ke SMK Kota Belud.  Sekolah itu juga masih menumpang di Sekolah Chung Hwa. Saya bersekolah di sana hingga tahun 1976. Ketika itu, saya satu-satunya pelajar yang mendapat gred 2 dalam peperiksaan SPM, yang dikira cemerlang pada masa itu. Saya mendapat gred 2 dari aliran sastera dan seorang lagi, Cikgu Liasin Kaloh dari aliran sains.

UB:       Siapa rakan sekolah sewaktu di SMK Kota Belud?
KHS:    Antaranya Maijol Mahap, peguam dan mantan Ahli Dewan Negara, Etong Terang, Pengarah Kebajikan, Ripin Soud, Sipin Dawat, Yazim Maradim. Kami satu bilik di asrama kerana sama sama jadi pengawas. Selain menjadi pengawas, saya juga ketua darjah.

UB:       Berapa tahun tinggal di asrama?
KHS:    Sewaktu dalam tingkatan empat dan tingkatan lima, baru dapat tinggal asrama. Sebelum itu, saya pernah tinggal di Kota Peladok, di rumah Datu Jamigul. Kami berbasikal ke sekolah. Bertolak dari rumah kira-kira jam 9.00 pagi dan sampai di sekolah menjelang tengah hari. Kemudian selepas sesi persekolahan tamat, kami berkayuh pulang dan sampai di rumah, hari sudah malam. Tiap-tiap hari begitu. Saya sempat juga naik pick up dari Kampung Rampayan, pickup Haji Daud, bercampur dengan ikan. Kecekalan pelajar dulu lebih kuat. Ketika itu, guru menulis di papan hitam dan kita menyalinnya kerana tidak ada buku rujukan.

UB:       Selepas SPM 1976, di mana Dok melanjutkan pelajaran?
KHS:    Kami adalah pelajar pertama aliran bahasa Melayu di SMK Menggatal pada tahun 1977. Antara rakan sekelas saya ialah Musli Oli, Mohd.Said Hinayat, Omar Mamah. Junior kami pula antaranya Datuk Abdul Rahim Bakri, kini Ahli Parlimen Kudat dan Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Japlin Haji Akim, ADUN Usukan dan Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar, Prof. Dr.Mahmud Sudin, Prof Datuk Dr Kassim Haji Mansur.Dr Saijan Samit pula rakan satu bilik di asrama. Dr Mansur Usir dan lain-lain lagi. Saya bersekolah di SMK Menggatal dari tingkatan enam rendah hingga tingkatan enam atas. 1977 hingga 1978.

UB:       Bagaimana keadaan sekolah pada masa itu?
KHS:    Pengalaman saya pada ketika itu yang saya tidak boleh lupa ialah kami pelajar tidak ada buku teks kerana menjadi pelajar pertama aliran melayu Sijil Tinggi Persekolahan. Tidak cukup guru. Guru yang mengajar pula mempunyai kelulusan yang hampir sama dengan pelajarnya. Hanya seorang guru yang bertauliah iaitu pengetua, Cikgu Syahril Marzuki yang mengajar kami sewaktu tingkatan enam rendah.  Sewaktu tingkatan enam atas, kami diajar pula antaranya Cikgu Azis Abas, Cikgu Mary Theresa Kinajil.

UB:       Dok terus kerja selepas STPM?
KHS:    Mula-mula saya dilantik sebagai Kerani Akaun di Bendahari Negeri pada 1979. Masa itu ditempatkan di JKR, untuk pemulihan akaun (reconstruction of account) hingga tahun 1980. Selepas itu, saya bekerja sebagai guru di SM St Patrick Tawau dan kemudian ditukarkan pula di SMK Merotai Besar Tawau, yang ketika itu masih menumpang di sekolah rendah. Di sana, saya yang mencipta lencana sekolah pada masa itu. Tahun 1981.Ketika itu, jalanraya belum ada, letrik belum ada.

UB:       Selepas itu, Dok ke mana?
KHS:    Saya bertugas pula di Unit Penyertaan Bumiputera di Bahagian Latihan Perniagaan. Masa itu bekerjasama dengan Pusat Daya Pengeluaran Negara, Jabatan Belia dan Sukan Persekutuan terlibat dalam Jawatankuasa Pembangunan Usahawan Negeri. Kami menjalankan kursus-kursus perniagaan keusahawanan yang dipanggil Enterpreneur Development Program (EDP 1 dan EDP 2) iaitu pada 1982-1984. Saya sempat bertugas sebagai pegawai wilayah Unit Penyertaan Bumiputera di Kudat sebelum melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat.

UB:       Bila Dok ke Amerika?
KHS:    Saya tiba di Amerika Syarikat, saya masih ingat lagi ialah pada 25 Disember 1984. Ngam-ngam Krismas. Ada satu orang, orang Amerika, namanya John, membawa saya ke rumahnya. Itulah pengalaman saya merayakan krismas ketika mula melanjutkan pelajaran di Amerika iaitu di University of Toledo, Ohio.

UB:       Berapa lama di sana?
KHS:    Lepas satu tahun di Ohio, saya berpindah pula ke Universiti Negeri Indiana. Antara sebabnya ialah kos sara hidup di Ohio, lebih tinggi, sewa rumah mahal, bil letrik tinggi. Itu sebanya saya pindah ke Indiana, iaitu negeri yang berjiran dengan Ohio yang dipisahkan dengan empat hingga lima jam perjalanan.

UB:       Tentu banyak pengalaman di sana?
KHS:    Saya menuntut di Indiana State University sehingga berjaya mendapat ijazah sarjana muda sains dalam bidang ekonomi dan sarjana sains dalam bidang ekonomi dengan pengkhususan pembangunan dan perancangan pembangunan bandar pada tahun 1989. Seingat saya, saya adalah anak Iranun pertama mendapat ijazah MA pada ketika itu.

UB:       Ada yang memberi galakan untuk belajar di USA?
KHS:    Semasa bertolak ke Amerika, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia tanya saya berapa lama belajar di Amerika? Katanya dua kali lagi pilihanraya baru kau balik. Selain itu, Salleh Lamsin juga beri galakan. Arwah Talikop Lamsin juga menasihatkan saya untuk pergi belajar. Saya juga mendapat galakan daripada Henrynus Amin, Ebin Sabin, Datuk Karim Abdul Rahman menggalakkan saya pergi belajar dan lain-lain lagi.

UB:       Terlibat dalam kegiatan pelajar di sana?
KHS:    Sewaktu belajar di sana, saya terpilih sebagai Presiden Indiana State University Malaysia Student Assocoation (ISUMSA).Ketika itu terdapat seramai kira-kira 400 pelajar Malaysia di sana dan menjadi Presiden Majlis Pelajar Sabah (Sabah Student Council). Selain dua pertubuhan itu, dua lagi pertubuhan yang agak aktif di sana ialah MISG dan ABIM.

UB:       Bagaimana tentang prestasi pelajar Malaysia di sana pada ketika itu?
KHS:    Prestasi pelajar Malaysia pada masa itu amatlah terpuji. Malaysia pernah mendapat anugerah daripada International Student Affair Award. Masa itu, setiap minggu, kita adakan majlis makan tengahari dengan Datuk Bandar Vigo County. Antara aktiviti yang kita adakan ialah gotong-royong membersih kawasan sehingga kita dianugerahkan surat penghargaan.
Pelajar Malaysia juga dilihat sebagai satu kumpulan pelajar yang serius dalam menimba ilmu pengetahuan sehingga ada satu professor menyatakan Malaysia akan cepat membangun kerana banyak kalangan rakyatnya yang mengecap dan terdedah kepada pendidikan.

UB:       Ada pengalaman menarik di sana?
KHS:    Saya mempunyai keluarga angkat Amerika, seorang veteran tentera yang sangat sukakan makanan antarabangsa. Kami agak rapat, sehingga apabila saya telah balik ke Malaysia, ketika veteran tentera itu meninggal, saya turut diberitahu oleh keluarganya. Selain itu saya fikir, antara kelebihan dan kebaikan di sana, ialah tentang kebajikan warganya. Seorang wanita yang mengandung, akan dipastikan mendapatkan susu percuma sehingga dia melahirkan anak.

UB:       Apa lagi kelebihan yang Dok nampak sepanjang berada di sana?
KHS:    Indiana adalah sebuah negeri di Amerika yang mengharamkan perjudian. Di sana tidak ada loteri, nombor empat ekor, tiada pusat perjudian dan sebagainya. Mereka yang mahu membeli nombor terpaksa ke Ohio atau Illinois.
Di sana juga ada sebuah masjid.Itu yang menarik, selain ia tidak jauh dari Chicago yang mempunyai sumber makanan halal yang banyak. Di Indiana juga ada Malaysia Grocery Stall atau kedai runcit yang menjual barangan Malaysia, yang dimilik orang Islam Kampuchea.

UB:       Bagaimana hubungan antara pelajar pada masa itu?
KHS:    Hubungan pelajar Malaysia ketika itu, amat rapat. Kami bangga menjadi rakyat Malaysia.Kita semua bangga sama ada Melayu, Cina, India dan masyarakat bumiputera y6ang lain. Kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia amatlah tinggi. Perpaduan rakyat Malaysia amat teguh dan kuat.

UB:       Sekembalinya ke tanah air, Dok bertugas di mana?
KHS:    Saya ditugaskan di Unit Perancang Ekonomi  Jabatan Pembangunan Negeri. Selepas itu, saya dilantik pula sebagai Penolong Pegawai Daerah Pembangunan (ADO) Pembangunan di Kuala Penyu dari tahun 1991-1994.

UB:       Ke mana selepas 1994?
KHS:    Saya mula bergiat dalam politik. Walaupun ketika itu PBS menang tetapi saya memberitahu kawan kawan bahawa pada ramaloan saya, ketika itu PBS akan jatuh. Jadi selepas BN membentuk kerajaan, saya dilantik sebagai Setiausaha Politik. Kami adalah kumpulan terakhir yang dibayar pencen mengikut enakmen yang dibentangkan dalam DUN. Selepas itu, pencen hanya dibayar ketika mencapai waktu bersara. Saya berkhidmat sebagai Setiausaha Politik sehingga 1999.

UB:       Apa tugas yang Dok lakukan selepas itu?
KHS:    Saya bertugas pula di Institu Kajian Pembangunan Sabah (IDS)  sebagai kordinator dan konsultan pembangunan industry asas tani di Sabah. Antara sumbangan saya yang diterima ialah pewujudan jelapang padi di Sabah. Saya percaya kajian asas pembangunan penternakan juga menjadi asas kepada penbangunan agro politan. Saya juga dilantik oleh Mardi Tech untuk menjadi konsultan kajian semula polisi padi dan beras negara di bawah Kementerian Pertanian Malaysia. Saya satu-satunya orang Sabah yang dilantik sebagai konsultan pada masa itu, dan dalam menjalankan kajian itu saya mendapat dukungan dari Kementerian Pertanian dan Asas Pemakanan di Sabah khususnya Jabatan Pertanian.
Selepas dikaji dan ditapis, kita cadangkan tiga jelapang padi ialah jelapang padi Tambunan, melibatkan Tambunan Keningau dan Tenom, Jelapang Padi Penampang melibatkan Penampang, Papar, Membakut dan Beaufort manakala cadangan kita yang ketiga ialah jelapang padi Kota Belud melibatkan Kota Belud, Tuaran, Kota Marudu dan Pitas. Pada masa itu, hanya cadangan untuk mewujudkan jelapang padi Kota Belud yang diterima dengan sedikit pengubahsuaian. Kota Belud dijadikan jelapang padi melalui Integrated Agro Development Programme yang diwujudkan oleh agensi-agensi kerajaan secara bersepadu dan diberikan peruntukan. Bagaimanapun, sampai sekarang jelapang padi belum diiktiraf sebagai jelapang padi negara yang membolehkannya berada dalam arus perdana. Sepatutnya jelapang padi Kota Belud itu mendapat `share’ dalam pembangunan. Saya ingat pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika itu Menteri Pertanian (kini Timbalan Perdana Menteri) mengumumkan peruntukan RM200 juta tetapi ia tidak dapat dilaksanakan mengikut rancangan awal kerana berubah-ubah.

Ketika menjawat Setiausaha Politik juga, saya mencadangkan agar Skim Getah Kota Belud dilaksanakan. Kita cari tempat yang sesuai.Lembaga Tabung Getah sudah bersetuju untuk mewujudkan skim getah. Tapak semaian sudah ada tetapi tidak ada follow up.

UB:       Pindah dari IDS, Dok kemana pula?
KHS:    Saya bekerja sendiri. Kemudian menjadi pensyarah di Universiti Terbuka Malaysia (OUM) selama dua tahun dan dilantik sebagai Penolong Pengarah cum Timbalan Pengarah OUM di Tawau, di Pusat Pembelajaran di Tawau sehingga tamat kontrak.

UB:       Mungkin Dok ada pandangan tersendiri mengenai kegiatan berpersatuan?
KHS:    Apabila kita melibatkan diri dalam kegiatan berpersatuan itu, kita harus mengikis pandangan dan sikap bahawa persatuan boleh melakukan sesuatu untuk peneraju.Sebaliknya ahli-ahlilah yang memperkuatkan persatuan.Persatuan berjaya kerana ahli-ahlimnya memainkan peranan proaktif.Persatuan harus menjadi kenderaan kepada ahli-ahlinya untuk mencapai matlamat.Ini sudah terbalik. Dalam jangka masa panjang, sesuatu persatuan yang kuat adalah kerana ahlinya yang proaktif.

UB:       Pendidikan kita semakin maju tetapi kita lihat masih gagal melahirkan  kualiti yang diharapkan?
KHS:    Bagi saya pendidikan adalah salah satu daripada unsur memajukan fikiran tetapi saya nampak penyusupan ideology politik yang keterlaluan, bahkan sejak sekolah rendah malah sejak tadika lagi, kanak-kanak sudah ditarbiyah dengan politik. Saya kira penyusupan faham politik yang keterlaluan merencatkan kemajuan fikiran kita.

UB:       Apa pandangan Dok mengenai kemiskinan di negeri ini dan bagaimana kita membasminya.
KHS:    Kemiskinan tidak dapat dibasmi menggunakan wang. Bukan jumlah wang atau banyaknya yang boleh mencegah kemiskinan. Sebaliknya kemiskinan mampu diatasi dengan program-program yang melibatkan golongan miskin untuk mengambil bahagian di dalamnya.  Ada di kalangan kita bila ditanya isu kemiskinan, lantas menyebut jumlah wang yang diperuntukkan untuk menangani kemiskinan, itu jawapan yang tidak tepat. Sebaliknya, kemiskinan dapat diatasi melalui program-program yang berjaya, dilaksanakan dengan teraur dan sistematik. Pada saya pembangunan bukan saja perubahan fizikal tetapi ia harus disertai dengan peningkatan pendapatan anggota masyarakat dan kenaikan taraf hidup rakyat. Kalau ada perubahan fizikal tapi tidak diikuti dengan peningkatan pendapatan rakyat, saya kira itu gagal membasmi kemiskinan.Rakyat akan terus miskin meskipun kerajaan memperuntukkan jumlah wang yang banyak untuk membasmi kemiskinan kerana wang itu tidak sampai kepada golongan sasar. Itu sebabnya, saya berpendapat kemiskinan dapat diatasi melalui program-program yang bermanfaat untuk meningkatkan taraf hidup rakyat.

No comments: