Monday, March 11, 2013

Patrick Sindu pernah keliling dunia pantau isu hak asasi dan pengguna



PATRICK SINDU PERNAH KELILING DUNIA PANTAU ISU HAK ASASI DAN PENGGUNA

SEBUTLAH apa saja isu berkaitan kepenggunaan, dari soal harga barang, penipuan,  pajak gadai, dan sebagainya, semuanya pernah diperjuangkan oleh Datuk Patrick Sindu, seorang tokoh yang banyak memperjuangkan isu-isu pengguna di negeri ini. Beliau seorang yang berpengalaman luas.Pernah melawat hampir semua negara di dunia ketika bertugas sebagai diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Selain itu, di dalam negeri, beliau banyak memperjuangkan isu-isu berkaitan hak asasi, pengguna dan alam sekitar dan sering mendapat sorotan media.

Datuk Patrick Sindu  dilahirkan di Kampung Bungug Papar pada 22 Februari 1956. Beliau mendapat pendidikan awal di sekolah St.Joseph Papar hingga Tingkatan 3. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah hingga Tingkatan 5. Kemudian beliau menuntut di Institut Teknologi Mara  (ITM) kini UiTM sehingga lulus Diploma dalam Pentadbiran Awam. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti of Keele, di United Kingdom dan dalam mengambil pengkhususan dalam bidang kepenggunaan.

Beliau pernah menjadi diplomat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai Hak Asasi Manusia,Kepenggunaan dan Alam Sekitar yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland pada 1985-2010. Beliau juga pernah menjadi Ahli Lembaga Penasihat Biro Pengaduan Awam, Jabatan Perdana Menteri (JPM) Putrajaya (2000-2010), Ahli Majlis Forum Pengguna Komunikasi dan Multimedia Malaysia (2000-2010), Ahli Panel Majlis Perundingan Suruhanjaya Tenaga Malaysia (2000-2010), Ahli Majlis Kawalan Tembakau Malaysia (2000-2010), Naib Presiden, Gabungan Persatuan Pengguna-Pengguna Malaysia -FOMCA (1990-2010), Ahli Majlis Hal Ehwal Pengguna Negeri Sabah (1990-2010), Pengerusi Majlis Hal Ehwal Pengguna Bandaraya (2005-2010), Ahli Majlis Penasihat Majlis Daerah Papar (1995-2005), Presiden Persatuan Pengguna Sabah dan WP Labuan (CASH) (1985-2009), dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Consultancy Services & Training Centre for Consumerism, Environmental & Human Rights dari Tahun 2010 hingga kini.

Beliau telah menerima bintang Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK) yang membawa gelaran Datuk, Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK), Ahli Darjah Kinabalu (ADK) dan Jaksa Pendamai (JP).

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN dan wartawan pelatih UMS, NURHAFIZAH JEHAN JUMAT dan NOORHAZARITA GANGGAM AZLAN sempat mewawancara DATUK PATRICK SINDU ketika beliau berkunjung ke pejabat Utusan Borneo di Tingkat 5, Wisma KTS, baru baru ini. Ikuti petikan wawancara berkaitan penglibatan beliau dalam isu-isu kepenggunaan, pengalaman beliau di luar negara dan sebagainya.

UTUSAN BORNEO:      Apa kerjaya Datuk selepas tamat pengajian di Universiti?
DATUK PATRICK SINDU:        Selepas lulus dari Universiti of Keele di United Kingdom, saya bekerja sebagai diplomat PBB yang beribu pejabat di Geneva, Switzerland. Saya dihantar bertugas di berbagai belahan dunia seperti benua Afrika, di Amerika Latin, di Chile, di Brazil, di Eropah dan sebagainya. Sebagai seorang diplomat PBB, ketika itu kami dibekali pasport hijau. Saya juga pernah dihantar ke Dili, ibu kota Timur Leste selama tiga tahun, ulang alik, ketika negara itu mencapai kemerdekaannya.

UB:       Berapa gaji datuk ketika itu?
PATRICK:         Saya dibayar elaun sebanyak $5,000 dollar US.

UB:       Sepanjang bertugas sebagai diplomat PBB itu, apa yang datuk saksikan di negara-negara yang datuk lawati?
PATRICK:         Banyak masalah yang kita saksikan. Saya bertugas di bawah suruhanjaya yang bertanggungjawab untuk hak asasi manusia, kepenggunaan dan alam sekitar. Jadi sepanjang bertugas di negara luar itu, kita dapat saksikan mengenai sistem politik mereka yang berbeza antara satu sama lain, masalah-masalah etnik dan isu-isu perkauman yang melibatkan pertelingkahan, pertentangan antara kelompok, ekstremis agama, militan. Saya tengok ini adalah antara masalah yang dihadapi. Kini dengan adanya kemudahan teknologi, internet, menyebabkan masalah semakin kompleks.

UB:       Agaknya dimana tempat yang datuk rasa paling menarik sewaktu bertugas di luar negara itu?
PATRICK:         Bagi saya yang paling menarik ialah ketika bertugas di Rio de Janeiro, Brazil.

UB:       Apa yang dibincangkan ketika itu?
PATRICK:         Kita memperkatakan masalah yang dihadapi dunia global. Ada persidangan yang dihadiri oleh NGO Ngo yang membincangkan masalah masalah yang dihadapi bersama oleh masyarakat dunia. Daripada situ, kita dapat simpulkan bahawa banyak masalah di dunia adalah disebabkan oleh perbuatan manusia sendiri. Apa yang berlaku adalah bencana yang kita buat sendiri, yang berpunca daripada salah laku kita.

UB:       Bagaimana datuk mula-mula terlibat memperjuangkan isu-isu kepenggunaan?
PATRICK:         Pada masa itu belum ada NGO yang benar-benar memperjuangkan hak kita sebagai pengguna.Kalau kita lihat di negara-negara luar, persatuan-persatuan pengguna ini sangat kuat. Skop perjuangan kita juga adalah luas. Asalkan ia melibatkan kita sebagai pengguna.

UB:       Apa isu yang mula-mula datuk perjuangkan? Masih ingat?
PATRICK:         Di Sabah, kos sara hidup tinggi. Sering berlaku penipuan tetapi tidak ada satu pertubuhan yang membantu menyelesaikan masalah penipuan. Dia orang sendiri kena tipu. Tapi banyak yang bersikap tidak apa. Bila kita bersuara hanya beberapa orang yang tampil menyokong.  Orang tidak begitu prihatin mengenai isu kepenggunaan. Bila saya terlibat dalam  isu-isu berkaitan pengguna, banyak perkara yang kita perjuangkan. Kita mengatakan bahawa perlu ada satu jabatan untuk mengurus, memantau, menangani dan membantu menyelesaikan isu-isu pengguna. Kita memperjuangkan bersama antaranya,SM Idris, Prof Hamdan Adnan, Mr Bishan Singh, sehingga kemudian Kerajaan menubuhkan satu kementerian yang khusus menangani soal-soal kepenggunaan iaitu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP).

Kita juga mengusulkan agar pengguna dilindungi dengan memperkenalkan Akta Perlindungan Pengguna. Ini sesuai dengan kata orang lama, kalaupun ada harimau, ia tidak berguna jika tidak mempunyai gigi. Tidak guna ada harimau kalau tiada gigi. Jadi Akta Perlindungan Pengguna ini  adalah untuk melindungi pengguna. Selain itu, hasil perjuangan kita ialah apabila kerajaan menubuhkan Tribunal Tuntutan Pengguna untuk melindungi hak hak pengguna dan membolehkan mereka menuntut jika mereka tidak berpuas hati atas mutu barangan atau perkhidmatan yang ditawarkan.

UB:       Kalau tak silap, Datuk selalu beri komen mengenai skim pajak gadai yang banyak didapati berleluasa di ibu negeri?

PATRICK:         Pada pendapat saya skim pajak gadai, urusan kewangan, pinjam memimjam perlu dikawal oleh Bank Negara bagi mengelakkan kegiatan along. Ia mesti dijalankan dibawah Akta Bank dan Institusi Kewangan (BAFIA) bagi melindungi pengguna.

UB:       Satu lagi isu pengguna yang pernah datuk suarakan dulu iaitu  caj yang tidak sepatutnya dikenakan kepada pengguna oleh pengendali iaitu syarikat telekomunikasi?
PATRICK:         Kita menerima rungutan daripada pengguna telefon. Mereka mengadu dikenakan caj walaupun panggilan yang mereka buat masuk ke peti suara. Saya fikir ini tidak adil kepada pengguna. Isu-isu seperti ini perlu dikawal oleh Suruhanjaya Multimedua. Kerajaan mesti kawal kerana pengguna yang menjadi mangsa. Sepatutnya mereka hanya dikenakan caj jika mereka berjaya membuat panggilan.

UB:       Ketika masih aktif dalam Persatuan Pengguna Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan (CASH) dulu, apa antara aduan yang diterima?
PATRICK:         Kita banyak menerima aduan mengenai penipuan yang dibuat oleh pekedai, kenaikan harga yang tidak sepatutnya, barangan yang luput masa, kedai yang tidak meletakkan label atau logo halal.Kita juga menerima aduan mengenai peniaga yang menjual barangan dengan mencampurkan barangan halal dan tidak halal. Ini adalah antara isu-isu kepenggunaan, yang telah kita perjuangkan.

UB:       Apa yang membuat datuk peka terhadap isu-isu kepenggunaan?
PATRICK:         Saya datang dari keluarga yang susah. Tinggal jauh di kampung. Kami tujuh adik beradik. Sewaktu di kampung, saya menyaksikan bagaimana penduduk-penduduk kampung mudah dieksploitasi, mudah ditipu kerana mereka tidak tahu. Contohnya, saya pernah ternampak orang jual kain dengan harga RM200. Padahal harga sebenarnya hanyalah RM20 ringgit. Jadi kita melihat betapa orang kampung menjadi mangsa. Selain itu kita melihat kedai pajak gadai. Orang kita ada emas.Gelang emas mereka gadai. Tapi mereka gadai misalnya dengan RM200 tapi mereka membayar kadar bunga yang tinggi sehingga harga berlipat-lipat ganda. Ini menyebabkan pengguna sengsara. Sepatutnya perkara ini dikawal oleh kerajaan.

UB:       Oh ya! Saya tertarik dengan perjalanan kerjaya datuk  yang pernah keliling dunia ketika bertugas dengan PBB. Sebanyak-banyak tempat yang pernah datuk lawati, mana tempat yang memberi kesan?
PATRICK:         Antara yang banyak memberi kesan ialah perjalanan ketika melihat Kaabah, walaupun dari tempat yang jauh, Juga perjalanan ke Jerusalem. Sebagai seorang diplomat PBB kita berpeluang melawat tempat seperti itu, yang memberikan kita ketenangan. Bahawa ada Tuhan, ada Allah yang menyaksikan kita. Ini memberikan ketenagan fikiran. Ada banyak perkara yang membuat hati kita tenang.Misalnya bila kita membuat  sesuatu untuk membantu orang, kita rasa gembira.

UB:       Apa hobi ketika masa lapang?
PATRIC: Jika ada masa lapang, saya selalu membaca buku.

UB:       Buku terkini yang Datuk baca? Mengenai apa?
PATRICK:         Saya membaca buku mengenai kemungkinan masa depan, ke mana kita mengarah atau menuju. Ini yang menjadi minat saya. Kita harus memberikan makna kepada kehidupan kita.Berbuat sesuatu yang lebih baik. Ada satu kata-kata Mahatma Ghandi yang selalu saya ingat. Dunia ini cukup untuk kita, tapi tidak cukup untuk orang yang tamak atau rakus. Yang kedua ialah Dunia ini begitu bahaya untuk hidup jika orang yang baik hanya melihat kejahatan tapi tidak buat apa apa.

UB:       Sekarang datuk masih terlibat dalam kepenggunaan?
PATRICK:         Saya masih aktif dalam usu-isu kepenggunaaan dan hak asasi manusia. Sekarang saya sering membangkitkan kesedaran mengenai isu isu hak asasi manusia, kepenggunaan dan alam sekitar, melalui konsultansi yang tubuhkan.Selain itu, saya juga sering diundang untuk berbicara di hadapan mahasiswa universiti mengenai isu-isu kepenggunaan.

B:         Mungkin ada aduan  yang melucukan yang pernah datuk terima?
PATRICK: Kita ada menerima laporan daripada seorang wanita mengenai baju pengantin yang tidak siap dan tidak sesuai dengan pengantin perempuan yang menjejaskan persiapan majlis perkahwinan mereka. Kami juga pernah menerima aduan mengenai makanan basi dan sebagainya.

UB:       Apa nasihat datuk kepada pengguna yang kena tipu?
PATRICK:         Kalau ada penipuan, buat laporan polis. Ini sangat penting.Mesti buat laporan polis. Kerana ada juga kes dimana ada pihak kita adukan membalas dendam, dengan mengemukakan saman dan menuduh pengguna melakukan pembohongan. Itu sebabnya, kita perlu membuat laporan polis jika kita merasa ditipu.

UB:       Datuk sangat bertuah kerana berkesempatan berkeliling dunia. Apa pengajaran yang kita peroleh dengan melawat tempat orang.Mungkin ada yang menarik?
PATRICK:         Kita melihat perkara-perkara yang baik  dan tidak baik yang berlaku, di negara orang. Saya pernah melihat Timur Tengah, Kanada, Rusia,China, dan banyak lagi negara lain. Kalau dari segi pemandangan, saya suka pemandangan kota Vienna, Austria, sebuah kota yang indah yang terletak di sebuah lembah yang dikelilingi perbukitan.

UB:       Apa nasihat kepada generasi muda
PATRICK:         Hidup kita ini satu impian. Ada satu yang kita impikan. Kita harus berusaha meraih impian kita itu. Apa yang telah berlalu biarkan berlalu. Apa yang kita boleh perbaiki kita perbaiki
Selain itu, nasihat saya kepada golongan muda, jangan mudah terpedaya pujuk rayu.Kita sudah tahu mana yang baik dan mana yang tidak baik.Pergunakan masa muda kita sebaik-baiknya.

No comments: