Ahad, 24 Mac 2013

Sejenak bersama Ahli Parlimen Silam, YB Dr.Haji Salleh Kalbi

Tags




SEJENAK BERSAMA AHLI PARLIMEN SILAM, DR HAJI SALLEH KALBI

SUARANYA sering terdengar setiap kali Dewan Rakyat bersidang. Beliau sentiasa aktif  mengambil bahagian dalam sesi perbahasan bagi menyuarakan masalah dan nasib rakyat terutamanya di kawasan yang diwakilinya ialah Kawasan P 188 Silam. Sebagai seorang wakil rakyat, Yang Berhormat Dr. Haji Salleh Kalbi adalah seorang pemimpin muda yang sering memperjuangkan masa depan rakyat di kawasannya. Di sebalik peristiwa pencerobohan pengganas di Tanduo, Lahad Datu, kawasan Parlimen Silam menjadi tumpuan dan sorotan di seluruh negara. Apakah kesan pencerobohan itu kepada rakyat? Bagaimana pandangan wakil rakyatnya terhadap peristiwa itu? Apa yang menarik di Silam?
Semua ini dijelaskan oleh Dr Haji Salleh Kalbi dalam pertemuan singkat di KKIA baru-baru ini.


Dr. Haji Salleh Haji Kalbi dilahirkan di Kampung Tundun Semporna pada 10 Ogos 1964. Beliau mendapat pendidikan awal di SRK  Pekan Lahad Datu. Beliau meneruskan pendidikan menengah di SMK Agaseh Lahad Datu dari tingkatan 1-3 sebelum melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 4 hingga 5 di SMK Abdullah Semporna. Selepas itu beliau melanjutkan pelajaran dalam tingkatan 6 di Sekolah Yayasan Masyriah Pulau Pinang.

Sebagai seorang yang dahagakan ilmu, beliau meneruskan pengajian di Warwick University, Conventry dalam bidang Bahasa Inggeris dan kemudian City of Birmingham Polytechnic UK sehingga mendapat Diploma Perancangan Bandar dan Wilayah. Selepas itu, beliau ke Amerika Syarikat dan melanjutkan pelajaran di Western Michigan University Canton Ohio dan mendapat ijazah Sarjana Muda Pengurusan. Salleh kemudian menuntut di St Mary University of Minnessota sehingga lulus Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan. Beliau memperolehi ijazah sarjana Pendidikan dari Hawaii State University. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UUM pada 2011.

Dalam kegiatan berpersatuan, beliau pernah menjadi Presiden Majlis Hal Ehwal Antarabangsa sewaktu menuntut di St Mary University of Minnesota (1996-1997), Naib Presiden Persatuan Pelajar Malaysia di university yang sama, (1995-1998) dan Ahli Kelab Usahawan di St Mary University of Minniesota dan Ahli Persatuan Program Bahasa Inggeris Antarabangsa ketika menuntut di Western Michigan University. Beliau mendirikan rumahtangga dengan dengan Puan Hajah Fatimah Haji Abd.Aziz. Atas jasa-jasanya, Haji Salleh menerima pingat Ahli Darjah Kinabalu (ADK) pada 2003 dari Kerajaan Negeri Sabah, Pingat Kebaktian Masyarakat (BKM) 2005 dari Kerajaan Negeri Kedah, Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dari Kerajaan Negeri Melaka, UN (UPF) Ambassador for Peace dari Kerajaan Malaysia 2008, dan Kol Kehormat Pasukan Rela Negeri Sabah 2009.

Ikuti petikan temubual bersama beliau dalam pertemuan singkat ketika beliau transit di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu dalam perjalanan balik ke Lahad Datu.



UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit liku-liku kerjaya YB sebelum jadi Ahli Parlimen?
DR HAJI SALLEH KALBI:        Sebelum jadi Ahli Parlimen, saya pernah menjadi guru sandaran di Sekolah Kebangsaan Tagasan, Semporna, kemudian menjadi Pegawai kaunter Malaysia Airlines, Lahad Datu 1983-1985, Pegawai Eksekutif Pemasaran, Sebor Trading di Tawau, Ahli Majlis Daerah Lahad Datu, Ahli Lembaga Pengarah Sabah Fish Marketing Safma (2003-2007),Penyelia Kanan Perhubungan Kemas Parlimen P.188 Silam (2007-2008), Ahli Lembaga Pengarah Juitabah Sdn.Bhd sejak 2008 dan sebagainya.
Sebagai Ahli Parlimen, sejak 2008, saya juga terlibat sebagai Ahli Jawatankuasa Kecil BBNBC, Pengerusi Majlis Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat (MAYANG), di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan masyarakat,  Pengerusi Majlis Pembangunan Pertanian  Kawasan Parlimen (MPP),dibawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani sejak 2008, Pengerusi Jawatankuasa Futsal Parlimen Silam Kementerian Belia dan Sukan Malaysia,sejak 2010 Pengerusi Majlis Perundingan Koperasi Peringat Parlimen di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Pengerusi Majlis Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Malaysia sejak 2011.

UB:       Di peringkat parti, mungkin YB meniti liku-liku perjuangan yang panjang.Boleh ceritakan sedikit?
HSK:    Saya mula menyertai UMNO_BN di Kampung Panji Laut II. Saya kemudia menjadi  sebagai AJK Bahagian Silam 1998-2001. Selain itu, saya pernah menjadi Ketia Pergerakan Pemuda UMNO Silam (2000-2007), Ketua Pemuda BN Silam (2001-2007), Pengerusi AJK Biro Pertanian,Alam Sekitar dan Pelancongan UMNO Silam, Pengerusi Biro Pendidikan Pemuda UMNO Negeri, AJK Biro Pendidikan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia (2001-2003), Ketua Penerangan Pemuda UMNO Sabah, Ketua Penerangan Pergerakan BN Negeri Sabah,AJK Biro Penerangan Pemuda UMNO Malaysia,

UB:       Kegiatan sosial? Mungkin YB banyak terlibat juga?
HSK:    Dalam aktiviti sosial, saya pernah menjadi AJK Pengindahan Bandar Lahad Datu 2003, Timbalan Pengerusi jawatankusa lamou Jeraya, )Penuang Pasukan Bomba Pasukan Sukarelawan Bomba, 2009, Akademi Pencak Silat Silam 2010, Ahli Lembaga Pengarah Juitabah Sdn.Bhd sejak 2008, Anggota Jawatankuasa caucus Parlimen Koperasi Angkasa Malaysia September 2011,

UB:       Bolehkah YB perincikan mengenai kawasan Parlimen Silam. Ada yang menarik?
HSK:    Ada tiga kawasan Dun dalam Parlimen Silam iaitu DUN Tungku, DUN Lahad Datu dan DUN Silam. Pada 2008, saya menang Parlimen P.188 Silam. Menang dengan memperolehi sebanyak 18,111 daripada 26,430 pengundi dengan majoriti 9,792 orang mengundi.


UB:       Isu pencerobohan ini tentu memberi kesan kepada rakyat di kawasan YB. Apa Komen?
HSK:    Memang ada kesan yang agak serius kepada rakyat terutamanya kepada mereka yang terlibat secara langsung dimana rumah dan kampung mereka berada di dalam zon operasi.

UB:       Boleh jelaskan sedikit?
HSK:    Kesan yang serius kepada rakyat, pertamanya, dari segi harta benda, rumah, kebun, pokok tanam-tanaman yang rosak dan musnah sama sekali.
Keduanya, punca pendapatan mereka yang terjejas selama mereka tidak dapat mencari rezeki semasa operasi dijalankan. Ketiganya, adalah perasaan rakyat yang agak terkejut, takut dan trauma semasa dan selepas kejadian ini. Bagi mereka ada kemungkinan perkara ini boleh berlaku lagi  di masa akan datang jika pun tidak berlaku dalam skala besar seperti pencerobohan ini tetapi dalam kumpulan kumpulan kecil dengan tujuan rompakan bersenjata, menawan dan menculik penduduk untuk dijadikan tebusan dengan tujuan membalas dendam atau menuntut beberapa perkara yang mereka inginkan.

UB:       Apa yang kerajaan boleh bantu?
HSK:    Saya ingin memohon kepada kerajaan agar dapat membantu bagi membina semula dan memberi ganti rugi kepada penduduk yang terlibat dari segi pemulihan harta benda seperti rumah, kebun dan tanaman. Selain itu juga memberi saraan dan ganti rugi kepada penduduk yang mana rezeki mereka terputus semasa kejadian ini.

Selain itu, membuat pembinaan semula kampung-kampung yang lebih tersusun dengan mengambil kira aspek keselamatan dengan lebih teliti. Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin baru-baru ini bahawa bantuan awal dari kerajaan memberi kelegaan kepada penduduk yang terlibat sebelum bantuan seterusnya dibuat setelah semua isu ini selesai sepenuhnya.

Pada pandangan saya secara peribadi, saya merasa bimbang lanjutan kepada peristiwa ini dimana kemungkinan pencerobohan dalam kumpulan kecil untuk menculik rakyat untuk dijadikan tebusan bagi membuat tuntutan tertentu akan berlaku di masa akan datang.

UB:       Baru-baru ini kerajaan umumkan mengenai Kawasan Keselamatan Khas atau Esscom. Apa impaknya kepada rakyat?
SK:       Dengan tertubuhnya Esscom atau East Sabah Security Command yang mana kerajaan merancang untuk menempatkan beberapa batalion Tentera Darat iaitu tambahan kepada tiga batalion Infantri yang telah sedia ada di bawah markas 5 Briged di sabah, maka saya berpendapat sudah tiba masanya kerajaan menaikkan taraf Markas 5 Briged di Kem Lok Kawi kepada Markas Divisyen Tentera Darat serta menubuhkan beberapa Briged Infrantri di Bandar-bandar Besar seperti Sandakan dan Tawau dan Pusat Kawalan Esscom akan didirikan di Lahad Datu, seperti mana juga berlaku di Sarawak yang mempunyai Rascom di Sibu pada satu waktu dahulu.

UB:       Apa harapan rakyat terhadap Esscom ini?
HSK:    Seiring dengan ESSCOM, rakyat di parlimen Silam berharap juga agar Kerajaan menimbangkan untuk mengadakan sebuah pangkalan tetap Tentera Laut atau Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) di Lahad Datu bagi memberi tumpuan kepada rondaan dan penguatkuasaan di perairan dan pesisiran pantai bagi mengekang kemasukan haram. Ini penting dengan peningkatan laluan trafik kapal yang sangat ketara di perairan Sabah Timur dan penggunaan Pelabuhan Lahad Datu yang semakin sibuk apalagi setelah Projek LNG Petronas dan Loji Tenaga akan mula dibina tidak lama lagi.

UB:       Dengan kawasan yang luas, mungkin sukar juga untuk pasukan keselamatan mengawal setiap sudut perairan?
HSK:    Oleh kerana keluasaan dan panjang pantai Timur Sabah melebihi 1,400 km, maka agak sukar untuk pasukan keselamatan mengawasi setiap sudut laut dengan menggunakan kapal atau bot tetapi mungkin boleh diatasi  dengan penggunaan teknologi moden seperti radar pengesan “surveillance radar” atau “early warning” yang boleh memberi amaran awal kepada pasukan keselamatan untuk mencegah dan bertindak. Ini boleh memberi lebih keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan tidak mengambil ringan keselamatan rakyat.

UB:       Selain itu?
HSK:    Kami juga berharap sebuah Lapangan Terbang baru yang telah diluluskan oleh Kerajaan akan dapat dibina di Lahad Datu dengan seberapa segera. Ini bukan sahaja boleh meningkatkan lagi aktiviti ekonomi dan industri yang sedang berkembang pesat di sini tetapi memberi keyakinan kepada pelabur dan menggalakkan industry pelancongan di daerah ini. Di masa yang sala, Lapangan Terbang ini juga boleh menampung operasi Tentera Udara bagi mengukuhkan lagi aspek keselamatan yang sedia dirancang di darat dan di laut.

UB:       Ada yang mengatakan ada konsiprasi atau ada dalang di balik peristiwa ini?
HSK:    Saya tidak menolak persepsi ini dan pada masa ini rata-rata rakyat membicarakan tentang isu ini dengan pelbagai andaian dan segala kemungkinan. Kalau dilihat dari sudit logik, masa dan peristiwa, ada petunjuk yang mengarah ke situ, tetapi bagi saya biarlah pihak berkuasa yang membuat penyoasatan terperinci mengenai perkara ini. Pihak kerajaan Filipina juga berjanji untuk membuat penyiasatan di pihak mereka dan kedua negara akan bekerjasama dalam hal ini.

UB:       Mungkin YB boleh menjelaskan sedikit mengenai perkembangan dan kemajuan yang sedang berlaku di Silam pada ketika ini
HSK:    Alhamdulillah, berkat usaha, sokongan, bantuan dan kerjasama Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri selama ini, Parlimen Silam dan khususnya bandar Lahad Datu terus membangun dengan pesat dari segi ekonomi penduduk dan peningkatan pendapatan per kapita melonjak ke paras yang di luar jangkaan. Lahad Datu menjadi bandar kedua selepas Kota Kinabalu di dalam aspek pembangunan dan hub ekonomi di Sabah.

UB:       Khabarnya bandar Lahad Datu juga makin sesak sekarang?
HSK:    Bandar Lahad Datu di waktu puncak sudah menjadi seperti KL dengan kesesakan yang agak serius oleh kerana kerancakan ekonomi telah melangkau kemudahan infrastruktur yang sedia ada.bagi mengelak tumpuan trafik dan kepadatan demografi penduduk, beberapa pembangunan bandar baharu dan perumahan telah dibangunkan dan dirancang dengan sebaiknya.

UB:       Apa aspek pembangunan yang ditekankan?
HSK:    Kita membuat tiga penekanan utama di dalam pembangunan Daerah Silam iaitu pendidikan, industri dan pelancongan.

UB:       Hub pendidikan? Boleh huraikan sedikit?
HSK:    Kita merancang untuk meneruskan hub pendidikan di Lahad Datu kerana kedudukan strategik dari segi suasana dan perhubungan.Ketika ini kita sudah ada Sekolah Menengah Sains dan Kolej Komuniti. Kita sedang berusaha untuk mendapatkan beberapa lagi penempatan kolej seperti Kolej matrikulasi, sebahagian kolej dari universiti awam yang ada kaitan dengan kemudahan di Silam seterusnya mungkin sebuah universiti awam di sebelah pantai timur Sabah ditempatkan di Lahad Datu.

UB:       Apa cerita mengenai POIC?
HSK:    Sejak tertubuhnya POIC (Palm Oil Industrial Cluster) pada tahun 2005 di dalam Koridor Pembangunan Sabah dengan penawaran lebih dari 1.4 juta hektar ladang kepala sawit dengan objektif memberi penekanan kepada pembangunan pembangunan pemprosesan industri hiliran sawit telah mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan kepada penduduk tempatan. Sabah menjadi pengeluar sawit ketiga terbesar di dunia ketika ini.

Selain dari industri kepala sawit, kita menggalakkan pelaburan di dalam bidang pelabuhan, logistic, minyak dan gas dan industri kecil dan sederhana yang selari dengan pembangunan semasa.Projek-projek berimpak tinggi seperti pembinaan Terminal Regasifikasi Gas Asli Cecair (LNG) di Lahad Datu dan Loji Tenaga Lahad datu yang akan dimulakan pada tahun ini akan dapat melonjakkan lagi pembangunan setempat.

UB:       Sebentar tadi, YB ada menyebut mengenai sektor pelancongan? Apa yang menarik di Silam?
HSK:    Banyak yang menarik di Silam. Kita memberi tumpuan kepada industri pelancongan  sebab di Silam kita mempunyai pakej yang lengkap dengan kedudukan muka bumi yang cantik.Kita mempunyai hutan yang terpelihara sebagaimana tumpuan pelancong ke Lembah Danum. Gunung Silam dengan industri burung walit, pantai yang luas, panjang dan cantik termasuk pulau-pulau yang indah.Jadi kita menjemput pengusaha dan pelabur untuk membuat pelaburan di dalam bidang-bidang yang berkaitan.

UB:       Apa pandangan Yb secara keseluruhan mengenai isu ini?
HSK:    Saya optimis dengan adanya perancangan keselamatan ini dan infrastruktur yang akan dibina, rakyat di Sabah khususnya di bahagian Pantai Timur Sabah akan terus menikmati lebih tambah nilai kepada aktiviti ekonomi dan sosial mereka dengan penuh keyakinan disamping kemasukan pelaburan di dalam industri pertanian, minyak dan gas, perdagangan dan pelancongan.

UB:       Tentunya peristiwa yang berlaku di Lahad Datu memperlihatkan betapa Kerajaan komited terhadap kesejahteraan rakyat di Sabah. Apa pandangan YB?
HSK:    Sebagai mewakili rakyat di Parlimen Silam dari daerah Kunak, Lahad Datu dan Tungku, saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan rasa  terima kasih kami kepada Kerajaan Malaysia khususnya kepada Perdana Menteri yang begitu komited terhadap keselamatan dan kesejahteraan rakyat Sabah.

Saya juga ingin merakamkan terima kasih rakyat Sabah kepada pasukan keselamatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Polis Diraja Malaysua, PDRM dan semua yang terlibat dalam Ops Daulat di atas kerjasama, semangat dan pengorbanan mereka demi menjaga keselamatan kami di sini.Kami juga merakamkan ucapan takziah kepada keluarga, balu dan anak-anak Perwira Negara yang telah terkorban demi menjaga bumi Sabah dan Malaysia yang berdaulat. Saya percaya dan yakin bahawa rakyat di sabah akan sentiasa menberi sokongan padu kepada Kerajaan Barisan Nasional (BN) yang sentiasa bersungguh-sungguh mendahulukan rakyat dalam apa jua perancangan, pembangunan, bantuan dan tindakan sesuai dengan “Janji Di Tepati”.

UB:       Oh ya. Beralih kepada soalan lain.Apa hobi YB?
HSK:    Hobi saya ialah membaca buku. Antara buku yang menarik bagi saya ialah Novel Keluarga Gerilya, karya sasterawan terkemuka Indonesia, Pramoedya Ananta Toer manakala sukan kegemaran saya ialah bolasepak.

UB:       Siapa tokoh yang dikagumi?
HSK:    Saya mengkagumi ketokohan Perdana Menteri Malaysia yang Kedua, Tun Abd.Razak Dato Hussein.

UB:       Akhir sekali, kami mengucapkan terima kasih kerana YB sudi memberikan ruang dan sedikit masa untuk sesi temubual ini. Walaupun singkat, mungkin temubual ini boleh memberikan sedikit informasi mengenai kawasan Parlimen Silam.
HSK:    Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kerana kesempatan yang diberikan untuk temubual ini.