Monday, March 11, 2013

SETENGAH IMAGINASI, SETENGAH MIMPI MENGENAI KEJOHANAN BOLA DI KAMPUNG KAMI



SETENGAH IMAGINASI, SETENGAH MIMPI MENGENAI KEJOHANAN BOLA DI KAMPUNG KAMI

Di tepi padang kampung kami, pemain-pemain sedang berlari-lari memanaskan badan.
Satu kejohanan besar akan dimulakan  tidak lama lagi. kejohanan itu memang sengit kerana beberapa pasukan telah mengesahkan akan mengambil bahagian. Pemain-pemain yang terkenal kehebatannya dijangka turun untuk memperkuatkan pasukan masing-masing.

Sebelum kejohanan dilangsungkan, pihak penganjur telah menetapkan syarat-syarat pertandingan yang perlu dipatuhi setiap pasukan. Selain itu, pihak penganjur juga telah memastikan keadaan padang sama ada ia sesuai untuk pertandingan yang dijangka menarik perhatian bukan saja orang di kampung kami malah orang-orang dari kampung lain juga.

Terdapat aduan dari pihak yang mengambil bahagian dalam kejohanan yang pernah diadakan sebelum ini yang tidak berpuas hati kerana kononnya terdapat kawasan padang yang tidak sama rata. Tetapi pelbagai kejohanan telah diadakan di kampung kami menggunakan padang yang sama tanpa menimbulkan banyak rungutan.

Kejohanan kali ini dikatakan paling sengit kerana ia menawarkan hadiah yang lumayan untuk pasukan yang keluar sebagai pemenang. Oleh itu, banyaklah komen yang diterima daripada pasukan yang dijangka mengambil bahagian. Ada yang mengatakan mereka merasa terganggu kerana tarikh kejohanan yang sering berubah-ubah. Ada juga yang mengadu mereka tidak mempunyai cukup masa untuk berlatih malah ada juga pasukan yang mengadu tidak mempunyai tempat berlatih.

Kini semua pasukan yang mengesahkan penyertaan sudahpun bersedia untuk memulakan perlawanan. Beberapa pasukan telah membuat persediaan yang menarik. Menempah jersi baru, kasut baru selain berlatih siang malam untuk memastikan mereka berada pada tahap stamina yang terbaik.

Pemain-pemain utama yang dijangka diturunkan oleh pasukan-pasukan telahpun dikenalpasti. Ada yang menurunkan pemain tempatan tetapi ada juga seorang dua pemain import yang dijangka diturunkan untuk bermain. Pokoknya, hampir semua pasukan telah membuat cukup persediaan untuk menghadapi kejohanan yang besar itu.

Kini sebentar lagi sepakbola akan dimulakan. Sebelum permainan dimulakan, ada permintaan dari pihak yang bertanding agar kejohanan itu diadili oleh pengadil dari luar daerah. Ada juga yang mencadangkan agar penjaga garisan juga didatangkan dari luar. Tetapi penganjur bertegas untuk menggunakan pengadil tempatan yang telahpun terbukti dengan mutu pengadilan yang boleh dibanggakan.

Penonton-penonton telahpun memenuhi kawasan tepi padang bagi menyaksikan perlawanan itu. Ada penonton yang bersorak surai setiap kali nama pasukan yang mengambil bahagian disebut oleh juruacara.

Tiba-tiba ada pergaduhan kecil berlaku ditepi padang. Tidak jelas apa puncanya tetapi perbuatan mereka seolah-olah mahu mengganggu perlawanan yang diadakan sebentar lagi. Mujurlah kehebohan kecil itu dapat dipadamkan. Ramai penonton terutama masyarakat kampung kami yang sama sekali tidak mengenali siapa yang terlibat dalam pergaduhan itu atau apa punca yang menyebabkan pertelingkahan itu atau siapa yang membawa mereka ke sana.
Namun peristiwa itu tidak mengganggu kejohanan yang telahpun diatur dengan rapi. Pihak penganjur juga telah menyiapkan syarat dan peraturan dan tidak akan segan-segan untuk mengenakan tindakan terhadap pasukan yang tidak mempunyai semangat kesukanan.

Tindakan juga akan dikenakan terhadap pemain-pemain yang bermain kasar, membentes kaki lawan, menarik baju, mengasari lawan, membahayakan pemain, atau cuba menimbulkan pergaduhan sudah pasti akan diberikan kad atau dibuang padang.

Undang-undang dan peraturan kejohanan itu tertulis dengan jelas. Ia wajib dipatuhi jika mahu mengikuti kejohanan besar itu. Sekarang tidak mungkin lagi bagi kami masuk ke padang sesuka hati. Ada syarat yang mesti dipenuhi. Ada peraturan yang mesti dipatuhi. Pemain-pemain juga perlu berlatih tanpa henti jika mahu terpilih dan beraksi.


No comments: