Thursday, April 4, 2013

Catatan si Buyung 1-ulasan mengenai politik suku


Parlimen sudah dibubarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya kira-kira jam 11.35 pagi. Kira-kira lima jam kemudian,Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah turut  dibubarkan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Haji Aman di Sri Gaya.

Pembubaran itu memberi jalan kepada Suruhanjaya Pilihanraya untuk menentukan tarikh penamaan calon dan tarikh pengundian bagi Pilihanraya Umum ke-13. Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia telahpun memaklumkan SPR mengenai pembubaran itu.

Selepas Parlimen dibubarkan, kini perhatian beralih kepada siapa bakal calon yang akan bertanding dalam PRU-13. Percakapan mengenai calon-calon PRU bukan saja diperkatakan oleh Datuk Seri Najib, Datuk Musa dengan segenap barisan kepimpinan BN di negeri ini malah turut juga diperkatakan oleh pimpinan Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP serta PPS dan APS. Juga parti-parti lain seperti SAPP dan STAR serta beberapa parti lain yang berhasrat untuk mengambil bahagian dalam pilihanraya kali ini.

"Cabaran terbesar yang akan dihadapi oleh BN dan PR, sebenarnya lebih besar daripada yang mereka sangkakan," kata Si Buyung sebaik duduk di Restoran Thein Thein bersama rakan-rakannya.

Kedua-dua pihak akan berhadapan dengan politik kesukuan, inilah politik yang sukar mereka kalahkan, kata Si Buyung. Umpamanya, jika pertandingan itu diadakan di Kota Belud, maka yang diperhitungkan ialah calon itu dari suku apa, Bajau atau Iranun atau Dusun. Ketiga-tiga suku itu mesti diwakili dalam pilihanraya kerana jika sesuatu kaum tidak diwakili, mereka secara automatik merasa bahawa mereka dipinggirkan dalam percaturan politik di negeri ini.

Bagi Si Buyung, pemilihan calon sepatutnya didasarkan kepada kredibiliti dan kebolehan dan kemampuan calon memberikan khidmat kepada rakyat.Pemilihan harus berdasarkan merit dan bukan dari mana calon itu berasal. "Jika tuan menang dalam pilihanraya semata-mata kerana tuan orang Bajau atau orang Iranun, dan bukan kerana kredibiliti dan kemampuan tuan memberi khidmat, saya rasa di situ ada kepincangannya," kata si Buyung.

Si Buyung berfikir bahawa timbulnya desakan supaya sesuatu suku itu diwakili adalah kerana wujudnya rasa kurang percaya atau keyakinan terhadap kebolehan calon-calon tertentu untuk mewakili mereka. Barangkali ini disebabkan oleh pengalaman lampau dimana mereka disisihkan dan diketepikan kerana mereka tidak mempunyai suara politik. Kekhuatiran ini beralasan kerana sebelum ini apabila calon tertentu terpilih maka yang diutamakannya ialah suku sakatnya saja sementara orang lain tersisih.

Sepatutnya, fikir si Buyung, politik kesukuan itu tidak timbul lagi pada zaman ini. Orang-orang dulu, pemimpin-pemimpin dulu telah bersusahpayah berjuang malah bertumbuk dan sanggup bersengketa untuk memperjuangkan kepentingan masing-masing. Akhirnya setelah melalui prahara politik, pemimpin-pemimpin kemudian berfikir bahawa banyak kebaikan jika mereka bersatu, bersepakat, muafakat dalam memperjuangkan bukan lagi suku tetapi rumpun bangsa mereka.

Pemimpin dari suku A mestilah dapat memperjuangkan nasib dan masa depan suku B tanpa pilih kasih, begitu sebaliknya. Pemimpin suku A sepatutnya bukan memimpin suku A saja tetapi harus dapat memimpin bukan saja suku B malah suku C, Suku D , Suku E dan seterusnya.

Si Buyung fikir sudah sampai masanya pemimpin mereka itu dapat berfikir secara global dan bertindak secara lokal. Sudah sampai masanya untuk mengetepikan politik berdasarkan kesukuan.

Tapi Si Buyung segera teringat akan buku yang baru dibacanya iaitu Surat-Surat Politik Nurcholish Madjid-Mohammed Roem yang membahaskan mengenai ada tidaknya Negara Islam. Dia teringat kata-kata Mohammed Roem, seorang tokoh pemimpin Islam di Indonesia yang diminatinya bahawa "faktor kesukuan dan famili tetap menjadi pertimbangan akan tetapi jangan sampai mempengaruhi kita dalam politik. Perbedaan Politik tidak perlu mengurangi kehangatan kesukuan dan famili".

Bagaimanapun, Si Buyung teringat pendapat Cak Nur atau Nurcholish Madjid ketika mengulas kata-kata Pak Roem itu. Cak Nur menjelaskan bahawa  "Pertama, jelas bukanlah pilihan kita, melainkan takdir Ilahi bahawa kita dilahirkan dalam suku tertentu dan famili tertentu.Kerana telah menjadi takdir Allah maka kita harus redha kepada-Nya, dan memandang apa yang terjadi itu sebagai kemungkinan yang terbaik untuk diri kita.Berkenaan dengan soal kesukuan ini, dalam Kitab Suci disebutkan bahawa adanya berbagai bangsa dan suku haruslah dipandang sebagai kesatuan-kesatuan identiti yang berbeda-beda, yang harus saling kenal mengenal.Kerana itu saya rasa, tidak ada salahnya dalam batas-batas tertentu memelihara dan memperhatikan faktor kesukuan itu dalam pergaulan kita.".

Si Buyung berfikir bahawa selagi tiada pemimpin yang benar-benar dapat membela dan memperjuangkan nasib seluruh rakyatnya tanpa pilih kasih atau diskriminasi selagi itulah politik berdasarkan suku akan sentiasa ditimbulkan.

Selagi itulah pemikiran politik kita akan tertinggal dan mundur.

No comments: