Wednesday, April 3, 2013

di kedai mamak ketika DS Najib membubarkan parlimen

Sambil menebar roti canai, Shawol tertanya-tanya apa yang sedang berlaku sehingga hampir semua pelanggan di kedai mamak itu memusatkan perhatian mereka ke peti tv.  Dia bertanya kepada Omar, rakan sekerjanya mengenai apa yang diperkatakan oleh Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak yang menyebabkan hampir semua orang-kecuali tiga pelancong eropah- terdiam sambil mendengar pengumuman itu.

"Apa itu?"
Saya yang sedang makan nasi beriyani ayam menjelaskan bahawa Parlimen sudah dibubarkan, genap empat tahun Datuk Seri Najib menjadi Perdana Menteri.

"Tidak lama lagi kami mengundi," kata saya sambil membuat isyarat pangkah. Omar mengangguk dan kemudian berkata sesuatu dalam bahasa Tamil kepada Shawol.

Mereka berasal dari Chennai, India. walaupun mereka boleh berbahasa Melayu pasar kerana sudah beberapa tahun bekerja sebagai pekerja restoran yang terletak di bawah pejabat kami.

India sebuah negara demokrasi yang terbesar di dunia. Saya memberitahu mereka, berdasarkan pembacaan saya, bahawa di India, sebaik saja Parlimen dibubarkan, sesiapapun tidak boleh memberikan sebarang bentuk hadiah yang boleh mempengaruhi pengundi kerana Suruhanjaya Pilihanraya di India akan membatalkan pilihanraya itu jika didapati ada perlakuan rasuah atau apa saja yang menyebabkan pilihanraya dianggap tidak bersih dan adil.

Saya diminta untuk mendapatkan komen pemimpin-pemimpin parti mengenai pembubaran parlimen yang sudah lama dinantikan ini.

Sebelum itu saya memberitahu Ali yang sedang minum dengan Hasyuda mengenai kemungkinan ada pengumuman jam 11.30 pagi melalui TV. Ali yang suka bergurau itu mengatakan Hasyuda sudah terbang ke KL, padahal mereka sebenarnya sedang duduk minum. Biasanya selepas pembubaran parlimen oleh Perdana Menteri, beliau akan menulis surat kepada Speaker Dewan Rakyat.  Kemudian Speaker pula akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). SPR akan bermesyuarat untuk menentukan tarikh penamaan calon dan hari mengundi.

Hari yang ditunggu itu, yang ditunggu -tunggu oleh ramai orang itu sudah tiba. Saya beritahu Shawol dan Omar supaya ikut bersedia menghadapi pilihanraya kerana mulai hari ini sehingga pilihanraya selesai, restoran mamak itu akan dipenuhi oleh orang-orang politik hingga dinihari.

"Buat roti canai garing-garing," kata saya. Buat juga  roti telur, capati, roti nan, roti bom, roti bollywood, roti, kasih sedap sedap supaya ramai orang datang. Omar yang selalu saya sebut `mapli' ertinya kawan itu mengiyakan nasihat saya sambil menggoyang-goyang  kepalanya.

No comments: