Monday, April 1, 2013

Menunggu `rizar'

Kami duduk minum di restoran mamak itu sambil menunggu `rizar'.
Rizar adalah perkataan dari sukubangsa Iranun yang boleh membawa maksud detik atau saat yang tepat untuk melakukan sesuatu. Rizar dapat dikaitkan dengan nasib,  `feng shui' , `timing' dan sebagainya, kata Saudara Jupris Manang yang baru tiba.

Percakapan kami pada hari itu berkisar mengenai perkataan `rizar' itu. Agak menarik juga kerana pertemuan tidak disangka pada tengahari itu tiba-tiba menjadi ruang diskusi untuk membincangkan perkataan rizar.

Ilmu mengenal `rizar' ini adalah sejenis ilmu warisan orang tua yang kini semakin hilang kerana tiada lagi orang yang menguasai ilmu ini. Mungkinkah `rizar' ini termasuk dalam ilmu `kutika' iaitu ilmu meramal seperti yang terkandung dalam kitab tajul muluk?

Mencari makna atau padanan kata `rizar' dalam bahasa Melayu ini belum kami temui. Padahal orang-orang yang kebetulan duduk melingkari meja itu, Laliman Haji Ahmad, pengkaji dan penulis-juga mantan Pengarah Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Sarawak, Jupris Manang, seorang kakitangan kerajaan yang juga penggemar bahasa, Haji Mohd Isha Jutor, Iranun dari Kampung Nala Tungku yang bertugas di SK Ulu Tungku dan Abas, rakan dari Kampung Likas.

`Rizar adalah proses mengira waktu sehingga bertemu masa yang sesuai untuk bergerak," kata saudara Jupris.

"Indan-indanan a mangalukus," katanya yang kira-kira bermaksud pedoman orang-orang tua.

Kata Cikgu Haji Mohd.Isha, kalau di Tungku, rizar ini jika mengikut kiraannya sudah tiba, adalah masa yang sesuai untuk memulakan sesuatu, menanam padi, pindah ke rumah baru dan sebagainya.

Datu Masdan Datu Nurasin, yang saya temui kemudiannya berkata `rizar' adalah masa yang tepat untuk seseorang melaksanakan sesuatu kerana ia berkaitan dengan tuah seseorang misalnya. Mengikut kepercayaan orang tua, rizar bagi seseorang ke seseorang yang lain berbeza.

Menurut seorang pengkaji bayuk (puisi rakyat)  Iranun,Mabulmaddin Shaiddin,rizar boleh membawa makna `row atau baris dalam jadual atau column atau ruangan dan sebagainya.. Apakah menurut beliau `rizar' ada kaitannya dengan `timing' dalam bahasa Inggeris? atau penjadualan masa?

 "wai. gkatademanku su sarita' I bapa' kadi' amai musram kiangguru ku sa kutika'. aden a ruangan a bebedtuan ian sa rijar. sagit a sipir, a matatagu' sa satiman a titik. umpama 2x5=10. 9+1=10. 7+3=10"

"Ya, saya ingat cerita pakcik Kadi Amai Musram ketika saya berguru `ilmu kutika'. Ada satu ruangan yang disebutnya sebagai rizar. Seperti sifir, yang terletak di satu titik. Umpamanya 2x5+10. 9+1=10. 7 +3+10.

Secara peribadi saya sudah lama tidak mendengar perkataan `rizar' diucapkan dalam bahasa Iranun. Hanya apabila timbul spekulasi dan pertanyaan mengapa parlimen belum dibubarkan, saudara Jupris menjawab bahawa  mungkin PM masih menunggu `rizar'.

Barangkali kerana `rizar' nya belum sampai maka Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd.Najib Tun Razak belum membubarkan Parlimen, katanya. Saya rasa perkataan `rizar itu' sesuai sebagai istilah yang sesuai untuk `masa yang tepat dan sesuai', yang jika sudah tiba `rizarnya,, difikirkan membawa tuah.

"Kalau rizarnya tiba, PM tidak dapat dikalahkan," katanya. Benarkah begitu? Saya tersenyum menunggu `rizar' saya sendiri. He he.

No comments: