Jumaat, 21 Jun 2013

DATUK JAMDIN BUYONG, TOKOH YANG BANYAK BERJASA

Tags




DATUK JAMDIN BUYONG, TOKOH YANG BANYAK BERJASA
BELIAU bukan setakat Pejuang Bahasa dan Sastera tetapi seorang tokoh yang banyak terlibat dalam proses sejarah di negeri ini. Sumbangannya amatlah besar. Beliau juga seorang ahli sejarah yang tidak boleh dinafikan ketokohannya. Dalam gerakan bahasa dan sastera tanahair, namanya terpahat dalam tinta emas. Selain itu, beliau juga merupakan pelopor siaran  bahasa Bajau di radio, seorang yang banyak berjasa dalam perkembangan muzium di negeri Sabah, dan memainkan peranan penting ke arah memperkasa dan memartabatkan bahasa Malaysia di negeri ini. Tetapi kemuncak kerjayanya ialah apabila dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sehingga bersara 4 September 2012 apabila menjangkau usia 66 tahun.
DATUK HAJI JAMDIN BUYONG dilahirkan pada 5 September 1946, di Putatan. Beliau menerima pendidikan awal di Government Primary School Buit Hill pada tahun 1952-1959. Selepas itu,beliau melanjutkan pelajaran di Sabah College. Namun, disebabkan masalah tertentu, beliau mengambil keputusan untuk berhenti dari Sabah College. Bagaimanapun, berbekal tekad yang tinggi, beliau menyambung pengajian dengan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia secara persendirian melalui QualifyingTest dan mendapat keputusan yang cemerlang. Selepas itu, Jamdin melanjutkan pengajian melalui pos di Writing School, England dalam jurusan penulisan dan kewartawanan.
Pada awal kerjayanya, beliau bekerja sebagai wartawan dan penolong editor Melayu di Sabah Times. Selain itu, Jamdin juga menjadi Juruhebah Radio dan Pembaca Berita di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sabah pada 1960-an. Beliau merupakan pengasas kepada Siaran Radio dalam bahasa Bajau di RTM. Dalam bidang kewartawanan, beliau pernah menjawat jawatan Penolong Ketua Editor Melayu dan Ketua Editor di Sabah Times iaitu sebelum beliau bertukar jawatan sebagai wartawan dan Ketua Editor Melayu di akhbar Daily Express pada 1969. Pada Mei 1970, beliau meninggalkan jawatannya dan menyertai Perkhidmatan Awam Negeri dan diberi kepercayaan sebagai Penterjemah, Setiausaha dan akhirnya Ketua Biro Bahasa Malaysia di Jabatan Ketua Menteri pada tahun 1977.
Setelah itu, pada Februari 1980, beliau telah dilantik menjadi Setiausaha Lembaga Peperiksaan Awam Negeri Sabah. Sepanjang memegang jawatan berkenaan, beliau telah berjaya merancang, menggubal dan melaksanakan format kertas soalan bahasa Inggers kepada format Bahasa Melayu dalam semua Peperiksaan Perkhidmatan Awam Sabah, Setahun kemudian, pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Biro Bahasa Malaysia dan berjaya mengembangkan Bahasa Malaysia di Sabah sehingga kemuncaknya.Setahun kemudian, pada tahun 1981, beliau dilantik sebagai Ketua Penolong Biro Bahasa Malaysia dan berjaya mengembangkan Bahasa Malaysia di Sabah. Selepas itu, beliau dilantik menjawat jawatan Pengarah Muzium Sabah pada tahun 1994. Pada tahun 1996, Jamdin dilantik menjadi Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) merangkap Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).  Selepas itu, pada tahun 2000, beliau dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri.
Pada tahun 2001, beliau dilantik menjadi Pengarah Jabatan Cetak Kerajaan Negeri Sabah atas kehendak Kerajaan Negeri walaupun pada masa itu beliau telah memasuki usia persaraan 55 tahun. Setahun kemudian, beliau dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dibawah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong. Beliau menjadi Ahli SPR sejak tahun 2002 hingga 4 September 2012. Beliau boleh digelar sebagai Pahlawan Bahasa dan Aktivis Warisan dan Sejarah Pilihan Raya. Semasa berkhidmat, beliau sering dijadikan pakar rujuk dalam memperbetulkan penggunaan Bahasa Melayu dalam urusan komunikasi dan penerbitan di SPR. Selain menjadi pakar bahasa, beluay dilantik sebagai Pengerusi Jawatankuasa Panel Warisan dan Arkib Pilihan raya.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN ditemani Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), SUKOR HAJI USIN berpeluang menemubual tokoh berjasa dan berpengalaman ini di rumahnya di Putatan. Pada petang berhujan itu beliau berkongsi pengalamannya berkaitan sedikit kisah hidupnya. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang membuka sedikit ruang rahsia dalam dunia pengkaryaannya.
UB:     Bagaimana datuk mula berminat dalam bidang penulisan?
JB:    Pada tahun 1958-1959, di Buit Hill, ada kumpulan yang dikenali sebagai tiga serangkai iaitu Datuk Haji Shuhaibun Yussuf, Datuk Mohd Yaman Ahmad, kedua-duanya kini telah kembali ke rahmatullah dan Mohd Tahir Abdul Hamid (Kisnawati). Mereka inilah yang banyak mempengaruhi saya dalam bidang penulisan.Sewaktu dalam darjah lima, kami disuruh mengarang. Jika tidak siap karangan, tidak boleh pulang. Jadi kami pun mengarang, mengarang apa saja, asalkan boleh pulang awal. Kemudian apabila ada pertandingan mengarang, saya pun ikut bertanding. Ini juga beri dorongan kepada saya. Selain itu, saya ingat lagi M.A. Rahman,tokoh buku termasyhur masa itu, datang ke sekolah. Waktu itu belum ada orang Melayu berniaga buku, selain MA Rahman.  Beliau datang ke sekolah kami dengan menunggang basikal. Beliau membawa banyak buku.Itu juga menimbulkan minat saya dalam bidang penulisan.
UB:    Apa karya pertama?
JB:    Sewaktu dalam darjah enam, tahun 1959, cerpen pertama saya bertajuk `Lewat Tiga Minit’ tersiar di Radio Sabah. Rasa berbangga pada masa itu. Ketika itu, akhir 50 dan sekitar tahun 60-an, ruangan cerpen itu selalu diisi RM Jasni, Shuhaibun Yussuf dan Harry Sunyoto, kemudian Jamdin B, Sabdin Ghani. Cerpen `Lewat Tiga Minit’ itu menceritakan perihal seorang tua yang menunggu anaknya pulang dari perantauan.
UB:    Tema atau persoalan yang datuk selalu tulis, apa antaranya?
JB:    Saya selalu menulis tema-tema kemasyarakatan, kritik sosial terhadap masyarakat pada masa itu dan sebagainya. Selain cerpen, saya juga menulis dalam bidang puisi.
UB:    Apa agaknya yang mendorong datuk menulis pada masa itu?
JB:    Ketika itu saya betul-betul mahu duit. Sebuah cerpen yang disiarkan dibayar lima belas ringgit. Wang lima belas ringgit amat tinggi nilainya pada waktuitu. Selain itu, saya juga seronok orang dengar nama saya di radio.
UB:    Waktu itu, datuk sudah berada di sekolah menengah?
JB:    Saya sudah bersekolah di Sabah College pada masa itu. Boleh dikatakan kami adalah antara pelajar miskin pada masa itu. Bila musim cuti sekolah, saya dan Tan Sri Kasitah Gaddam tidak pulang.  Sudahlah tambangnya mahal, kampungnya jauh, di atas bukit. .Jadi waktu cuti dia tidak pulang. Sebaliknya kami cari kerja. Kerja di projek pembinaan dan sebagainya.
Jadi dengan duit hasil honorarium cerpen itu, saya dapat beli tuala, beli sabun. Dulu keadaan hidup sangat jauh berbeza. Saya lihat Tan Sri Kasitah paling rajin belajar.Beliau sanggup bangun subuh-subuh. Beliau seorang yang kuat belajar.
UB:    Kalau tidak silap, datuk pernah menang Hadiah Sastera di peringkat kebangsaan?
JB:    Saya mendapat Hadiah Sastera pada tahun 1971 melalui puisi Langit Merah’ dan Kematian Kekasih Bumi. Pada awalnya, kebanyakan puisi saya berkisar mengenai pergolakan politik, masalah sosiobudaya,dan hubungan sesama insan.
UB:    Bagaimana pula datuk terlibat dalam bidang lukisan?
JB:    Saya memang minat melukis. Masa itu saya dapat melukis dengan baik. Bahkan lukisan saya dibeli oleh pelancong Australia sebagai kenang-kenangan dengan harga tiga puluh ringgit pada masa itu. Satu jumlah yang cukup besar untuk ukuran masa itu. Selain itu, saya juga melukis untuk suratkhabar. Tiap-tiap lukisan karikatur yang saya hasilkan dibayar lima ringgit. Kalau satu minggu, jumlah bayarannya agak mahal juga. Saya melukis mengggunakan nama Jambo. Ketika itu saya bekerja di suratkhabar.
UB:    Selepas sekolah datuk kerja di suratkhabar?
JB:    Mulanya saya bekerja sebagai wartawan dan penolong editor Melayu di Sabah Times.
UB:    Mungkin banyak pengalaman sebagai wartawan yang boleh dikongsikan?
JB:    Masa itu orang  menulis hentam keromo.Kadang-kadang itu dilakukan kerana terpaksa mengisi ruang kecil. Saya terpaksa buat berita `on the spot’. Waktu itu tidak ada berita, orang mahu membaca tapi tiada yang dapat dibaca. Itu sebabnya, pada masa itu, berita seperti kenduri kendara, majlis perkahwinan masuk selalu masuk dalam suratkhabar. Orang kenduri, segala kari, ikan goreng, masuk dalam pemberitaan. Arwah K Bali selalu menulis laporan jika dipanggil kenduri.
UB:    Menarik sekali Datuk.Teruskan?
JB:    Saya sebenarnya rasa teraniaya oleh diri sendiri. Saya terpaksa siapkan laporan, berita. Lukisan dan sebagainya kerana terpaksa isi ruang yang kosong. Kadang-kadang kita geli hati bila membacanya sekarang.Mesejnya memang ada. Waktu itu saya bekerja di suratkhabar satu orang.Tidak seperti sekarang. Dulu sayalah yang keluar mencari berita, sayalah yang menterjemah berita dari agensi berita Reuters, UPI, dan sebagainya.Sayalah yang membuat laporan, sayalah yang membaca pruf, sayalah yang ambil gambar,kemudian sayalah yang cuci gambar di bilik gelap, dari soal A-Z saya buat sendiri.
Masa itu sesudah berita taip, sendiri yang menaip, kemudian simpan tajuk sebelum dibawa untuk dicetak,Kadang-kadang ada helai rambut yang terjatuh atas film, juga ikut tercetak.
UB:    Sungguh mencabar ya Datuk?
JB:    Mencabar kerana kita terpaksa melakukan banyak perkara. Menjadi pemberita, sekaligus menjadi jurutaip, jadi pembaca pruf, tukang gambar, tukang reka letak, penyunting dan sebagainya. Gaji hanya RM320 sebulan pada masa itu. Selepas bekerja di Sabah Times, saya bekerja pula sebagai wartawan dan Ketua Editor Melayu di syarikat akhbar Daily Express pada tahun 1969. Waktu itu saya berusia antara 17 hingga 19 tahun.
UB:    Jika tidak silap, datuk yang mula-mula mempelopori siaran bahasa Bajau di RTM? Boleh ceritakan sedikit?
JB:    Masa itu saya  menjadu Juruhebah Radio dan Pembaca Berita di RTM. Waktu itu masih TV masih hitam putih. Kemudian apabila Parlimen meluluskan siaran dalam bahasa Bajau, hari itu juga dimulakan rancangan dalam bahasa Bajau. Masa itu belum ada persediaan dari segi bahan. Belum ada sistem ejaan dan sebagainya. Jadi kami gunakan bahasa Bajau yang digunakan di pantai barat Sabah. Kami terjemahkan terus berita dalam bahasa Melayu ke dalam bahasa Bajau dalam “Abar-abar diom laat”.
UB:    Mungkin banyak kenangan sewaktu di sana?
JB:    Saya ingat kami pernah buat kesilapan besar dalam terjemahan dari bahasa Melayu kepada bahasa bajau. Waktu itu, Kerajaan melancarkan projek menanam sagu di Beaufort secara besar-besaran. Berita itu jadi berita besar. Ketika mahu menterjemahkan ayat `tanaman sagu’ itu, saya tidak jumpa terjemahan yang tepat.Akhirnya ayat bertanam sagu itu diterjemahkan bertanam `ambuyat’  padahal ambuyat ialah makanan yang terhasil dari sagu. Sepatutnya terjemahan sagu dalam bahasa Bajau ialah Emboong. Itu yang melucukan.Bagaimana pula orang bertanam ambuyat? Yang betul ialah bertanam emboong, iaitu terjemahan sagu dalam bahasa Bajau.
UB:    Siapa antara rakan datuk ketika itu?
JB:    Masa itu Ketua Bahagian Melayu ialah Tahir Abdul Hamid. Saya bersama Matin Pandin bertugas dalam siaran bahasa bajau.Ketika itu kami banyak merakam lagu dalam bahasa Bajau, antaranya Rojo Kobog oleh M Yamin, lagu oleh B Banun, MY Ahmad, saya rakam dan sediakan liriknya dalam bahasa Bajau .
UB:    Selepas kerja di suratkhabar, apa kerjaya datuk?
JB:    Saya menyertai Perkhidmatan Awam Negeri pada bulan Mei 1970. Saya diberi kepercayaan menjawat jawatan sebagai penterjrmag, setiausaha dan akhirnya menjadi Ketua Biro Bahasa Malaysia di Jabatan Ketua Menteri pada tahun 1977.
UB:    Kemudian?
JB:    Pada bulan Februari 1980, saya dilantik menjadi Setiausaha Lembaga Peperiksaan Awam Negeri Sabah.
UB:    Apa bidang tugas sepanjang menjadi Setiausaha Lembaga Peperiksaan?
JB:    Sepanjang memegang jawatan berkenaan, saya telah berjaya merancang, menggubal dan melaksanakan format kertas soalan bahasa Inggers kepada format Bahasa Melayu dalam semua Peperiksaan Perkhidmatan Awam Sabah. Pada tahun 1981, saya  dilantik pula  sebagai Ketua Penolong Biro Bahasa Malaysia dan berjaya mengembangkan Bahasa Malaysia di Sabah sehingga kemuncaknya.
UB:    Selepas itu?
JB:    Selepas itu, saya dilantik sebagai Pengarah Muzium Sabah dan telah membawa pembaharuan kepada Muzium Sabah dan mewujudkan Kampung Warisan di Kompleks Muzium yang kini dikenali sebagai Pameran Rumah Tradisi. Selain itu, ketika berkhidmat di Muzium Sabah juga, saya telah mewujudkan sudut pameran baru seperti Pameran Geologi, Etnobotani, Penyiaran, Keretapi dan Tamadun Islam.

UB:    Selepas Muzium, Datuk berkhidmat dimana pula?
JB:    Pada tahun 1996, saya dilantik sebagai Pengarah JHEAINS atau Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah seterusnya merangkap Setiausaha Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
UB:    Bolehkah  datuk beritahu mengenai pembaharuan yang datuk lakukan sepanjang bertugas di JHEAINS?
Jb:    Sewaktu bertugas di JHEAINS dan MUIS, saya telah melaksanakan pembaharuan kepada corak penyusunan pengurusan dan pentadbiran di sana. Selain itu, saya juga memainkan peranan dalam menyelesaikan pelbagai masalah mengenai pelaksanaan penguatkuasaan sebahagian undang-undang syariah yang belum dikemaskini ketika itu. Saya juga turut menggerakkan semula dan mempercepatkan pelaksanaan projek-projek pembangunan keagamaan yang tergendala pembinaannya disebabkan masalah teknikal dan kewangan, termasuklah projek pembinaan Masjid Bandaraya pada tahun 1999.
Sebagai Setiausaha MUIS pula, sata telah menyusun semula pengurusan dan pentadbiran MUIS, yang pada mulanya dipisahkan daripada JHEAINS dan menyelesaikan pelbagai masalah bagi mengukuhkan kewangan MUIS. Selain itu, saya juga turut menyusun semula pengurusan pungutan zakat iaitu dari sudut pungutan zakat serta tabungan yang memberi impak baik dari sudut pengukuhan kedudukan baitulmal.
UB:    Lama berkhidmat di JHEAINS? Selepas itu, pindah kemana pula?
JB:    Saya bertugas di JHEAINS dari tahun 1996 hingga tahun 2000. Selepas itu, saya dilantik sebagai Setiausaha Akhbar kepada Ketua Menteri di Jabatan Ketua Menteri.
UB:    Apa bidang tugas sebagai Setiausaha Akhbar?
JB:    Sebagai Setiausaha Akhbar, saya dipertanggungjawabkan untuk menyedia serta menyunting teks ucapan serta menyelaras liputan media bagi Ketua Menteri Sabah.
UB:    Berapa lama bertugas di sana?
JB:    Setahun kemudian, saya dilantik pula menjadi Pengarah Jabatan Cetak Kerajaan Negeri Sabah atas kehendak Kerajaan Negeri walaupun pada masa itu, saya sudah layak menerima saran pence kerana telah berumur 55 tahun. Sepanjang menjawat jawatan Pengarah Jabatan Cetak, saya telah menyusun semula pentadbiran, penyelenggaraan stor dan pengurusan kewangan sekaligus berjaya meningkatkan produktiviti kerja di jabatan berkenaan.
UB:    Datuk seorang yang banyak pengalaman. Kami difahamkan datuk juga yang mencetuskan idea penubuhan Muzium Tamadun Islam?
JB:    Ya, saya antara yang bertanggungjawab dalam membentuk dan memberi idea kepada penubuhan Muzium Tamadun Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)Cawangan Sabah, Arkib Negeri Sabah, Arkib Negeri Sabah serta Balai Seni Lukis Sabah.
UB:    Selepas pencen di Jabatan Cetak, apa yang datuk lakukan?
JB:    Sekitar tahun 2002, saya telah dilantik sebagai Ahli Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) Malaysia di bawah perkenan Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong.
UB:    Mungkin boleh ceritakan sedikit pengalaman sewaktu berkhidmat sebagai Ahli  SPR?
JB:    Sebagai Ahli SPR, saya juga dilantik menjadi Pengerusi Jawatankuasa Panel Warisan dan Arkib Pilihan Raya. Sepanjang berkhidmat sebagai pengerusi jawatankuasa, saya telah melakukan pelbagai inisiatif berkaitan pemeliharaan dan pemuliharaan bahan-bahan sejarah piihan raya, antaranya membuat penyelidikan dan pengumpulan bahan-bahan sejarah Pilihan Raya Umum Pertama sehinggalah Pilihanraya Umum ke-11. Antara pencapaian gemilang sewaktu menjadi Ahli SPR adalah penerbitan Buku 50 tahun Demokrasi dalam Konteks Pilihan raya yang diterbitkan dalam tahun 2007 dan Pameran 50 Tahun Demokrasi Dalam Konteks Pilihanraya yang diadakan pada tahun yang sama, bersempena dengan sambutan Jubli Emas penubuhan SPR.
UB:    Bila datuk bersara dari SPR?
JB:    Saya bersara pada 4 September 2012 tetapi walaupun telah bersara, saya masih merasa sebagai sebahagian daripada SPR sampai sekarang.
UB:    Apa yang datuk lakukan dalam usia persaraan ini?
JB:    Saya kembali menulis. Banyak perkara yang belum ditulis. Saya sedang mengumpul cerpen, dan sedang menyiapkan buku mengenai pengalaman sepanjang bertugas di Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
UB:    Terima kasih datuk kerana sudi meluangkan masa bersembang untuk sesi temubual ini.
JB:    Sama-sama.

1 comments so far

Salam admin, adakah beliau berasal dari suku kaum Bajau ? Sehingga beliau boleh menterjemahkan bahasa Melayu ke bahasa Bajau. Im looking forward your reply. Terima kasih.