Saturday, June 8, 2013

Masa lalu seperti dongengan


MASA LALU SEPERTI DONGENGAN

TERUS TERANG saya tidak dapat membayangkan situasi zaman pada ketika itu.

Peghujung tahun 60-an di kampung kami. Saya sendiri baru lahir. Tetapi melalui cerita yang dituturkan oleh abang sepupu saya, Haji A, saya dapat menggambarkan keadaan masyarakat kampung, kehidupan mereka yang susah, kepayahan dan kepedihan yang mereka alami untuk mendapatkan sesuap nasi untuk anak-anak mereka.

“Bayangkan, gaji bapa saya RM2.50 sen saja. Duit itulah yang digunakan untuk menyara kami enam adik beradik,” katanya. Berapa harga beras pada masa itu? Saya bertanya.

“Harga beras RM1.20 sen saja,” katanya sambil menceritakan suasana zaman pada penghujung 1969 dan awal 70-an di kampung kami.

Duit yang selebihnya itulah yang digunakan untuk belanja persekolahan untuk dua minggu, katanya. Harga kasut sekolah RM1.80 sepasang manakala harga stokin 80 sen.

Banyak kisah menarik dan lucu ketika mengenang masa lalu. Haji A  memberitahu betapa dahulu beliau suka ikut membonceng basikal kalau ada majlis keramaian.

Dalam majlis keramaian itu, selalunya diadakan juga `pamiula’ atau `isun-isun’ iaitu budaya berpantun di kalangan masyarakat Bajau dan Iranun di Kota Belud.

Acara berpantun itu diadakan sepanjang malam hinggalah ke pagi. Jual beli pantun sambil diringi gesekan biola dan disaksikan ramai orang tentulah mengasyikkan. Apatah lagi, kerana itulah satu-satunya acara hiburan pada masa itu selain berunsai.

Sebaik selesai acara itu, pemantun lelaki akan diberikan saguhati sebanyak RM15.00 tetapi pemantun wanita diberikan lebih sedikit kerana ia berpantun sambil menggesek biola.

Kalau saya ikut ayahmu, katanya merujuk arwah ayahanda saya, saya selalu kebagian RM5.00, katanya lagi mengingat masa silam. Sebentar-sebentar kami meneguk kopi kerana sudah larut malam. Kami sengaja hadir untuk memeriahkan lagi majlis perkahwinan anak perempuannya yang diadakan keesokan harinya.

Pada waktu sebegitulah, berkumpul bersama keluarga dan handai taulan, beliau selalu menceritakan kisah penderitaan orang-orang tua, generasi yang sebelumnya.

Ketika radio mula sampai di kampung, orang-orang kampung yang kebanyakannya petani dan nelayan itu agak takjub dan hairan. Mereka membelek-belek peti radio jenama philips warna coklat itu sambil mencari-cari  punca suara yang muncul dari benda yang dianggap aneh itu.

Mereka lalu memacak tiang bambu untuk memasang antena bagi menangkap siaran. Kadang siaran yang diperolehi dalam bahasa `orang puitih’ yang seorangpun di antara mereka tidak mengerti.

Tahun berapa orang kampung mulai memiliki radio? Haji A memberitahu radio mula dimiliki pada tahun 1958. Ia dibeli oleh orang-orang kampung yang bekerja sebagai buruh di Jesselton, pada masa itu, kini Kota Kinabalu.

Beliau mengaku tahu mengenai sejarahnya kerana sebagai pemuda masa itu, beliau sering juga ikut bekerja di ibu negeri. Pada masa itu, Kota Kinabalu sedang dibangun. Malah beliau dapat menunjukkan bangunan-bangunan di Kota Kinabalu yang dibina, antaranya oleh tangan tangan orang Iranun yang bekerja sebagai buruh pembinaan.

“Dulu, kalau tidak bertani atau menjadi nelayan, pemuda-pemuda kampung selalu merantau ke Api-Api untuk mencari kerja, apa saja untuk menampung hidup keluarga di kampung.

Orang kita juga mempunyai saham terhadap proses pembangunan di Kota Kinabalu. Pada masa itu, katanya, masih ramai lagi kalangan masyarakat Iranun yang tak mengenal huruf.

Mereka tidak mempunyai pendidikan. Kesusahan dan kesukaran hidup yang mereka alami menggagalkan hasrat mereka untuk ke sekolah atau melanjutkan pelajaran.

Tetapi sekarang, keadaannya jauh berbeza, kenang Haji A lagi. Kalau kita menceritakan kepada anak-anak, mereka menganggap ini semacam cerita dongeng, katanya. Namun beliau sering menceritakan kisah-kisah lalu untuk cerminan masa depan. Beliau rajin menceritakan bagaimana keteguhan dan kekukuhan institusi keluarga pada masa itu.Semangat kekeluargaan, gotong royong dan bantu membantu yang amat tinggi.

Kalau ada majlis keramaian seperti ini, keluarga dari jauh dan dekat, datang membantu tanpa mengharap balasan. Nilai-nilai murni dan luhur pada masa lalu, kini semakin terkikis dan hilang. Kalau dulu hampir semua penduduk kampung miskin, kini hampir semua kalangan hidup dalam keadaan yang sederhana, walaupun tidak terlalu mewah.Ramai yang telah berjaya, memiliki kehidupan yang selesa.


Tapi ada yang terasa hilang.

No comments: