Jumaat, 21 Jun 2013

MEMADAI SEBUAH BALDI, KATA USTAZ SUHAILI

Tags

MEMADAI SEBUAH BALDI, KATA USTAZ SUHAILI
BAGI saya, memadai sebuah baldi di musim kemarau.Kita isi dengan air sehingga semua orang dapat air. Sekiranya ada air yang lebih, barulah kita baldi yang kedua, kata Datuk Haji Mohd Suhaili Said, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tungku yang juga Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).
Datuk Haji Mohd Suhaili Said lahir di Kampung Segangan Tungku, Lahad Datu pada 1 Jun 1960. Anak keempat daripada Sembilan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Bikang pada 1967 hingga 1971. Beliau menyambung pendidikan menengah di GSS Lahad Datu dari tahun 1972 hingga 1974 sehingga tingkatan 2 dalam aliran Inggeris Pada tahun 1975, beliau mendapat biasiswa Yayasan Sabah untuk melanjutkan pelajaran Sekolah Menengah Arab Salahuddin Sabak Bernam Selangor hingga tingkatan lima  sebelum memasuki Kolej Islam Kelang pada tahun 1977 hingga 1979. Beliau Sijil Tinggi Agama dan pada masa yang sama menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berjaya mendapat pangkat 1 dan sijil khas Kolej Islam pangkat 2. Beliau kemudian meneruskan pengajian di Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Al Azhar Mesir sehngga lulus pada tahun 1984.
Kerjayanya bermula sebagai seorang guru sandaran di SMK Kunak pada tahun 1985. Kemudian beliau mendapat tawaran untuk mengikuti kursus KPLI di Kolej Islam Lembah Pantai. Selepas itu, beliau ditugaskan di SMK Agaseh Lahad Datu. Ustaz Suhaili kemudian bertugas Maktab Perguruan Sandakan dan menjadi Ketua Unit Tamadun Islam dan Pendidikan dari tahun 1990 hingga 1995. Pada tahun berikutnya, beliau dilantik sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Sabah dan mengetuai Bahagian Dakwah dan Kepimpinan. Pada tahun 1997, beliau dilantik untuk memangku jawatan Pengetua di SMK Agama Tun Sakaran. Pada tahun 1999, beliau kembali bertugas ke ibu pejabat dan dilantik sebagai Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral.
Perjalanan hidupnya beralih ke dunia politik apabila beliau dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Lantik pada tahun 1999. Selepas itu, beliau memenangi Kerusi DUN Tungku bagi tiga penggal berturut-turut iaitu 2004, 2008 dan 2013 dengan majoriti yang bertambah.
Sebelum ini beliau pernah dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1999 hingga 2001, Timbalan Pengarah Asian Supply Base selama dua Tahun, Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS), Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEAINS) dan pada tahun lepas dilantik pula sebagai Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) hingga sekarang. Datuk Haji Suhaili Said mendirikan rumah tangga dengan Datin Hajah Dayang Sofiah Datu Jamiudin dan dikurniakan dua orang anak.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual beliau di pejabatnya di Tingkat 5, Wisma Muis untuk berkongsi pengalamannya sepanjang kerjayanya sehingga menjadi seorang wakil rakyat.

UTUSAN BORNEO:    Boleh ceritakan sedikit latar belakang Datuk? Dimana datuk dilahirkan?
DATUK HAJI SUHAILI SAID:    Saya lahir di Lahad Datu, di sebuah kampung yang diberi nama Kampung Segangan, kini dalam daerah Tungku. Saya lahir pada 1 Jun 1960. Saya menduduki sekolah rendah di SRK Bikang pada tahun 1967 hingga 1971. Kemudian saya menyambung pelajaran di sekolah menengah di Lahad Datu, pada ketika itu GSS (Government Secondary School) Lahad Datu pada tahun 1972 hingga 1974 hingga Form 2 dalam aliran bahasa Inggeris.
UB:    Hingga tingkatan dua saja? Selepas itu kemana?
DHSS:        Pada tahun 1975, saya terpilih sebagai salah seorang pelajar Sabah yang dihantar belajar di sekolah di Semenanjung Malaysia oleh Yayasan Sabah. Saya belajar di Sekolah Menengah Arab Tinggi Salahuddin di Sabak Bernam.
UB:    Pindah ke aliran agama? Dari sekolah Inggeris ke sekolah agama? Menarik. Boleh jelaskan sedikit?
DHSS:        Di kampung saya sempat belajar di Sekolah Ugama Islam di Bikang. Selain itu, saya selalu menyertai tilawah, syarahan dan aktif dalam kegiatan ko-kurikulum. Jadi saya terpilih sebagai salah seorang pelajar yang mendapat biasiswa Yayasan Sabah untuk belajar di Semenanjung.
UB:    Selepas itu?
DHSS:        Dari Sekolah Arab Tinggi Salahuddin Sabak Bernam, saya belajar di Kolej Islam Kelang.
UB:        Siapa antara pelajar yang belajar di Kolej Islam Kelang?
DHSS:        Antaranya Karim Ahmad, Ustazah latifah Ispal, Dr.Azid Kabul, Allahyarham Dr Zainuddin Jaafar, Dr Azizan Matnon, Dr.Kamaruzzaman Yusof, Dr.Mohd.Nor Osman dan ramai lagi.
UB:    Di Kelang, sampai tingkatan berapa?
DHSS:        Saya lulus Sijil Tinggi Agama dan pada masa yang sama, menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pangkat 1 dan Sijil Khas Kolej Islam Pangkat 2. Pada tahun 1980, saya ke Mesir dan memasuki Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Al-Azhar Mesir pada tahun 1984.
UB:    Apa kerjaya datuk selepas kembali ke tanahair?
DHSS:        Mula-mula saya jadi guru sandaran di SMK Kunak pada tahun 1985. Kemudian saya mendapat tawaran untuk mengikuti Kursus Pengajian Lepasan Ijazah (KPLI) di Kolej Islam Lembah Pantai. Selepas itu, pada tahun 1987, saya bertugas di SMK Agaseh Lahad Datu dan menjadi Ketua Guru Disiplin dan Ketua Warden.Kemudian saya bertugas di Maktab Perguruan Sandakan (MPS) dan dilantik sebagai Ketua Unit Tamadun Islam pada tahun 1990 hingga 1995.
UB:    Kemudian?
DHSS:        Kemudian saya dilantik sebagai Penolong Pengarah di Jabatan Pendidikan Sabah iaitu di Bahagian Dakwah dan Kepimpinan. Pada tahun 1997, saya memangku menjalankan tugas sebagai Pengetua di Sekolah Agama Tun Sakaran Semporna. Saya menjadi pengetua pertama ketika sekolah itu berpindah ke bangunan baru.Pada tahun 1999, saya balik bertugas di ibu pejabat dan menjadi Ketua Sektor Pendidikan Islam dan Moral selama sembilan bulan.
UB:    Selepas itu datuk menyertai politik?
DHSS:        Pada tahun 1999, kira-kira bulan April, saya dilantik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Lantik. Pada masa itu, kerajaan menerima  pandangan Tan Sri Hamid Othman mengenai keperluan orang-orang yang berlatarbelakangkan agama untuk menyumbang kepada kerajaan BN pada ketika itu. Ia kesan daripada satu multaqa yang dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr.Mahathir Mohamad. Setelah dilantik sebagai ADUN, disitulah bermulanya saya sebagai orang politik. Sebelum itu, saya hanya seorang aktivis yang mahu Islam mempunyai kedudukan yang sepatutnya di negeri ini.
UB:    Sebelum itu, datuk aktif dimana?
DHSS:    Saya aktif dalam kegiatan Belia USIA. Ketika itu di Sandakan, mendapat bimbingan daripada Tan Sri Ampong Puyong dan Haji Karim Said, kini Allahyarham. Selain itu, saya bergiat bersama Datuk Haji Dahli Elias, waktu Pegawai Pelajaran di Sandakan dan kemudian menjadi Setiausaha Agung USIA. Kami telah menubuhkan Gabungan Intelektual Melayu di Sandaan, yang disertai antara lain oleh Pengarah JPPHT, Tuan Haji Yahya, Allahyarham Mardin Malayu dan Aspah Abdullah Sani. Pada tahun 1990, Prof.Datuk Kamarudin Kachar dan Tan Sri Sanusi Junid telah menyelidik apakah UMNO dapat diterima oleh golongan pertengahan dan sebagainya. Parti memerlukan kelompok  yang berjuang tanpa mengharapkan apa ganjaran, cintakan agama dan bangsa, kumpulan ini berjuang secara ikhlas untuk memastikan UMNO  kuat dan jadi pilihan rakyat. Ekoran daripada itu, pada tahun 1990, saya menjadi ahli UMNO di Taman Jalan maktab Sandakan
UB:    Selain dilantik sebagai Adun, apa lagi jawatan yang datuk pegang?
DHSS:    Saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) dari tahun 1999 hingga 2001. Kemudian saya digantikan oleh Haji Jifneh Haji Mohd Dun kerana waktu itu, Datuk Lajim memerlukan orang-orang yang dapat membantunya. Saya tidak punya apa apa jawatan. Tetapi pada tahun 2001, saya dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Asian Supply Base. Saya amat berterima kasih kepada Datuk Musa kerana saya diberikan pendedahan kepada dunia korporat, dunia yang sama sekali baru pada saya. Saya memegang jawatan itu selama dua tahun.
    Kemudian selepas pilihanraya 2004, saya dilantik sebagai Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah (PBNS). Kamilah ,pada waktu itu, bersama Datuk Haji Arifin Arif menterjemah enakmen seterusnya membuat kerangka organisasi sebagai satu jaringan memperkukuhkan kekuatan ekonomi umat Islam. Semasa saya menjadi pengerusi PBNS, Baitulmal mendapat penarafan empat bintang.
UB:    Apa tugas selepas itu?
DHSS:        Selepas itu, saya dilantik sebagai Presiden Majlis Hal Ehwal Anak Negeri Sabah (MHEAINS). Kemudian ,  saya dilantik sebagai Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah(MUIS) setelah adanya kekosongan di MUIS selepas Datuk Haji Syed Abas dilantik Penasihat Sains dan Teknologi kepada Ketua Menteri.

UB:    Boleh ceritakan sedikit antara kejayaan dan  perancangan sepanjang berada di MUIS?
DHSS:    Antara kejayaan MUIS adalah  memperkukuhkan Pusat Zakat Sabah (PZS), yang berada di bawah MUIS, sebagai sebuah institusi yang berkepentingan membina sosioekonomi umat Islam. Selain itu, PZS juga telah melantik pegawai ke jawatan sementara, sebelum ini, mereka  hanya berjawatan kontrak saja. Kerajaan Negeri juga membenarkan pengambilan pegawai baru dimana emolumennya dibayar oleh PZS sendiri.


Selain itu, kita meneruskan  agenda untuk membangunkan hartanah MUIS, seperti pembangunan hartanah Tebobon yang kini memasuki fasa yang kedua setelah dimulakan pada bulan Mac lalu.
Kita juga di MUIS, sentiasa memantau apa yang berlaku dalam JHEAINS dimana Pengarah JHEAINS yang juga Setiausaha MUIS sentuasa membentangkan laporan mengenai perkembangan, pentadbiran, kemajuan pendidikan, Mahkamah Syariah dalam setiap mesyuarat.
MUIS sebagai pemegang amanah memastikan tanah yang diwakafkan penggunaan oleh MUIS dan JHEAINS memenuhi keperluan masyarakat. Kita harap MUIS dan JHEAINS saling melengkapi. MUIS sebagai pembuat dasar dan satu lagi pelaksana dasar
Kita juga sentiasa berusaha mengeratkan hubungan dengan agensi lain seperti Jakim, Yadim, USIA , Yapiem. Kita mahu badan-badan agama ini sama-sama menggunakan strategi bersama, sesuai dengan Blue Ocean Strategy.
UB:    Oh ya. Beralih kepada soalan lain. Sebagai wakil rakyat DUN Tungku, boleh ceritakan sedikit mengenai DUN Tungku sejak datuk menjadi Adun pada 2004?
DHSS:        Pada 2004, kita mengenalpasti masalah yang dihadapi dan apakah kehendak rakyat.Kita merancang dan bersaha membekalkan eletrik ke kawasan ke kawasan luar bandar, air bersih, kemudahan jarngan jalanraya yang pada waktu itu terlalu daif. Kita perbaiki kemudahan jalanraya.Kita penuhi keperluan masyarakat khususnya para petani, pekebun .
 Pada Mac  2007, Alhamdulillah, Kerajaan Negeri telah mewujudkan Daerah Kecil Tungku dan ini antara lonjakan kemajuan kerana Tungku mempunyai pentadbira sendiri.Pada tahun 2008, Kerajaan telah bina urusetia bernilai RM 1.8 juta selain itu, klinik kesihatan.
Untuk makluman juga, kita telah mendapat kelulusan pembinaan Masjid Daerah Tungku berharga RM3juta, diatas tanah yang diwakafkan Tuan Haji Abirin seluas tiga ekar,di sebelah  SK Tungku.
Pada masa ini, kita juga bersyukur kerana dapat memenuhi janji-janji pilihanraya, pembinaan masjid di Kampung Simuning berharga RM250,000, Sungai Nipah berharga 250,000, kampung Bogingod RM190,000.
Selain itu, pembinaan jalan aspal ke Tambisan sepanjang 11 km menelan belanja RM10 juta, Kampung Bogingod sepanjang 8 km menelan kos RM7 juta. Ini adalah antara yang dilaksanakan.
Bekalan elektrik 24 jam menelan belanja 9 juta, pembinaan solar hybrid system berharga RM92 juta yang terbesar di Asia Tenggara dibawah KKLW yang membawa manfaat kepada  sepuluh buah kampung dan sebagainya.
UB:    Bagaimana pula soal tahap keselamatan di Tungku selepas peristiwa yang berlaku baru-baru ini?
DHSS:    Alhamdulillah, masalah keselamatan di Lahad Datu dan Tungku dapat ditangani. Kita berterima kasih kerana kerajaan begitu prihatin terhadap masalah keselamatan dimana kerajaan mewujudkan Esscom, kawalan polis dan tentera telah diwujudkan di Sahabat 16, kemudian pembinaan Balai Polis baru di atas tanah seluas 9 ekar di Tambisan berkekuatan 70 orang.
UB:    Apa potensi Tungku?
DHSS:    Kita percaya dengan adanya kawalan keselamatan, tanah yang subur, laut yang kaya dengan pelbagai sumber laut, dimana terletaknya projek akuakultur nasional, selain itu barter trade dapat dimajukan kerana terdapat pelabuhan lama  di Bakapit yang pernah digunakan British, mempunyai kedalaman yang baik, ita boleh majukan barter trade di kawasan BIMP-Eaga, Kita percaya laluan Teluk Darvel mempunyai potensi di kawasan Tungku amat istimewa, Tawau, Semporna Lahad Datu  perairan Sabah dan Filipina mampu memajukan kawasan di pinggir pantai. Kita juga memohon LKIM dan Jabatan Perikanan membina jeti nelayan di Tungku bagi memberi kemudahan kepada masyarakat nelayan, bagi memudahkan mereka memasarkan hasil tangkapan ikan, dimana mereka tidak perlu pergi jauh ke Lahad datu sejauh 60 km yang memakan masa yang lama enam hingga tujuh jam menggunakan bot.

UB:    Oh ya? Bagaimana datuk tertarik kepada politik?
DHSS:        Sejak kecil lagi saya didedahkan dengan hal-hal kemsayarakatan.Ayah saya Haji Said Ahmad adalah Ketua Cawangan USNO Kampung Remang dan juga Ketua Cawangan USIA. Ketika berada dalam darjah empat, saya mendengar ucapan pemimpin iaitu ketika perasmian cawangan Usia oleh Datuk Salam Datu Harun.  Sebagai ketua cawangan, ayah saya sentiasa menjadi rujukan, ramai yang mahu merujuk soal agama dan sebagainya Ibu saya Hajah Dayang Sufailah Datu Insani seorang surirumah. Saya ingat ayah saya suka membaca kitab Sabilal Muhtadin, Riadhus Salihin, Kisasul Anbia. Dengan itu sejak kecil kami dididik dengan kehidupan bermasarakat.Kami mendengar bagaimana menyelesaikan hukum-hukum agama, dan adat resam. Bapa saya meninggalkan kerjanya sebagai bekas kerani di kapal Jepun lalu membuka tanah menanam kelapa seluas 30 ekar, dan menjadi salah seorang pemuka masyarakat.
UB:    Apa cita-cita datuk dulu?
DHSS: Saya minat berkebun dan berniaga secara kecil-kecilan.Biasanya saya tanam sayur, hasilnya saya jual untuk membeli baju sekolah.Malam saya jual langsat, sayur sawi saya jual pada sebelah petang, saya beli baju sendiri. Ketika belajar di Mesir, saya selalu bawa baju dan pakaiann untuk dijual disana.
UB:    Siapa antara rakan datuk di Mesir?
DHSS:    Antaranya ialah Datuk Haji Ahmad Alawi Adenan, Datuk Haji Utoh Said Haji Usbah, kemudian dikikut Datuk Haji Aidi Moktar, Datuk Haji Arifin Arif.
UB:    Apa falsafah hidup datuk ya?
DHSS:    Falsafah saya memadai sebuah baldi di musim kemarau.Kita isi dengan air sehingga semua orang dapat air, sekiranya ada air yang lebih, barulah kita isi baldi yang kedua.
UB:    Boleh jelaskan sedikit?
DHSS:    Kita jangan mengejar lain.Kalu kita diberi tanggungjawab, kita akan laksanakan tugas kita sebaik mungkin. Kita harap jangan rasa penat, rugi untuk melatih generasi muda ambil alih tempat kita
UB:    Siapa idola Datuk?
DHSS:        Saya membaca buku perjuangan Tun Mustapha. Beliau menjadi seorang tokoh yang saya kagumi. Beliau berpesan seperti apa yang dikatakannya kepada Datuk Din Sulai, bahawa dalam perjuangan, hanya ada satu ketua.Beliaujuga berpesan kalau kita tahu kita mahu menang, kita bekerjalah cara orang mahu menang.