Sabtu, 22 Jun 2013

PERPADUAN PERKARA POKOK, PERPECAHAN BAWA KELEMAHAN, KATA DATO’ HAJI YUSOP APDAL

Tags



WALAU APA KEADAAN sekalipun, kita tidak boleh memangsakan perpaduan.Perpaduan inilah yang menjadi kekuatan kita yang sebenar. Perpecahan membawa kelemahan. Maka itu saya nyatakan bahawa kemenangan yang sebenar hanya jadi kenyataan apabila selepas pertandingan kita bersatu balik. Soal perpaduan adalah perkara pokok, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lahad Datu, Dato Haji Mohammad Yusof Haji Apdal.
DATO’  HAJI MOHAMMAD YUSOF HAJI APDAL lahir pada 4 Januari 1960 di Kampung Air Semporna. Anak kelima daripada lapan adik beradik ini mendapat pendidikan awal di Government English Primary School (GEPS) Semporna pada 1967. Selepas darjah enam, beliau melanjutkan pelajaran di Government Secondary School (GSS) Semporna. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Maktab Sabah hingga tingkatan 5. Beliau kemudian melanjutkan pelajaran di Bina Institute Kuala Lumpur dan kemudian mengambil peperiksaan A Level di Vento Academy.
Beliau sempat menuntut di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) selama tiga bulan sebelum mendapat biasiswa Yayasan Sabah melanjutkan pelajaran di Walsh University di Ohio sehingga lulus Bachelor of Arts in Financial Management pada tahun 1983.  Datuk Yusof kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat Master of Business Administration dan berjaya menamatkan pengajian sarjana dalam tempoh sembilan bulan  di Central State University Oklahoma pada 1984.
Sekembalinya ke Sabah, beliau memasuki dunia perbankan. Dalam usianya 24 tahun, beliau bekerja sebagai pegawai pinjaman di Sabah Development Bank Berhad (SDB selama tiga tahun (1984-1986). Beliau mendapat tawaran melanjutkan pelajaran di peringkat PhD di Golden Gate University, San Fransisco tapi selepas ayahnya, Haji Apdal meninggal, beliau tidak meneruskan pengajian sebaliknya menjadi guru sandaran di SMK Abdullah. Tidak lama kemudian beliau bekerja di City Finance sebagai pegawai pinjaman selama dua tahun(1987-1988). Bagaimanapun pada tahun 1988, beliau meletakkan jawatan dan menceburi bidang perniagaan dan mula bergiat sebagai ahli politik sepenuh masa. Beliau merupakan pemilik Lapa Contruction Company (1989-1994), Pengerusi Eksekutif, U.F Engineers Sdn Bhd (1995 hingga kini) dan Pengarah Urusan Pan Malaysia Plantation Sdn.Bhd (2012-kini)
Sewaktu menuntut di Amerika Syarikat, beliau pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa (International Students Association) . Bakat kepimpinan ini diteruskan ketika beliau balik ke tanahir. Beliau dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa USNO Bahagian Semporna. Ketika UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah, beliau menjadi AJK penaja UMNO Silam.. Ahli Jawatankuasa Pergerakan Pemuda UMNO P 163 Silam (1992-1995) Ketua Penerangan UMNO Bahagian Silam (1996-2000)Beliau pernah menjadi Naib Ketua Bahagian UMNO Silam (2000-2003), Ketua Penyelaras UMNO P.163 Silam dan DUN N.41 Kunak (1996-2003) Timbalan Ketua UMNO Bahagian Silam (2003-2004) dan pernah juga menjadi Ketua Bahagian UMNO Silam (2004). Dalam Pilihanraya 2013, beliau terpilih sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan N50 Lahad Datu dan berjaya memenangi kawasan itu dengan majoriti yang besar.Selain itu, beliau masih memegang jawatan Ahli Majlis Tertinggi Dewan Perniagaan Bumiputera Sabah (DPBS Sejak 1999). Selain itu, beliau merupakan Naib Yang Di Pertua Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) 2013 hingga kini). Atas jasa baktinya beliau telah dikurniakan Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 1996 dan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Dato’ pada tahun 2011.  Beliau telah mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajah Saleha Tun Haji Sakaran dan dikurniakan tiga anak, Haji Mohd Hosnie Putera Naimullah, 24, Haji Mohammad Nufail Aziz Putera, 18 dan Thara Laila Puteri, 15.
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berkesempatan untuk menemuramah beliau pada satu petang yang jernih di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang dibuat secara santai mengenai cebisan pengalaman dan tanggungjawab barunya sebagai seorang wakil rakyat yang baru dipilih dalam pilihanraya lepas.

UTUSAN BORNEO:    Bolehkah Dato’ ceritakan sedikit kisah zaman persekolahan di Semporna?
DATO’ HAJI YUSOF:    Saya bersekolah di Government English Primary School (GEPS) Semporna pada tahun 1967. Di sekolah, saya termasuk pelajar pintar, selalu memperolehi 100 markah dalam peperiksaan. Waktu itu ada sistem lompat kelas. Saya lompat kelas dari darjah satu ke darjah tiga. Sewaktu saya berada dalam darjah tiga, abang saya, Datuk Shafie (Datuk Seri Panglima Mohd.Shafie Apdal-Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah) juga berada dalam darjah tiga, tetapi lain kelas. Di GEPS, sekarang SK Pekan Semporna, saya bersekolah dari darjah satu hingga darjah enam.
UB:    Selepas darjah enam, dato’ sekolah dimana?
DHY:    Tamat darjah enam, saya melanjutkan pelajaran di Government Secondary School (GSS) Semporna, sekarang Sekolah Menengah Kebangsaan Panglima Abdullah dari tingkatan satu hingga tingkatan tiga. Selepas itu, saya gagal satu mata pelajaran. Jadi saya mengulang di Maktab Sabah. Pakcik saya, Tun Sakaran (Tun Datuk Seri Panglima Dr.Haji Sakaran Dandai, mantan Yang Di Pertua Negeri Sabah) ketika itu Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan menghantar saya bersekolah di Kota Kinabalu. Saya bersekolah di Maktab Sabah dari tahun 1975 hingga 1976. Antara rakan sekolah saya waktu itu ialah Haji Amrullah Kamal, Mahadi Murshidi, arwah Khalizah Sulaiman Mokhtar,Zainun Datuk Kassim, Kee Nordin adik Datuk KY Mustapha, Jumain Sunoh dan lain-lain lagi. Kami masuk dalam aliran sains moden.
UB:    Sebagai seorang yang berlatarbelakangkan pendidikan dalam aliran sains, bagaimana dato’ boleh menguasai dan bercakap soal-soal berkaitan agama?
DHY:    Di Semporna, saya pernah bersekolah di Sekolah Ugama Islam Semporna, di Madrasah. Salah seorang ustaz yang mendidik saya ialah Ustaz Haji Ishak Ayub dari Pulau Pinang, salah seorang qari yang terkenal di negara ini. Antara rakan saya waktu itu ialah Datuk Haji Salsidu, Pengarah Jabatan Cetak Kerajaan.
UB:    Selepas bersekolah di Maktab Sabah, dimana Dato melanjutkan persekolahan?
DHY:    Saya mengambil Higher School Certificate (HSC) di Bina Institute Kuala Lumpur dari tahun 1978-1979. Sebelum itu, tahun 78, saya ke Vento Academy untuk mengambil A-Level kemudian saya tukar ambil HSC atau Sijil Tinggi Persekolahan (STP). Selepas lulus, saya pernah memasuki Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), tidak lama hanya tiga bulan saja kerana selepas itu  saya ke Amerika Syarikat. Antara rakan saya dari Sabah yang belajar di UKM ketika itu ialah Haji Almain Ajirul, Pengarah Penerangan Sabah, dan senior kami Haji Mohd.Said Hinayat.
UB:    Belajar di Amerika, di universiti mana? Ramai pelajar Sabah di sana?
DHY:    Di Amerika Syarikat, saya menuntut di Walsh University di Ohio. Antara rakan satu universiti ialah Datuk Haji Abd.Latiff Kandok, mantan Pegawai Daerah Kinabatangan dan mantan Setiausaha Agung Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Dat’ Haji Janatan Kandok, Pengarah Kastam Sabah, Datuk George Sangkin, mantan Ahli Parlimen Bandau, Datuk Ramli Marhaban, kini ADUN Bugaya. Selepas mendapat BA dalam Pengurusan Kewangan, pada 1983, saya mengambil MA dalam Pentadbiran Perniagaan dan menghabiskan pengajian dalam tempoh sembilan bulan dan lulus straight A pada tahun 1984 di Central State University Oklahoma. Saya tidak balik sewaktu cuti sebaliknya menghabiskan kuliah hingga lulus dalam tempoh sembilan bulan.
UB:    Apakah Dato’ melibatkan diri dalam kegiatan mahasiswa sewaktu belajar di luar negara?
DHY:    Saya pernah menjadi Presiden Persatuan Pelajar Antarabangsa sewaktu menuntut di universiti. Setelah itu, kami menubuhkan Persatuan Pelajar Malaysia, yang diketuai Datuk Haji Latiff Kandok.
UB:    Lepas itu, Dato’ balik ke Sabah?. Kerja dimana?
DHY:    Sekembalinya ke Sabah, saya bekerja di Sabah Development Bank (SDB) sebagai Pegawai Pinjaman. Selepas tiga tahun, saya mendapat tawaran biasiswa untuk melanjutkan pelajaran di peringkat PhD dalam perbankan di Golden Gate University San Fransisco. Turut mendapat biasiswa ketika itu ialah Datuk Dr.Fowzi Haji Radzi yang ditawarkan biasiswa ke Australia. Bagaimanapun, saya tidak meneruskan pengajian apabila ayah saya kembali ke rahmatullah. Ketika beliau meninggal saya tidak tahu kerana keluarga tidak memberitahu, takut saya terganggu. Ketika pulang bercuti, baru saya tahu, ayah meninggal. Kemudian saya tidak meneruskan pengajian sebaliknya bekerja sebagai guru sandaran di SMK Abdullah selama tiga bulan.
UB:    Selepas itu?
DHY:    Selepas itu, barulah saya bekerja di City Finance. Waktu itu, pengurus besarnya Ong Hock Siew memanggil saya bekerja di City Finance sebagai Pegawai Pinjaman. Selepas bekerja selama dua tahun, pada tahun 1987, saya meletakkan jawatan untuk menceburkan diri dalam bidang perniagaan dan melibatkan diri sebagai ahli politik sepenuh masa.
UB:    Apa parti yang mula-mula dimasuki?
DHY:    Saya mula bergiat dalam USNO dan menjadi Pengerusi Biro Ekonomi Pergerakan Pemuda USNO yang ketika itu diketuai Zahari Zinin. Saya juga menjadi AJK Bahagian USNO Semporna. Waktu itu kawasan Semporna merangkumi kawasan Silam. Saya mula mengundi di Parlimen Silam, waktu itu diwakili Datuk Railey Jeffery.
UB:    Dato’ terus aktif dalam politik selepas itu?
DHY:    Sewaktu USNO membuat keputusan untuk memberikan laluan kepada UMNO untuk mengembangkan sayapnya ke Sabah, saya turut berucap mewakili USNO Semporna. Selepas itu, saya menjadi AJK Penaja UMNO Silam. Dalam pemuda, saya menang AJK dan turut menjadi perwakilan pemuda UMNO Silam  dalam persidangan di PWTC. Kami menjadi perwakilan pertama. Saya, Datuk Jasa Raudah, Johani Abdul Halim adalah perwakilan pemuda pertama    UMNO Silam.
UB:    Bagaimana Dato’ mula terlibat dalam politik?
DHY:    Mungkin semulajadi kerana saya datang dari keluarga politik. Arwah ayah saya, Haji Apdal aktif dalam politik, aktif dalam USNO. Kemudian beliau Tun, jadi wakil rakyat di Semporna dan rakyat sentiasa mengadukan masalah dan harapan mereka. Mungkin dari situ timbul keinginan untuk berkecimpung dalam politik. Selain itu, kecenderungan dalam politik timbul kerana cabaran yang dihadapi oleh masyarakat kita. Pernah dalam satu fasa perjuangan, saya berasa terpanggil untuk bersama berjuang dalam politik untuk menaikkan semula martabat golongan bumiputera Islam yang waktu itu agak tercabar. Ketika pilihanraya tahun 1994, saya menjadi wakil calon kepada YB Unding Lana. Kita berjuang sehingga calon BN menang dalam pilihan raya.
Dari situ kita nampak sudah keperluan masyarakat kita.Mereka memerlukan kepimpinan yang dapat memahami aspirasi mereka. Dalam politik, nawaitu saya mahu membantu. Dimana yang boleh dibantu, kita bantu. Kita juga mahukan rakyat agar terus bersatu dan tidak menunjukkan sikap berpuak-puak.
UB:    Menarik juga ceritanya. Bagaimana dalam UMNO?
DHY:    Pada 1999, saya bertanding jawatan Naib Ketua Bahagian tapi kalah tipis kepada saudara Ali Andu Enjil. Selepas itu, saya dilantik sebagai Ketua Penerangan UMNO Silam dan penyelaras DUN Kunak. Sebagai ketua penerangan, saya menjelaskan tugas-tugas parti dalam membela dan memperjuangkan nasib rakyat. Pada tahun 1999, Datuk Jasa Haji Raudah terpilih pula sebagai calon BN Kunak. saya dipilih pula sebagai pengarah gerakan pilihanraya dan kita menang besar dalam pilihanraya itu. Kemudian dalam mesyuarat perwakilan bahagian pada sesi berikutnya, sekali lagi saya bertanding Jawatan Naib Ketua Bahagian dan sekali lagi bertembung dengan saudara Ali Andu. Tapi kali ini dia tewas dengan lebih 300 undi. Kemenangan itu, memberikan peluang kepada saya untuk memberikan khidmat kepada rakyat, menjelajah ke seluruh kawasan Silam, dari Kunak hingga Tungku. Kemudian saya bertanding Timbalan Ketua Bahagian dan akhirnya menjadi Ketua Bahagian pada 2004.
UB:    Kalau tak silap, tak pernah menjalani turun naik dalam perjuangan?
DHY:    Memang dalam perjuangan ada turun naik, saya pernah tidak mempunyai sebarang jawatan dalam UMNO tapi saya terus aktif walaupun pernah tidak memegang sebarang jawatan di UMNO Silam. Bagaimanapun, saya bersyukur kerana sentiasa diberi kepercayaan jika bertanding dalam perwakilan dan sentiasa mendapat tempat nombor satu dalam pemilihan. Tapi bagi saya yang penting, kita mahu menyumbang kepada perjuangan. Saya tetap konsisten dalam perjuangan membantu masyarakat. Walaupun sebelum ini saya tidak terpilih sebagai calon, saya tidak pernah rasa kecewa. Apabila terpilih sebagai calon dan menang DUN Lahad Datu, ini merupakan satu tanggungjawab yang perlu dipikul demi untuk menjayakan perjuangan demi kesejahteraan rakyat.
UB:    Apa harapan Dato’ selepas terpilih sebagai wakil rakyat?
DHY:    Saya memohon supaya dapat diberi kerjasama dari semua pihak untuk memajukan lagi dan membangunkan Lahad Datu. Banyak perkara yang kita perlu laksanakan. Oleh sebab itu, saya telah mengambil langkah untuk mengukuhkan lagi kerjasama.Dengan kepimpinan bahagian, saya rapatkan hubungan. Bagi saya yang penting ialah semua pihak harus bergerak ke arah penyatuan dan perpaduan.
UB:    Bagaimana sokongan parti komponen dalam pilihanraya lepas?
DHY:     Dalam pilihanraya lalu, semua komponen BN juga memberi kerjasama dan sokongan yang begitu baik sekali dalam memastikan kemenangan BN. Kerana itu, di Lahad Datu agak unik sedikit.
UB:    Unik? Maksud Dato?
DHY:  Walaupun di tempat lain, berlaku apa yang dikatakan `tsunami cina’ tetapi di Lahad Datu ini tidak berlaku. Kita menang di semua saluran dan kawasan pengundi Cina malah lebih 70 peratus masyarakat Cina di Lahad Datu memberi sokongan kepada BN.
UB:    Menurut pandangan Dato’, apa kira-kira cabaran dan masalah yang mungkin Dato akan hadapi dalam melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat?
DHY:    Saya melihat masalah dari dua aspek. Aspek pertama ialah masalah kepimpinan dan aspek kedua masalah rakyat. Kita lihat soal kepimpinan. Sejak dahulu lagi berlaku persaingan di kalangan pemimpin. Persaingan antara Datuk Railey dengan Datuk Yusuf Amat Jamlee. Kemudian antara Datuk Yusuf Amat Jamlee dengan Datu Nasrun, kemudian antara Datu Nasrun dengan Dato Yusuf Apdal.Tapi pada saya, masalah yang ada ditimbulkan oleh pemimpin, bukan oleh pengikut. Bila berlaku pertembungan dalam pertandingan, kita hendaklah merapatkan balik parti. Pertandingan yang diadakan adalah untuk menguatkan parti dan bukan untuk melemahkan.

UB:    Betul Dato’ Pertandingan sepatutnyaadalah untuk memperkuatkan.Bukan untuk melemahkan.
DHY:    Itulah sebabnya saya mengajak semua pemimpin untuk terus mengukuhkan perpaduan. Jika ada pertandingan, ia haruslah dijalankan secara kekeluargaan. Kerana kita pilih pemimpin adalah untuk menguatkan parti, dan bukan untuk melahirkan kumpulan-kumpulan.
UB:    Kelahiran kumpulan-kumpulan menyumbang kepada kelemahan.Apa komen Dato?
DHY:    Ini yang membawa perpecahan.Perpecahan membawa kelemahan. Maka itu saya nyatakan bahawa kemenangan yang sebenar hanya jadi kenyataan apabila selepas pertandingan kita bersatu balik. Secara peribadi, walau apa keadaan pun, kita tidak boleh rasa kecewa kalau gagal dalam pemilihan. Kerana yang penting, bukan saya, bukan kita, yang penting ialah parti.Soal perpaduan ini adalah perkara pokok.Walau apa keadaan sekalipun, kita tidak boleh memangsakan perpaduan kerana perpaduan itulah yang menjadi kekuatan kita yang sebenar.
UB:    Aspek kedua yang Dato katakan masalah rakyat,boleh tolong jelaskan?
DHY:    Mengenai aspek yang kedua iaitu masalah rakyat. Saya nampak kita perlu membawa pendekatan keagamaan, kerohanian. Kita mengajak orang Islam jadi orang Islam yang baik.  Kerana bila kita memimpin, kita mudah memimpin. Kita mahu mereka menghayati ajaran agama sebaik-baiknya. Islam mengajarkan perpaduan kerana itu, kita hendaklah sentiasa mementingkan perpaduan.Dengan adanya kerjasama dan perpaduan kita akan mudah melaksanakan aspirasi rakyat. Masalah yangt dihadapi rakyat juga akan lebih mudah kita atasi.
Begitu juga dengan penganut lain, kita mahu mereka menghayati ajaran agama mereka untuk menjadi insan yang baik.
UB:    Bolehkah Dato’ mengulas sedikit tahap keselamatan di Lahad Datu selepas peristiwa Tandou?
DHY:    Tahap keselamatan sekarang lebih baik, rakyat lebih yakin. Dengan adanya Esscom, keyakinan rakyat Sekarang bertambah baik walaupun kita fikir  usaha perlu diteruskan  untuk memastikan tahap keselamatan lebih baik dan rakyat bertambah  lebih yakin lagi.
UB:    Selain itu, apa masalah lain lagi yang Dato’ fikir perlu diatasi?
DHY:    Masalah lain yang perlu dipantau ialah masalah sosial. Tapi kerjasama baik semua pihak, saya yakin masalah ini akan dapat diatasi. Selain itu, kita juga memohon kerajaan supaya lebih banyak perumahan rakyat dapat dibina untuk keselesaan rakyat. Kita akan berusaha mewartakan penempatan atau kampung-kampung yang telah diduduki lebih 30 tahun, kita akan wartakan atau buat penempatan semula agar penduduk mendapat kehidupan dan jaminan masa depan yang lebih baik.
.UB:    Oh ya, dengarnya dato’ pernah aktif dalam sukan bolasepak. Boleh ceritakan sedikit?
DHY:    Saya minat bolasepak sejak dahulu. Dulu saya pernah bermain dalam pasukan Likas United. Antara rakan saya waktu itu ialah Razali Zinin, Malim Surat, Madlin Surat, Datuk Seruji Haji Nawawi, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Kinabalu,dulu seorang penjaga gol. Selain itu, pemain lain ialah Karti Tukimin, Matasan Ahmad, Yahya Kassim. Saya bermain posisi midfielder, walaupun lebih banyak duduk di bangku simpanan.
UB:    Tahun berapa tu?
DHY:    Kalau tak silap saya tahun 1975,1976,1977. Jurulatih kami ketika itu ialah Mahmood Kalong.
UB:    Sekarang masih terlibat dalam sukan?
DHY:    Kini saya menjadi salah seorang  Ahli Jawatankuasa Tertinggi FAM Futsal Malaysia.


UB:    Dalam perjuangan ini, kira-kira apa perkara yang paling penting?
DHY:    Dalam perjuangan, kita harus jujur. Kita harus jujur kepada diri kita dan kita harus jujur kepada orang lain.

UB:    Siapa idola Dato, kalau boleh tahu?
DHY:    Idola saya ialah Rasulullah SAW.Saya menjadikan beliau teladan dan idola dalam perjuangan. Beliau meletakkan diri sama dengan pengikutnya tetapi yang membezakan manusia dengan manusia lain ialah kadar takwanya kepada Allah SWT. Kepimpinan Rasulullah yang menjadi impian saya.