Friday, July 19, 2013

Aspah berakit-rakit ke hulu


 
Peribahasa berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian,bersakit sakit dahulu, bersenang senang kemudian, mungkin tidaklah begitu asing bagi Aspah Abdullah Sani.Satu ketika dahulu, beliau terpaksa berdayung berjam-jam lamanya semata-mata untuk ke sekolah. Akhirnya setelah bersakit-sakit dahulu, anak kampung yang jauh terpencil itu, kini adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beluran selain menjawat Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2004.

Aspah Abdullah Sani dilahirkan pada 1 Disember 1960 di Kampung Tangkarason Sugut Paitan. pendidikan awal di SK Terusan Sugut manakala pendidikan menengah di SMK Sandakan. Beliau menceburkan diri dalam politik dalam usia yang masih relatif muda iaitu ketika berusia 17 tahun. Beliau pernah menjadi Timbalan Ketua Bahagian USNO Sugut, Setiausaha Bahagian UMNO Beluran dan kini Timbalan Ketua UMNO Bahagian Beluran. Selain jawatan dalam politik, beliau juga dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 2004. Aspah berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan dari OUM.(Open University Malaysia. Bagi mengenang jasa baktinya, beliau dikurniakan pingat Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) pada tahun 2003 dan Ksatria Mangku Negara (KMN) pada tahun 2008

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Sharifah Suraya binte Habb Sharafuddin dikurniakan lima cahayamata 2 lelaki dan tiga perempuan.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN sempat menemubual beliau pada satu pagi di salah sebuah restoran makanan segera di Jalan Pantai. Ikuti petikan temubual bersama beliau.

 

UTUSAN BORNEO:  Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

ASPAH ABDULLAH SANI: Saya dilahirkan di Kampung Tangkarason, Sugut Paitan. Sebuah kampung tradisi masyarakat Sungai.Orang yang membuka kampung itu ialah arwah bapa saya, Abdullah Sani bin Basaruddin. Sewaktu masih kecil, kami pindah ke Sugut, ikut arwah ibu,Hajah Jahara binti Imam Puyoh  ke kampungnya Pantai Buring Sugut Kinabatangan. Arwah bapa saya cukup dikenali kerana beliau merupakan seorang imam di kawasan Kinabatangan dan Labuk Sugut.

UB:      Sekolah dimana?

AAS:   Saya membesar di Kampung Pantai Buring dan bersekolah di  Terusan Sugut. Di Kampung Pantai Buring tiada sekolah.Kanak-kanak dari kampung itu berkayuh ke Terusan Sugut untuk bersekolah. Kami dibuatkan pondok dekat sekolah. Di sana kami  masak sendiri, cuci pakaian sendiri dan hidup sendiri.

UB:      Tentu kehidupan sukar pada masa itu. Belajar bagaimana? Apa jalan perhubungan ke sekolah?

ASS:   Ketika itu kami belajar pakai lampu pelita.Tiada kemudahan elektrik. Satu-satunya jalan perhubungan ke Pantai Buring adalah menggunakan perahu. Lama perjalanan lima hingga enam jam. Sebelum bersekolah di SRK Terusan Sugut, saya pernah ikut belajar di Kelas Dewasa. Sama dengan kelas Kemas yang ada sekarang. Jadi sebelum bersekolah di Terusan Sugut, saya sudah boleh membaca, mengira dan menulis. Itu dalam tahun 70-an. Pada masa itu, pengurusan sekolah atau mungkin juga memang salah satu peraturandi Jabatan Pelajaran, Kita belajar ikut umur.Oleh kerana ada kelebihan, kebolehan dari segi membaca, menulis dan mengira, saya terus masuk darjah tiga. Dalam tempoh tiga tahun, saya habis sekolah rendah.

UB:      Selepas itu, di mana tuan bersekolah menengah?

AAS:   Selepas tamat sekolah rendah, maka pada tahun 1973, saya melanjutkan pelajaran ke SMK Sandakan sehingga tamat tingkatan lima.

UB:      Siapa rakan tuan ketika itu?

AAS:   Antara rakan sekolah saya ketika itu ialah Datuk Surady Kayong, Allahyarham Mardin Haji Malayu, Ahmad Haji Mohd.Said, Hamzah Haji Ismamin, Ardi Abdullah Sani.

UB:      Bagaimana keadaan masyarakat pada masa itu?

AAS:   Persekitaran hidup zaman saya memang agak berbeza dengan sekarang.Dulu Masyarakat kami jauh tertinggal, tetapi sekarang situasinya agak berbeza. Kalau dahulu, serba serbi agak daif. Jalan perhubungan kebanyakannya terpaksa bergantung kepada sungai. Tak ada kemudahan infrastruktur.

UB:      Siapa agaknya anak Sugut yang mula-mula menjejakkan kaki ke universiti, kalau tuan masih ingat.

AAS:   Ada seorang senior kami, Ibrahim dari Terusan Sugut. Saya ingat beliau antara yang pertama menjejakkan kaki ke menara gading. Beliau ambil jurusan perubatan di Universiti Sains Malaysia (USM). Tapi saya sudah lama tidak mendengar khabar mengenai beliau.

UB:      Bagaimana tuan melihat perbezaan dulu dan sekarang jika ditinjau dari aspek perjuangan?

AAS:   Saya fikir perjuangan dulu berbeza dengan perjuangan sekarang. Dahulu mentaliti masyarakat benar benar berjuang membela untung nasib anak bangsa. Bekerja tanpa fikir habuan.Bekerja tanpa fikir ganjaran.Bekerja tanpa fikir jawatan. Matlamat adalah semata mata untuk membela dan membangunkan anak bangsa, baik dalam aspek ekonomi, sosial, pendidikan, politik dan sebagainya. Generasi saya merasakan masyarakat terlalu daif dan memerlukan pembelaan.

UB:      Mungkinkah kerana Sugut terlalu luas?

AAS:   Sugut adalah satu kawasan yang sangat luas kalau dibandingkan dari segi logistik dan geografi kira-kira seluas negeri Kedah.  Kemudahan infrastruktur jalan raya ke kampung-kampung masih tidak mencukupi. Dari Sugut ke Beluran atau ke bandar Sandakan terpaksa guna perahu dan kapal pakai enjin laut dalam

Kalau mahu ke Sandakan terpaksa bertolak jam 3.00 subuh, sampai di Sandakan kira-kira jam 2.00 petang atau jam 3.00 petang berlayar menelusuri laut Sulu.

UB:      Bagaimana keadaan cara hidup pada masa itu?

AAS:   Penghidupan masa itu di Sugut amat sukar.Kebanyakan orang hidup sebagai petani. Boleh dikatakan kebanyakan orang menjadikan  jagung ubi sebagai makanan roji. Ketika itu orang bercucuk tanam,cukup cukup makan sahaja. Kalaupun mereka bertani secara besar-besaran,tidak terdapat kemudahan untuk memasarkan hasil tanaman mereka.Masa itu tiada tamu, tiada pasar mingguan.Kehidupan masyarakat memang daif. Satu bulan sekalipun belum tentu mereka dapat turun ke bandar.

Ada juga yang membeli barang keperluan, tetapi boleh dikatakan tiga keempat bulan, baru sekali dapat pigi (pergi).

UB:      Jenis hiburan masa itu?

AAS:   Kalau mengenai hiburan masa it, boleh dikatakan hiburan tiada. Radio tiada, tiada pancaragam apalagi tv, jauh sekali. Hanya sukan bola sepak, sepak takraw, zaman kami itulah yang ada.

UB:      Jadi tuan dan rakan-rakan sekampung terpaksa berdayung ke Terusan Sugut. Berapa jam?

AAS:   Kami berdayung lima hingga enam jam berdayung untuk sampai ke Sekolah. Buaya ada juga tapi tiada pula kejadian yang mengancam nyawa.Itulah pengalaman dulu. Betapa sukarnya untuk anak-anak kampung mendapatkan pendidikan. Masa itu tak ada peluang bersekolah kerana tekanan dan keadaan hidup

Masyarakat hidup dalam keadaan yang daif. Itu  banyak menyedarkan kita.  Bahawa salah satu cara untuk merubah kehidupan keluarga yang miskin  ke arah yang lebih baik ialah melalui pendidikan. Kini  kerajaan mewujudkan peluang pembelajaran sepanjang hayat. Kesempatan ini yang harus diambil peluang oleh masyarakat untuk belajar. Belajar tiada had masa.

Saya sendiri telah mengikuti pembelajaran jarak jauh pada tahun 2006 melalui Open university Malaysia (OUM) dan Alhamdulillah berjaya lulus Sarjana Muda Pengurusan pada tahun 2010.

Jika dibandingkan dahulu dan sekarang memang jauh berbeza. Sekarang ramai sudah yang berpendidikan, dengan kemudahan pembelajaran yang disediakan oleh Kerajaan Barisan Nasional  yang sangat prihatin dan membantu anak-anak untuk mendapatkan pendidikan, tidak terkecuali di kawasan Sugut. Di Sugut, salah satu matlamat kita ialah kalau dapat satu keluarga sekurang-kurangnya dapat mengeluarkan seorang graduan.

UB:      Apa komen tuan mengenai kemudahan infrastruktur pendidikan dahulu dan sekarang?

AAS:   Keadaan sekarang sudah jauh berubah. Sekarang ini boleh dikatakan hampir keseluruhan kampung yang layak diwujudkan sekolah, kerajaan mendirikan sekolah. Terdapat tiga buah sekolah menengah iaitu SMK Pamol, SMK Terusan Sugut dan SMK Simpangan

Kalau dulu kebanyakan pelajar tidak dapat melanjutkan pelajaran kerana kemudahan pembelajaran kurang tetapi sekarang tidak lagi. Dulu kalau mahu melanjutkan pelajaran ke tingkatan enam itu terpaksa belajar di SMK Menggatal di Kota Kinabalu. Sekolah lain belum ada tingkatan enam pada masa itu.

Ramai pelajar tak dapat melanjutkan pelajaran kerana keadaan masyarakat yang daif. Saya pula anak yatim.Bapa saya meninggal pada 30 Ogos 1963, iaitu sewaktu umur saya tiga tahun. Saya anak bungsu dari Kami Sembilan adik beradik dua ibu. Selepas pemergian ayah, saya dipelihara oleh ibu dan abang abang saya.

 

UB:      Bagaimana pula tuan mula terlibat dalam politik?

AAS:   Selepas menamatkan pelajaran dalam tingkatan lima, saya sudah terlibat dalam politik untuk menghidupkan USNO yang kalah dalam tahun 1976. Masa itu USNO dikalahkan Parti Berjaya. Datuk Harris jadi Ketua Menteri masa itu. Walaupun terdapat perubahan dalam senario politik tetapi tiada pemimpin USNO yang berhijrah selepas USNO kalah. Kemudian pakcik saya, Haji Mohd.Said Imam Puyoh telah diberi amanah oleh pimpinan USNO  ketika itu untuk menjadi Ketua Bahagian untuk meneruskan perjuangan USNO di Sugut.Kalau tak silap waktu itu, USNO dipimpin oleh Allahyarham Tun Said Keruak.

Pada masa itu saya telah terlibat. Saya mempunyai sedikit kebolehan tulis menulis dan soal pengurusan. Saya dilantik sebagai Setiausaha Kerja USNO pada ketika saya berusia 17 tahun. Datuk Surady ketika itu Setiausaha Bahagian, saya yang menjadi Setiausaha Kerja.

Bermula dari situlah saya terlibat dalam politik. Saya bergiat dalam USNO  sehingga USNO dibubarkan dan diserapkan dalam UMNO.

Apabila UMNO mengembangkan sayapnya ke Sabah pada tahun 1991, bulan Februari, saya terus bergiat dalam UMNO.

sebenarnya sebelum itu saya mendapat tawaran untuk melanjutkan pelajaran di Institut Agama Islam Negeri (IAIN) kini Universiti Islam Negeri (UIN) Ciputat Jakarta Indonesia pada tahun 1982.

Kerana itu saya meletakkan jawatan sebagai Timbalan Ketua Bahagian USNO. Tetapi dalam masa yang sama arwah Mardin Haji Malayu, yang ketika itu baru balik dari IAIN Sunan Gunung Jati Bandung, kurang memberi galakan  kerana masalah pembiayaan kos sara hidup dan sebagainya apalagi jika tidak ada biasiswa.

Apabila saya tak jadi pergi, saya kembali berjuang dalam parti tetapi hanya sebagai pengerusi tetap.

Ketika kemasukan UMNO ke Sabah, saya dilantik sebagai salah seorang  AJK Penaja UMNO Sandakan.. Saya masuk ahli di Pantai Buring. Sandakan pada masa itu merangkumi Labuk, Sugut dan Sungai Sibuga

Kemudian  pada tahun 1992, saya dilantik sebagai AJK UMNO Jambongan yang diketuai Datuk Juslie Ajirol.

Apabila diadakan persempadanan baru pada tahun 1994, Parlimen Beluran diwujudkan. Datuk Surady Kayong  dilantik Ketua Penaja dan saya dilantik Setiausaha Bahagian pada masa itu.

UB:      Kemudian?

AAS:Saya menjadi  Setiausaha Bahagian selama tujuh tahun. Kemudian pada tahun 2001, ada pemilihan. Saya menawarkan diri bertanding Timbalan Ketua Bahagian sehinggalah sekarang, saya menyandang jawatan Timbalan Ketua Bahagian.

UB:      Boleh ceritakan sedikit gambaran mengenai kampung-kampung di kawasan Sugut?

AAS:    Kawasan perkampungan wujud berdasarkan sungai yang menjadi jalan perhubungan utama. Jadi kebanyakan kampung berada di tepi sungai. Kampung Lingkabau di tepi sungai Lingkabau, Kampung Kaindangan di tepi Sungai Kaindangan, Kampung Tangkarason,  di tepi Sungai Tangkarason, Kampung Simpangan kerana ada Sungai Simpangan. Jadi perkampungan di Sugut kebanyakannya wujud di tebing Sungai. Sungailah satu jalan perhubungan masyarakat iaitu dengan menggunakan perahu.

UB:      Masih ada kampung yang tidak boleh dihubungi melalui jalan darat?

AAS:   Masih terdapat kampung seperti Ulu Lingkabau yang hanya dapat dihubungi menggunakan jalan balak. Ia bersempadanan dengan Kampung Gana di Kota Marudu.

UB:      Apa majoriti penduduk di kawasan Sugut?

AAS:   Di Sugut, majoriti penduduknya orang Sungai. Dalam 60 hingga 70 peratus.

UB:      Boleh beri gambaran sedikit mengenai orang Sungai?

AAS:   Orang sungai ni boleh kita katakan `slow and steady’. Satu masyarakat yang tidak terdorong dengan cara yang memberontak. Dia melakukan sesuatu dengan sungguh-sungguh.Jika dijanjikan sesuatu, dia mengharap. Apabila janji ini tidak tertunai, ini yang jadi masalah kerana masyarakat ini susah dipujuk balik.

Dalam era ini,Sugut adalah kubu kuat BN yang didominasi UMNO dan PBS

UB:      Oh ya! Sejak bila tuan berkhidmat sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS)

AAS:   Saya sangat berterima kasih kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri kerana melantik saya sebagai Timbalan Pengerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) sejak 14 November 2004 sehingga sekarang. Sebab itulah saya berhijrah ke Kota Kinabalu.Bagaimanapun, saya selalu balik ke kawasan, sama ada atas kapasiti sebagai Timbalan Pengerusi MUIS, atau ada program bersama wakil rakyat kami. Hampir tiap minggu. Jadi satu kemestian bagi saya. Malah sebelum PRU yang lepas saya selalu balik Sugut dan Beluran.

UB:      Apa hobi tuan kalau ada masa terluang?

AAS:   Saya memang suka membaca. Suka baca suratkhabar juga untuk mengetahui pelbagai isu semasa. Selain itu saya juga suka membaca buku agama dan politik.

UB:      Siapa pemimpi yang menjadi idola tuan?

AAS:   Idola saya dalam politik ialah Allahyarham Tun Mustapha. Banyak baca riwayatnya.Itulah yang mendorong saya untuk setia dalam prinsip perjuangan.

UB:      Sebagai seorang yang dibesarkan oleh seorang ibu, apa kira-kira nasihat ibu yang masih tuan ingat?

AAS:   Ibu saya menasihatkan saya agar sentiasa berbuat baik kepada orang.Kalau bantu orang , jangan harap balasan.Bantulah kerana Allah Taala. Itulah pesanan arwah ibu, inilah yang jadi azimat saya sampai sekarang.

UB:      Apa nashat tuan kepada generasi muda?

AAS:   Nasihat saya kepada generasi muda ialah agar mereka  mempelajari atau mengikuti cara orang dahulu yang berjuang bukan untuk mengharapkan ganjaran.

Apa yang saya khuatir persekitaran, persaingan yang terlalu banyak konflik.Ada elemen yang seolah-olah tidak berasaskan kepada perjuangan asal. Sebaliknya perjuangan untuk merebut satu keperluan untuk diri sendiri.Ini yang sangat saya bimbangkan.Saya sangat khuatir norma norma atau nilai nilai perjuangan akan terhapus. Bila ini terjadi saya takut masa depan anak cucu kita akan tergadai dan dikuasai orang lain. Bagi saya dalam perjuangan ialahlah apa yang dapat kita sumbangkan kepada organisasi atau parti kita dan  bukan apa yang parti dapat sumbangkan kepada kita Saya harap ini generasi kita hari ini akan terus memperjuangkan martabat dan membela nasib bangsa.
 
UTUSAN BORNEO
tersiar dengan tajuk Aspah pernah berdayung semata-mata untuk ke sekolah
13 JULAI 2013

 

 

 

 

No comments: