Saturday, July 20, 2013

Datu Haji Madlis Abd Aziz, tokoh masyarakat dari Kaniogan


DATUK HAJI MADLIS, TOKOH MASYARAKAT DARI KANIOGAN

PENGABDIAN NYA kepada masyarakat amat tinggi. Beliau seorang tokoh  yang sangat dikenali di Beluran dan Sandakan .Berhemahberhemah tinggi, dedikasi dan berjuang untuk pembangunan bangsa duniawi dan ukhrawi. Walaupun jauh terpencil, Pulau Kaniogan menjadi terkenal sebagai sebuah kampung yang layak dicontohi, memiliki kemudahan infrastruktur elektrik, jalanraya, sekolah, masjid, sekolah agama rakyat, klinik, balai polis dan sebagainya. Semua ini tidak terlepas dari peranan yang dimainkan oleh seorang tokoh masyarakat yang terkenal kerana komitmen yang tinggi. Keperibadiannya yang sederhana. Beliau rajin dan peka dan berperanan merubah cara berfikir masyarakatnya.Dakwah Islam dilaksanakannya dengan dakwah bil hal yakni dengan kerja kuat amal kebajikan yang boleh menjadi contoh seorang peribadi yang sangat sederhana, disegani serta disayangi oleh masyarakatnya.

Datuk Haji Madlis Abdul Aziz dilahirkan di Pulau Kaniogan pada 6 April 1945. Selepas tamat darjah enam di NVS Tetabuan, beliau terus bergiat dalam bidang politik dan kemasyarakatan mengikut jejak ayahnya, Abd Aziz Maris. Ibunya,Jaliha binti Japang meninggal sewaktu beliau masih kecil lagi.

Beliau bergiat dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA) sejak ditubuhkan pada tahun 1969 sebagai ahli biasa.Sebagai seorang yang dedikasi, beliau tidak pernah surut dalam perjuangan dakwah sehingga terpilih sebagai Ketua USIA Bahagian Beluran sejak tahun 2000 hingga kini.

Dalam kegiatan kemasyarakatan, Datuk Haji Madlis sentiasa berkhidmat kepada masyarakatnya sama ada atas kapasitinya sebagai Ketua Kampung, Pengerusi JKKK, Pemaju Mukim, Wakil Ketua Anak Negeri iaitu jawatan-jawatan yang pernah disandangnya.

Dalam kegiatan NGO, Beliau pernah menjadi Naib Presiden Persatuan Sabah Bajau Bersatu (PSBB). Di samping itu, beliau juga penah aktif dalam perkhidmatan Askar Wataniah.

Ketika mula melibatkan diri dalam politik, beliau bergiat dalam USNO. Selepas itu, beliau pernah menjadi Ahli Jawatankuasa, Bendahari dan kemudian menjadi Ketua Bahagian Berjaya Bahagian Semawang. Beliau juga bergiat dalam UMNO sejak parti itu mengembangkan sayapnya ke Sabah dan kini beliau merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Beluran.

Beliau seorang yang gigih berjuang untuk kebaikan, kebajikan dan maslahat penduduk kampung di daerah Beluran khususnya di Pulau Kaniogan. Bagi mengenang jasa baktinya, beliau telah dikurniakan bintang dan pingat kebesaran iaitu Bintang Kinabalu (BK), Bintang Setia Kinabalu (BSK), Ahli Darjah Kinabalu (ADK), Ahli Setia Darjah Kinabalu (ASDK) dan Panglima Gemilang Darjah Kinabalu (PGDK). Selian itu beliau juga dikurniakan Pingat Pangkuan Negara (PPN) sempena Hari Keputeraan Duli Yang Maha Mulia Yang Di Pertuan Agong.

Beliau mendirikan rumahtangga dengan Datin Hajah Badaria binte Daisun dan dikurniakan sepuluh orang cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual Datuk Haji Madlis Abdul Aziz di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri bagi berkongsi pengalamannya sebagaiseorang tokoh masyarakat dan penuturannya  mengenai pulau Keniogan, iaitu tempat kelahirannya.

 

UTUSAN BORNEO:           Sejak bila datuk terlibat dalam  Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA)?

DHM:      Saya mula aktifdalam USIA sejak ditubuhkan pada Ogos 1969. Waktu itu saya masih anak muda.Sejak itu saya terus bergiat dalam USIA yang merupakan pertubuhan Islam yang terbesar di negeri  ini.  Kita telah memainkan peranan dan tanggungjawab kita dalam mengembangkan syiar Islam selain berusaha untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat kita khususnya di Beluran, yang menjadi daerah kelahiran saya. Saya telah dipilih sebagai Ketua USIA Bahagian Beluran sejak tahun 2000.

UB:         Boleh ceritakan sedikit mengenai latar belakang datuk?

DHM:      Saya dilahirkan di Pulau Kaniogan pada 6 April 1945. Saya mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Tetabuan , yang ketika itu dikenali sebagai Native Volunteer School (NVS) Tetabuan. Jumlah pelajarnya hanya sekitar 40 hingga 50 orang sahaja.Pada waktu itu, hanya itulah sekolah yang ada. NVS Tetabuan terletak tidak jauh dengan Pulau Kaniogan.Orang menamakannya Kaniogan kerana di situ tumbuh banyak pokok kelapa yang ditanam oleh nenek moyang kami. Sehingga bila ditanya, kamu mahu kemana, maka selalu dijawab kami mahu keniog. Niug dalam bahasa Suluk bermakna kelapa. Dalam bahasa Melayu, kelapa juga dipanggil Nyiur. Jadi lama kelamaan pulau itu dikenali sebagai Keniogan.

Selepas tamat darjah enam, saya terus ikut arwah ayah, Abdul Aziz bin Maris untuk menceburkan diri dalam kegiatan politik dan kemasyarakatan. Kami dua belas adik beradik. Apabila ibu saya,Puan Jaliha binti Japang meninggal, ayah saya kahwin lagi, dan dikurniakan 12 orang lagi adik beradik. Jadi keluarga kami cukup untuk dua pasukan bolasepak.

UB:         Berapa jauhnya Pulau Kaniogan dari Beluran?

DHM:      Kalau menggunakan bot biasa, dari Pulau Kaniogan ke Beluran memakan masa kira-kira tiga jam. Tapi kalau naik bot biasa ke Sandakan, perjalanan boleh memakan masa lima hingga enam jam. Sekarang jika kita mahu ke Pulau Kaniogan dari Kota Kinabalu, ikut jalan baru Pitas ke Paitan memakan masa kira-kira empat jam. Dari Paitan ke jeti IJM Sabang, kita boleh menyusuri sungai dan dari jeti IJM it memakan masa kira-kira 15 minit untuk sampai ke Pulau Keniogan.

 

UB:         Apa perubahan yang berlaku di Kaniogan, jika dibandingkan dahulu dan sekarang?

DHM:      Banyak perubahan yang berlaku. Kalau dahulu, pada tahun-tahun 60-an, jumlah penduduk adalah antara 200 hingga 300 orang tetapi kini jumlah penduduk mencecah hingga 1,000 orang.

Kalau bercerita soal kemudahan, Alhamdulillah, banyak kemudahan asas seperti dewan, klinik desa, sekolah agama rakyat, sekolah rendah telah didirikan oleh kerajaan. Nilai kesemuanya itu boleh mencecah RM20 juta

Kerajaan juga telah membina rumah-rumah PBR, lebih 100 buah, jambatan, lorong yang boleh digunakan untuk berbasikal mengelilingi pulau. Inilah antara nikmat yang dirasai penduduk kampung.

UB:         Berapa luas pulau Kaniogan?

DHM:      Sebenarnya keluasan pulau Kaniogan hanya sekitar 20 ekar tanah bergeran. Kalau dicampur dengan tanah lain yang tidak bergeran, jumlah keluasannya hanyalah sekitar 30 ekar tang, yang dikelilingi oleh pokok-pokok bakau.

UB:         Apa pekerjaan penduduk yang utama?

DHM:      Kebanyakan penduduk bekerja sebagai nelayan tradisi. Menangkap ikan, udang , ketam adalah kerja harian mereka. Ada pula yang menanam tanaman kontan, pisang, ubi kayu dan sebagainya.

UB          Bagaimana pula cerita sehingga wujudnya sekolah di Pulau Kaniogan?

DHM:      Kewujudan sekolah di Kaniogan itu, antaranya adalah kerana inisiatif arwah bapa. Beliau mahu sebuah sekolah diwujudkan di Pulau Kaniogan. Waktu itu, peralatan dan kelengkapan sekolah belum ada. Kemudian arwah bapa jumpa DO, Pegawai Daerah yang waktu itu dijawat oleh Tuan Linggam. Setelah dipersetujui, beliau memanggil seorang guru yang tamat latihan, Bahuddin Mudin untuk mengajar di Kaniogan. Setiap keluarga diknakan RM3.00 untuk membantu pembiayaan operasi sekolah itu. Dengan adanya sekolah itu, barulah mentaliti masyarakat berubah.

UB:         Bagaimana pula perkembangan pendidikan di pulau itu?

DHM:      Sekarang kita dirikan Sekolah Agama Rakyat sejak tahun 2000. Kini ramai anak-anak pulau yang boleh membaca dan mengaji al-Quran. Malah kita telah adakan majlis khatam Quran beramai-ramai. Termasuk yang ikut khatam Quran itu ialah orang-orang tua yang dulu tidak berkesepatan kerana kesibukan kerja turun ke laut untuk mencari sumber rezeki. Ada seorang tua, 80 tahun yang ikut khatam. Dia belajar sebulan dua bulan, selepas itu boleh membaca.

UB:         Datuk terlibat dalam politik sejak waktu masih muda. Apa peristiwa yang agak mengesankan dalam diari kehidupan datuk sebagai seorang tokoh politik dan masyarakat?

DHM:      Saya terlibat dalam politik sejak muda lagi, ikut arwah bapa. Selepas tamat darjah enam, saya terus aktif dalam politik kerana masyarakat kita masih memerlukan pembelaan agar mereka dapat keluar daripada belenggu kemiskinan. Salah satu peristiwa yang saya masih ingat ialah pertemuan dengan Allahyarham Tun Datu Mustapha. Beliau seorang yang amat rajin menjelajah hingga ke Ulu Sugut, ke Muanat dan sebagainya.Kawasan kwasan terpencil pun telah dikunjunginya semata-mata untuk menghayati kehidupan rakyat secara langsung.

UB:         Apa jawatan yang pernah Datuk pegang dalam politik?

DHM:      Saya mula bergiat di peringkat cawangan, jadi ahli jawatankuasa, kemudian ketua pemuda, ketua cawangan ketika bergiat dalam USNO. Selepas itu ketika era Berjaya, saya pernah menjadi Bendahari dan seterusnya Ketua Bahagian Parti Berjaya di Semawang. Sewaktu dalam parti Berjaya, saya sempat berjuang bersama Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor, Datuk Hassan Alban Haji Sandukong, James Willie, Abu Bakar Mendoza, Datuk Salleh Otik dan lain-lain lagi.Kini setelah kemasukan UMNO ke Sabah, saya bergiat sejak mula lagi sebagai Ketua cawangan dan kini merupakan salah seorang Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Beluran.

UB:         Perbezaan politik dahulu dan sekarang?

DHM:      Saya rasa agak berbeza zaman dulu dan sekarang. Sekarang banyak kemudahan dan fasiliti jika kita mahu berjuang.Tidak lagi macam dulu, kita terpaksa tenaga yang banyak, berjalan kaki untuk berkempen. Tidak macam sekarang maklumat berada di hujung jari. Benda yang tidak disangka-sangka pun boleh ada. Sekarang ada pihak yang berjuang semata-mata untuk cari kelebihan dan untuk kepentingan tertentu. Tidak macam dulu.

UB:         Kalau tak silap saya, Pulau Kaniogan sering mendapat kunjungan dari tokoh-tokoh pemimpin kita?

DHM:      Hampir semua  Ketua sejak era Tun Datuk Seri Panglima Tun Sakaran Dandai, Datuk Seri Panglima Dr.Salleh Tun Said Keruak, Datuk Seri Panglima Musa Haji Aman, mereka semua pernah menjejakkan kaki ke Pulau Kaniogan untuk melihat sendiri keadaan kampung. Kita berasa bahagia dan gembira dengan kunjungan pemimpin-pemimpin utama negeri.Pada masa inilah kita menyuarakan keperluan dan kepentingan penduduk.

UB:         Mungkin ada kenangan manis yang tidak boleh dilupai?

DHM:      Kenangan manis cukup banyak. Tetapi dalam hubungannya dengan masyarakat, kita sentiasa memperjuangkan dan memberi keutamaan kepada keperluan penduduk kampung. Kita bersyukur kerana pihak kerajaan sering memberikan bantuan. Penduduk kampung khususnya golongan nelayan telah menerima bantuan enjin sangkut dan sebagainya. Demin memperjuangkan kepentingan rakyat, kita menemui wakil rakyat, bahkan kita minta tolong hingga ke peringkat negeri, malah kita bawa ke Kuala Lumpur sehingga berhasil. Kita selalu fikirkan untuk kebaikan masyarakat kita.

UB:         Biasanya, jika bersama masyarakat, apa yang sering datuk katakan kepada mereka?

DHM:      Saya selalu menyeru agar anggota masyarakat sentiasa membuat kebaikan. Saya memberi galakan agar mereka selalu bergotong royong. Supaya sentiasa mengeratkan hubungan silaturrahim.Sebab itu penduduk tinggal dalam keadaan harmoni. Apatahlagi  kampung itu dari hujung ke hujung, mempunyai hubung kait kekeluargaan.

Saya suka mengingatkan mereka agar memahami tujuan hidup mereka sebagai seorang Islam, iaitu mengerjakan amal makruf dan meninggalkan segala yang dilarang. Di kampung kami, di Kanioganm suda terlihat banyak perubahan. Kalau dahulu banyak perkara khurafat seperti mandi safar, permainan judi, minuman keras tapi sekarang semua itutidak ada lagi. Semua perkara mungkar tidak ada kerana masyarakat semakin sedar.

UB:         Apa cabaran yang dihadapi ketika melakukan seruan amar makruf dan nahi mungkar itu?

DHM:      Banyak juga cabaran yang kita terima.Malah ada diantaranya mencabar kita dan mengatakan kepada kita, “ini bukan duit bapa kamu” Ada juga yang mengatakan kalau mahu masuk syurga, masuklah, kami biarlah neraka” sampai begitu sekali cabaran yang kita terima tetapi kita nasihatkan dengan baik-baik mengenai bahaya judi. Lama-kelamaan cara ini berhasil kerana akhirnya mereka sedar. Itu sebabnya bola kita tegur dengan keikhlasan, akhirnya mereka boleh terima.

Kalau dahulu, permainan judi berleluasa.Kalau ada perjudian, orang yang tidak ada duit boleh jadi ada duit kerana diberi pinjam oleh kawannya. Sekarang kita teruskan usaha untuk membimbing masyarakat. Kalau dilihat sekarang, judi semakin berkurang.

UB:         Mungkin ada sesuatu lagi yang datuk mahu katakana?

DHM:      Kita harus bersyukur dan dan tahu menilai.Kerajaan banyak memberi bantuan.Kita  diberi kemudahan, kita diberi banyak bantuan untuk menjaga kebajikan rakyat, ini semua kita harus syukuri dan jangan lupa tanggungjawab kita. Dalam keadaan yang serba kekurangan, kerajaan sentiasa prihatin untuk memberikan pelbagai kemudahan kepada rakyat. Ini semua kita harus syukuri dengan mengekalkan semangat perpaduan dan kasih sayang di kalangan rakyat.

UB:         Sebagai seorang yang berpengalaman dan mempunyai pengetahuan luas dalam masyarakat, mungkin ada kata pepatah dalam masyarakat kita yang boleh dijadikan semacam pedoman, panduan dan sebagainya.

DHM:      Saya teringat satu pepatah dalam bahasa Suluk yang berbunyi `sa daging-daging insik, madaging pasin unod.” Peribahasa ini bermakna sebaik-baik tulang,lebih baik lagi isi”. Ertinya isi tetap yang lebih baik berbanding tulang. Satu lagi peribahasa, mangan nya mangan, asal kurung-kurung, ini peribahasa yang selalu digunakan sukukaum Bajau di Kaniogan. Maksudnya lebih penting muafakat, lebih penting berjumpa-jumpa atau bertemu walaupun tidak makan. Dalam dialek bajau di Kaniogan juga, ada menyebut, kalau kiti bahani, kiti manang. Ertinya kalau berani, kita boleh menang.

 

No comments: