Sunday, July 28, 2013

Dr Hiew, Si Janggut Putih yang komited untuk berkhidmat



DR HIEW, SI `JANGGUT PUTIH’ YANG KOMITED UNTUK BERKHIDMAT
BUKAN senang menjadi seorang wakil rakyat pembangkang. Tetapi di sebalik banyak kendala dan kekangan yang dihadapinya, `si janggut putih’ terus memperkuatkan tekad untuk berkhidmat kepada rakyat yang diwakilinya. “Motto saya ialah terus berbakti dan berkhidmat,” kata Dr Hiew King Cheu, tokoh politik yang kini merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luyang dan Mantan Ahli Parlimen Kota Kinabalu.
Dr. Hiew King Cheu dilahirkan di Kota Kinabalu pada tahun 1952. Beliau mendapat pendidikan rendah dan menengah di Sekolah Shan Tao sebelum melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraan di Brighton Polytechnic, England, kini salah sebuah universiti terkenal  di United Kingdom. Ijazah PhDnya diperolehi di InterAmerican University, di New York.
Anak kelima dari sepuluh adik beradik ini, pernah bekerja sebagai konsultan di UK sebelum pulang ke Malaysia. Selepas menamatkan pengajian, Hiew terlibat dalam projek pembangunan bekalan air sebagai kontraktor sehingga tahun 2000. . Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya 1999 di Dun Api-Api tetapi tewas. Dr Hiew juga bertanding dalam pilihanraya kecil Likas pada tahun 2002 tetapi kalah. Pada tahun 2004, beliau bertanding kerusi Parlimen Kota Kinabalu namun kurang bernasib baik. Bagaimanapun pada tahun 2008, beliau memenangi kerusi Parlimen Kota Kinabalu atas tiket DAP. Dalam pilihanraya umum ke-13, beliau memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN)  Luyang. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Puan Julia Thin dan dikurniakan tiga cahayamata
Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemubual Dr Hiew di salah sebuah restoran di Jalan Gaya. Ikuti petikan temubual bersama beliau sekitar pengalamannya sebagai Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan kini ADUN Luyang serta cadangan dan impiannya mengenai Kota Kinabalu.

UTUSAN BORNEO:  Boleh ceritakan sedikit latarbelakang YB sebelum menceburi bidang politik?
DR HIEW:     Saya dilahirkan di Kota Kinabalu pada tahun 1952.Kini saya berusia 61 tahun. Saya bersekolah rendah dan menengah di Shan Tao dan selepas itu saya melanjutkan pelajaran dalam bidang kejuruteraandi Brighton Polytechnic,kini sebuah university terkenal di England.
Sebagai seorang yang dilahirkan di ibu negeri, saya telah menyaksikan Kota Kinabalu membangun. Ayah saya, Hiew Sang, adalah seorang perintis usaha pengangkutan di Jesselton (kini Kota Kinabalu), mengusahakan teksi, lori bas dan sebagainya.Lokasinya terletak di bawah menara Jam Atkinson. Ibu saya, Loi Poh Kyan, banyak membantu ayah saya. Bila saya tamat sekolah,saya bercita-cita mahu menjadi seorang peguam tetapi ayah saya lebih suka saya ambil kursus kejuruteraan. saya ikut kehendak bapa saya. Selepas lulus universiti, saya bekerja sementara sebagai konsultan di UK. Kemudian setelah pulang ke negara ini, saya banyak terlibat dalam projek pembangunan bekalan air , sumber tenaga yang diperbaharui atau renewable energy, sebelum menceburkan diri dalam politik. Saya jga terlibat membuat penyelidikan mengenai kuasa hidro.Banyak sumber hidro yang boleh jadi sumber tenaga.
UB:      Bagaimana mulanya terlibat dalam politik?
DR HIEW:     Ramai kawan kawan saya yang memberi galakan. Saya memilih DAP walaupun sebelumnya pernah juga menyertai PBS, SAPP dan kemudian membantu memulihkan semula DAP di Sabah pada tahun 2001.
UB:      Apa yang menyebabkan YB minat dalam politik?
DR HIEW:     Saya mahu berkhidmat.Bagi saya dalam politik ialah untuk berkhidmat.Orientasi saya lebih kepada perkhidmatan kepada rakyat. Saya sebenarnya tidak begitu tertarik kepada kuasa tetapi lebih kepada perkhidmatan.
UB:      Selepas lima tahun jadi Ahli Parlimen Kota Kinabalu dan kini jadi Adun Luyang selepas PRU-13, apa bezanya antara ahli parlimen dan Adun?
DR HIEW:     Tak banyak bezanya. Sebagai wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat, kita terus berkhidmat.Sebagai ADUN Luyang saya terus berkhidmat kepada rakyat.
UB:      Tentu banyak kendala sebagai wakil rakyat terutamanya ketika mewakili pembangkang. Mungkin ada yang boleh dikongsikan?
DR HIEW:     Kita mahu berhidmat. Bagaimanapun untuk memberi khidmat yang baik, kita perlukan kuasa.Tanpa kuasa, tidak banyak yang dapat kita lakukan. Sebagai seorang wakil rakyat pembangkang, saya sentiasa memberikan cadangan yang membina, kreatif, yang boleh dilakukan oleh kerajaan untuk rakyat.Sebagai seorang wakil rakyat  pembangkang, skop yang dapat kita lakukan amatlah terhad.
UB:      Boleh jelaskan?
DR HIEW:     Kami hanya dapat menyuarakan. Pertama, Kami tidak mempunyai kuasa. Kedua,apakah Kerajaan mahu dengar cadanga kami  atau sebaliknya. Ketiga , perlantikan bukan dalam tangan kita kerana kita tiada kuasa. Apa yang kita mahu buat untuk rakyat tidak dapat kita buat itu. Itu  pendapat saya secara perbadi. Sekarang ini sebagai pihak pembangkang, kita menyuarakan. Kalau kerajaan buat tidak betul, kita tegur. Kita mesti berpandangan jauh dan kita jangan terkurung dalam pemikiran yang sempit.
UB:      Apa perkara yang pernah YB suarakan sebelum ini?
DR HIEW:     Banyak isu yang kita suarakan.Lima tahun sebagai Ahli Parlimen. Banyak isu rakyat yang kita suarakan tetapi tidak diambil perhatian.Kita rasa kecewa. Kalau isu-isu yang kita suarakan itu diambil perhatian, masalah yang rakyat hadapi akan berkurangan. Apa yang kita buat, kita terus suarakan apa saja isu, melalui pelbagai saluran, termasuk medisupaya dapat diberikan perhatian oleh kerajaan. Kita akui perhatian kerajaan agak kurang.Kalau mereka dengar semua masalah mungkin sudah dapat diatasi dan selesaikan.
UB:      Kalau tak silap YB pernah bangkitkan perkara mengenai pokok-pokok?
DR HIEW:     Ya, itu antara yang kita cadangkan iaitu supaya dahan-dahan pokok, seperti yang ada di Jalan Gaya, ditebang, supaya burung-burung tidak mengotori jalanraya dan koridor bangunan. Kita potong separuh saja pokok itu tak akan mati, dahan baru akan tumbuh.
UB:      Apa impian YB  terhadap Kota Kinabalu?
DR HIEW:     Saya mahu Kota Kinabalu sebagai satu bandaraya  yang paling istimewa.Ibu negeri yang mempunyai sitem transportasi yang moden, bersih, terpelihara dan sebagainya.
Semua pihak haruslah berusaha. Walaupun kita katakan Kota Kinabalu bandaraya tropika tetapi tiada bunga, keadaan kotor, tempat letak kereta tiada, kesesakan lalulintas dan sebagainya. Satu perkara lagi yang perlu dilakukan ialah kaji undang-undang kecil, enakmen DBKK supaya mana-mana by laws atau enakmen yang boleh menghalang kemajuan diperbaiki atau ditingkatkan. Tiada undang-undang yang tidak bole diubah.Mana-mana undang-undang yang tidak perlu kita ubah.Kenapa mesti tunggu. Undang-undang mati, orang yang hidup. Bila kita katakana The Law is dead, people is alive, bermakna undang undang boleh diperbaiki untuk kesejahteraan manusia.
UB:      Contoh?
DR HIEW:     Misalnya mengenai pelantikan Ahli Majlis yang kini sudah ditiadakan dan digantikan dengan satu panel penasihat. Sepatutnya Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mewujudkan semula pelantikan 30 ahli majlis atau Counsilor supaya ahli-ahli majlis ini boleh memantau hal ehwal atauisu isu yang berlaku.
Kita patut hidupkan semula. Lantik semula 30 orang.Mereka ini berkhidmat secara sukarela. Tiada gaji . Hanya diberikan elaun mesyuarat saja. Dengan adanya ahli-ahli majlis, banyak perkara yang boleh dipantau.Ada ahli majlis yang jaga trafik, ada yang jaga bunga, ada yang jaga bangunan,ada yang jaga kebersihan, kesihatan dan sebagainya.Bagi mereka peluang, kalau mereka  tak boleh `perform’, gantikan mereka. Hampir semua bandaraya, seperti Kuching, Miri masih mengekalkan sistem ini, mengapa kita tidak mahu. Saya tahu ramai  ahli-ahli politik ada kelebihan. Kita mahu mereka berhidmat, bagi mereka peluang. Mayor boleh lantik 5 dari MCA, 5 dari LDP, 5 dari Gerakan, 5 daripada UMNO sebagai ahli majlis, kenapa tak boleh?
UB:      Apa cadangan YB untuk mengatasi masalah kesesakan yang nampaknya semakin parah di Kota Kinabalu?
DR HIEW:     Saya pernah mencadangkan supaya aliran trafik diubah. Kita jadikan jalan one way street, jalan satu hala untuk mengatasi kesesakan. Dulu pernah ada persetujuan untuk melaksanakan tetapi cakap saja `talk only’. Cadangan supaya aliran trafik diubah sebenarnya boleh membantu mengatasi masalah kesesakan.
Selain itu, saya cadangkan supaya dibuat lebih banyak tempat letak kereta. Misalnya di bawah Padang Merdeka, kita boleh buat tempat letak kereta bawah tanah. Kawasan itu boleh menampung kira-kira 200 letak kereta.
Di samping itu, projek monorel perlu dilaksanakan.Kita sepatutnya sudah buat perancangan untuk tempoh sepuluh tahun ke hadapan. Kita tidak boleh tunggu.Kita umulakan sekarang.Penduduk Kota Kinabalu dijangka mencapai 750,000 termasuk penduduk dikawasan sekitar bandaraya seperti Likas, Inanam, Luyang dalam tempoh sepuluh tahun. Sekarang jumlah penduduk sekitar 660,000 orang.Jadi kalau kita bina monorel searang, berapa bagus. Kita mesti lihat ke hadapan.
UB:      Sebagaimana yang kita ketahui, kini sudah ramai wakil rakyat pembangkang di DUN? Apa nasihat YB kepada mereka?
DR HIEW:     Nasihat saya ialah agar terus bekerja dan berkhidmat kepada rakyat sebaik mungkin. Kalau tidak buat kerja jangan harap rakyat bagi peluang lagi di masa depan. Berikan cadangan cadangan yang membina untuk kebaikan rakyat.
UB:      Jadi pembangkang mungkin lebih mudah kerana hanya perlu menyuarakan. Apa pendapat YB?
DR HIEW:     Jadi wakil rakyat pembangkang bukan senang. Kita kurang kakitangan, kurang kewangan. Kita terpaksa berbelana sendiri, tenaga dan masa kita untuk berkhidmat kepada rakyat. Sebagai pembangkang kita juga memunyai tanggungjawab.Mana-mana saya pergi saya tolong rakyat, tengok masalah mereka, tidak kira apa parti, atau apa fahaman politik mereka. Kita suarakan dan perjuangkan masalah rakyat. Ada rakyat yang ada masalah air, elektrik, jalan raya, apa keperluan rakyat, kita pergi tengok. Yang penting keazaman, kesetiaan dan sumbangan. Sebagai wakil rakyat, kita mesti `sailing, all out atau habis-habisan untu berkhidmat kepada rakyat.
UB:      Mungkin ada perkara yang mengecewakan YB?
DR HIEW:     Ada juga. Saya rasa kecewa kerana kadangkadang berdepan dengan perbalahan dalam parti kerana berebut jawatan, berebut kursi. Setiap datang pemilihan ada perbalahan. Ini yang agak menghampakan.
UB:      Apa bentuk aduan yang diterima oleh YB sebagai wakil rakyat?
DR HIEW: Bermacam-macam aduan. Rakyat kan macam-macam. Ada yang datang mengadukan masalah infrastruktur, masalah sampah. Ada juga  masalah keluarga, masalah laki bini, masalah pernagaan, masalah sampah, dan sebagainya.Kena tipu cari saya, tiada wang cari saya Tapi mana kita ada duit banyak,setakat  sepuluh ringgit, dua puluh ringgit mungkin ada.Paling bikin susah hati, apabila sikit sikit orang salahkan kita, kerana tidak dapat selesai masalah. Ada orang marah kita. Ini masalah kecil pun tidak boleh kasi selesaikah, kata mereka.Sikit sikit masalah tak boleh selesai. Kita boleh buat apa, kuasa bukan ditangan kita.Nama bagus wakil rakyat tapi Wakil rakyat tanpa kuasa.Kita suarakan masalah rakyat tapi tiada undang-undang yang menyatakan  kakitangan kerajaan mesti dengar apa yang kita suarakan.Apalagi kerana kita waki rakyat pembangkang Sepatutnya kita boleh hadir mesyuarat Jawatankuasa Tindakan DBKK. Kita tidak dibenarkan hadir hanya wakil rakyat kerajaan saja. Ini tidak adil kerana kita dipilih untuk mewakili rakyat.Kita juga tahu undang-undang.Tapi dalam mesyuarat kita tidak dibenarkan masuk. Saya mahu kerajaan kaji balik dan kita sepatutnya boleh masuk.saya berhak duduk mesyuarat, boleh buat soalan dan minta jawapan. Kita boleh buat cadangan yang baik.Kita buat cadangan membina.
UB:      Selain politik, apakah YB terlibat dalam kegiatan lain? Seperti kemasyarakatan?
DR HIEW: Saya teribat dalam persatuan ibu bapa guru sejak 18 tahun lepas.Sampai sekarang saya masih terlibat dalam PIBG di Yick Na, Shan Tao, Alumni dan sebagainya.
UB:      Mungkin ada kata-kata sebelum kita akhiri sesi temubual ini?
DR HIEW:     Saya bersyukur dan berterima kasih kerana diberikan sokongan penuh oleh rakyat  sebagai wakil rakyat mereka. Saya juga berterima kasih kepada pengundi  golongan bumiputera yang semakin mengenali saya. Dulu mereka tidak begitu mengenali saya. Saya jalan pun orang tidak kenal.Sekarang apabila mereka nampak saya, dari jauh lagi menegur atau menyapa, hai YB, dulu tidak. Bila mereka nampak saya, mereka mengenali trade mark saya, janggut putih, dari jauh –jauh lagi mereka menegur dan menyapa. Saya gembira.

UTUSAN BORNEO
SABTU 27 JULAI 2013





No comments: