Sunday, July 28, 2013

Petikan tulisan di Berita Harian 12 Sept 1991. Terima kasih kepada denakan Azrone-



Melihat Puisi di Sabah - karya pagari Abd Naddin Shaiddin - 12 September 1991
July 29, 2013 at 10:23am
Publication Name : Berita Harian
Date of publication :Thu, Sep 12, 1991
Page Number :14
Headline :Melihat puisi di Sabah
Byline :By Abd Naddin Shaiddin
Edition:TE
Length count:1189
Page heading:Sastera & Budaya
Pix caption:Pix:- K BALI... genre puisi mula melahirkan ramai penulis berpotensi.
Status:Normal
Copyright:unknown  

Text:TAHUN 1954 meninggalkan satu catatan penting dalam sejarah kesusasteraan di Sabah.
      Hampir semua pengkaji berpendapat bahawa era penulisan puisi di negeri itu bermula apabila Majalah Kinabalu Magazine menyiarkan sebuah puisi berjudul Kinabalu dalam ruangan Bahasa Melayunya, tetapi dapatkah masa lalu itu dihidupkan semula setelah 37 tahun berlalu?   
      Dalam hal ini, ada sebarang kepastian yang jelas, tetapi nampaknya itulah usaha yang cuba dilakukan oleh Dewan Bahasa Dan Pustaka (DBP) cawangan Sabah dengan menganjurkan Seminar Mini Sastera Moden Sabah I di Wisma Dang Bandang selama tiga hari, mulai 17 Ogos lalu.   
      Tiga kertas kerja dibentangkan dalam seminar itu yang membincangkan perkembangan penulisan puisi dari tahun 1950-an hingga masa kini.  
       Budayawan Sabah K Bali dalam kertas kerjanya bertajuk `Sejarah Puisi Sabah' (1954-1960) berkata, genre puisi mula melahirkan ramai penulis berpotensi dan seterusnya merancakkan kegiatan berpuisi pada waktu itu.  
      Malangnya, usia penerbitan majalah Kinabalu Magazine hanya setakat bulan itu sahaja kerana penerbitannya tidak diteruskan.
      Kekosongan yang ditinggalkan telah diisi oleh North Borneo News & Sabah Times apabila akhbar itu menyediakan ruangan Our Romanised Malay Corner pada hari-hari biasa dan The Malay Fortnightly Supplement setiap hari Sabtu, dua minggu sekali.   
      Keadaan itu dimanfaatkan dengan baik oleh penulis Melayu. Lahirlah nama-nama seperti J.I Idrus, Sabah, Asmara (A Bolly Asmara), Emha Sabah, Rajuna Keningau, Pena Budiman, Ahmadony, Mujapandi, Pusa Noba (Seri Nanti), Kisnawati, K. Bali, Amil Jaya, Zah (Zahati), Sukma Morni, P Alhamdi dan beberapa orang lagi bagi mengisi ruangan puisi akhbar North Borneo News & Sabah Times.  
       Penubuhan Angkatan Gaya Baru atau ringkasnya AGABA pada awal 1957 juga menjadi teras kepada kegiatan sastera, seterusnya beberapa tokoh penting yang menganggotai AGABA, termasuk Donald Stephens (Allahyarham Tun Haji Mohd Fuad Stephens), Zakaria Gunn (sekarang Datuk dan Jaafar Hussain (sekarang Datuk).  
      Seperti yang dijelaskan oleh K Bali, AGABA adalah sebuah badan yang menjunjung `bahasa, sastera budaya' dan tolong menolong di kalangan ahli tanpa mengira keturunan, bangsa dan agama.   
       Rangsangan bersastera yang timbul selepas penubuhan AGABA melahirkan lebih ramai penulis lagi.
       Antaranya ialah A B A Masuba, Menesari, Jamdin B, M A Nast, Suhani S, Ahzam, Herman Noor Ayub, Herman Liking, Mohd Hussain Kasau, Firsya Dimah, Abdul Hamid Awang, K Ghani, Omar Sal, Madah Aryani, Murni S, Emtah, Hamsah, Micre, Malam, Mar, Marawati, Adintah Nasdin, Emzet B, Map, Wangmusleh, Ahad, Bab, Bakti, Dewi, Manja, Serl Andalas, Rimba, Aziz Yussof, Ahmad I O, Pengembara, Sayuddin Ali, Bara, A S Kasuma, Shahnuar, Kembara Muda, Kembara, Om Ibraadl, Saroja, Ahamd Shamsuri dan lain-lain.   
      Menjelang tahun 1960-an, semarak sastera di Sabah makin terserlah. Ini lamsung memungkinkan tertubuhnya beberapa persatuan penulis.
      Misalnya pada Julai 1962, Angkatan Persuratan Melayu Sabah (APMS) ditubuhkan. Di antara tokoh pentingnya ialah K Bali, Mohd Tahir, Bahari Asip, Mohd Yaman, Shuhalbun Yussuf, Ahmad Tajuddin, Sabdin Ghani, L M Shahirul, Jamdin B, R M Jasni dan M E Dahli.   
      Namun dalam kertas kerjanya K Bali menjelaskan apakah yang menyebabkan APMS ditubuhkan? Atau apakah APMS dan AGABA mempunyai perbezaan yang besar dari segi dasar perjuangan? Tetapi apa yang beliau jelaskan ialah AMPs dan AGABA bekerjasama dan sering mengadakan aktiviti bersama.
      Penyair APMS dan AGABA menggunakan North Borneo News & Sabah Times untuk menyalurkan karya mereka.   
      Keadaan ini mula berubah apabila Daily Express diterbitkan pada tahun 1963. Kesempatan ini digunakan sepenuhnya oleh sebuah lagi badan penulis iaitu Persatuan Penulis Sabah (PERPESA) yang ditubuhkan pada tahun 1965.
       Suhani S dan Ahzam menjadi tulang belakang yang penting persatuan itu.   Selain itu, sumbangan pelajar Maktab Kent dalam menyuburkan semangat berpuisi sukar dinafikan.
     Omar Sal (Omar Sulaiman) Madah Aryani (Aziz Ahmad) dan beberapa orang rakannya mula menerbitkan majalah Suara Kent yang memuatkan pelbagai rencana, berita dan juga sajak pada hujung tahun 1964.
     Langkah menerbitkan majalah itu telah menambahkan media penampungan karya sastera yang sekaligus memupuk bakat penulis dari kalangan pelajar Maktab Kent Tuaran sendiri.   
     Penulis sekitar 1950-an dan 1960-an juga turut menghantarkan karya mereka ke akhbar Salam di Negara Brunei Darussalam. Hal ini penting di perkatakan kerana bukan saja penulis Sabah menghantar karya mereka ke negara Brunei Darussalam dan dalam masa yang sama negara itu menghantar karya mereka ke Sabah.
     Keadaan ini secara tidak langsung mewujud hubungan yang baik di kalangan penulis dari kedua-dua wilayah. 
     Kebanyakan sajak mempunyai tema yang menyeru ke arah perpaduan dan meniupkan semangat kemerdekaan, pada waktu itu menjadi pilihan penulis.
     Apa yang kurang diberikan sorotan oleh K Bali ialah mengapa penulis memilih tema seperti itu. Apakah penulis Sabah umpamanya, tidak menerima pengaruh yang meluas dari Semenanjung?  
     Sementara itu, dalam kertas kerja kedua yang dibentangkan oleh Matlin Dullih bertajuk Pemikiran dan perkembangan Sajak Di Sabah Tahun 1970-an: Suatu Pemantapan menyatakan bahawa awal tahun 1970-an adalah tahun transisi dalam perkembangan sajak di Sabah.
     Dalam proses transisi itulah, banyak berlaku perubahan dan pembaharuan menuju ke arah pemantapan. Penghujung tahun 1970-an pula dapat dianggap sebagai kemantapan sajak-sajak yang dihasilkan oleh beberapa penyair negeri itu. 
      Ini tentu boleh dipersoalkan kerana penilaian terhadap sajak atau puisi adalah sangat subjektif. Sesebuah sajak memungkinkan banyak tafsiran selain mengundang banyak interpretasi.  
      Bagaimanapun, Matlin Dullah lebih mendasarkan aspek pemikiran dan perkembangan puisi sekitar 1970-an.
       Tetapi, jangka masa satu dekad selalunya tidak dapat memperlihatkan arah atau perubahan yang meluas.  
      Kegigihan penyair 1980-an mengatasi hambatan amat jelas membuka satu dimensi baru.
     Persatuan penulis seperti BAHASA, GAPURA dan Anak Seni menggerakkan perkembangan puisi dengan mengadakan pelbagai kegiatan seperti Hari Sastera 1973, Hari Puisi Nasional 1979, peraduan menulis dan bengkel penulisan. 
      Hasilnya lahirlah nama-nama seperti Mahmud Jahar, M Y Anas, Mohamed Fajeer, Marzuki Ali, Hashim Jeffrey, Sidek, Rubiah Nordin, Ramlie A R Salbiah Mahmud, Dayang Ali, Surya Irawan, J Mahmud Osman, Mohd Hussain Qassau, Zaiton Ajamain, Hamzah Dua, Abdul Awang, Azizy Achmady, Tinta Senja dan lain-lain.  
      Selain menjadikan akhbar Kinabalu Sabah Times dan Daily Express sebagai gelanggang, karya, penulis di Sabah juga menerbitkan sajak dalam bentuk antologi bercetak ataupun stensilan.
      Antara antologi sajak yang diterbitkan ialah Kinabalu Mencakar Langit (1970), Langit Merah (1971) Suara Daru (1972), Debar Berombak (1973) Lembaran Kinabalu (1974), Suara 74 (1975), Tugu Kenangan (1976) dan Bila Rindu (1979). 
      Persoalan seperti kecintaan terhadap tanahair, fenomena alam, kepekaan terhadap sejarah, protes terhadap kesan pembangunan, keprihatinan terhadap kehidupan yang murni sehinggalah kepada persoalan yang menjurus ke arah hal-hal ketuhanan dan keagamaan telah menjadi tema yang digemari oleh penulis zaman itu yang menurut Matlin Dullah, mempunyai daya kepekaan yang lebih baik berbanding penyair terdahulu.   
     Penyair dan pelukis Siti Zainon Ismail, pula, membentangkan kertas kerja bertajuk Puisi-puisi (Mutakhir) masa kini Sabah.
     Pembicaraan beliau lebih tertumpu kepada antologi bersama yang dihsilkan sepanjang tahun 1980-an. Beliau memperkatakan puisi mutakhir Sabah dengan menggunakan masa kini yang bererti semasa dengan menekan makna:  
    * Sesuatu yang baru dihasilkan dalam tempoh waktu yang terakhir;   * Dihasilkan oleh (penyair) yang hampir sebaya atau seangkatan; dan   * Mempunyai gaya baru, yang lain dan yang asing.  
       Kertas kerja Siti Zainon melihat tiga lapisan penyair masa kini di Sabah. Lapisan pertama terdiri daripada Zaiton Ajamain, Ismaily Bungsu dan Noraini Hj Salleh.
     Lapisan kedua, Jalidar Abd Rahim, Matlin Dullah, Siti Hadiah Hj Abd Mutalib dan Juri Durabi, manakala lapisan ketiga Jasni Matlani, Hasyuda Abadi, Siba Nita AS, Mohd Ariffin Arif, Ariah Judah dan Saibil Madun.   
      Selanjutnya Siti Zainon Ismail menyatakan bahawa puisi masa kini di Sabah memang mencabar dan sesekali tercabar.
     Kecenderungan kepada nilai Islam memang mendapat sorotan penting di samping ingin kembali kepada warisan alam dan budaya.   (END)

No comments: