Thursday, July 11, 2013

Stanley Chew, pernah cipta kegemilangan untuk bolasepak Sabah

STANLEY CHEW, PERNAH CIPTA KEGEMILANGAN UNTUK BOLASEPAK SABAH

Stadium Likas pernah menjadi tempat yang menggerunkan. Malahan ada yang menyifatkan stadium itu sebagai `kuburan’ bagi setiap pasukan pelawat yang bermain menentang pasukan Sabah yang gagah perkasa satu ketika dahulu. Tahun 1979. Tahun kegemilangan buat bolasepak Sabah apabila berjaya memasuki peringkat separuh akhir Piala Malaysia ketika pertama kali menyertai kejohanan itu. Kejayaan Sabah pada masa itu tidak terlepas daripada peranan yang dimainkan oleh Stanley Chew, jurulatih bolasepak Sabah ketika itu. Melalui kepakaran beliau sebagai jurulatih Sabah, lahirlah pemain-pemain yang hebat dan berkualiti seperti James Wong, Hassan Sani, Peter Rajah, Awang Sabtu dan banyak lagi nama-nama lain yang turut mencorak warna dalam sejarah bolasepak Sabah.

Stanley Chew, dilahirkan di Kerukan Kuala Penyu pada 7 Mac 1947. Sebelum mencipta nama dalam arena bolasepak pada tahun 70-an dan 80-an sebagai jurulatih, Stanley pernah mewakili Pasukan Sabah dalam Kejohanan Piala Borneo 1965 hingga 1969 dan 1971. Ketika zaman persekolahan, beliau mewakili Sekolah St.Anthony Labuan (1964-1965), Pasukan Belia Labuan pada tahun 1965 ketika bermain dalam Piala Stephen, mewakili Labuan ketika menjadi johan Goode Cup 1965, mewakili sekolah La Salle dan pasukan La Sallite 1966 hingga 1969,mewakili pasukan Belia Kota Kinabalu ke Piala Stephen (1966-1969) dan pernah mewakili Pasukan Kota Kinabalu Ke Hom Cup, Goode Cup dan Sabah Cup Games sejak tahun 1966 hingga 1971.

Pada tahun 1969 hingga 1970, Stanley menjadi Jurulatih Bolasepak Pasukan Belia Kota Kinabalu ke Pertandingan Piala Stephen dan muncul juara dua tahun berturut-turut. Beliau juga menjadi jurulatih Pasukan Bolasepak Pasukan Kota Kinabalu 1970-1974 dan Jurulatih Bolasepak Pasukan Belia Negeri Sabah ke Piala Burnley (Piala Razak) pada 1970,1971,1972,1974,1978 dan 1983. Selepas itu,beliau menjadi jurulatih pasukan Sabah ke Piala Borneo pada 1972 (johan),1977 (johan),1978,1983 (johan) dan 1984 (johan). Stanley terus mencipta nama dalam bidang kejurulatihan apabila menjadi jurulatih bolasepak Sabah ke Piala Malaysia pada 1978,1979,1985,1987 dan 1988. Pada tahun 1978, Sabah masuk ke separuh akhir mewakili Malaysia Timur dalam kejohanan Piala Malaysia. Dalam tahun 1979, Sabah masuk ke peringkat akhir liga kebangsaan dan menjadi pasukan teratas dalam liga Malaysia pada tahun 1979.

Beliau juga pernah menjadi Jurulatih Belia Kebangsaan pada 1980 dan 1981. Dalam tahun 1982 hingga 1983, Stanley menjadi jurulatih Pasukan Negeri Sabah dalam kejohanan kebangsaan Piala Rahman. Sabah pernah mendapat tempat ketiga dalam kejohanan itu pada 1982. Beliau pernah menjadi Pengarah Kejurulatihan Sabah pada 1988-1991, dan 1993- 1995.

Stanley memiliki Diploma Lanjutan setaraf dengan sarjana muda dalam kejurulatihan sukan dari Leeds Metropolitan University England dan ijazah Sarjana dalam Sukan dan Sains Jasmani daripada Metro University juga di England.

Beliau pernah mengikuti kursus-kursus kejurulatihan di Kuala Lumpur, England, Jerman dan pelbagai tempat lagi. Selain tugasnya sebagai jurulatih, Stanley juga pernah menjadi Kerani Stor di Kementerian Pertanian dan Perikanan(1970-1974), Penolong Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan Daerah (1974-1975), Pegawai Kebudayaan Belia dan Sukan Bahagian KKBS (1975-1977) dan Jurulatih Sukan Bolasepak di KKBS pada 1978 hingga 1995.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang untuk menemubual mantan jurulatih bolasepak yang pernah membawa kegemilangan kepada pasukan Sabah di persada sukan tanahair. Ikuti petikan temubual dengan beliau yang diadakan pada pagi yang cerah di salah sebuah restoran terkenal di ibu negeri.

UTUSAN BORNEO: Bolehkah tuan ceritakan sedikit mengenai penglibatan dalam sukan bolasepak?

STANLEY CHEW: Saya mula terlibat dalam sukan bolasepak ketika bersekolah di Labuan. Saya pernah mewakili Sekolah St.Anthony Labuan pada tahun 1964-1965. Saya juga terpilih bermain untuk Pasukan Belia Labuan dalam Piala Stephen, juga pada tahun 1965. Selain itu, saya bermain untuk Pasukan Labuan dalam Goode Cup pada 1965. Kami menjadi johan pada masa itu.

Setelah berpindah ke La Salle, saya terpilih bermain untuk sekolah La Salle dan pasukan La Sallite dari tahun 1966 hingga 1969.

UB: Siapa antara pemain pasukan La Salle pada masa itu?
SC: Antaranya pemain La Salle ialah Michael Janu, Leopoldo Santos, Herman Anjun, Lawrence Sinidol, Joseph Liew dan Martin Kiong manakala pasykan saingan kami ialah Rashid Bolong (Datuk Rashid Bolong, mantan Pengarah Kastam Malaysia), Saidun Basni, Cucu Latik dan lain-lain.


UB: Main untuk pasukan Kota Kinabalu juga?

SC: Ya. Saya terpilih bermain mewakili Belia Kota Kinabalu ke Piala Stephen pada tahun 1966-1969. Selain itu, saya juga bermain untuk pasukan Kota Kinabalu ke Hom Cup, Goode Cup dan Sabah Cup Games dari tahun 1966 hingga 1971.

Dalam Piala Borneo, Sabah mencatatkan sejarah yang manis untuk dikenang. Kami kalah tahun 1965, ketika main di Kuching tahun 1966 di padang Jubilee, Sarawak jadi Johan, tahun 1967 di Sandakan, Sabah menang Piala Borneo, 1968 Brunei menang di Brunei , 1969 kami kalah di Sarawak manakala pada tahun 1970, 1971 hingga 1972 Sabah menang tiga tahun berturut-turut. Bagaimanapun dalam tahun 1973 hingga 1976, kejohanan itu tidak diadakan. Apabila ia diadakan semula pada 1977, Sabah menang Piala Borneo 1977,1978,1979 dan 1980. Pada tahun 1972, saya sudah jadi coach (jurulatih), tapi turut bermain untuk pasukan Sabah.

UB: Apa pula kejayaan sebagai Sebagai jurulatih?

SC: Saya mula menjadi jurulatih bolasepak Pasukan Belia Kota Kinabalu pada tahun 1969 hingga 1970. Pertandingan Peringkat Negeri Piala Stephen. Kami menjadi johan dua tahun berturut-turut.

Selepas itu pada tahun 1970 hingga 1974, saya menjadi jurulatih bolasepak pasukan Kota Kinabalu. Dalam tahun 1970 hingga 1972, 1974, 1978 dan 1983, saya menjadi jurulatih Bolasepak Pasukan Belia Negeri Sabah untuk Piala Burnley (kemudian Piala Razak) hingga berjaya masuk peringkat separuh akhir pada 1983.

Kerjaya saya sebagai jurulatih semakin meningkat apabila dipilih sebagai jurulatih bolasepak untuk pasukan Sabah Piala Malaysia pada tahun 1978,1979,1985, 1987 dan 1988. Dalam tahun 1978, Sabah masuk ke separuh akhir Piala Malaysia mewakili Malaysia Timur setelah menjadi johan Piala Borneo. Dalam tahun 1979, Sabah berjaya menduduki tangga kedua dalam Liga Piala Malaysia, hanya dipisahkan tiga mata di bawah Singapura dan berjaya memasuki peringkat separuh akhir

UB: Boleh ceritakan sedikit mengenai pasukan Sabah pada masa itu? Siapa antara pemain Sabah pada tahun 1979 yang disebut antara tahun paling gemilang dalam sejarah bolasepak Sabah?

SC: Antara pemain Sabah pada masa itu ialah James Wong, Hassan Sani, Peter Rajah, Awang Sabtu,Karti Tukimin, Razali Zinin,Malim Surat, Johnny Wong, Tar Singh, Tony Wong, Vincent Wong, Richard Barnes, Azah Ezrein, Dzulfikar Ahmad, Awang Ahmad,Saidun Sungit,Ali Hassan, Micahel Jainul, Taip Amirbeck. Selain itu, turut berada dalam pasukan ialah Moh Ali Hassan, Ilham Ismail, Jerry Kinti, Edward Nuing, Tumin Amat dan Dzul Ismail. Pengurus pasukan Stanley Augustin, Jurulatih, saya sendiri dengan dibantu Mahmood Kalong, Salimin Amatshah manakala Fu Si Chin sebagai doctor pasukan. Presiden Sabah FA waktu itu ialah Datuk Haji Mohd.Noor Mansoor.

Sabah menjaringkan paling banyak gol dalam Piala Malaysia dengan jumlah 49 gol. Kombinasi James Wong dan Hassan Sani menghasilkan 29 gol itu 15 dijaringkan Hassan Sani manakala James Wong menjaringkan 14 gol.

Selepas berjaya melayakkan diri ke Separuh Akhir Piala Malaysia, Sabah telah menjelajah ke Western Australia sebagai habuan kerana berjaya mencipta kegemilangan walaupun pertama kali masuk Piala Malaysia. Sabah mengalahkan Perak 7-0 di Stadium Likas sehingga stadium itu digelar kuburan bagi pasukan pelawat. Hanya Singapura pernah mengalahkan Sabah 1-0, itupun melalui gol yang dipertikaikan. Selain itu, Sabah adalah satu-satunya pasukan yang berjaya mengalahkan Kelantan di Kota Bharu apabila menang 2-1 di hadapan 25,000 penyokong pasukan Kelantan. Tiada pasukan yang boleh mengalahkan Kelantan jika bermain di Kelantan pada masa itu. Sabah juga berjaya menjaringkan banyak gol ketika mengalahkan Perlis, Terengganu dan Johor jika dibandingkan pasukan lain. Sabah hanya kalah dengan pasukan Negeri Sembilan dan Angkatan Tentera, iaitu dua pasukan terbawah pada masa itu, itupun melalui gol sendiri. Di peringkat separuh akhir, Sabah kalah kepada Selangor. Itulah antara sejarah paling manis dalam sukan bolasepak Sabah apabila menang 11 perlawanan, seri dua kali dan kalah tiga kali. Menjaringkan gol paling banyak dan mendapat 24 mata, tiga mata di di belakang Singapura yang mendapat 27 mata dalam 16 perlawanan Piala Malaysia.

UB: Selepas kejayaan mengangkat kedudukan Sabah dalam Piala Malaysia, Apa kerjaya tuan selepas tu?

SC: Saya dipilih sebagai jurulatih Belia Kebangsaan pada tahun 1980 dan 1981. Saya menjadi jurulatih Belia Malaysia ketika bermain di Manila untuk Piala Belia Asia dan 1981 ketika bermain di Dubai. Ketua pasukan Belia Malaysia pada masa itu ialah Zainal Abidin Hassan. Selepas itu, pada tahun 1982 hingga 1983, saya menjadi jurulatih Pasukan Sekolah Negeri Sabah ke Kejohanan Kebangsaan Piala Rahman dan pada tahun itu (1982) Sabah berjaya menduduki tempat ketiga. Kemudian pada tahun 1988-1991 dan 1993 hingga 1995, saya dilantik sebagai Pengarah Kejurulatihan SAFA.

UB: Sebagai jurulatih, mungkin tuan pernah mengikuti kursus-kursus kejurulatihan di dalam dan luar negara. Mungkin tuan boleh sebutkan beberapa di antaranya?

SC: Saya mula Kursus Kejurulatihan FIFA di Kuala Lumpur pada tahun 1972. Kursus itu diadakan di Universiti Malaya, selama tiga bulan iaitu 5 Februari hingga 6 Mei 1972 di bawah kendalian jurulatih Jerman D.Cramer. Selepas itu, pada 1 Julai hingga 31 Oktober 1973, saya mengikuti kursus kejurulatihan selama tiga bulan di England dan mengikuti latihan kejurulatihan di Newcastle United, Leeds United, Sunderland yang pada masa itu baru saja memenangi piala FA, Manchester City dan banyak lagi.

Kemudian pada November 1977, saya berpeluang mengikuti Kursus Pentadbiran Sukan anjuran KKBS di University Pertanian Malaysia. Selepas itu, saya menghadiri Football Coaching Course di Hennef, Jerman Barat pada September 1979, Psikologi Sukan oleh United States Academy pada Ogos 1983, Kursus Kepimpinan dan Pengurusan Sukan anjuran KKBS Malaysia pada November 1983, England National Coaching Fundation di LeedsEngland, "FUTURO" The Fifa CocaCola World Footbal Development Programme di Kuala Lumpur Mei 1993, 2nd Director of Coaching Seminar di Kuala Lumpur 4-8April 1994, Kursus IOC Sport Leaders of The Olympic Solidarity Kota Kinabalu, 18 hingga 22 April 1994 dan mengikuti seminar bolasepak di Kuala Lumpur pada 1977,1983,1984,1987 dan 1994.

UB: Sebagai seorang jurulatih yang pernah melatih pemain-pemain hebat seperti James Wong, Hassan Sani, Matlan Marjan dan lain-lain, bolehkah tuan ceritakan sedikit bagaimana mula mengesan bakat mereka?

SC: Sebenarnya saya bernasib baik kerana ketika mereka bermain untuk pasukan Sabah, mereka adalah pemain-pemain yang terlatih dan mempunyai kemahiran yang tinggi. Jadi agak mudah. Tapi saya mengesan bakat James Wong, ketika itu jurulatihnya ialah Mr Soo, kerja di JKR dan berasal dari Singapura. Di sana saya perhatikan bakatnya. Bagi saya, James mempunyai kebolehan. Pemilihan pemain pada masa itu dibuat dengan teliti dan hanya pemain-pemain terbaik yang terpilih. Itulah sebabnya pasukan Sabah menjadi kuat pasa masa itu. Saya mula mengesan bakat James sewaktu beliau masih remaja lagi.

Begitu juga Hassan Sani. saya nampak dia bermain sejak kecil lagi di Labuan. Waktu itu saya ke Labuan.Saya beritahu jurulatihnya, supaya jangan lupa bawa Hassan bermain Sabah Cup di Sandakan. Di sanalah bakatnya mula menyerlah sehingga mewakili Sabah bermain untuk Piala Razak. Selepas itulah, Hassan menempah nama sehinggalah mewakili Malaysia dan menjadi salah seorang pemain handalan negara pada masa kegemilangannya.

Saya mula mengesan bakat Matlan Marjan pula sewaktu beliau bersekolah di Kudat.Jika ingin maju pindah ke KK. Waktu itu saya jurulatih Piala Razak. Matlan terpilih bermain di Johor.Piala Presiden dia cedera. Saya beritahu dia supaya pergi ke SMC. Jumpa DR Atun Wee. Dia tidak berapa peduli. Waktu itu dia tinggal tempat pakciknya. Kemudian saya datang ke rumahnya, dan pujuk dia buat pembedahan lutut Lepas itu kami panggil dia main untuk pasukan sabah 1987. Dia hanya menyerlah selepas tujuh tahun dimana Matlan turut menjadi hero Malaysia apabila menjaringkan dua gol untuk ketika menentang pasukan England walaupun Malaysia kalah 2-4 kepada England.

UB: Apa saranan tuan untuk meningkatkan mutu bolasepak di negeri ini?

SC: Saya menyarankan supaya lebih banyak kejohanan-kejohanan di peringkat daerah dapat diadakan untuk memajukan mencungkil bakat-bakat baru dalam bolasepak. Akademi bolasepak perlu diadakan di setiap daerah. Selain itu, kursus-kursus kejurulatihan juga hendaklah diadakan di setiap bahagian bagi meningkatkan mutu sukan bolasepak kita. Jurulatih bolasepak yang berkelayakan di negeri ini belum mencukupi. Sabah adalah sebuah negeri yang luas mempunyai 23 daerah dan tujuh daerah kecil dan mengandungi 1,016 buah sekolah rendah. Jika setiap daerah ada sepuluh buah kelab, sudah tentu memerlukan seramai 300 jurulatih yang berkelayakan. Jadi kursus-kursus kejurulatihan hendaklah diperbanyak bagi melahirkan lebih ramai pemain-pemain berpotensi untuk negeri Sabah dan Malaysia amnya di semua peringkat.

Selain itu, kerajaan hendaklah membantu menyediakan prasarana dan kemudahan seperti padang dan sebagainya. Dengan adanya prasarana sukan yang memadai, kita boleh meningkatkan tahap kecergasan fizikal setiap pemain. Kita memang masih ketinggalan jika dibandingkan dengan England, dimana sebuah pasukan mempunyai dua hingga tiga padang untuk berlatih pengurusan dilaksanakan oleh orang-orang yang benar-benar mahir dalam sukan bolasepak.

Kita memiliki ramai pemain berpotensi. Namun mereka memerlukan prasarana untuk berlatih. Perkembangan teknologi sukan juga bertambah maju,tidak lagi seperti dulu.

Saya teringat pernah dimaki oleh pemain kerana mengamalkan corak latihan yang keras.Saya suruh mereka berlari di tengah padang. Saya perhatikan pada masa itu, pemain kita hanya mampu bermain 45 minit pertama manakala pada separuh masa kedua mereka keletihan.Jadi ketika baru pulang dari kursus dari Eropah , saya mengamalkan corak latihan yang keras, pemain pernah maki saya . Tetapi hasilnya Sabah mencapai kedudukan yang baik dalam bolasepak tahun 1979.

Dalam bidang kejurulatihan ini saya pernah menjadi jurulatih belia kebangsaan bersama M Chandran , pemain kebangsaan tahun 1972, Datuk SohChin Aun manakala pengurus pasukan pada masa itu, Ridzuan Sheikh Ahmad.

Selain itu, saya juga menyarankan agar mereka yang terlibat dalam sukan bolasepak melawat ke Jepun dan Korea untuk mempelajari cara bagaimana neara itu memajukan sukan bolasepak mereka.Kita pergi ke sana untuk belajar. Bagaimana pasukan yang dulu setaraf dengan kita, kita telah jauh meningkat berbanding dengan kualiti bolasepak kita.

UB: Apa harapan tuan terhadap sukan bolasepak di Sabah?

SC: Saya berharap pemain-pemain Sabah terpilih untuk bermain mewakili negara dalam sukan Olimpik atau Piala Dunia pada masa depan. Dulu orang merasa bangga jika terpilih mewakili daerah, negeri apalagi kalau terpilih mewakili negara.Kita mahu menggembalikan kebanggaan kita kepada pasukan negara. Sekarang ini rasa kebanggaan itu rasanya semakin berkurangan. Kita seolah tidak ambil berat terhadap diri sendiri. Dulu orang berlatih setiap hari dengan tujuan untuk mewakili negara.

 
 

2 comments:

juslan lan said...

Terima kasih krn info. nak share dalam Facebook sabah fa fans

mohd andari daud said...

Sabah, satu pasukan yg pernah digeruni dulu..tetapi apa sudah jadi sekarang? adakah kita hanya mahu ambil permain tempatan sabah sahaja.tak salah kita guna permain kelahiran sabah..tp kita juga harus beli permain2 dr persatuan lain..untuk kembangkan corak permainan kita. saya sangat sedih dengan perkembangan sabah. buat la perkembangan seperti JDT tp jgn ikut cra ke belagakan dorank. org sabah ,penyokong sabah semua nya sporting2 bah... anak jati Labuan.