Friday, August 23, 2013

Catatan peribadi mengenai Pakcik Anting

CATATAN PERIBADI MENGENAI PAKCIK ANTING

Pada hari raya yang lepas, kami tak sempat ke rumahnya di Batu Payung.

Saya terburu-buru pulang ke KK kerana kehabisan cuti. Kira-kira seminggu selepas hari raya itu, barulah saya mendapat khabar bahawa pakcik Anting terpaksa berulang alik ke hospital kerana sakit.

Pakcik Anting adalah antara orang pertama yang saya cari ketika mula menjejak kaki ke Tawau. Beliau adalah sepupu ayah. Moyang sebelah nenek saya pindah ke Tawau setelah melalui sejarah perjalanan yang panjang dari Kota Belud . Beliau pindah sejak zaman sebelum merdeka untuk mencari penghidupan di sana.

Beliau hanya membawa anaknya yang sulung bernama Alim dan adiknya yang bernama Duakis atau kerana salah eja, disebut Dulakis.

Mereka kemudian membuka tanah di Batu Payung. Tahun 50, menurut cerita, selepas rumah imam, ada sebuah rumah yang terletak di kaki bukit. Itulah rumah moyang saya bernama Satuh atau Sato.

Kemudian seiring perjalanan waktu, keluarga ini kemudian tersebar di Batu Payung, Batu 4 1/2, Merotai dan juga di Kalabakan.

Bagaimanapun, setelah puluhan tahun terpisah, setelah arwah ayah saya memangku tugas, kalau tidak silap saya sebagai pegawai pertanian di Tawau kira-kira tahun 1977, maka komunikasi pun terputus begitu saja.

Namun saya telah berazam untuk menjejaki mereka bagi menyambungkan tali silaturrahim yang entah bagaimana tidak ditemui sambungannya.

"Cari pakcikmu Anting di Batu Payung", begitu pesan arwah ayah saya. Maka dengan pesan itu, saya ke SK Batu Payung mencari Pakcik Anting yang pernah bertugas sebagai guru di sana. Setibanya di sana, pakcik Anting rupanya sudah berhenti jadi guru kerana tidak mahu dipindahkan ke Luasong, yang pada masa itu adalah tempat yang jauh.

Beliau bekerja sebagai pengawal di Puspakom. Katanya, langkah yang saya amat tepat untuk jejak kasih kerana saya telah menemui `ketua kampung' . Maksudnya, beliaulah `ketua kampung' yang menjadi penghubung keluarga kami di Tawau.

Pakcik Anting mampu bercakap Bajau sedikit kerana pernah ke Kota Belud. Beliau seorang yang suka membuat kita tertawa. Ketika saya melangsungkan perkahwinan di Tawau, ramai anggota keluarga dari Batu Payung, Batu 4 1/2, Merotai hadir sama. Termasuk atuk saya, Soal, bu Sindung di Merotai dan Bu Napsarah.

Melalui pakcik Antinglah saya dapat berhubung dengan hampir semua keluarga kami di Tawau. Saya ingat betapa Kak Hasnah dan suaminya Abdul Syeh, kak Mina dengan suaminya Bang Kasman, Kak Mahani dengan suaminya Bang Safri, Muna dengan suaminya Budi bertungkus lumus untuk membantu menjayakan majlis pertunangan dan perkahwinan saya.

Waktu itu, makcik Rizah masih hidup. Sebenarnya, anak Nek Alim ialah Mahmud atau dikenali sebagai Tambi, Pakcik Maing atau Ismail, Bu Rizah dan Pakcik Anting. Pakcik Tambi sudah lama pergi.Saya sempat berziarah ketika Bu Rizah meninggal.

Saya rasa sangat kehilangan. Selasa lalu, pakcik Anting juga sudah berpulang. Isterinya pulang lebih dulu meninggalkan tangis anak-anak dan kenangan sanak saudara.Allah lebih mengasihinya. Alfatihah.

3 comments:

Seliu Liu said...

Al-Fatihah. Suatu catatan yang mengingatkan aku kepada keluarga sebelah ayahku di Kunak yang sampai sekarang gagal dijejak walaupun lokasi mereka makin dekat dengan anakku di semporna.

Seliu Liu said...

Al-Fatihah. Suatu catatan yang mengingatkan aku kepada keluarga sebelah ayahku di Kunak yang sampai sekarang gagal dijejak walaupun lokasi mereka makin dekat dengan anakku di semporna.

Seliu Liu said...

Al-Fatihah. Suatu catatan yang mengingatkan aku kepada keluarga sebelah ayahku di Kunak yang sampai sekarang gagal dijejak walaupun lokasi mereka makin dekat dengan anakku di semporna.