Saturday, August 17, 2013

Datuk Hajah Azizah Mohd Dun terus berjuang tingkat martabat wanita

AZIZAH, TERUS BERJUANG MENINGKATKAN MARTABAT WANITA

PERJUANGANNYA mengangkat martabat wanita tidak pernah surut. Sejak berkecimpung dalam politik pada tahun 1985, beliau banyak menyuarakan aspirasi golongan wanita. Beliau pernah menyandang pelbagai jawatan dalam Pergerakan Wanita UMNO, bermula sebagai Ketua Wanita UMNO Beaufort, Ketua Penerangan Wanita Negeri, Naib Ketua Wanita UMNO Sabah, Ketua Wanita UMNO Negeri dan kini menjadi Exco Wanita UMNO Pusat.

"Kalau dikatakan saya orang baru, itupun tidak betul juga. Saya telah bergiat aktif dalam politik sejak tahun 80-an, pernah merasa menjadi pembangkang dan sebagainya", kata Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun, tokoh wanita dari Sabah yang baru-baru ini, menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia.

Karier politiknya bermula selepas bertanding dalam pilihanraya tahun 1985 dan memenangi kerusi DUN Klias atas tiket USNO. Bagaimanapun, beliau kalah dalam pilihanraya umum negeri yang diadakan setahun kemudian, namun ia tidak mematahkan semangatnya untuk terus menceburkan diri dalam politik, yang telah digelutinya sejak beliau pulang ke tanahair selepas lulus dalam bidang undang-undang di England.
Beliau menjadi wanita pertama di Sabah yang dilantik sebagai Majistret pada tahun 1981 hingga 1984. Ketika itu, beliau juga merupakan orang penting yang berusaha membawa kemasukan UMNO ke Sabah yang dipelopori ayahnya, Datuk Haji Mohd Dun Banir. Di situlah beliau menceburkan diri dalam politik kerana merasakan masyarakat bumiputera di Sabah memerlukan pembelaan.

Azizah mendapat pendidikan awal di SRK Mempagar Beaufort sebelum melanjutkan pelajaran di St Paul Secondary School Beaufort.Selepas lulus Form 3 pada tahun 1971, beliau meneruskan pelajaran di Maktab Sabah dari tingkatan empat hingga tingkatan enam rendah.

Selepas meninggalkan bangku sekolah SRK Mempagar, Datuk Hajah Azizah Mohd.Dun meneruskan pelajaran di St Paul Secondary School dan lulus dalam Form 3 pada tahun 1971 sebelum melanjutkan pendidikan di Maktab Sabah dari tingkatan empat hingga tingkatan enam rendah. Kemudian beliau melanjutkan pengajian di peringkat A Level di England sebelum mengikuti pengajian undang-undang sehingga lulus Bachelor in Laws sebelum ditauliah sebagai peguam di Lincoln Inn's England.

Ketika memenangi kerusi DUN Klias pada tahun 1985, Azizah merupakan seorang wakil rakyat pembangkang dari parti USNO. Setahun selepas itu, berlaku prahara politik dan Azizah mengalami kekalahan dalam pilihanraya 1986. Beliau terus bergiat aktif dan terus berjuang sehinggalah beliau terpilih sebagai Ahli Parlimen Beaufort selepas menang pilihanraya tahun 2004, kemudian beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia.

Pada tahun 2008, selepas memenangi kerusi DUN Klias, beliau dilantik sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna. Bagaimanapun, dalam PRU-13 yang lepas, beliau bertanding semula di kerusi Parlimen Beaufort dan memenangi kerusi panas itu dengan cemerlang. Berdasarkan pengalamannya yang luas itu, beliau dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia. Beliau mendirikan rumahtangga dengan Haji Paiman Haji Abdul Karim dan dikurniakan dua cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN berpeluang menemuramah beliau dan berkongsi pengalaman dan pandangan beliau terhadap usaha memartabatkan golongan wanita, bukan saja di negeri ini malah di seluruh negara. Ikuti petikan temubual bersama beliau yang diadakan pada satu pagi yang cerah di kediamannya di Kampung Likas.

UTUSAN BORNEO: Apa khabar Datuk?. Terima kasih kerana memberi ruang kepada kami untuk sesi temuramah ini.

DATUK HAJAH AZIZAH MOHD.DUN: Khabar baik.

UB: Tentu sekali agak sibuk dengan tugas baru di Kuala Lumpur. Boleh beritahu sedikit mengenai tugas baru Datuk?

AZIZAH: Tugas saya di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat bukanlah sesuatu yang asing bagi saya. Ia tidak banyak bezanya dengan tugas yang pernah saya pikul di Sabah. Ia berfokus kepada pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat. Cuma sekarang tanggungjawabnya lebih luas dan lebib besar lagi kerana ia meliputi seluruh negara.

UB: Cabarannya mungkin jauh lebih besar. Komen Datuk?

AZIZAH: Bagi saya, ia satu cabaran yang menarik. Tuhan berikan rezeki dan kesempatan untuk berkhidmat. Saya akan berusaha untuk melakukan yang terbaik dan termampu. Melalui kementerian ini, kita boleh merancang dan memikirkan lebih banyak program yang boleh membangun wanita dalam bidang kerjaya mereka.

UB: Ada fokus tertentu?

AZIZAH: Kita akan berusaha membangunkan ekonomi golongan wanita di semua peringkat, di kawasan bandar, pinggir bandar dan luar bandar.Kita akan mengadakan program pembangunan wanita secara menyeluruh di seluruh negeri. Ini yang kita cita-citakan supaya semua wanita, di semua peringkat mendapat manfaat daripada program-program yang dijalankan oleh kementerian. Kita akan cuba lakukan yang terbaik.

UB: Mungkin kaedah tertentu yang dilaksanakan untuk menjayakan program pembangunan wanita?

AZIZAH: Salah satunya ialah mengadakan kerjasama dengan pelbagai pihak. Terdapat beberapa syarikat multinasional yag telah datang beryemu dengan kita dan menyatakan kesediaan untuk bekerkasama dengan kementerian bagi memperkasa wanita dalam bidang ekonomi.Melahirkan lebih ramai usahawan wanita dalam bidang perniagaan, IKS dan industri tradisi seperti manik-manik dan sebagainya. Industri seperti manik-manik , kain tenunan dan sebagainya ini kita boleh bantu untuk mengantarabangsakannya, memberikan lebih banyak lagi nilai tambah kerana dengan ini, ia boleh membantu golongan wanita kita. Kita juga membangun industri tradisi ini, supaya memiliki nilai tambah untuk memperkasa golongan wanita seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri kita yang mahukan penyertaan yang lebih ramai lagi dalam ekonomi.

Kita berharap lebih banyak lagi syarikat, badan korporat yang datang membantu untuk turut sama menyumbang untuk membantu golongan wanita.

UB: Kreativiti itu penting...

AZIZAH: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan betapa pentingnya transformasi dalam segala aspek. Kreativiti itu penting, kita gunakan kreativiti kita, ia bukan benda yang baru tapi kita gunakan kreativiti supaya barangan kita, industri yang dihasilkan golongan wanita mempunyai lebih nilai di peringkat antarabangsa. Kita promosi apa yang kita ada.Dengan sedikit kreativiti, saya yakin banyak industri tradisi kita seperti manik-manik suku kaum Rungus dan tenunan kain mogah dari masyarakat di Kota Belud dan sebagainya yang boleh diperkenalkan hingga ke peringkat antarabangsa.

UB: Bermakna tugas datuk sekarang jauh lebih mencabar lagi.

AZIZAH: Dulu ketika bertugas sebagai Menteri Pembangunan Masyarakat dan Hal Ehwal Pengguna, kita banyak berfokus lebih kepada modal insan, lebih kepada pembangunan masyarakat, kebajikan wanita, ibu tunggal, orang-orang tua dan sebagainya selain daripada hal ehwal pengguna, Itu antaranya, tetapi sekarang tugasnya lebih besar dan mencabar kerana ia berfokus kepada pembangunan wanita, keluarga dan masyarakat.

UB: Sebelum ini, datuk pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan? Sewaktu di sana, apa antara perkara yang datuk laksanakan untuk kepentingan wanita?

AZIZAH: Di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, saya memastikan agar golongan ibu tunggal mendapat rumah. Selain itu , kita memperjuangkan supaya lebih ramai wanita dilantik menjadi ahli majlis tempatan. Dalam usaha mengarusperdanakan wanita yang terlibat dalam Majlis Tempatan, kita telah mengadakan persidangan wanita yang terlibat dalam majlis tempaan di seluruh negara. Kita mahu peranan wanita diiktiraf dan dilantik bagi membantu PBT sebagai ahli majlis,bukan saja untuk kepentingan wanita tetapi untuk kepentingan masyarakat tempatan.

UB: Sekarang lebih ramai wanita yang dilantik untuk memegang jawatan yang lebih tinggi.Misalnya, Datuk Hajah Mariati Robert yang dilantik sebagai Peguam Besar Negeri Sabah. Apa komen Datuk?

AZIZAH: Kita amat bersyukur dan saya mengucapkan tahniah kepada Datuk Hajah Mariati kerana pelantikan beliau sebagai Peguam Negeri. Beliau merupakan seorang tokoh wanita yang berwibawa. Sebelum ini, beliau merupakan Pengerusi Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) selama dua penggal. Melalui MPWS, kita mempunyai program untuk membina wanita berwibawa.Kita membina dan melatih wanita dalam pelbagai bidang, untuk melahirkan lebih ramai wanita berwibawa. Kita juga bersyukur kerana Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan MPWS, Datuk Mary Yap kini dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan. Kita berharap, lebih ramai lagi wanita yang berkebolehan dan berkemampuan diberikan peluang untuk menjawat jawatan yang lebih tinggi.

UB: Bagaimana tentang penyertaan 30 peratus wanita dalam politik seperti yang pernah disuarakan dalam persidangan CEDAW di Beijing. Apakah telah tercapai?

AZIZAH: Kita belum mencapai 30 peratus penyertaan wanita dalam politik.Kita belum capai. Untuk itu kita berusaha untuk mengetengahkan pemimpin, membina wanita yang berwibawa, mengenal pasti bakat dan potensi mereka untuk diketengahkan. Ramai wanita yang berbakat dalam kepimpinan dan ini bakat mereka perlu diasah dan perlu diberi peluang. Namun saya selalu tekankan perlunya mereka menguasai ilmu pengetahuan dalam apa saja bidang supaya mereka boleh ditonjolkan dan diketengahkan sebagai wanita yang berwibawa dan dengan yang demikian, sasaran 30 peratus penyertaan wanita dalam politik. Sebagai pemimpin, penguasaan terhadap ilmu amatlah penting. Kita teruskan program Wanita Berwibawa. Ini bertujuan untuk melatih dan memperkasa wanita, dalam sektor awam, sektor swasta, NGo dan politik untuk menjadi wanita berwibawa.Usaha sebegini yang dilakukan MPWS adalah untuk menyerlahkan potensi wanita dan pelbagai usaha kita lakukan untuk melahirkan wanita berwibawa. Kita berharap lebih ramai wanita dapat diberikan tempat yang sewajarnya sesuai dengan kebolehan dan pengalaman mereka.

Bagi mereka yang belum mendapat peluang, dan mendapat tempat yang sewajarnya, jangan sekali berputus, jangan kecewa tetapi teruskan perjuangan. Jangan segan dan jangan malu tampilkan diri menjadi wanita yang berwibawa dan berpotensi tinggi.

UB: Mungkin ada yang ingin tahun rutin harian datuk di KL yang selalu sibuk. Bila pula masa balik kawasan?

AZIZAH: Kita mempunyai jadual yang tersusun. Ini penting kerana kini kita terpaksa berkhidmat untuk rakyat di seluruh negara, bukan saja di Sabah.Tanggungjawab sekarang lebih besar. Selepas sidang Parlimen, kita terpaksa hadiri Sidang Dewan Negara.Kemudian sambunglagi dengan tugas-tugas sebagai timbalan menteri. Kita jadualkan setiap hari khamis,kita balik kawasan. Kawasan Parlimen lebih luas, dan kita perlu lawati. Selain itu, kita adakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai kerajaan untuk atur perancangan pembangunan.Berjumpa dengan pemimpin-pemimpin masyarakat. Kita susun jadual dengan teratur supaya tidak bertindih. Kita juga perlu mempunyai masa untuk keluarga.Biasanya hujung minggu kita bersamakeluarga. Institusi keluarga amatlah penting. Tapi ada juga yang kita buat tidak mengikut jadual seperti menjenguk orang sakit, menziarahi orang meninggal dan sebagainya. Ini tidak dapat kita jadualkan.Yang lain kita telah buat jadual sebegitu cara untuk memudahkan kita.

UB: Oh ya. Beberapa hari ini ramai orang sibuk memperkatakan mengenai pemilihan parti. Khabarnya Datuk menawarkan diri sebagai Naib Ketua Wanita UMNO Pusat. Boleh ulas sedikit?

AZIZAH: Saya telah membuat kenyataan beberapa hari lalu untuk menawarkan diri bertanding jawatan Naib Ketua Wanita. Sudah keluar suratkhabar jadi barangkali ramai yang sudah tahu.

Saya menawarkan diri bertanding Naib Ketua Wanita UMNO Pusat kerana ada kekosongan. Jadi ada peluang untuk wanita dari Sabah. Saya juga merupakan satu-satunya dari kalangan Exco Wanita yang menang di Parlimen dan dipertanggungjawabkan di Kementerian Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat. Saya memikirkan ia satu tanggungjawab untuk kepentingan wanita. Saya percaya dengan kedudukan saya, dengan pengalaman hampir 30 tahun dalam politik, dan berpengalaman memegang pelbagai jawatan seperti Ketua Wanita UMNO Bahagian, Ketua Penerangan Wanita Negeri, Naib Ketua Wanita UMNO, dan pengalaman sebagai Timbalan Menteri Pusat, Menteri Kabinet Negeri, saya boleh menyumbang untuk meningkatkan lagi martabat wanita. Saya yakin ini satu peluang untuk berkhidmat dan menyumbang untuk menjayakan program transformasi yang diilhamkan Perdana Menteri.

UB: Boleh komen mengenai generasi baru yang mungkin mempunyai cara berfikir yang berbeza dalam menanggapi cabaran semasa...

AZIZAH: Cabaran politik tidak sama dengan 10 tahun lepas, 15 tahun lepas atau katakanlah 5 tahun yang lalu. Banyak berbeza. Kita kenalpasti cara berfikir generasi baru, bagi mengetahui cabaran terkini agar kita sentiasa relevan. Kini suasana lebih terbuka.Oleh kerana itu kita perlu menggunakan pendekatan yang lain.Kita kena bersedia untuk menghadapi cabaran dan memastikan kesinambungan kepimpinan yang ada. Oleh sebab itu, kita sarankan agar kita dapat menjangka apa yang berlaku untuk menghadapi cabaran.

UB: Apakah pertandingan tidak menimbulkan perpecahan? Apa komen Datuk?

AZIZAH: Kta bukan bertanding semata-mata mahu bertanding. Kita bertanding kerana kita yakin dapat memberikan sumbangan untuk memantapkan parti. Tidak guna ada jawatan tapi tidak dapat bantu parti, mantapkan parti. Jadi kita harap,ahli dapat memilih mereka yang mempunyai `passion', ikhlas dalam kepimpinan. Pemimpin kena ikhlas dan ahli juga mesti ikhlas untuk memilih pemimpin yang mempunyai passion untuk parti.Pemilihan jangan disandarkan kepada siapa yang lebih cantik atau lebih murah senyuman sebaliknya pilih mereka yang mempunyai keikhlasan dalam perjuangan untuk memantapkan parti. Kepentingan parti adalah sesuatu yang lebih penting, lebih penting daripada kepentingan individu.

17 OGOS 2013-Utusan Borneo

No comments: