Saturday, August 17, 2013

Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau hanya laksana amanah

JAWATANKUASA HARTA WAKAF TAWAU HANYA LAKSANA AMANAH

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN

abdnaddin@yahoo.com

MESKIPUN hampir luput dari pemberitaan media, Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau terus melaksanakan amanah dan tanggungjawabnya untuk menyantuni golongan anak-anak yatim di daerah itu.

Setiap tahun, sejak empat tahun lalu, kira-kira 1,600 anak yatim menerima sumbangan hari raya daripada jawatankuasa itu secara sistematik dan teratur.

Bermula jam 9.00 pagi hingga waktu Asar, anak-anak yatim yang berdaftar dengan badan wakaf itu menerima sumbangan berjumlah RM150.00 seorang.

"Tahun ini, sumbangan kepada anak yatim disampaikan pada 21 Julai 2013 bertempat di Masjid Bandar Tawau. Jumlah agihan pada tahun 2013 ialah RM180,000.," kata Haji Khalid Gul Hassan, salah seorang tenaga penting dalam Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau.

Ketika menemuinya, sehari sebelum Aidilfitri, beliau yang juga Bendaharinya memberitahu, sumbangan untuk anak yatim itu sudah dimulakan sejak 2010.

Program ini dibuat setiap bulan Ramadan, katanya kepada Utusan Borneo. Haji Khalid kemudian mengajak saya bertemu dengan Pengerusi Jawatankuasa Harta Wakaf, Datuk Haji Kamil DSP Dr Kassim Kamidin, di pejabatnya. Hadir sama ialah Ahli Jawatankuasa, Haji Yahya Zainal.

"Kami hanya meneruskan apa yang dibuat oleh orang-orang terdahulu," kata Haji Kamil merendah diri.

Orang-orang terdahulu yang dimaksudkannya ialah pemimpin-pemimpin masyarakat Islam Tawau yang telah memulakan inisiatif untuk membentuk jawatankuasa atau badan yang menguruskan harta-harta yang diwakafkan oleh masyarakat Islam di daerah Tawau

Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau dibentuk pada tahun 1984.Pengasasnya ialah Allahyarham OKK Haji Zainal Kerahu.

Mulanya Jawatankuasa Wakaf ini berada di bawah kelolaan Persatuan Islam Tawau (PIT) tetapi setelah PIT dibubarkan jawatankuasa harta wakaf Tawau itu menjadi sebuah organisasi tersendiri.

Apabila OKK Haji Zainal kembali ke rahmatullah pada tahun 1987, ia digantikan oleh Datuk Seri Panglima Dr Kassim Kamidin.

Ketika zaman Dr Kassim inilah tanah wakaf dibangunkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat Islam.

Antara tanah yang dibangunkan Wisma Waqaf, yang dulunya pasar buah-buahan. Kini ia menempat blok bangunan kedai komersil yang disewakan. Hasil sewa itulah yang digunakan untuk kemaslahatan umat Islam.

"Kami hanya meneruskan kerja dulu" kata Datuk Haji Kamil yang dipilih menjadi pengerusi setelah ayahnya meninggal dunia.

"Kami mengurus dan menjadi pemegang amanah harta-harta yang diwakafkan oleh masyarakat Islam di Tawau, katanya.

"Kami hanya menyambung apa yang dia orang urus," ulangnya lagi.

Beliau memberitahu separuh ahli jawatankuasaya masih angkatan lama.

Antara yang menjadi ahli jawatankuasanya ialah Datuk Hanafiah Kreah, OKK Haji Salleh Salabi, NC Haji Abdul Rahman Salleh, Haji Khalid Gul Hassan, Haji Kassim Ibong, Haji Yahya Zainal, OKK Kee Ayub Kee Abu Bakar,Datuk Haji Kamil Kassim, Kee Yakub Kee Ali , Mirdin Mambin, dan Haji Mohidin Abdul Hamid.

Ketika mula ditubuhkan dahulu, Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau dipengerusikan oleh OKK Zainal Kerahu. Setiausahanya ialah OKK Ahmad Kreah. Manakala orang-orang kuatnya, antaranya Haji Karim Durahman, Ahmad Daeng Mapatta, Datuk Haji Ampong Kerahu, Haji Mohammad Tambi

"Inilah antara orang-orang yang aktif dahulu," kata Haji Kamil. Beliau mengenang betapa orang-orang dahulu mempunya komitmen yang luar biasa terhadap kepentingan masyarakat Islam.

"Komitmen orang dahulu, luar biasa.Amalan tadbir urus tahun 1950, yang penting dibuat. Bukan macam sekarang, buat poster besar, pasang banner," katanya.

Dari mana Jawatankuasa mendapat dana untuk diagihkan kepada anak-anak yatim yang begitu ramai itu?

"Duitnya berasal dari kariah masjid sendiri. Duit yang disumbangkan oleh jemaah masjid," jelas Datuk Haji Kamil, pemimpin yang pernah menjadi wakil rakyat Tanjung Batu.

Katanya, sebanyak dua tabung untuk anak yatim disediakan oleh jawatankuasa, satu di Masjid Raya dan satu lagi Masjid Bandar Tawau. Duit yang dikumpulkan setiap hari dimasukkan dalam akaun bank di Bank Islam.

Duit yang dikumpulkan inilah yang digunakan untuk diagihkan kepada anak yatim setiap bulan Ramadan, katanya.

"Jika duitnya tak mencukupi, jawatankuasa wakaf akan menambah wang untuk sumbangan untuk anak yatim itu.

"Kalau tidak cukup wang yang dikutip,barukah wakaf tolong," jelasnya.

Tetapi tahun ini jumlah yang dikumpulkan semakin bertambah. Kami sedang memikirkan untuk menambahkan jumlah sumbangan kepada RM200 seorang atau menambah jumlah penerimanya, kata Haji Kamil.

Siapa yang layak menerima sumbangan itu?

"Kriterianya ialah mempunyai cukup dokumen dan surat lahir,surat kematian ayah atau ibu.

Penerima mestilah berusia 18 tahun ke bawah. Atau kalau berusia 19 tahun, mesti ada surat yang membuktikan dia masih sekolah," katanya.

Belaiu berkata, terdapat juga permintaan supaya sumbangan juga diberikan kepada orang miskin dan tidak berkemampuan.

"Tapi permintaan itu, tidak dapat ditunaikan. Kita hanya beri sumbangan kepada anak yatim kerana niat orang menyumbang ialah kepada anak yatim," katanya.

"Itu niat mereka, jadi kita terpaksa laksanakan apa yang menjadi niat penderma atau penyumbang.

Berapa banyak masa yang diperlukan untuk menyampaikan sumbangan kepada sebegitu ramai orang?

"Kami mula menyampaikan sumbangan sejak jam 9.00 pagi hingga Waktu Asar," katanya sambil menambah, kali pertama dulu kerana belum tahu sistemnya, penyampaian diadakan sehingga waktu maghrib.

Haji Kamil memberitahu, majlis penyampaian sumbangan itu luput dari pemberitaan media kerana mereka sengaja mengelak 'takut orang salah faham' dan niat murni itu disalah erti.

"Itu sebabnya kami tidak jemput media. Tapi terpaksa juga kami umumkan kerana ramai yang tidak tahu dimana majlis penyampaian tu diadakan," katanya.

"Sengaja kami nda beritahu, nda panggil reporter, takut disalah tafsir," katanya.

Ada juga anak yatim yang memohon bantuan alat pendengaran. kita pernah bantu tetapi ia hanya bantuan one-off saja.

"Sebelum ini kita ada meletakkan tabung sumbangan Masjid di Masjid Bandar dan Masjid Raya.Kemudian kita memutuskan untuk meletakkan satu lagi tabung khas untuk anak yatim.," katanya,

"Mulanya kita risau juga sumbangan untuk masjid kurang. Tetapi tidak juga begitu.Ternyata, sumbangan yang diterima malah semakin bertambah," katanya sambil berkata, sikap keprihatinan umat Islam di daerah ini amatlah tinggi.

"Mereka suka menyumbang dan menderma asalkan duit yang didermakan itu, sampai ke sasaran yang betul dan tepat," katanya.

Alhamdulillah keraa masyarakat menaruh keyakinan kepada kita, yakin mengenai pengurusan duit mereka.

Selain memberikan sumbangan secara berterusan dan konsisten kepada anak-anak yatim yang berdaftar di daerah Tawau, Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau juga menguruskan Wisma Waqaf, yang dibangunkan diatas tanah wakaf yang diamanahkan kepada jawatankuasa itu.

Haji Kamil memberitahu, Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau juga membantu Sekolah Islamiah Tawau

"Yuran pelajar hanya boleh membiayai gaji tenaga pengajar untuk tempoh kurang lebih sepuluh bulan saja. Selebihnya terpaksa dibantu oleh Jawatankuasa Wakaf," katanya.

Kekurangan itu dibantu supaya sekolah dapat beroperasi seperti biasa.

"Kita bantu berasaskan keperluan," katanya Haji Kamil.

"Apa yang diperlukan kita bantu," tambahnya.

"Jawatankuasa wakaf itu juga menjaga tanah perkuburan Wallace (berdepan sekolah Islamiah) ,mengendalikan kereta kereta jenazah, tiga kereta satu di masjid raya, satu di masjid Tanjung batu keramat dan satu di Kinabutan

"Kita tanggung semua kos termasuk penyelenggaran dan elaun pemandu," katanya.

Selain itu,kita juga memberi elaun kepada penjaga tanah perkuburan Wallace, Tanah Perkuburan Tanjung Batu Keramat, Tawau Lama.

Apa lagi peranan lain yang dimainkan oleh Jawatankuasa Wakaf?

Jawatankuasa Harta Wakaf Tawau itu juga sering diminta untuk membantu menguruskan orang-orang yang meninggal di hospital.

"Ada yang sampai empat bulan dalam bilik mayat, tiada keluarga yang menuntut mayat itu," katanya.

"Si Mati tidak mempunyai keluarga untuk menguruskan. Pihak Hospital keluarkan surat , dan setelah mendapat pengesahan polis, jadi pengurusan mayat itu kita tanggung.

"Biasanya pengendalian sekitar RM500 hingga RM700," katanya.

Sebagai badan Islam, kita mengambil tanggungjawab untuk mengebumikan jenazah yang dikenalpasti beragama Islam.

"Tapi mesti ada surat hospital dan pihak polis bilang kamu boleh urus, maka kami uruskan," kata Haji Yahya pula.

"Kami hanya menyambung apa yang dijalankan oleh orang-orang tua kami dahulu," ulangnya.

Selain itu, Jawatankuasa Harta Wakaf juga membantu membina tambahan tiga bilik darjah di Sekolah Islamiah Tawau melibatkan kos RM210,000 .

Sekolah itu merupakan sekolah agama tertua di Sabah, dibina tahun 1970.

Katanya, pihak jawatankuasa juga terpaksa menampung kos renovasi Masjid Bandar.

Beliau berkata, pihaknya ada juga membuat permohonan kepada kerajaan untuk kos pembaikan itu, tapi "yang mana keadaannya terlampau mendesak, kita bina dulu" katanya.

Kalau ada keperluan, terus kami buat, katanya.

Menurutnya, kerajaan membantu untuk menyumbangkan permaidani untuk masjid raya, mengecat masjid dan membina tandas.

Kita memohon mana yang dapat, katanya.

"Sekarang kami hanya menggalas amanah,' kata Haji Yahya, yang menjadi jawatankuasa Harta Wakaf itu. Lagipula, untuk menjadi ahli jawatankuasa itu, bukan ada elaun dan sebagainya.

"Kami hanya meneruskan perjuangan, tanggungjawab yang telah diamanahkan kepada kami, katanya.

No comments: