Saturday, August 17, 2013

Penulis R Hamzah Dua pergi meninggalkan kita

PENULIS R HAMZAH DUA PERGI MENINGGALKAN KITA


Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

abdnaddin@yahoo.com
MENDUNG memayungi Sipitang pada petang 31 Julai itu. Perjalanan yang jauh itu, akhirnya terhenti di bawah pohonan kemboja dan syahdunya suasana.

Senja itu, seorang penulis, R Hamzah Dua, telah berpulang. Pulang ke kampung halamannya yang abadi. Beliau dipanggil kembali oleh Yang Maha Memiliki. Merentasi garis batas kehidupan.

Pemergiannya yang secara tiba-tiba itu mengejutkan ramai orang. Ramai yang merasa tidak percaya kerana beberapa waktu sebelumnya, ada diantara rakan-rakannya masih sempat berbual dengannya di ruang maya.

Selepas terbabit dalam satu kemalangan jalanraya pada pagi hari, pada sebelah malamnya, di Hospital Seremban, beliau meninggalkan kita.

"Kita kehilangan dia," kata Yang Di Pertua Badan Bahasa dan Sastera Sabah (BAHASA), Jasni Matlani. Beliau seorang yang sentiasa prihatin terhadap penulis muda. Selain menulis, arwah juga seorang pengulas cerpen. Dalam ulasannya, beliau selalu positif dan sentiasa memberi dorongan dan tidak pernah melemahkan semangat penulis baru.

"Kita akan tercari-cari," katanya. Dua hari sebelum beliau kemalangan, saya sempat berbual dengannya. Beliau mengatakan dia tidak dapat balik lagi ke Sabah dan biarlah tugas mengulas cerpen diberikan kepada yang lebih muda.

Alllahyarham R Hamzah Dua, 56, meninggalkan seorang isteri dan empat orang anak berusia 18 tahun hingga awal 30-an.
        

R Hamzah Dua lahir pada 2 Februari 1957, di Weston, Beaufort, Sabah dan mendirikan rumahtangga pada 1976.
     

Sebelum menjadi penulis, minat melukis kartun dan komik sertaAllahyarham mula menulis pada 1971 dengan peringkat awal menghasilkan sajak dan cerpen yang tersiar di pelbagai penerbitan seperti akhbardan majalah antaranya Sinar Usia, Balai Muhibbah, Mesra, Jejaka,
Hiburan, Harian Ekspres dan Sabah Times.
     

Beliau mendapat pendidikan awal dan menengah di Sabah serta berhijrah ke Semenanjung pada 1997 dan di akhir hayatnya menetap diTaman Nilai Perdana, Nilai, Negeri Sembilan.
   
Menulis pelbagai genre sastera, tersiar di pelbagai akhbardan majalah tempatan di tanah air, juga mendapat tempat di majalah hiburan di Singapura pada 1970-an dan akhbar serta radio di Brunei
Darussalam.
   
Beliau menghasilkan lebih 20 novel kanak-kanak, remaja dan dewasa, 10kumpulan cerpen perseorangan, tiga kumpulan puisi perseorangan dan sebuah kumpulan drama pentas diterbitkan pelbagai penerbitan.
   
Banyak puisi dan cerpennya turut termuat dalam pelbagai antologibersama yang diselenggarakannya sendiri dan diselenggarakan oleh rakan penulis.
   
Antara kejayaan Allahyarham adalah memenangi sayembara puisi,cerpen, skrip drama pentas dan novel kanak-kanak.
   

Ini termasuk Hadiah Sastera Sabah dalam genre cerpen pada 1988/89,1990/1991 dan 1992/1993, genre puisi pada 1994/1995 dan1998/99, selain genre esei kritikan pada 1996/97.
   

Allahyarham turut menghasilkan novel iaitu novel remaja, AnakMalaysia terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 1992 dan TragediLembah Danum (Cerdik Publications) pada  2003.

"Sabah kehilangan seorang penulis besar dia seorang yang bukan saja penulis,pelukis penulis skrip. Dia memang punya bakat besar," kata Dato' Dr Haji Janatan Kandok, Pengerusi Eksekutif Institut Penilaian Sastera Sabah (INPES)

"Saya rasa tidak ramai indvidu yang menguasai pelbagai bidang seni. Ia merupakan satu kehilangan besar dalam dunia sastera. Dia jadi pendorong kepada ramai penulis muda," kataya.

Beliau menjadi guru kepada ramai 0rang, kata Janatan. Malah beliau turut membimbing saya di peringkat awal sewaktu mula menceburkan diri dalam bidang penulisan pada awal 1988.

Ketua Satu Ikatan Penulis Sabah (IPS), Sukor Haji Usin menyifatkan allahyarham sebagai penghubung antara penulis Sabah dengan syarikat-syarikat penerbitan di Semenanjung.

"Dia bukan saja penulis biasa, dia juga mentor kepada ramai penulis. Dia bukan saja rajin tetapi gigih," katanya. Beliau mengenang satu ketika, Allahyarham menyelesaikan novelnya sambil menulis dengan tangan.

Kita kehilangan satu lagi jambatan yang menjadi penghubung antara kita dengan penerbitan di Kuala Lumpur. Dia seorang yang banyak membantu penulis.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Cawangan Sabah, Nadin Haji Salleh berkata pemergian allahyarham adalah satu kehilangan satu bintang sastera.

"Beliau seorang penulis yang banyak mencurah bakti dalam sastera Sabah," katanya. Selain itu, beliau seorang penulis yang akrab dengan DBP dan sering menghadiri program-program DBP sewaktu beliau berada di Sabah.

Selain itu beliau seorang yang prolifik, kata Nadin lagi.

Rakan rapatnya, Juri Durabi, masih terkejut dengan pemergian Allahyarham. Beliau adalah rakan rapatnya sewaktu mereka sama-sama masih membujang.

"Dia orang pertama bimbing aku dalam dunia penulisan," kata Juri. Jasanya tidak ternilai sampai sekarang.

"Arwah mempunyai cara sendiri untuk membimbing penulis. Dia baca karya kita, berikan komen dan minta kita perbaiki," katanya.

Seorang lagi penulis, Sitti Rahmah G Ibrahim teringat usaha-usaha yang dilakukan oleh alllahyarham dalam menaikkan rakan-rakannya.

"Dia berusaha menaikkan kita," kata Sitti.Banyak karyanya terbit di Semenanjung, antaranya adalah hasil usaha allahyarham.

Beliau seorang yang suka membantu. Malah beliau sanggup datang ke rumah untuk mengambil karya kita, katanya. Allahyarham selalu berusaha membimbing kita, katanya.

Allahyarham seorang penulis yang hebat. Seorang yang sentiasa komited dalam dunia sastera yang digelutinya.

Malah antara `posting' terakhir di facebook, beliau menyatakan sedang memulakan untuk menulis sebuah cerpen.

Entahkan siap, entahkan tidak, kerana hakikatnya kehidupan kita, seperti sebuah cerpen, amatlah pendek kerana ia hanyalah cerita pendek.

Selepas jenazahnya disemadikan, daun-daun kemboja berguguran di tengah senja yang bergerimis.


No comments: