Saturday, August 17, 2013

Teringat Chairil Anwar ketika di Jakarta

TERINGAT CHAIRIL ANWAR KETIKA DI JAKARTA
Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

WALAUPUN dia pernah berkata "aku mahu hidup seribu tahun lagi" tetapi Chairil Anwar sudah meninggal kira-kira 64 tahun lepas.Sebab itu, kami tidak dapat menemuinya ketika berkunjung ke Jakarta awal bulan lalu.

Chairil meninggal dunia pada usianya yang muda, 26 tahun. Walaupun tidak sempat menyelesaikan persekolahannya,kerana orang tuanya bercerai, tetapi Chairil yang sejak remaja bertekad menjadi seniman, banyak membaca karya-karya besar.

Selain menguasai bahasa asing, Inggeris, Belanda dan Jerman,Chairil juga membaca karya-karya Rainer Maria Rilke, W.H Auden, Archibald Macleish, Hendrik Marsman, J.Slaurhoff, Edgar du Perron dan banyak lagi.

Bahkan mungkin kerana poketnya yang nipis, penyair yang mengaku `binatang jalang' ini pernah mencuri buku semata-mata untuk memenuhi minat membacanya yang tinggi.

Kerana itu, beliau mampu berdebat dan berdiskusi mengenai pelbagai hal, bukan saja puisi, falsafah dan sebagainya. Beliau mampu membahas karya-karya Nietzsche, Kafka, Arendt dan banyak lagi nama yang belum pernah saya dengar.

Chairil menghasilkan 94 karya termasuk 70 puisi. Antara yang paling terkenal ialah puisi Aku. Dalam puisi itu,beliau mengaku sebagai `binatang jalang' yang terbuang dari kumpulannya.

Katanya, `biar peluru menembus kulitku, aku tetap meradang menerjang". Luka dan bisa kubawa berlari, berlari, hingga hilang pedih peri. Dan aku akan lebih tidak perduli,Aku mahu hidup seribu tahun lagi.".

Dengan tekad untuk mencari buku-buku karyanya, dan mengunjungi tempat-tempat yang pernah dilukiskan dalam puisi-puisinya, kami bertiga terbang ke Jakarta.

Tujuan semata-mata mencari buku. Kami bertiga, Haji Hussain Kasau, wartawan dan penulis veteran, Hasyuda Abadi dan saya sendiri.

Saya terbayang tempat-tempat yang dulu dikunjunginya. Saya terbayang bagaimana beliau meminjam wang kecil dari editor sastera untuk tambang bas kerana puisinya belum dimuat. Saya terbayang Chairil diusir mertuanya, dan terbayang juga bagaimana beliau berdebat dengan Asrul Sani dan Rivai Apin di sepanjang Sungai Ciliwung.

Sebenarnya, agenda utama ke Jakarta semata-mata memburu buku, salah satu yang dilakukan oleh Chairil dulu. Saya sendiri memperuntukkan sekitar tiga juta rupiah semata-mata untuk membeli buku.

Industri penerbitan buku di Jakarta, memang lebih maju. Sebelum berangkat, saya telah menyenaraikan senarai buku-buku yang perlu dicari di toko-toko buku di Jakarta. Karya-karya terbaru, antaranya Amba karya Laksmi Pamuntjak, Gandari oleh Goenawan Mohamad, buku puisi Sapardi Djoko Damono, novel-novel terjemahan, buku-buku agama, Buku perjalanan antaranya karya Agustinus Wibowo- Garis Batas dan Titik Nol yang belum dimiliki, buku-buku sejarah, buku-buku biografi, memoir dan sebagainya.

Berbekalkan hasrat itulah, kami meredah belantara kota Jakarta. Mencari buku di toko buku Gunung Agung, di Gramedia Matraman ,mencari buku lama di Pasar Senen dan kedai buku Bang Yos (Jose Rizal Manua) di Taman Ismail Marzuki, Kedai Lentera Timur di Jatipadang, Jalan Sawo Manila, Pejaten, Jakarta Selatan sambil bertemu dengan intelektual-intelektual muda di sana.

Tidak dinafikan banyak juga buku How To dan Self Help yang cepat menjadi best seller. Pokoknya, apa saja jenis buku, ada dijual di Jakarta.

Ketika berada di Gramedia Matraman, kebetulan ada jualan buku lambak. Saya terfikir, kalau Chairil masih hidup, mungkin banyak buku yang boleh dimilikinya, dan dengan itu beliau tidak perlu mencuri buku atau diusir mertuanya.

Cuma saya khuatir, beliau tidak menemui buku-buku yang selalu dicarinya. Buku-buku karya ilmuan seperti Nietzsche Kafka, Arendt dan sebagainya. Mungkin juga beliau mahu mencari Maxim Gorky atau Boris Pasternak,atau pengarang-pengarang dunia yang lain, iaitu karya-karya yang menuntut kita berfikir.

Mungkin juga beliau akan menulis mengenai kesesakan jalan raya, banjir dan sebagainya, yang menjadi masalah di Jakarta. Sebagai intelektual , pelopor Angkatan 45 dan juga pelopor puisi moden Indonesia, saya tidak membayangkan apakah masalah-masalah yang dihadapi Jakarta pada zaman Chairil sama dengan apa yang dialami Jakarta pada masa kini?

Chairil menulis banyak hal mengenai cinta dan kematian, mengenai kehidupan, kemerdekaan manusia, dan sebagainya.

Saya suka sekali membayangkan Jakarta sambil membaca sajak-sajak Chairil. Sayang sekali penyair besar ini telah mendahului kita. Meskipun beliau mahu hidup seribu tahun lagi, tetapi dia menyedai bahawa beliau akan mati muda.

"Kalau sampai waktuku/'ku mau tak seorang kan merayu/tidak juga kau," katanya.

Tak perlu sedu sedan itu. Tetapi yang membuat saya tersedu ialah apabila memikirkan sejauhmana kita mencintai sastera, budaya, sejarah dan sejauhmana generasi baru membudayakan ilmu di kalangan kita?

No comments: