Thursday, August 15, 2013

Teringat tiga ekor angsa di kampung kami

TERINGAT TIGA EKOR ANGSA DI KAMPUNG KAMI

Entah mengapa saya tiba tiba teringat tiga ekor angsa yang paling saya takuti di kampung kami.

Ketika kecil, setiap kali ternampak angsa itu,saya berlari terbirit birit ketakutan dikejar angsa milik gemulah Haji Yusuf, seorang tetua kampung, yang rumahnya tidak jauh dari rumah kami di desa yang sangat mementingkan semangat kejiranan dan kekeluargaan itu.

Angsa-angsa itu, tidak syak lagi adalah angsa pertama yang pernah saya lihat dalam hidup saya. Jika ke sekolah, saya terpaksa melintasi rumahnya yang terletak di tepi jalan. Dengan suaranya yang khas, angsa-angsa itu menyondol saya dan yang paling saya takut, kalau mulutnya itu hinggap di punggung saya.

Tetapi saya terpaksa menghadapi angsa-angsa itu jika disuruh menemui Haji Yusuf untuk menjemputnya ke rumah kami, sama ada untuk membacakan doa selamat atau mengubat jika ada di antara kami dihinggapi demam.

Selain guru mengaji, seingat saya, Haji Yusuf atau dilafalkan sebagai Kadi Yusuf )(kerana orang-orang tua kami tidak dapat menyebut huruf H), pernah menjadi imam di salah satu masjid yangterdapat kampung kami. Beliaulah juga yang menjadi tok mudim yang sempat membuat bulu kuduk saya meremang ketika saya mulai memasuki usia dewasa.

Namun angsa-angsa yang memberikan saya rasa takut ketika masih kanak-kanak itu, tetap terpeta dalam ingatan saya. Ia menjadi salah satu perenggan dalam pengalaman saya berdepan dengan ketakutan saya sendiri.

Di kampung kami,tidak ramai orang yang memiliki angsa pada masa itu. Kerana itu, angsa milik gemulah Haji Yusuf itu menjadi terkenal di seantero desa, yang waktu itu belum banyak terjamah oleh pembangunan.

Saya teringat, satu pagi di aidil fitri, ketika menemani ibu menghantar `dulang' yang menjadi tradisi turun temurun di kampung kami, yang majoriti penduduknya dari suku bangsa Iranun itu.

Sebelum takbir raya, selepas solat Subuh, ibu meredah kedinginan untuk menghantar `dulang' ke rumah jiran-jiran kami. `Dulang' itu dijunjung di atas kepalanya untuk dihantar ke rumah Inai Agaitu, Inai Daiman, Ina Itu, yang menjadi jiran kami.

Dulang itu berisi makanan berupa nasi dan lauk pauknya, wadit (wajit), kuih-kuih dan penganan. Itulah detik yang kami tunggu.Setiap pagi, sebelum matahari terbit, saya sudah duduk di muka pintu sambil menunggu makcik-makcik jiran kami menghantar dulang ke rumah kami.

Tradisi tukar menukar makanan dalam dulang itu hanya berlaku pada pagi sebelum solat sunat aidilfitri. Selain itu, masyarakat kami juga menghantar `dulang' pada petang terakhir Syaaban iaitu sebelum umat Islam menunaikan ibadah puasa keesokan harinya.

Sejak kecil lagi, kami memang terdidik untuk berpuasa. Apalagi kalau dapat menunaikan puasa selama sebulan penuh yang dalam bahasa Iranun disebut `nyaka timpus'. Tentulah sangat menggembirakan.

Salah satu kegembiraan kami, yang menjadi kanak-kanak pada pertengahan 70-an dan awal 80-an ialah menunggu kedatangan jiran yang menghantar `dulang' ke rumah kami. Itulah kegembiraan tersendiri di hari raya, di kampung kami yang masih dianggap terpencil pada masa itu.

Bagaimanapun, seiring kemajuan yang menerpa kampung kami sedikit demi sedikit, tradisi yang murni itu akhirnya sirna. Saya teringat arwah Inai Daiman, arwah Ina Itu' yang dengan setia meneruskan tradisi itu. Apabila mereka telah tiada, warisan budaya itu menghilang. Kini banyak yang telah mengalami transformasi.

Saya teringat tiga ekor angsa milik arwah Haji Yusuf itu. Ia menakutkan kami, mengejar kami dengan bunyinya yang khas menyebabkan kami berlarian tak ketentuan.

Tapi sekarang semuanya telah menghilang. Banyak unsur budaya yang telah lesap. Lenyap. Kini kita berdepan dengan budaya baru yang lebih ditentukan oleh internet,facebook, twitter, skype dan sebagainya. Teknologi yang membuat jauh menjadi dekat, dan malangnya, kadangkala membuat yang dekat menjadi jauh.

No comments: