Saturday, October 26, 2013

ADRIN,MASUK HUTAN, KELUAR HUTAN, USIR ANASIR KOMUNIS

ADRIN,MASUK HUTAN, KELUAR HUTAN, USIR ANASIR KOMUNIS

MASUK hutan keluar hutan, kadang berbulan-bulan lamanya, bukanlah satu perkara yang menghairankan bagi Adrin Haji Dullah, Ketua Penerangan Persatuan Bekas Tentera Malaysia (PBTM) Negeri Sabah.

Ketika bertugas di Kem Batu Uban, Pulau Pinang, PW II, Adrin Haji Dullah sering menjalankan operasi di hutan Perak, Kedah untuk membasmi anasir-anasir komunis di kawasan itu.

Perjuangan mempertahankan kedaulatan negara amatlah sukar dan perit untuk diceritakan., katanya yang juga Pengerusi PBTM Kota Kinabalu.

Pengalaman bertemu musuh memang mencemaskan. Pada detik-detik seperti itu, nyawa anggota tentera berada di hujung tanduk.

"Terkencing saja tidak," katanya ketika mengingati detik detik cemas ketika berada dalam hutan. Bagi Adrin, jerih payah perjuangan bekas tentera tidak wajar dilupakan begitu saja.Jasa mereka dalam memastikan keamanan dan keselamatan negara amatlah besar.

Adrin Haji Dullah dilahirkan di Kota Peladok pada 2 Ogos 1949.Mula-mula beliau menduduki bangku sekolah rendah di GPS Timbang Dayan kemudian beliau berpindah ke GPS Kota Belud hingga lulus darjah enam. Beliau sempat menduduki `bridge class' di GJSS Kota Belud selama dua tahun sebelum berhenti . Kemudian beliau diterima menjadi guru pelatih di GPS Bandau selama dua tahun sebelum memasuki perkhidmatan Askar Wataniah.

Dalam perkhidmatannya sebagai tentera selama 21 tahun, beliau pernah bertugas di Sandakan, Tawau, Lok Kawi, Batu Uban Pulau Pinang dan pernah menyertai operasi di hutan-hutan negeri Kedah dan Perak.

Selepas bersara dari perkhidmatan tentera, Adrin pernah bertugas sebagai pegawai keselamatan di Safma Kota Kinabalu. Beliau merupakan seorang aktivis NGO dan sering memperjuangkan kebajikan bekas-bekas tentera di negeri ini.

Wartawan Utusan Borneo, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN dan RUZAINI ZULKIFLI sempat menemubual beliau di salah sebuah restoran pada satu petang di Jalan Pantai .Ikuti petikan temubual bersama beliau mengenai pengalaman beliau sepanjang berkhidmat dalam tentera.

UTUSAN BORNEO: Boleh ceritakan sedikit latar belakang tuan?

ADRIN HAJI DULLAH: Saya lahir di Kampung Kota Peladok pada 2 Ogos 1949.Saya mendapat pendidikan awal di GPS Timbang Dayang sebelum berpindah ke GPS Kota Belud hingga lulus darjah enam. Dulu namanya GPS, Government Primary School, selepas itu SRK , Sekolah Rendah Kerajaan dan kemudian SK atau Sekolah Kebangsaan.

UB: Selepas itu, dimana tuan mendapatkan pendidikan menengah?

ADRIN: Selepas lulus darjah enam, saya kemudian melanjutkan pelajaran di Government Junior Secondaray School (GJSS) Kota Belud selama dua tahun. Tapi hanya sampai Bridge Class. Kelas Peralihan. Oleh kerana kemiskinan, arwah mak saya suruh berhenti. Setelah berhenti sekolah, saya dapat kerja sebagai guru pelatih. Saya mengajar di GPS Bandau selama dua tahun.Kemudian saya masuk berkhidmat sebagai askar pada tahun 1968.

UB: Bagaimana mula timbul minat menjadi askar?

ADRIN: Ketika menduduki sekolah menengah, seorang guru Bahasa Melayu, ED Miliana, Orang Papar bertanya kepada murid mengenai cita-cita masing-masing. Apabila tiba giliran saya , saya katakan cita-cita saya menjadi askar. Secara kebetulan pada masa itu, Jabatan Penerangan masuk kampung menayangkan wayang gambar. Mereka menayangkan mengenai kisah Kalabakan. Lagi semangat saya naik untuk menjadi askar.

UB: Bila tuan masuk askar?

ADRIN: Saya masuk askar pada tahun 1968.Askar Wataniah. Kemudian pada 16 Disember 1970, saya ditugaskan di Kem Langkasuka, Sandakan, di 3 Melayu diraja.Selepas latihan empat bulan, saya diberi cuti selama dua minggu. Selepas cuti, saya mula berkhidmat di 2 Renjer di Kem Lok Kawi pada tahun 1971.

Pada bulan enam, kami dihantar berkhidmat di 14 Infantri Askar Wataniah di Tawau. Dulu tempatnya dekat lapangan terbang lama. Saya berkhidmat di sana dari Tahun 1971 hingga 1973.Saya ditempatkan di mess pegawai. yang paling istimewa, selepas rekrut, saya dilantik lans koperal. Sejak tahun 1969. Tugas saya di mes pegawai ialah menyediakan segala keperluan pegawai, menyediakan sarapan mereka dan sebagainya.

Kemudian pada tahun 1974 kami dihantar bertugas di Sandakan.Selama dua tahun. Di sana, saya pernah bertugas di Kepulauan Tambisan dan Jambongan.. Dua bulan di darat, dua bulan di pulau.

UB: Tuan bertugas dimana selepas itu?

ADRIN: Pada awal tahun 1976, kami di hantar bertugas di Kem Batu Uban Pulau Pinang. Saya berkhidmat di sana dari tahun 1976 hingga 1982. Selepas itu, saya berpindah semula ke Sabah.

UB: Mungkin banyak pengalaman sewaktu di Pulau Pinang?

ADRIN: Banyak pengalaman sewaktu kami bertugas di Pulau Pinang. Sebelum kami dihantar masuk hutan, Kami dilatih selama tiga bulan untuk menyesuaikan diri. Kali pertama di hantar ke Negeri Kedah, iaitu di kawasan Karangan, iaitu satu kawasan dekat Kulim. Dalam satu pertempuran dengan pengganas komunis disana. Orang kami putus kaki, kena jerangkap samar.

UB: Masih ingatkah siapa yang kena jerangkap samar itu?

ADRIN: Orang kami yang kena jerangkap samar itu, Encik Jumati Sastro, berasal dari Kampung Mandahan Papar, kalau tak silap saya. Sebelum itu, beliau bermimpi selalu terjatuh.Balik balik jatuh. Itulah mimpinya sebelum kena ranjau. Barangkali itu sekadar satu isyarat, tanda-tanda bahawa bahaya akan terjadi.

UB: Selalunya lama dalam hutan?

ADRIN: Itulah kerja kami.Kami masuk hutan keluar hutan. Kalau tidak di Kedah, di Perak.Itulah dua tempat kami menjalankan tugas operasi.

UB: Tuan sendiri pernah jumpa pengganas komunis?

ADRIN: Kami pernah terserempak dengan Komunis. Dalam hutan, kira-kira 2 kilometer dari pengkalan kami. Masa itu jam menunjukkan kira-kira jam 11.00 malam. Ketika itu, kami sedang megambil bekalan makanan yang dihantar setiap sepuluh hari sekali.

Tiba tiba kami terdengar ketukan di pokok. Ini pastilah komunis.Biasanya kalau komunis dia guna pengetuk, menggunakan apa saja benda yang boleh dibuat untuk mengetuk pokok sebagai password atau kata laluannya.

Apabila terdengar ada orang ketuk pokok, kami sedar kami berdepan bahaya. Kita tahu itu bunyi musuh.Ketika itu kami dalam posisi menuruni bukit. Jadi kami mudah jadi sasaran tembakan mereka. Jadi kami menjauhkan diri. Kami ikut jalan lain, patah balik masuk hutan takut bertembung balik dengan mereka.

Untuk mengambil bekalan, kami selalu ambil malam. Bekalan datang tiap-tiap sepuluh hari. jadi kami mengambilnya pada waktu malam untuk mengelakkan sebarang kemungkinan diancam bahaya.

Selalunya setiap kali tiba masa menghantar bekalan itu,isteri bekas bekas tentera juga akan turut mengirim makanan kepada suami mereka. Jadi ketika itu juga kami menerima kiriman dari isteri.Kadang isteri hantar ikan masin, atau sambal bilis. Sehari sebelum itu, mereka sudah diberitahu,Tiada yang berjalan siang kerana ia mudah dilihat musuh. Dalam mempertahankan negara, kita terkencing saja tidak. Tapi kami tidak gentar menghadapi musuh.

UB: Apa pengalaman menyedihkan sewaktu bertugas?

ADRIN: Paling sedih kalau bulan puasa. Bila takbir raya, masing-masing saling pandang. Kalau buka puasa, itu juga yang menarik. Dulu orang masak pakai api lilin yang dimasukkan dalam tanah. Supaya apina tidak kelihatan kerana waktu malam Dulu bekalan kami, makanan dalam tin.

Kalau anak sakit, kami tak boleh pulang untuk menjenguk mereka, kerana negara lebih penting. Bukan senang kalau bicara pasal perjuangan.Terkencing saja tidak.

UB: Berapa lama bertugas di Batu Uban?

ADRIN: Saya bertugas di Kem Batu Uban Pulau Pinang pada tahun 1976 hingga 1982.

UB: Boleh ulas sedikit mengenai Chin Peng? Baru-baru ini ada usaha untuk membawa pulang abunya ke Malaysia.

ADRIN: Kami membantah jika abu Chin Peng dibawah ke Malaysia. Kalau kita tinjau Chin Peng, kita segera teringat berapa ramai isteri kehilangan suami, berapa ramai anak-anak kehilangan bapa, berapa ramai yang buta matanya

UB: Selepas tahun 82, tuan bertugas dimana?

ADRIN: Pada bulan Ogos 1982, saya ditempatkan di Pusat Latihan Rekrut Lok Kawi. Kemudian saya dihantar di STPM, Sekolah Tempur Pegawai Muda di Kota Belud selama dua tahun.Selepas itu saya dihantar semula ke Johor Bahru dari tahun 1984-1985. Pada tahun 1985, saya tukar semula ke Sabah iaitu Rejimen 507, Askar Wataniah.

UB: Berapa lama berkhidmat di 507 Askar Wataniah?

ADRIN: Saya bertugas di Askar Wataniah dari tahun 1985 hingga 1991. Pada 15 Disember 1991, saya bersara dari perkhidmatan tentera setelah bertugas selama 21 tahun. Jawatan terakhir saya sebelum bersara ialah Company Sergeant Mejar. Saya pernah bertugas di Beaufort, sebagai company sergeant mejar, Batalion 3, di 507 Askar Wataniah

UB: Kalau boleh tahu, berapa jumlah wang pencen yang diterima sewaktu bersara dulu?

ADRIN: Jumlah pencen kami amatlah kecil pada masa itu. Saya hanya terima RM525. sebulan. Jumlah sebegitu amatlah kecil jika dibandingkan dengan keadaan semasa.Kemudian ketika zaman pemerintahan Perdana Menteri, Tun Dr Mahahthir jumlahnya dinaikkan kepada RM1,110. Jumlah ini agak baik, walaupun ia masih kecil jika dibandingkan perkhidmatan lain.

UB: Apakah tuan sudah berkeluarga sewaktu brtugas di Semenanjung?

ADRIN: Saya sudah berkeluarga waktu itu. Ada satu pengalaman yang saya ta dapat lupakan. Masa itu, saya menjalani kursus di Johor Bahru. Kursus taktik. Tahun 1977, awal tahun. Ketika itu saya masih bertugas di Batu Uban. Saya dihantar pergi kursus. Isteri pula mengandung enam bulan. Anak saya lahir tanpa bidan. Isteri saya bersalin di rumah tanpa bantuan bidan. Lahir di rumah. Anak perempuan.

UB: Berapa anak tuan?

ADRIN: Anak saya enam orang.Tiga lahir di kampung, satu di Sandakan, seorang di Pulau Pinang seorag lagi di Beaufort. Anak saya lima lelaki satu perempuan.

U B: Apa tugas tuan selepas bersara?

ADRIN: Selepas bersara, saya pernah bertugas di Safma sebagai Pegawai Keselamatan.

UB: Bolehkah tuan bercerita sedikit mengenai sambutan Hari Pahlawan. Sejauh mana sambutan orang ramai?

ADRIN: Bila kita lihat rakyat kita di Sabah, ia kurang dapat sambutan.Mungkin disebabkan mereka tidak mengalami betapa sakitnya dijajah komunis.

Tapi peristiwa di Tandou Lahad Datu membuka mata rakyat mengenai betapa peritnya peruangan mempertahankan eaulatan negara. Kesedaran Anak-anak Sabah mulai tumbuh untuk mempertahakankan kedaulatan negara. Daripada perjuangan orang-orang dahulu, sedikit sebanyak kita dapat meningkatkan kesedaran di kalangan rakyat. Apa yang kita kesalkan,ialah anak-anak kita tidak tahu mengenai kewujudan hari pahlawan. Mereka tidak kenal orang-orang yang telah berjuang untuk kemerdekaan dan kedaulatan negara.

UB: Terima kasih banyak kerana sudi ditemubual untuk ruangan ini

ADRIN: Terima kasih banyak.

 

 

 

No comments: