Saturday, October 26, 2013

CIKGU ADNAN, PERNAH MINUM AIR HUJAN UNTUK DIDIK ANAK BANGSA



 

CIKGU ADNAN, PERNAH MINUM AIR HUJAN UNTUK DIDIK ANAK BANGSA

WALAUPUN telah bersara sejak beberapa tahun lalu,beliau tidak pernah berhenti untuk mencurahkan bakti kepada dunia pendidikan yang dicintainya. Mantan Ketua Eksekutif atau Pengetua Kolej PTPL ini merupakan guru dari kalangan bumiputera yang pertama mengetuai Kolej PTPL ketika ia mula membuka cawangannya di Sabah. Selain itu, beliau seorang yang aktif dalam kegiatan berpersatuan, sosial dan kemasyarakatan. Orangnya sederhana tetapi memiliki semangat juang yang tinggi untuk memastikan anak bangsa menikmati pendidikan yang sebaiknya.

HAJI ADNAN IBRAHIM dilahirkan pada 16 Ogos 1943 di Kampung Jawa, Pulau Labuan, Sabah (kini W.P Labuan). Beliau mendapat pendidikan awal di beberapa buah sekolah, di Sandakan, Tenom, Keningau kerana mengikuti keluarganya. Ayahnya seorang anggota polis. Selepas tamat persekolahan, beliau dilantik menjadi guru di GPS Kota Klias, kemudian berpindahke GPS Mesapol Sipitang. Pada tahun 1966, beliau ditawarkan mengikuti Latihan Guru di Maktab Perguruan Kent Tuaran selama tiga tahun sehingga tahun 1968. Selepas itu, beliau ditukar ke SRK Buit Hill, Putatan sebagai Guru Gred Khas . Pada tahun 1970-1971, Cikgu Adnan dianugerahkan biasiswa Colombo Plan untuk mengikuti Kursus Dalam Perkhidmatan dalam bidang TESL (Teaching English As A Second Language) di Wellington University, New Zealand . Sekembalinya ke Sabah, beliau ditugaskan ke Kota Belud sebagai Penyelia Bahasa Inggeris untuk membuat penyediaan pengajaran dan pembelajaran matapelajaran Bahasa Inggeris di kawasan Kota Belud.

Selepas itu, pada tahun 1982-1985, Cikgu Adnan telah melanjutkan pelajaran di Southern Illinos University, Carbondale, Amerika Syarikat hingga peringkat sarjana (MA). Sekembalinya ke tanahair, beliau diberi tugas di Bahagian Latihan dan Kurikulum (BLK), dan dilantik sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan Pendidikan di Unit Sains dan Kemasyarakatan.Beliau banyak terlibat dalam penggubalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) dan mengetuai Kakitangan Sumber iaitu guru-guru yang dilantik khas untuk mengikuti kursus pendedahan di Pusat Perkembangan Kurikulum di Kuala Lumpur.

Sepanjang kerjayanya selama 30 tahun dalam bidang pendidikan, beliau pernah berkhidmat sebagai Guru Penyelia, Penolong Pengarah. Jawatan terakhirnya di Jabatan Pendidikan sebelum bersara ialah Penolong Ketua Nazir Sekolah. Selepas itu , beliau menjadi guru dari Sabah yang pertama dilantik Ketua Eksekutif Kolej PTPL, menjadi pentadbir sebuah kolej pada tahun 1999 hingga 2010. Beliau mendirikan rumah tangga dengan Hajah Siti Fatimah Abah dan dikurniakan enam orang cahayamata.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN berpeluang menemubual beliau di salah Old Town Coffee, Jalan Gaya untuk berkongsi sekelumit pengalaman beliau ketika bertugas sebagai guru.

UB: Apa cita-cita cikgu dulu?

HJ ADNAN: Mula-mula saya bercita-cita menjadi anggota pancaragam polis. Saya minat bermain muzik. Ayah saya seorang anggota polis. Jadi saya ikut ayah saya dimana saja beliau bertugas. Di Sandakan, di Tenom, pergi Keningau. Itu sebabnya saya jadi berminat menjadi anggota pancaragam Polis.Tapi saya tidak menyesal jadi Cikgu.Anggota keluarga yang lain, ada yang jadi doktor, pegawai kastam, peguam.

UB: Dimana cikgu mula-mula bertugas dahulu?

HJ ADNAN: Saya mula-mula bertugas di Kota Klias, Beaufort. Selepas itu ditugaskan pula ke Mesapol Sipitang sebagai guru pelatih.

UB: Mungkin ada pengalaman menarik sewaktu bertugas di Kota Klias?

HJ ADNAN: Saya ingat pada masa itu masalah yang dihadapi ialah masalah air. Waktu itu mana ada paip. Masa di Kota Klias itu kami mandi dan mendapat bekalan air dari Sungai, bercampur air masin. Air minum pula diperolehi dari tadahan air hujan yang disambut menggunakan tangki air yang disediakan Jabatan Pelajaran.Walaupun bertugas di sana selama enam bulan, ia banyak meninggalkan kenangan pahit dan manis yang tidak dapat dilupakan. Waktu itu, sukar mendapat rumah guru. Jadi kami terpaksa tinggal berkongsi rumah dengan guru yang lain. Sebilik dua orang, saya dan cikgu Sitam dari Sipitang dan dua lagi guru senior iaitu Haji Abdul Salam Ahmad, Cikgu Jumadil dari Kinarut, pula tinggal sebilik seorang. Guru besar kami Cikgu Ibrahim Jirim.Sudah meninggal. Walaupun rumah tidak sebesar mana, tapi kami tiada pilihan lain, terpaksa tinggal di sana juga. Kini Kota Klias sudah berubah wajah. Kini jauh lebih selesa, ada sekolah menengah, sekolah rendah, bangunan rumah guru dan banyak lagi kemudahan infrastruktur yang lain. Kalau sekarang anak-anak datang k sekolah dengan menaiki kenderaan, tetapi dulu anak-anak sekolah terpaksa melalui jalan denai yang hanya boleh dilalui basikal.

UB: Lepas tu pindah kemana?

HJ ADNAN: Selepas tu saya berpindah ke SK Mesapol.Waktu itu namanya masih GPS Mesapol. Goverment Primary School (GPS) sebelum namanya dipindah kepada SRK dan kemudian SK Mesapol.

UB: Berapa gaji waktu itu?

HAJI ADNAN: Masa itu gaji RM105 tetapi masa itu jumlah begitu sudah lumayan. Gula satu kati harganya 25 sen. Beras satu gantang 1.45 sen.

UB: Apa beza mengajar pada masa dulu dengan masa sekarang, menurut pandangan cikgu?

HJ ADNAN: Murid dulu menghormati guru, agak berbeza dengan masa sekarang. Kelas yang saya pegang, waktu itu lulus 100 peratus peperiksaan darjah enam.

UB Selepas menjadi guru pelatih, cikgu bertugas dimana?

HJ ADNAN: Saya terus masuk maktab. Tahun 1966. Antara rakan saya waktu itu ialah Haji Hadis Haji Johari, arwah Dr Abdul Rahman Juman, dan lain-lain. Rakan-rakan kumpulan semasa di Makta Kent ialah kumpulan N66A.

UB: Sampai tahun berapa di Maktab?

HJ ADNAN: Tahun 1968, saya keluar Maktab.Kemudian saya bertugas di SRK Buit Hill, Putatan sebagai Guru Gred Khas Waktu itu, guru darjah mengajar semua subjek, semua mata pelajaran.Sekarang ada guru BM, ada guru BI, kalau dulu semua diajar oleh seorang guru.

UB: Dari Buit Hill, cikgu pindah ke mana pula?

HJ ADNAN: Saya mengikut kursus pengajaran bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Kursus TESL (Teaching English as a Second Language) di New Zealand. Itu tahun 1972 selama empat bulan. Antara rakan saya ialah Michael Majun.

UB: Dimana bertugas sekembalinya dari New Zealand?

HJ ADNAN: Sekembalinya dari luar negara, saya menjadi fasilitator kursus penyeliaan penyelia BI seramai 21 orang. Kemudian saya ditukarkan ke Kota Belud sebagai penyelia Bahasa Inggeris untuk membuat penyeliaan pengajaran dan pembelajaran mata pelajaran Bahasa Inggeris di kawasan Kota Belud, Kota Marudu, Pitas. Pada masa itu, jalan raya agak teruk, masih batu kelikir lagi. Tidak macam sekarang. Kudat dan Pitas diselia oleh Cikgu Philip Sunggak, Daerah Ranau dan Telupid diselia oleh Encik Wong Yong Fung.

Selain tugas menyelia, penyelia Bahasa Inggeris pada masa itu dipertanggungjawabkan untuk menyelesaikan masalah kekurangan guru mengajar matapelajaranbahasa Inggeris pada ketika itu. Antara penyelia Bahasa Inggeris yang terlibat pada ketika itu, selain saya sendiri ialah Mr Anthony Rigers (mendiang), Puan Hamidah Datuk Fadzil, Mrs Vera Chok, Abd Aziz Asah (Allahyarham), Michael Majon, Michael Eging, Jaibin Sindan, Patrick Kuang Mindot, Joseph Tangit, Phillip Sunggak, Victor Wen, Wong Yun Fong dan Angek Gunsam.

UB: Oh begitu ya..

HJ ADNAN: Empat orang guru daripada sekolah rendah, antaranya Cikgu Fransiska dan Cikgu Stephanie dari SK Tanjung Aru 1 turut terlibat secara langsung menggubal modul pembelajaran Bahasa Inggeris "Sabah English Language Module (SELM)".

Pengajaran dan pembelajaran SELM ini menggunakan peti radio dan kaset. Ianya diperkenalkan oleh Pengarah Pelajaran pada masa itu, Dato' Omar Hashim. SELM berjalan lancar pada ketika itu bagi menggantikan tugas guru kerana kekurangan Guru Bahasa Inggeris pada masa itu, tahun 1976-1980. Radio kaset telah meggantikan tugas guru untuk mengajar bahasa Inggeis. SELM telah dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran di sebuah sekolah di Keningau. Bagi mengesan kejayaan pelaksanaan SELM agar berjalan dengan lancar, saya telah melawat ke beberapa buah sekolah rendah seperti SRK Pulau Shanghai, Sandakan bersama Dr Noss iaitu Pegawai Bahasa Inggeris daripada usat Perkembangan Kurikulum di Kuala Lumpur, Encik Yusof Lim dan Encik Patrick Kuang Mindot.

UB: Tentu banyak pengalaman ketika melawat. Ada yang menarik?

HJ ADNAN: Satu peristiwa yang yang tidak dapat dilupakan semasa lawatan ini ialah apabila hotel tempat kami menginap di Sandakan sebelum ke Pulau Shanghai itu telah terbakar. Kami yang menginap di rumah tumpangan itu lari turun sehelai sepinggang, akan tetapi mujurlah kebakaran itu tidak besar dan tidak memudaratkan.

UB: Kalau tak silap, cikgu pernah melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Bila pula tu?

HJ ADNAN: Saya mendapat biasiswa untuk melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda di Southern Illionis University (SIU) di Carbondale Amerika Syarikat hingga ke peringkat sarjana.

UB: Siapa antara pelajar dari Sabahyang menuntut di SIU pada masa itu?

HJ ADNAN: Kalau tak silap saya, Datuk Aliasgar Haji Basri, Dr Othman Menudin, mantan Ahli Parlimen Ranau, Dr Lungkiam Dambul, Jame Alip, Pengarah Pendidikan Sabah sekarang, Awang Lakat dan lain-lain lagi.

UB: Selepas tu?

HJ ADNAN: Sepulangnya dari SIU, saya diberi tugas di Bahagian Latihan dan Kurikulum (BLK). Kini BLK diubah namanya menjadi Sektor Pengurusan Akademik. Saya dilantik sebagai Penolong Pengarah Perkhidmatan Pendidikan di Unit Sains dan Kemasyarakatan.

UB: Apa bidang tugas sepanjang bertugas di BLK?

HJ ADNAN: Saya terlibat dalam penggubalan Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM). Antara tugas saya ialah mengetuai kakitangan sumber, iaitu guru-guru yang dilantik khas, untuk mengikuti kursus pendedahan di Pusat Perkembangan Kurikulum, Kuala Lumpur untuk matapelajaran Georgrafi. Walaupun mengetuai matapelajaran geografi, saya juga secara tidak langsung bertanggungjawab dalam kemajuan dan perkembangan matapelajaran lain seperti Ekonomi, Prinsip Akaun, dan Pengajian Am.

UB: Mungkin ada perkara yang menarik dan tidak dapat dilupakan sepanjang berada di sana?

HJ.ADNAN: Selama lima tahun mengendalikan pelaksanaan KBSM di BLK daripada tingkatan 1 hingga 5, ialah peningkatan keputusan peperiksaan SPM dan STPM bagi mata pelajaran geografi dan mata pelajaran Kajian Sains dan Kemasyarakatan yang lain. Saya telah berjaya memberi peningkatan markah kepada subjek di bawah jagaan saya dengan mendatangkan pemeriksa kertas subjek berkenaan semasa cuti penggal. Saya telah mendatangkan pemeriksa kertas melalui Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan di Kuala Lumpur. Dengan mendatangkan pemeriksa kertas ke Sabah, seterusnya mengadakan seminar-seminar mengenai kertas-kertas peperiksaan, geografi, sejarah, prinsip akaun, ekonomi dan pengajian Am, meningkat dengan cemerang dari tahun ke tahun. Pada masa itu, Datuk Seri Panglima Dr Hasbollah Mohd Taha, mantan Pengarah Pendidikan Sabah bertugas di Bahagian Sekolah-sekolah Kementerian Pendidikan. Melalui kerjasama yang beliau berikan, beberapa pemeriksa kertas dan guru-guru pakar di Semenanjung dapat didatangkan ke Sabah.

UB: Selepas bersara pada tahun 1998, cikgu dilantik sebagai Ketua Eksekutif di Kolej PTPL. Boleh ceritakan sedikit?

HJ ADNAN: Selepas bersara tahun 1998, pada 1999 hingga tahun 2010, saya dilantik bertugas sebagai Ketua Eksekutif atau Pengetua Kolej PTPL Sabah. PTPL atau Pusat Teknologi Pengurusan Lanjutan. Selepas bertugas selama 30 tahun dalam pendidikan, saya rasa mahu meneruskan khidmat dalam bidang yang saya cintai ini walaupun telah bersara. Pada waktu itu, saya pergi ke Unit Pendaftaran Sekolah/Institusi Pendidikan yang diketuai oleh Encik Hussein Ahmad Bee untuk mengemukakan permohonan membuka pusat tuisyen di Putatan. Tiba-tiba saja Puan Hajah Rafidah memberi makluman bahawa sebuah kolej dari Semenanjung memerlukan seorang Ketua Eksekutif untuk diambi bekerja. Beliau telah mencadangkan nama saya kepada kolej PTPL dan pada malamnya, saya telah mendapat panggilan telefon mengenai tawaran berkenaan. Saya bekerja semula dengan hati yang terbuka. Saya adalah guru pertama bukan saja dari kalangan guru bumiputera di Sabah malah mendahului rakan-rakan lain khasnya dalam kumpulan N66A, yang dilantik sebagai orang yang pertama mengetuai sebuah kolej sebagai Ketua Eksekutif IPTS di Sabah.

Lahirnya Kolej PTPL di Sabah pada akhir 1999 itu, bukan sekadar menambah bilangan IPTS yang sedia ada pada ketika itu tetapi kemunculannya jelas membawa impak serta meperlihatkan suatu arus perubahan dalam sektor pendidikan tinggi swasta di tanah air.

Dengan pendekatan yang proaktif, kita telah berjaya melahirkan pelajar-pelajar yang bukan saja `employability' tetapi juga menjadikan mereka contoh modal insan yang berkualiti, profesional, trampil, mempunyai jati diri, iltizam dan seterusnya berkarier, menjadi pemimpin yang membawa negeri, bangsa dan negara kepada kemajuan, kecemerlangan, kegemilangan dan keterbilangan pada masa akan datang.

UB: Sejak bersara sepenuhnya dari kegiatan pendidikan, apa kegiatan Cikgu?

HJ ADNAN: Saya banyak terlibat dalam Pertubuhan Islam Seluruh Sabah (USIA), Persatuan Bulan Sabit Merah, Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Sabah, Alumni Kent dan terlibat mengetuai cawangan UMNO di Petagas dan sebagainya.

UB: Apa antara nasihat orang tua yang melekat dalam ingatan cikgu?

HJ ADNAN: Orang tua selalu memperingatkan agar kita belajar bersungguh-sungguh, jadi manusia yang berguna.

 

 

No comments: