Saturday, October 26, 2013

DR JA SAMAD HAN BERCERITA MENGENAI MELAYU CHAM DI VIETNAM



DR JA SAMAD HAN BERCERITA MENGENAI MELAYU CHAM DI VIETNAM

Masyarakat Islam Melayu Cham di Vietnam adalah golongan minoriti di negara itu yang masih mengamalkan bahasa dan budayanya. Vietnam, negara paling timur di Indochina mempunyai seramai 84 juta penduduk tetapi hanya terdapat kira-kira 200,000 orang Cham. Di Bandaraya Ho Chi Minh yang mempunyai kra-kira 10 juta penduduk, hanya terdapat kira-kira 10,000 penduduk Melayu Cham yang beragama Islam.

Dalam kunjungan singkat ke Bandaraya Ho Chi Minh, Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang untuk menembual seorang tokoh Melayu Cham iaitu Dr Phu Van Han atau nama melayunya Dr Ja Samad Han.

Dr Phu Van Han atau Dr. Ja Samad Han, kelahiran Ninh Thuan, Vietnam adalah tokoh bahasa dan kebudayaan Melayu Cham. Beliau mendapat pendidikan Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah di Universiti Ho Chi Minh, salah sebuah universiti di Bandaraya Ho Chi Minh. Kini beliau bertugas sebagai pensyarah di Vien Han Lam Khoa Hoc Xa Hoi Viet Nam SISS, di Bandaraya Ho Chi Minh. Beliau pernah mengikuti latihan di Universiti Malaya pada tahun 1993 hingga 1995.

Ikuti temubual mengenai masyarakat Melayu Cham di Vietnam yang diadakan di salah sebuah hotel sederhana di Jalan Nguyen An Ninh, Ben Thanh Ward, Daerah 1, HCMC pada satu petang menjelang maghrib sekembalinya dari Hanoi, yang terletak kira-kira 2,000 kilometer dari Ho Chi Minh City.

UTUSAN BORNEO: Apa khabar Dr? Terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk sesi temubual ini.

Dr: Khabar baik. Terima kasih juga saya ucapkan kerana sudi menghubungi saya.

UB: Sekarang musim hujan ya?

Dr: Sekarang musim hujan. Kamu datang pada ketika Vietnam mengalami musim hujan.

UB: Oh ya. Penduduk bandaraya Ho Chi Minh padat sekali ya. Kira-kira berapa jumlah penduduk di Ho Chi Minh?

Dr Ja Samad Han: Penduduk Bandaraya Ho Chi Minh kira-kira 10 juta orang. Lapan juta orang menetap di bandaraya ini manakala dua juta orang lagi berulang alik untuk bekerja di bandaraya ini.

UB: Berapa ramai penduduk yang beragama Islam?

DR: Daripada 10 juta penduduk Ho Chi Minh, penduduk Melayu Cham hanya kira-kira 10,000 orang yang tersebar di beberapa kawasan atau disebut ward. Setiap kawasan kediaman orang Islam mempunyai satu masjid. Terdapat sebanyak 14 masjid di Ho Chi Minh City atau HCMC.

UB: Berapa jumlah orang Cham di seluruh Vietnam?

DR: Terdapat hanya 200,000 orang Cham di Vietnam. 150,000 daripadanya beragama Islam manakala selebihnya lain agama.

UB: Boleh sebutkan nama-nama perkampungan Islam di Vietnam?

Dr: Antaranya Ninh Thuan. Ini kampung asal saya. Tempat lain ialah Binh Tuan, kira-kira 200 kilometer dari HCMC. Dong Nai, terletak kira-kira 100 kolimeter dari HCMC. Tay Ninh, terletak kira-kira 100 kilometer dari HCMC. An Giang, terletak kira-kira 250 kilometer dari HCMC. Di An Giang terdapat kira-kira 20,000 penduduk Muslim. Di Ho Chi Minh City terdapat kira-kira 10,000 penduduk Muslim.

UB: Apa pekerjaan utama orang-orang Melayu Cham?

DR: Kebanyakannya menjadi petani. Mereka mengusahakan tanaman padi seperti di Binh Thuan, di Tay Ninh. Di An Giang, yang terletak berdekatan dengan sempadan dengan negara Kemboja, kebanyakan mereka berniaga di pasar Chau Doc. An Giang terletak berdekatan dengan sungai.Melalui sungai itu mereka boleh terus masuk ke Phnom Penh di Kampuchea. Mereka membeli belah di sana, cari barang-barang, kemudian jual di Chau Doc atau ramai juga yang berperahu terus mudik ke Ho Chi Minh. Kalau pergi ke Ho Chi Minh City yang dulunya dipanggil Saigon, mereka juga menggunakan Sungai Mekong.

Ramai di kalangan orang di An Giang yang berniaga. Tetapi di kalangan orang Cham, lebih ramai yang hidup sebagai petani.

UB: Bagaimana taraf kehidupan mereka?

DR: Mereka hidup sederhana.Masih ramai juga yang hidup miskin.Pendapatan kira-kira dua atau tiga juta dong dalam sebulan. (1,000,000 dong =RM170). Jika di kampung kampung Melayu Cham, kebanyakan lelaki menyara kehidupan keluarga sebagai petani, ramai juga yang cari ikan, jadi nelayan. Kaum perempuan pula menenun kain, buka kedai, kedai kain dan sebagainya.

Di Ho Chi Minh sejak dua tiga tahun lepas, ada di kalangan orang Cham yang menceburkan diri dalam perniagaan kain, menjual baju kurung, telekung dan sebagainya. Ada juga yang membuka kedai makanan halal berikutan kedatangan pelancong yang ramai dari Malaysia, Singapura,Brunei.

UB: Bagaimana pula mengenai tahap pendidikan d kalangan Melayu Cham?

Dr: Semakin ramai yang lulus pengajian tinggi, walaupun jumlahnya masih kecil. Setakat ini seramai 100 orang tamat universiti dari universiti di Vietnam, di Malaysia, Indonesia dan sebagainya. Ada juga yang belajar di UIA di Malaysia, ada yang belajar di Yayasan Al Bukhary di Kedah, lebih 20 orang pelajar Cham sedang belajar di Indonesia.

UB: Berapa ramai yang menamatkan pengajian sehingga peringkat doktor falsafah?

DRr: Jumlah Melayu Cham yang tamat Phd masih kurang. Setakat ini hanya saya seorang saja yang mendapat PhD di Ho Chi Minh. Saya ambil jurusan bahasa dan kebudayaan. (Seorang lagi yang baru menamatkan pengajian PhD ialah Basiron Abdullah, lulusan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dalam pengajian bahasa Arab).

UB: Dr belajar di universiti di Vietnam?

Dr: Ya, saya menamatkan pengajian dalam bidang bahasa dan kebudayaan di Ho Chi Minh Universiti di peringkat Sarjana Muda (BA), Sarjana (MA) dan PhD.

UB: Pernah ke Malaysia?

Dr: Saya pernah buat latihan di Universiti Malaya pada tahun 1993 hingga 1995, ada projek kajian di sana.

UB: Tentu ramai kenalan di sana?

Dr: Ramai juga yang saya kenal di Malaysia, antaranya Prof Dr Danny Wong, Mhamad Zuzairi dari UKM dan ramai lagi sewaktu saya mengikuti latihan d sana.

UB: Menurut pandangan Dr, bagaimana bermulanya hubungan Cham dengan dunia Melayu?

Dr: Saya fikir pada zaman dahulu, nenek moyang kita.Kita satu kumpulan. Asal usul kita sama .Tapi satu kumpulan pergi ke tempat yang tinggi, untuk mengerjakan ladang, sehingga ke Vietnam. Inilah yang sekarang dikenali sebagai orang Cham. Satu kumpulan kekal di nusantara. Ini berlaku diperkirakan pada abad ke dua. Waktu itu sudah ada catatan mengenai orang Cham dalam sejarah. Kemudian kita tahu, pada kegemilangan kesultanan Melaka pada abad ke-15, hubungan antara Semenanjung Tanah Melayu dengan orang Melayu Cham amat kuat, sehinggalah abad ke 17. Hubungan dalam pengajian Islam. Ramai orang Cham belajar ke negeri negeri melayu. Hubungan antara kerajaan Melayu dan kerajaan Cham berlaku juga dalam institusi perkahwinan. Ada juga raja Melayu kahwin puteri Cham, begitu sebaliknya.

Orang Melayu pada zaman itu membantu orang Cham mempelajari Islam. Juga mempelajari tulisan Jawi. Ini berlaku terutamanya pada abad ke 15 hingga ke 17. Hubungan itu berlangsung hingga sekarang. Orang Melayu banyak membantu membaiki surau dan masjid. Pada zaman dulu pun, Orang Cham banyak terlibat dalam usaha dakwah Islam di Melaka pada ke 15.

Sebenarnya kedatangan Islam ke Champa lebih awal lagi iaitu pada abad ke 9 dimana batu sebuah batu bersurat bertulisan jawi di temui di phan rang, di vietnam tengah. Ini bermakna kedatangan agama Islam lebih dulu sampai di Vietnam.

UB: Dari segi bahasa, kita dapati banyak perkataan orang Cham sama dengan Melayu. Apa komen dr?

DR: Seperti yang saya katakan tadi, bahasa Melayu dan bahasa Cham digolongkan dalam kumpulan Malayo-Polynesia. Itu sebabnya bahasanya amat dekat. Kalau satu dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Cham, menyebutnya sa, dua dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Cham juga disebut dua, kalau tiga dalam bahasa Cham disebut lau, empat dalam bahasa Cham disebut pat, lima-lima, enam-enam, tujuh-tujuh, lapan-lapan, kalau sembilan dalam bahasa cham disebut sapan, kalau sepuluh, sepuluh juga. Banyak lagi. Kalau hujan dalam bahasa Melayu, dalam bahasa Cham disebut jan, ikan dalam bahasa cahm disebut kan. Banyak lagi perkataan yang sama.

UB: Sekarang masih ramai lagi yang boleh menulis jawi dalam bahasa Cham?

DR: Kadang-kadangdi Masjid atau surau, masih ada ustaz atau cikgu yang mengajar mereka tulisan jawi dalam bahasa Cham Melayu. Tulis alif ba ta ca, sama juga juga cuma ada huruf jawi yang tidak terdapat dalam bahasa Arab ada dalam bahasa Melayu Cham seperti huruf nya dan sebagainya. Di Ho Chi Minh, masih terdapat kelas-kelas agama yang mengajar murid belajar tulisan jawi, sekaligus mempelajari Al-Quran. Terdapat sebanyak 14 buah masjid di Ho Chi Minh dan kebanyakan anak-anak Melayu Cham mempelajari agama Islam di Masjid. Orang Melayu Cham di Vietnam masih mengekalkan tulisan jawi dalam bahasa Cham.

UB: Menarik sekali. Juga banyak persamaan lain?

Dr: Memang banyak persamaan kerana Melayu Cham, seperti yang saya katakan tadi tergolong dalam kelompok Malayo Polynesia. Cara memakai baju sama, cara memakai tudung sama, makanan juga sama, alay myzik juga sama, muzik seperti gendang, serulaing dan banyak lagi persamaan. pada asalnya kita memang satu nenek moyang. Itu sebabnya, ramai pelajar Melayu Cham yang suka pergi ke Malaysia dan belajar di sana kerana hubungan yang erat dari bahasa,budaya dan agama.

UB: Terima kasih banyak kerana sudi meluangkan masa. Jauhkah rumah dr dari sini?

Dr: Terima kasih.Rumah saya terletak kira kira satu setengah jam perjalanan.Bukan jauh tapi kereta tak boleh bawa laju.

 

No comments: