Saturday, October 26, 2013

ESSCOM PASTIKAN KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DI PANTAI TIMUR SABAH

ESSCOM PASTIKAN KESELAMATAN DAN KESEJAHTERAAN RAKYAT DI PANTAI TIMUR SABAH

SEJAK ditubuhkan pada 1 April 2013, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) telah beroperasi untuk memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat di kawasan pantai Timur Sabah. Bagaimanapun masih ramai yang kurang tahu mengenai peranan Esscom sebagai agen penguatkuasa dan pelaksanaan pelbagai program keselamatan Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSZONE). ESSZONE meliputi kawasan sepanjang 1733.7 kilometer dan keluasannya sekitar 100,000 km persegi termasuk 486 buah pulau, antaranya pulau yang menjadi destinasi pelancongan menarik di dunia. Pentadbiran Esscom diketuai oleh seorang anak tempatan Sabah, Datuk Haji Mohammad Mentek yang dilantik sebagai Ketua Pengarah ESSCOM sejak April lepas.

Datuk Haji Mohammad Mentek dilahirkan di Semporna pada 20 April 1964. Anak ketiga dari enam adik beradik ini mendapat pendidikan awal di SRK Pekan Semporna (1971-1976) sebelum melanjutkan pendidikan menengah di SM Sains Pulau Pinang (1977-1981). Selepas itu, beliau mendapat biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pengajian di University of Minniesota, Amerika Syarikat sehingga memperolehi Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Matematik (Bsc Mathematics) (1983-1987) kemudian melanjutkan pelajaran di peringkat sarjana di universiti yang sama dan berjaya memperolehi Ijazah Sarjana Sains dalam Statistik (1987-1989).

Sekembalinya ke tanahair, beliau sempat menjadi pensyarah sambilan di Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang) pada tahun 1990. Selepas itu, beliau menjadi guru sandaran di Sekolah Vokasional Lahad Datu pada tahun 1991 dan kemudian bertugas selama empat bulan sebagai Ahli Kaji Cuaca.

Pada Disember 1992, beliau memasuki Perkhidmatan Tadbir dan Diplomatik (PTD) dan kemudian ditugaskan di Kementerian Tenaga, Telekom dan Pos di Cawangan Perjawatan, Perkhidmatan dan Latihan sehingga Jun 1998. Beliau menjadi orang Sabah pertama dilantik sebagai Penolong Pegawai Kewangan Negeri Perak di pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Perak dari 1998-2001.

Selepas itu, beliau dilantik sebagai Pengarah Imigresen Labuan selama tiga bulan sebelum dilantik sebagai Pengarah Kampus Intan Sabah yang pertama dari 2001 hingga Oktober 2010. Beliau kemudian dilantik sebagai Pengarah Imigresen Sabah l orang Sabah pertama dilantik ke jawatan itu dari Oktober 2010 hingga April 2013. Kini beliau diamanahkan sebagai Ketua Pengarah Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) sejak April tahun ini.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HAJI SHAIDDIN berpeluang mewawancara beliau pada satu petang di salah sebuah hotel terkemuka di ibu negeri. Ikuti petikan temuramah dengan beliau mengenai Esscom, sejarah penubuhannya, peranan dan fungsinya, visi dan misinya serta teras strategik dan program-program yang telah dilaksanakan selain perancangan jangka pendek dan jangka panjang Esscom.

UTUSAN BORNEO: Pertama sekali, kami ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk kerana dilantik sebagai Ketua Pengarah Esscom yang pertama. Boleh jelaskan sedikit mengenai latar belakang penubuhan Esscom?

DATUK MOHAMMAD MENTEK: Sebagaimana yang kita sedia maklum, Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah atau Esscom ditubuhkan sebaik sahaja berlakunya peristiwa pencerobohan pengganas di Tandou Lahad Datu pada bulan Februari lepas.

Yang Amat Berhormat Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak memandang serius kejadian pencerobohan itu. Semasa lawatannya ke Lahad Datu pada 7 Mac 2013, beliau telah mengumumkan serta merta pewujudan Eastern Sabah Safety Zone (Esszone) atau Zon Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah.

Penubuhan Esszone meliputi 10 daerah iaitu Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Kinabatangan, Sandakan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau.

Kemudian pada 1 April, Esscom atau Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah ditubuhkan bagi menyelaras penguatkuasaan dan pelaksanaan pelbagai program keselamatan di kawasan Esszone.

Perdana Menteri telah melancarkan Ibu Pejabat Esscom di Lahad Datu yang terletak di Ibu Pejabat Polis Marin Lahad Datu pada 13 April 2013.

UB: Sepuluh daerah dari Kudat ke Tawau, tentu kawasannya luas. Berapa keluasannya Datuk?

DMM: Esszone meliputi kawasan sepanjang 1733.7 kilometer dan keluasannya sekitar 100,000 km persegi. Ia meliputi sebanyak 486 buah pulau, yang bernama dan yang tidak bernama, yang berpenghuni dan tidak berpenghuni, yang besar dan yang kecil. Antara pulau yang terdapat dalam kawasan Esszone dan menjadi tarikan pelancong ialah Pulau Sipadan, Mabul,Mataking,Langkayan, Selingan. Di kawasan Esszone juga terdapat tempat menarik yang lain iaitu Lembah Danum, Sepilok, Tabin dan sebagainya.

UB: Apa fungsi dan peranan Esscom Datuk?

DMM: Fungsi Esscom yang ditubuhkan mengikut Peraturan Peraturan Pemeliharaan Keselamatan Awam 2013, antaranya ialah untuk pertama; Memastikan dan mempertingkatkan keselamatan dan kesejahteraan rakyat , kedua; Memastikan kesejahteraan hidup, kesihatan awam dan kewujudan bersama , ketiga; Memastikan, memelihara dan memudahkan di dalam Kawasan Timur penjalanan secara bebas dan keempat;Tindakan yang sewajarnya untuk menempatkan semula orang atau kumpulan orang.

Esscom dipengerusikan oleh Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sabah, Datuk Musa Haji Aman sendiri. Selain daripada itu Jawatankuasa Pemantau yang memastikan pelaksanaan semua dasar dan program yang dilaksanakan dipengerusikan sendiri oleh YAB Perdana Menteri manakala Majlis Keselamatan Negara (MKN) bertindak sebagai sekretariatnya.

UB: Boleh jelaskan sedikit mengenai struktur Esscom? Setakat ini berapa kakitangannya?

DMM: Buat permulaan, Esscom hanya mempunyai sebanyak 48 jawatan di pelbagai peringkat. Terdapat lima bahagian di bawah Esscom iaitu Bahagian Pertahanan diketuai Pegawai Kanan Angkatan Tentera Malaysia berpangkat Mejar Jenderal, Bahagian Keselamatan Ketenteramam awam yang diketuai Pegawai Kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat DCP, Bahagian Risikan dan Keselamatan di ketua Pegawai Kanan PDRM berpangkat DCP, Bahagian Perisikan Pertahanan diketuai seorang pegawai kanan ATM berpangkat Mejar Jenderal dan Bahagian Khidmat Pengurusan dan Awam diketuai seorang pegawai PTD.

Sebelum itu, Esscom ditubuhkan atas tiga komponen utama iaitu Komponen Awam, Komponen ATM dan komponen PDRM. Tiga komponen ini merupakan asas pembentukan struktur organisasi Esscom. Selain itu, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) juga salah satu komponen dalam struktur Esscom.

Kita mendapat kerjasama pasukan Marin Polis dalam menyediakan kemudahan logistik walaupun ianya bersifat sementara tetapi ia tidak menghalang tugasan kita.

Ketika ini kita menggunakan kabin sebagai pejabat tetapi kita telah kenalpasti bangunan pejabat dan insya Allah selewat-lewatnya awal tahun depan, kita akan berpindah.

Pewujudan Esscom adalah selaras dengan aspirasi beliau yang mahukan Esscom diwujudkan dengan segera dan beroperasi dengan segera.

Sebenarnya,Konsep awal penubuhan Esscom ialah yang pertama sebagai think-tank, yang kedua sebagai kordinator atau penyelaras, yang ketiga advisory atau penasihat.

Itu sebabnya kita lantik pegawai kanan untuk merajui Esscom. Ini penting agar dengan gabungan pemikiran dan pengalaman dan kerjasama ini kita dapat mengenal pasti kelemahan strategi pertahanan dan keselamatan untuk kita mengorak langkah , dan kemudian muncul dengan pelan strategi untuk meningkatkan keselamatan dan pertahanan di kawasan Esscom itu sendiri.

UB: Sebelum kita pergi lebih jauh, boleh datuk jelaskan mengenai halatuju, visi dan misi Esscom?

DMM: Visi kita ialah menjadi Peneraju kepada keselamatan demi kesejahteraan rakyat di Kawasan Timur Sabah menjelang 2017 .

Sementara misi kita ialah Mengekal dan meningkatkan keselamatan Kawasan Timur Sabah dari sebarang ancaman melalui kerjasama strategik antara agensi kerajaan bagi memacu pembangunan dan kesejahteraan rakyat.

UB: Apakah strategi yang dilakukan untuk mencapai hala tuju yang telah ditetapkan?

DMM: Tidak sampai dua minggu, selepas ditubuhkan, Esscom memperkenalkan beberapa teras strategi untuk merealisasikan wawasan murni kerajaan. Ini termasuk mengukuhkan kawasan keselamatan secara bersepadu, meningkatkan keupayaan risikan dan perkongsian maklumat, merancang dan menyelaras penempatan semula serta memupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat di kawasan Pantai Timur.

UB: Boleh datuk huraikan sedikit mengenai lima teras strategi bagi mencapai hala tuju Esscom?

DMM:Kita menetapkan lima teras strategi untuk mencapai hala tuju.

Pertama; memperkukuh kawalan keselamatan di kawasan Timur Sabah secara bersepadu, bagi mengwujudkan persekitaran yang selamat.

Teras kedua, mempertingkatkan keupayaan perisikan dan perkongsian maklumat bagi memantapkan kesiapsiagaan pertahanan negara.

Teras strategi yang ketiga; merancang dan menyelaras penempatan semula, dan keperluan pemeliharaan keselamatan awam dan meningkatkan kesejahteraan hidup.

Teras Strategi yang Keempat; kmemupuk semangat patriotisme di kalangan masyarakat di Pantai Timur Sabah bagi mengukuhkan ketahanan nasional manakala Teras Strategi yang kelima Menyelaras Program pembangunan sosioekonomi di kawasan pantai Timur Sabah.

UB: Bagaimana caranya untuk mencapai hasrat ini?

DMM: Dalam usaha mencapai hasrat ini, Esscom mewujudkan kerjasama strategik antara pelbagai agensi pertahanan dan keselamatan termasuklah mewujudkan operasi keselamatan dan pertahanan bersepadu melibatkan tentera laut, polis marin, PDRM dan APMM.

UB: Apa antara program yang dilaksana untuk mewujudkan persekitaran yang selamat sepertimana yang digariskan dalam teras pertama?

DMM: Antara program yang kita laksanakan ialah Latihan Bersama pertahanan dan keselamatan, menyelaras kawalan Sempadan , kita menyusun semula Pos Kawalan Keselamatan dan sentiasa buat rondaan. Terdapat 78 pos kawalan kselamatan di laut dan darat, Pos kawalan ATM Dan PGA . Rondaan sentiasa dibuat, Bagaimanapun, memang kawasan yang kita liputi agak luas manakala jumlah anggota terbatas. Peristiwa pencerobohan di Lahad Datu itu menjadi satu `wake up call" supaya kita dapat meningkatkan lagi aspek keselamatan dan pertahanan di Pantai Timur Sabah.

UB: Apa cabaran yang dihadapi Esscom?

DMM: Kawasan yang diliputi Esscom melibatkan kawasan perairan yang luas dan kawasan pesisir yang panjang. Selain itu banyak kawasan berpaya yang dijadikan pintu masuk oleh penceroboh. Itu menjadi cabaran kita. Selain itu, kawasan sempadan antarabangsa yang terletak berhampiran dengan kita. Misalnya Zon Tanjung Labian terletak kira-kira setengah jam atau 40 minit dari sempadan.

Selain itu, ia juga melibatkan aspek sejarah.Migrasi penduduk Filipina dan Indonesia sudah berlaku sejak lama. Mereka sudah tinggal lama di negeri ini, dan jadi warga negara. Di antara mereka, ada yang masih mempunyai ahli-ahli keluarga di negara asal, dan diantara mereka saling dikunjungi sanak saudara.

Selain itu, wujud juga kegiatan barter trade di kalangan mereka.Jadi mereka sudah biasa dengan perairan kita. Ini menyukarkan kita.

Di kawasan Sandakan saja, kita mengesan sebanyak 32 lorong tikus. Ini antara cabaran kita.

UB: Apa program yang telah dilaksanakan?

DMM: Antara program yang telah dilaksanakan di bawah Teras Strategi 1 ialah Penyerahan Ops Daulat pada 29 Jun 2013, digantikan dengan Ops Sanggah yang dikendalikan sepenuhnya Esscom.

Kita kini mempunyai dua batalion infanteri (tentera) yang diletakkan di bawah pengawasan Esscom berpangkalan di kawasan Felda Sahabat Lahad Datu.

PM juga telah mengumumkan pewujudan lima batalion yang ditempatkan di kawasan Esszone sekaligus menunjukkan kesungguhan kerajaan untuk menunaikan janji menjaga keselamatan dan kedaulatan negara.
Antara aktiviti yang diadakan ialah Bengkel Peraturan Tetap Operasi Komunikasi ESSCOM (16-18 Julai 2013),Mesyuarat Mesyuarat Designated Routes (23 Mei 2013) dan Mesyuarat Barter Trade (23 Mei 2013) .Kita juga telah mengadakan Pertemuan/Engagement, mengadakan Taklimat ESSCOM sempena Majlis Perjumpaan Penjawat Awam Negeri Sabah di Kota Kinabalu dan mengadakan Dialog barter trade bersama pengusaha barter trade sabah dan agensi terbabit (23 Mei 2013).
Selain itu, kita mengadakan Khidmat Nasihat,Taklimat Keselamatan Sempena PRU 13 di Ibu Pejabat Polis Daerah Kinabatangan, Beluran dan Sandakan , Penempatan 2 Pegawai ESSCOM sebagai pemantau dan penasihat keselamatan di Daerah ESSCOM sempena PRU KE13 dan Penyelarasan Keselamatan Majlis Pelancaran Regata Lepa-Lepa serta Taklimat kepada Pengusaha bot dan Industri Pelancongan


UB: Apa program dalam perancangan Esscom di bawah Teras Strategi 1?

DMM: Esscom telah membentuk Jawatankuasa di bawah ESSCOM , iaitu 1. Jawatankuasa Induk ESSCOM 2. Jawatankuasa Keselamatan dan Pertahanan ESSCOM 3. Jawatankuasa GSPS ESSCOM 4. Jawatankuasa Penempatan Semula ESSCOM 5. Jawatankuasa Pembangunan Sosioekonomi ESSCOM 6. Jawatankuasa Perisikan ESSCOM .

Kita juga akan mengadakan pertemuan dan taklimat kepada Ketua Kampung dan Pemimpin Masyarakat di Daerah ESSCOM .

UB: Boleh datuk jelaskan sedikit Teras Strategi 2 iaitu Mempertingkatkan Keupayaan Risikan dan Perkongsian Maklumat untuk Memantapkan Kesiapsagaan Pertahanan Negara?

DMM: Strategi yang kita lakukan ialah mengadakan kerjasama Strategik Bersama Antara Agensi Perisikan, membangunkan Sumber Maklumat Risikan dan Mewujudkan Mekanisme Perkongsian Maklumat yang Bersepadu

Antara program ialah Mesyuarat Jawatankuasa Perisikan ESSCOM, mengadakan Hubungan Kerja Dengan Agensi Asing dan Perang Saraf/Gerak Saraf serta Membangunkan Fusion Centre .Kita mengharapkan hubungan lebih erat dengan agensi perisikan /keselamatan dalam dan luar negara manakala Perisikan diperolehi dengan cepat dan tepat.

Antara program yang telah dilaksana di bawa Teras Strategi 2 ialah Taklimat Keselamatan di Kawasan ESSZONE , pertemuan dengan Dewan Perniagaan Cina Lahad Datu pada 6 Julai 2013, dan Pertemuan dan jalinan kerjasama dengan Pegawai Polis Filipina .

UB Bagaimana pula mengenai teras strategi 3 iaitu Merancang Dan Menyelaras Penempatan Semula Selaras Dengan Keperluan Pemeliharaan Keselamatan Awam Bagi Meningkatkan Kesejahteraan Hidup ? Apa strategi yang dilakukan?

DMM: Bagi melaksanakan Penempatan Semula Perumahan Kampung Air, kita, antara yang kita lakukan ialah mengadakan mesyuarat denga agensi-agensi berkenaan, membuat kajian semla penduduk, mendapatkan data dan maklumat bagi Esszone, mengadakan enggagement dengan penduduk terlibat.

Terdapat 131 perkampungan di atas air, 21,000 buah rumah dengan 106,000 penduduk.

Kita berharap dengan adanya penempatan semula, kita dapat mengadakan kawalan keselamatan yang lebih efektif, dapat menurunkan kadar jenayah, mengurangkan kadar penyeludupan barang, dadah dan manusia serta mengurangkan masalah serta kesan terhadap alam sekitar.

Sehubungan itu, kita mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Menangani Isu Penempatan Semula Kampung Air pada 28 Mei 2013, Mesyuarat status pembinaan dan pembaikan rumah penduduk akibat pencerobohan pada 14 Jun 2013, menaiktaraf penempatan sementara (Program Bantuan ke Masjid di Tanjung Batu dan Menyelaras Bantuan Khemah.

Program dan aktiviti yang telah dilaksana ialah pilot Projek Penempatan Semula iaitu Kampung Simunul-Semporna. Bancian telah dilaksanakan pada 30 Julai hingga 1 Ogos 2013. Kemudian pada 27 Ogos, Kerajaan telah memutuskan untuk memindahkan Simunul dalam Mesyuarat MKN yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri dan sesi penerangan telah diadakan pada 12 September 2013.

Kita juga melaksanakan bancian di Kampung BDC-Sandakan manakala kita sedang membuat persediaan dan perancangan bancian di Kampung Puyut Lahad Datu.
Di bawah Teras 4, antara strategi yang kita laksana ialah Mencintai Kebudayaan dan Kesenian ,Memupuk Semangat "Sayangi Sabah" , program Al-Falah dan mengukuhkan Kejiranan .


Melalui program itu kita berharap dapat meningkatkan semangat Patriotism yang tinggi ,Meningkatkan daya ketahanan dan Meningkatkan semangat kekitaan .

Selain itu juga, kita mengadakan pertemuan dengan Ketua Kampung dan pemimpin masyarakat di Tanjung Labian pada 10 Jun 2013, mengadakan program Al Falah dan perjumpaan dengan ketua kampung dan pemimpin masyarakat Lahad Datu pada 3 September.

Program Sambutan Aidilfitri , selain itu, antara program yang diadakan ialah Program Korban, di Kudat, Beluran,Kota Marudu dan Lahad Datu , Program Pertemuan dengan belia dan seminar Kepimpinan Ketua Kampung dan Pemimpin Masyarat serta program Pertemuan dengan Persatuan Masyarakat Suluk

Sementara itu, bagi Teras 5 iaitu Menyelaras Program Pembangunan Sosio Ekonomi Sebagai Pemangkin Kepada Keselamatan Kawasan Timur Sabah, antara yang kita lakukan untuk meningkatkan keupayaan Sosio-ekonomi ialah program Ekonomi Masyarakat Bimbingan Usahawan , Kaunter Penerangan Agensi Berkanun & Swasta dan Projek Akuakultur & Agrikultur serta Bimbingan Industri Kecil & Sederhana .

UB: Bagaimana pula mengenai peluang anak-anak tempatan dalam Esscom?

DMM: Sebagaimana yang saya katakan tadi, Esscom mempunyai 48 jawatan di pelbagai peringkat. Jumlah ini tentulah tidak mencukupi. Esscom telah mengemukakan permohonan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mewujudkan sebnyak 510 jawatan pelbagai peringkat termasuk anggota polis dan tentera untuk ditempatkan d kawasan zon keselamatan itu.

Tambahan jawatan itu enting bagi meningkatkan keberkesanan operasi Esscom bagi memastikan keselamatan rakyat Sabah sentasa terjamin.
Kita juga akan beri keutamaan kepada rakyat tempatan negeri ini untuk mengisi kekosongan jawatan termasuk kenaikan pangkat anggota poli sdan tentera yang akan berhidmat dengan Esscom. Insya Allah, jika semua berjalan lancar, kita jangka dapat kelulusan JPA seawal bulan depan.


UB: Difahamkan Datuk telah melawat pos-pos kawalan di kawasan Esscom.Apa yang datuk perhatikan sepanjang lawatan ke pos kawalan itu?

DMM:Saya juga telah melawat ke pos pos kawalan keselamatan di pulau-pulau Pantai Pimur bagi meninjau kawalan keselamatan dan mendapatkan maklumbalas bagi memantapkan lagi sistem pertahanan dan keselamatan kita.

DMM: Saya perhatikan, kita memang perlu meningkatkan lagi aset keselamatan dan pertahanan kitaAset bukan murah.Kebanyakan aset pertahanan hanya terdapat di luar negara, melibatkan kos yang tinggi. Esscom akan membuka pos kawalan di darat dan pulau yang sudah pasti perlu dilengkapi dengan aset keselamatan dan pertahanan. Mereka yang bertugas di pulau perlu diberikan aset keselamatan seperti bot yang sesuai untuk mereka gunakan di kawasan perairan. Sekiranya ada pencerobohan, mereka berupaya membuat pintasan. Selain itu, anggota hendaklah dibekalkan `night vision' supaya mereka dapat mengesan pergerakan di laut pada waktu malam, ini semua perlu dipertingkatkan. Aset perlu ditambah dan dipertingkatkan. Selain itu, anggota juga perlu dilengkapi dengan latihan yang mencukupi dan selain daripada itu penggunaan aset di kawasan perairan dapat dipertingkatkan.


Esscom turut menyediakan perancangan jangka pendek, pertengahan dan jangka panjang bagi mengukuhkan operasi Esscom.

No comments: