Monday, October 28, 2013

Kesan kunjungan di Terowong Cu Chi



KESAN KUNJUNGANDI TEROWONG CU CHI

HARI itu kami memilih ke Cu Chi.

Kunjungan ke Vietnam menjadi kurang lengkap jika peluang untuk merasai pengalaman berada dalam terowong Cu Chi dilepaskan begitu saja.

Terowong Cu Chi terletak hampir dua jam perjalanan dari Bandaraya Ho Chi Minh. Jaraknya kira-kira 70 km di barat laut Saigon, nama lama bandaraya yang tetap terpahat dalam sejarah dunia sebagai salah satu tempat yang paling banyak menyaksikan kematian, penderitaan dan kesengsaraan akibat perang.

Dalam tempoh 1945-1975, menurut catatan di Muzium Peringatan Perang, tiga juta rakyatnya dalam Perang Vietnam. Dua juta diantaranya orang awam, dua juta cedera manakala 300,000 masih hilang.

Secara perbandingan, dalam tiga perang yang melibatkan Amerika, Perang Vietnam mencatatkan paling banyak bom dijatuhkan . Dalam tempoh 17 tahun dua bulan, tercatat sebanyak 14,300,000 tan bom dijatuhkan. Dalam perang Korea, Amerika menjatuhkan 2,600,000 tan bom manakala dalam Perang Dunia kedua, sebanyak 5,000,000 juta tan bom dijatuhkan.

Kos perbelanjaan perang Vietnm mencecah US$676 bilion. Di pihak Vietnam, 58,159 mati dalam perang manakala 304,000 cedera.

Sebenarnya Vietnam terlibat dalam banyak perang.Negara yang dijajah Perancis itu terbelah dua sebelum dapat dipersatukan semula pada tahun 1975. Amerika kalah dalam perang yang menyaksikan betapa rakyat Vietnam berjuang berhabis-habisan untuk membebaskan negaranya.

Terowong Cu Chi, yang kami kunjungi pada hari itu adalah saksi sejarah bagaimana penduduk di Cu Chi menggunakan pelbagai taktik untuk mengalahkan musuhnya. Terowong itu memang menjadi kebanggaan rakyatnya Cu Chi da menjadi markas mereka dalam tempoh 15 tahun iaiyu tahun 1960-1975.

Di terowong Cu Chi yang kami kunjungi itu,saya dan saudara Akiah Haji Barabag, menyaksikan bagaimana pelbagai jenis jerangkap samar di buat, juga kami dapat melihat bagaimana caranya mereka mengelirukan musuh.

Kami sempat memasuki Terowong Cu Chi itu. Merasakan bagaimana gelapnya pandangan, mengalami bagaimana rasanya merangkak dalam terowong, yang masih dipertahankan bentuknya sebagai tapak bersejarah.

Selain itu, setiap hari, ia menarik kedatangan ramai pelancong asing dari manca negara untuk datang mengalami dan menyaksikan sendiri kehebatan terowong yang menyebabkan ramai tentera Amerika terkorban.

Sebenarnya ramai yang menentang Perang Vietnam. Waima di Amerika Syarikat Sendiri, peninju Muhammad Ali membuang pingat olimpik yang dimenangi ke dalam sungai semata-mata untuk menentang penglibatan Amerika dalam perang itu.

Banyak penentangan, demonstrasi dan tunjuk perasaan diadakan bagi menghalang Amerika meneruskan niat melibatkan diri dalam perang yang akhirnya menyebabkan mereka kalah.

Sejak Perang Vietnam, Perang Korea, kita melihat bagaimana keangkuhan, kebiadaban negara adikuasa itu.Amerika terlibat menceroboh Iraq, dan di pelbagai belahan dunia yang lain, Amerika menunjukkan kesombongan dan kerakusan apabila mengangkat dirinya sebagai polis dunia.

Akibatnya, ramai orang yang tidak bersalah mati. Ibu ibu yang menyusui anak-anak mereka, orang-orang tua yang tidak berdaya dan banyak lagi rangkaian kematian yang berlaku saban hari, semuanya akibat perang.

Kunjungan ke Terowong Cu Chi mengingatkan kita bahawa perang tidak mampu menyelesaikan apa-apa kecuali meninggalkan banyak kematian, penderitaan dan kesengsaraan, tidak peduli siapa yang kalah atau menang.

Cu Chi yang dulu menjadi salah satu tempat yang ditakuti dan digeruni, kini berubah menjadi salah satu destinasi pelancongan yang menarik dan perlu dikunjungi jika kita berkunjung ke Vietnam.

Sebenarnya, bukan saja kesan-kesan peperangan yang kita boleh saksikan tetapi juga, bagaimana Vietnam membangun begitu pesat, roda ekonominya berputar dengan cepat dan bagaimana mereka mampu bangkit menjadi salah satu kuasa ekonomi di rantau ini.

Sama seperti kita kita melewati terowong Cu Chi, tidak jauh di hadapan, pasti ada cahaya di penghujung terowong.

No comments: