Sunday, November 3, 2013

Aslie Nodin, terus berjuang angkat martabat teater



ASLIE NODIN, TERUS BERJUANG ANGKAT MARTABAT TEATER

Oleh ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN

abdnaddin@yahoo.com

"SELAGI saya boleh menyumbang untuk kemajuan seni di negeri ini, saya akan terus bergiat dan berkarya," kata Pelakon Lelaki Terbaik, Festival Teater Negeri Sabah, Aslie Nodin.

Seniman kelahiran Kampung Raganan Tuaran ini mula terlibat dalam kegiatan seni di bawah bimbingan Cikgu Awang Abdul Hamid.Beliau berlakon drama `Di Lambung Ombak" sebagai watak utama. Aslie juga terlibat berlakon dalam drama `draksi' iaitu drama perubatan tradisi Bajausama.

Antara peristiwa yang tidak dapat dilupainya ialah ketika terpilih untuk membuat persembahan teater keliling 'Pelangi Merah', yang mengisahkan perjuangan orang kanan Datu Paduka Mat Salleh, pahlawan Sabah yang digeruni penjajah.

"Ketika itu, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Sabah, Ahmad Long (Allahyarham) memberikan galakan dan bantuan untuk menghidupkan kegiatan teater," katanya. Kassim Mahmun dipilih sebagai pengarah teater itu. Melalui kumpulan Sri Panggung, mereka membuat pementasan di seluruh Sabah.Aslie memegang watak utama, Lailah Elok terpilih sebagai heroin.

"Mula-mula saya tak sangka terpilih sebagai pemegang watak utama kerana ramai yang mengikuti uji bakat adalah mereka yang hebat-hebat. Sebenarnya sasaran saya cuma mahu watak pembantu, pegang bambu pun syukurlah, asalkan dapat belakon kerana saya minat. Saya tak sangka, demi Allah, terpilih seabagi pelakon utama.Saya sempat tolak.Tapi arwah Ahmad Long nasihatkan saya agar terima watak itu kerana peluang tidak datang berkali kali," katanya.

"Sebenarnya antara orang yang banyak mendidik dan membimbing saya ialah Haji Kassem Mahmun sampailah saya berjaya dalam bidang lakonan," katanya.

"Inilah hutan saya sama dia yang susah saya mahu bayar.Hutang budi. Jasanya besar sekali dalam karier saya," katanya lagi.

Selepas itu melalui Kumpulan Kreatif Anak Sabah, beliau terlibat mementaskan drama Jerebu. Melalui drama ini, beliau terpilih sebagai pelakon terbaik negeri Sabah. Apabila teater itu terpilih mewakili Sabah, Aslie terpilih sebagai Pelakon Terbaik Kebangsaan.

Pertandingan anjuran Saibaba Malaysia itu berkonsepkan nilai-nilai kemanusiaa dimana Yang Di Pertua Negeri Sabah pada masa itu turut menyaksikan pertandingan itu.

Beliau juga sering membuat persembahan teater di Ranau,Tuaran, Beaufort, Papar,Kota Belud dan lain-lain.

Aslie bergiat sebagai Yang Di Pertua Artis Wayang Sabah yang ditubuhkannya sejak dua tahun lalu.Kini ia sudah mempunyai 60 ahli.

Pada tahun 2013, Artis Wayang Sabah mementaskan Asap arahan Kassem Mahmun. Melalui teater ini, Artis Wayang Sabah muncul naib johan kategori teater moden Festival Teater. Aslie muncul sekali lagi sebagai pelakon lelaki terbaik.

Antara pelakon yang menjayakan teater Asap ialah Aslie Nodin, Bibiana Tan, Mohd Effendy Abdullah, Stephenie Elas Mapi, Sumarli Loli, Stephinie Soon Man Yuk,Marini Majinga,Jesron Majintang, Noorain A.N, Muksin Jaafar, Nurafzah Safri, Nelson Tangsun, Jamaluddin Haji Madan, Md Irwansah Asali, Mohd Nor Nizam Kassem, Asnah Palawan, Zaiton Budiman,Noraimi Nabilah Jamil dan Md Arif Shafee.

Kalau boleh jumlah hadiah untuk pemenang ditambah lagi, katanya. Beliau mengaku agak kecewa melihat sambutan dan sokongan yang tidak memadai untuk pembangunan teater.

"Saya kecewa.Dari tahun ke tahun, jumlah hadiah untuk teater tidak bertambah.Hadiah untuk pertandingan teater terlampau daif .

"Kalau seorang penyanyi menang pertandingan peringkat negeri, hadiahnya mencecah paling kurang RM15,000. Tapi kalau teater, paling tinggi RM5,000. Kalau dibagi dengan tenaga produksi dan belanja, jumlah itu jelas tidak memadai.

"Itulah sebabnya banyak kumpulan teater yang tidak dapat berkembang kerana masalah dana, terhenti kerana masalah kewangan," katanya.

Namun walaupun menghadapi kendala, beliau terus juga bergiat dalam seni teater.

"Dalam bidang ini, kita jangan cepat buntu, jangan lemah semangat.Kita harus terus berjuang.Kalau orang boleh buat, kitapun boleh buat dan menghasilkan karya yang terbaik.

Kalau kita mahu berjaya dalam teater, kita mesti ada ketabahan, jiwa mesti kuat menghadapi cabaran," katanya.

Melalui Wayang, Aslie menyediakan peluang kepada belia dan beliawanis untuk mengikuti kelas teater dan tarian secara percuma. Semuanya percuma kecuali mereka terpaksa datang sendiri kerana tidak menyediakan pengangkutan pergi balik, katanya.

"Kita menggalakkan belia dan beliawanis terbabit dalam bidang kesenian, supaya masa mereka tidak terbuang sia-sia dan mereka dapat menyumbang kepada pembangunan kebudayaan dan peradaban kita," katanya seniman yang telah terlibat dalam pelbagai produksi teater ini.

Sepanjang penglibatannya dalam dunia seni, beliau pernah berlakon hampir10 buah drama tv. Antaranya `Berduri Juga Bunga Ini', 'Bila Seruling Berbunyi'Menggapai Bayu,'Impian ke Puncak sebagai watak utama bersama Nanu Baharudin sebagai heroin, Pautan Kasih Rabika dan lain-lain.

Aslie juga pernah berlakon sebagai pelakon pembantu dalam filem Mat Salleh, bersama Alias Lantau sebagai pelakon utama.

Antara drama pentas yang pernah dijayakannya sebagai pelakon ialah Penjelmaan, Uda dan Dara, Draksi, Di Lambung Ombak,Puteri Nabayu, Bangkit, Hang Jebat, Pelangi Merah, Jerebu, Asap dan Tempayan.

Beliau berharap semua pihak khususnya kerajaan melalui jabatan dan agensinya, badan-badan korporat, syarikat swasta dan penggiat seni teater dan anggota masyarakat dapat berganding bahu untuk mengangkat martabat teater di negeri ini.



 

 
 

No comments: