Sabtu, 16 November 2013

MARAWAN, ANAK KAMPUNG YANG BERPENGALAMAN DI PERINGKAT GLOBAL

Tags



MARAWAN, ANAK KAMPUNG YANG BERPENGALAMAN DI PERINGKAT GLOBAL

KEGIGIHAN, ketabahan dan semangat tidak mengaku kalah serta berani menghadapi cabaran, akhirnya merubah hidup seorang anak kampung yang hidup susah kepada seorang pengurus kanan kewangan sebuah syarikat yang bergiat di peringkat antarabangsa.

Bagaimanapun, setelah puluhan tahun malang melintang dalam dunia perdagangan minyak dan petrokimia, beliau berhenti kerja, sanggup meninggalkan gaji kira-kira RM30,000 sebulan semata-mata untuk berbakti kepada masyarakat dan rindukan kampung halaman.

Marawan Haji Yassin dilahirkan di Kampung Rampayan Laut Kota Belud pada 17 April 1959. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Nanamun bermula tahun 1967. Selepas itu, beliau memasuki `bridge class' di SMRK Taun Gusi sebelum menduduki tingkatan 1 di SMK Arshad. Tidak lama kemudian, beliau berpindah ke SMK Likas hingga lulus MCE (Malaysian Certificate of Education). Selepas lulus MCE, beliau melanjutkan pelajaran di SMK All Saints hingga lulus HSC pada 1981. Tidak lama kemudian beliau berangkat ke Amerika Syarikat untuk meneruskan pengajian di University of Toledo, Ohio sehingga lulus BBA in Finance.

Sekembalinya ke tanahair, beliau sempat menjadi guru sementara di SMK Arshad Kota Belud. Pada 1 Jun 1986, beliau bertugas di Sabah Gas Industries (SGI) Labuan. Kemudian apabila syarikat itu diambilalih Petronas, Marawan bertugas sebagai eksekutif perbendaharaan di Petronas Methanol Labuan pada 1 Jun 1992 sehingga 1996 .Beliau pernah menduduki pelbagai jawatan di Petronas. Pada 1996 hingga 1 Mac 1997 , beliau bertugas di Kuala Lumpur sebelum ditugaskan pula di Petronas Dagangan Sdn.Bhd sejak Disember 1997 hingga Jun 2000. Selepas itu, beliau bertugas pula sebagai Pengurus Kewangan dan Operasi Logistik MITCO, sebuah anak syarikat milik penuh Petronas . Beliau kembali bertugas di Petronas Methanol Labuan sebagai Pengurus Kewangan daripada 1 April 2008 hingga 30 September 2010, Selepas itu, beliau ditukarkan semula ke semenanjung sehingga berhenti pada 10 Mac 2013 sebagai Pengurus Kanan Operasi dan Logistik, Primesourcint International, anak syarikat penuh Petronas yang banyak terlibat dalam perdagangan petro chemical, pengimportan paip untuk kegunaan pelantar minyak Petronas.

Wartawan UTUSAN BORNEO, ABD.NADDIN HJ SHAIDDIN sempat menemui beliau di salah sebuah restoran di Jalan Pantai untuk berkongsi sedikit pengalaman beliau ketika zaman persekolahan dan perhatiannya terhadap nasib dan masa depan bangsanya.Ikuti petikan temubual bersama beliau pada satu pagi yang cerah di ibu negeri.

UTUSAN BORNEO: Terima kasih kerana sudi ditemuramah untuk ruangan Sembang Sabtu. Mungkin tuan boleh ceritakan masa persekolahan dahulu. Boleh ceritakan sedikit?

MHY: Jika diingat kisah-kisah sewaktu bersekolah dahulu, memang banyak. Kesukaran hidup yang dialami.Terpaksa berjalan kaki lebih dua kilometer ke sekolah kerana tiada kenderaan. Pergi ke sekolah pun tidak bawa bekal. Tiada duit untuk bekal. Kasut pun tiada. Sepulangnya dari sekolah, berjalan kaki lagi. Singgah cari jambu batu yang tumbuh liar di tepi jalan. Setibanya di rumah, makan nasi, kadang-kadang lauknya minyak kelapa, kadang makan dengan garam, kadang makan dengan gula. Waktu itu kehidupan memang susah. Tapi walaupun hidup dalam keadaan susah dan miskin seperti itu, tetapi saya tidak pernah merintih. Selain itu, dalam tempoh enam tahun itu, saya tidak pernah mangkir ke sekolah. Saya jarang sakit, kalau setakat demam, saya tetap ke sekolah.

UB: Bagaimana pula suasana belajar di rumah?

MHY: Dulu bukan ada letrik. Saya belajar guna pelita minyak tanah. Kadang terpaksa belajar, pasang kelambu kerana siang malam banyak nyamuk.

UB: Bekalan air pun mungkin tidak ada pada waktu itu. Kalau mandi bagaimana pula?

MHY: Mandi terpaksa guna air telaga. Kadang-kadang dalam telaga, ada katak hijau. Itulah suasana masa itu. Kehidupan memang susah.

UB: Siapa yang banyak beri dorongan?

MHY: Saya fikir semangat diri yang kuat menjadi pendorong saya.

UB: Selepas sekolah rendah, tuan sekolah di mana?

MHY: Saya bersekolah di SMRK Taun Gusi pada tahun 1974 dalam `bridge class' atau kelas peralihan. Satu cabaran baru kerana sewaktu di sekolah rendah, satu perkataan English pun kita tidak tahu. Antara rakan saya ketika itu ialah Tabligh, Akiah, Abdul Muar, Parsat, Kerim dan lain-lain lagi. Lepas itu, tingkatan 1, di SMK Arshad.

UB: Kemudian tuan sekolah dimana?

MHY: Tidak lama kemudian, saya pindah ke SMK Likas Kota Kinabalu, belajar dalam English Medium (aliran Inggeris) hingga MCE (Malaysian Certificate of Education) setara dengan SPM. Kemudian pada tahun 1980 hingga 1981, saya bersekolah di All Saints hingga upper six.

UB: Apa kendala belajar dalam aliran Inggeris? Bagaimana penerimaan masyarakat ketika itu?

MHY: Antara penghalang kemajuan pada masa itu ialah apabia kita bercakap bahasa Inggeris kita dibilang temberang. Kalau kita bercakap bahasa Melayu tidak pula begitu, padahal kan kedua-duanya bukan bahasa ibunda kita.

UB: Siapa antara rakan sekolah yang masih ingat?

MHY: Abekan Liun, Datu Rosmadi Sulai (Kini Pengarah Lembaga Kebudayaan Sabah (LKS) dan ramai lagi.

UB: Selepas tingkatan enam, tuan melanjutkan sekolah dimana?

MHY: Saya melanjutkan pelajaran di Universiti of Toledo, Ohio sehingga lulus BBA in Finance. Antara rakan satu universiti ialah Abekan Liun kini bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah INSAN, Abd Gari Itam (Pegawai Daerah Kota Belud), Ir Ajin Gagah, Nurbin, engineer di JKR Kota Belud, Sapidi Haji Bak, Ag Ismail.

Pelajar Sabah yang lain pada masa itu ialah Kibin Haji Samad, Omar Mamah, Dr Kassim, tapi mereka pindah universiti ke Indiana, Tiara Sibil dan lain-lain.

UB: Apa kerja tuan selepas pulang dari Amerika Syarikat?

MHY: Saya menjadi guru sementara di SMK Arshad Kota Belud. Kemudian pada 1 September 1986, saya bertugas di Sabah Gas Industries. Selepas itu, saya bertugas di Petronas Methanol Labuan pada 1 Jun 1992 sebagai Eksekutif perbendaharaan. Pada 1996 hingga 1 Mac 1997 saya bertugas di Semenanjung. Kemudian saya ditugaskan pula di Petronas Dagangan Sdn,Bhd sejak Disember 1997 hingga Jun 2000. Kemudian saya bertugas pula sebagai Pengurus Kewangan dan Operasi Logistik MITCO, sebuah anak syarikat milik penuh Petronas. Pada 1 April 2008 hingga 30 September 2010, Saya bertugas di Petronas Methanol sebagai Pengurus Kewangan sebelum pindah semula ke Semenanjung. Saya berhenti pada 10 Mac 2013 sebagai Pengurus Kanan Kewangan dan Logiistik, Primesourcint International, anak syarikat penuh Petronas yang banyak terlibat dalam perdagangan petro chemical, pengimportan paip untuk kegunaan pelantar minyak Petronas.

UB: Kenapa tuan berhenti walaupun hanya tinggal satu tahun lagi usia bersara?

MHY: Saya mengambil keputusan untuk berhenti kerana saya rasa ingin berbakti kepada masyarakat. Selama ini saya agak jauh dengan mereka. Lagi pula saya ingin tinggal bersama masyarakat. Saya berhenti supaya ada masa untuk tingga bersama keluarga. Selain itu, saya ingin menjaga kesihatan saya.Tidak guna kita punya banyak duit tetapi tidak sihat atau terlantar sakit. Kita boleh cari duit tetapi kasih sayang tidak. Bagi saya kehidupan yang baik dan berjaya ialah apabila semua orang dapat manfaatnya

UB: Tuan katakan mahu berbakti kepada masyarakat. Boleh jelaskan?

MHY: Saya balik untuk berbakti kepada masyarakat. Kalau bukan kita siapa lagi. Martabat bangsa dipandang tinggi adalah berpunca daripada kita sendiri. Kalau kita berbuat baik, berbakti mulia, maka kita boleh membawa nama baik bangsa kita bersama-sama. Di kalangan masyarakat Iranun sendiri, ramai yang terpelajar. Lebih ramai yang terpelajar maka lebih baik kerana mereka dapat memberikan imej yang baik kepada bangsa. Walaupun Iranun, etnik yang bilangannya tidak ramai, tetapi ia telah melahirkan ramai graduan.

UB: Bagaimana suasana kerja di Kuala Lumpur, jika dibandingkan di Sabah semasa tuan masih bertugas?

MHY: Saya keluar jam 6.15 dari dari rumah. Saya tinggal di Rawang Selangor. Trafik jem membuat kita tertekan. Begitulah setiap hari, keluar dari rumah jam 6.15, balik jam 11.00 malam.

UB: Hampir tak ada masa untuk keluarga?

MHY: Saya berhenti kerana ingin berada dekat dengan keluarga dan masyarakat. Tapi kalau ada perasaan kita letih atau tidak mahu kerja, lebih baik kita berhenti kerana ia mempengaruhi prestasi kerja kita dan tidak baik untuk syarikat. Kita jangan pentingkan diri sendiri.Kerja jangan membebankan.Kalau ada fikiran tak mahu kerja lebih baik berhenti, jangan jadi beban kepada syarikat.

UB: Apa tugas terakhir tuan sebelum berhenti?

MHY: Jawatan terakhir saya sebelum berhenti ialah Pengurus Kanan Kewangan , Operasi dan Logistik Primesourcint, anak syarikat penuh Petronas. Syarikat ini terlibat dalam perniagaan petrokimia, pengimpotan paip untuk pelantar minyak dan sebagainya. Dalam syarikat ini, saya banyak terlibat merundingkan perniagaan petrokimia di peringkat global.

UB: Oh ya Apa cita-cita dulu tuan dahulu ?

MHY: Dulu tiada cita-cita. Dulu saya suka mata pelajaran sejarah. Saya suka berpuisi. Di sekolah saya dapat markah penuh dalam sejarah.

UB: Kenapa suka sejarah?

MHY: Saya suka ksah-kisah, tudtul (silsilah), baca puisi dan sebagainya.

UB: Tapi akhirnya tuan memilih bidang lain? bidang kewangan?

MHY: Bagi saya kita harus multi skill, serba boleh.

UB: Ramai graduan kita lemah dalam bahasa Inggeris. Boleh komen sedikit?

MHY: Bagi saya kita mengatasi kelemahan ini. Sebagai seorang graduan kita mesti melengkapkan diri dengan pelbagai ilmu pengetahuan. Kita harus melengkapkan diri dengan bahasa Inggeris dan kalau boleh bahasa-bahasa asing yang lain seperti Mandarin, Jepun, Arab dan sebagainya. Bagaimana kita boleh memasuki pasaran global kalau kita tidak boleh bercakap dalam bahasa Inggeris.

UB: Bagaimana tuan belajar bahasa Inggeris?

MHY: Saya kebetulan dari bridge class (kelas peralihan ) hingga upper six dalam English Medium (Aliran Inggeris). Memang susah kerana pada masa itu kurang buku rujukan. Waktu itu saya rajin ke perpustakaan, kadang-kadang sampai jam 11.00 malam, baru saya balik. Sewaktu tinggal di Likas, saya belajar di bahawa pohon Ru.

UB: Masyarakat kita dikatakan lemah dalam Inggeris dan matematik? Apa pendapat tuan?

MHY: Sebenarnya kalau kita berusaha tak ada masalah. Penguasaan kita lemah dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris kerana kita kurang melatih diri kita. Untuk memajukan bangsa kita kita harus juga menguasai banyak bidang ilmu.

UB: Soal bahasa juga nampaknya menarik perhatian tuan? Ada apa dengan bahasa kita?

MHY: Bahasa kita melambangkan akal budi dan kekayaan budaya kita. Cuma saya risau soal bahasa. Kalau kita tidak bantu, bahasa kita mungkin pupus satu masa nanti. Kita perhatikan, walaupun ibu dan bapanya Iranun tetapi anaknya bercakap dalam bahasa Melayu.

Saya terkejut bila ikut main bola, di kampung juga kerana ada anak-anak kita yang berusia 18 hingga 20tahun , bercakap bahasa Melayu sesama mereka kemungkinan hilang sediit masa lagi

Jika tidak wujud kesedaran untuk memelihara dan memulihara bahasa kita, kita khuatir lama-lama ia akan hilang. Apalagi kalau perkara ini kita biarkan dan kalau tidak dibantu, saya khuatir ia akan pupus satu masa nanti.

UB: Kita mempunyai banyak persatuan yang boleh membantu? Apa komen tuan?

MHY: Kita harus perkuatkan persatuan supaya ia lebih efektif.Kalau boleh ia mesti dirombak, dikelola secara profesional, mempunyai sistem fail yang baik, sistem keahlian dan data yang teratur, dan sebagainya. Sekarang ini walaupun, kita mempunyai ramai graduan tetapi kita tidak tahu pasti berapa jumlah lulusan jurutera, undang-undang, bahasa, sastera, sejarah. Mungkin jumlah yang lulus dalam perubatan tidak ramai, dalam bidang senibina arkitek dan sebagainya. Data-data ini yang kita perlukan untuk memudahkan kita merangka pelan tindakan demi untuk kemajuan bangsa.

Yakinlah bahawa jika kita bersatu, kita tambah kuat. Kalau sehelai rambut mungkin mudah putus tapi kalau banyak, ia bertambah kuat. dengan sistem pengurusan persatuan yang telus dan tersusun, semua orang boleh memainkan mereka masing-masing. Kita menggerakkan kempen keahlian untuk , mencari dana untuk mengukuhkan kedudukan kewangan persatuan. Sebuah persatuan akan berjaya jika ia mempunyai kepimpinan yang baik dan kedudukan kewangan yang stabil.

Dalam komuniti Iranun sebagai contoh, kita mempunyai persatuan seperti Persatuan Bumiputera Iranun Sabah (PISBA), Persatuan Graduan Iranun Sabah (PAGISA), Perisa, Waris dan sebagainya. Persatuan-persatuan ini mampu memainkan peranan positif dalam menentukan arah kemajuan bangsa sekiranya ia ditadbir dengan baik dan tidak dimasuki kepentingan partisan.

UB: Apa pandangan tuan terhadap generasi muda kita?

MHY: Generasi muda kita memerlukan lebih banyak pendedahan. Mereka harus berani. Berani menyuarakan aspirasi atau sesuatu yang mereka fikirkan penting walaupun mungkin sesetengah orang kita sukakan orang yang pendiam.