Sabtu, 16 November 2013

NORAWI, PENYAIR YANG MEMILIH SEPI UNTUK MELAHIRKAN AKTA BATIN

Tags


NORAWI, PENYAIR YANG MEMILIH SEPI UNTUK MELAHIRKAN AKTA BATIN

Oleh ABD.NADDIN HJ.SHAIDDIN
abdnaddin@yahoo.com

SEPI itu indah. Tapi jika mahu melihat keindahan sepi, mungkin kita boleh bertanya kepada penyair Norawi Haji Kata. Baginya, sepi itu indah kerana ia menjadi pendorong untuk beliau terus menghasilkan puisi.

"Menulis puisi merupakan satu tuntutan jiwa yang perlu diteruskan untuk tatapan diri dan juga khalayak pembaca," katanya dalam prakata buku Kumpulan Puisi Akta Batin, yang baru saja diterbitkan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) pada 2013.

"Bagi saya , puisi bukan setakat gambaran emosi semata, tetapi gambaran pengalaman penulis di sisi masyarakat di mana alam sekeliling sebagai pentasnya.," katanya.

Menurut Norawi, Variasi pengalaman amat penting dalam penciptaan puisi kerana biasanya "saya terusik oleh kerinduan masa lalu, kenangan yang sukar dilupakan dan kesepian sebagai manusia di atas pentas dunia".

Sepi bagi penyair ini juga menyeronokkan. Menurut pengakuannya sendiri , beliau menyatakan "saya amat seronok jika mengalami kesepian dan memang benarlah dikatakan bahawa sepi itu indah kerana ia sebagai pendorong untuk saya terus menulis puisi".

Mengapa begitu? Norawi berkata "saya amat gemar menyendiri tetapi ada ketikanya, saya amat gemar menghayati telatah manusia yang pelbagai selain menghayati keindahan alam semulajadi yang menggetarkan sukma kepenyairan,".

Tetapi mengapa beliau memilih Akta Batin sebagai judul kumpulan puisi ini?

"Dalam puisi saya yang termuat dalam kumpulan puisi yang saya judulkan 'Akta Batin' ini, kebanyakannya adalah berkisar tentang kemanusiaan di mana sebahagiannya berlatarkan politik, perjuangan dan keinsafan.

"Manakala puisi 'Akta Batin' adalah berdasarkan pengamatan saya terhadap alam batin yang mempunyai kerajan diri dan sudah tentulah diri seseorang itu sebagai pemimpin untuk seluruh jasad dan emosi malahan pemikirannya," katanya.

Kumpulan Puisi Akta Batin mengandungi 84 buah puisi yang bertemakan kemanusiaan, keadilan, kesucian dan keikhlasan hati, kesyukuran terhadap nikmat ilahi pengucapan kesedaran terhadap kesalahan sendiri di sisi Tuhan. Pembaca akan dapat merasakan konsep kesejateraan hidup untuk melahirkan pembentukan peribadi mulia melalui kekuatan semangat dan azam, muhasabah diri dan kekuatan membuat keputusan, menguja keberanian dalam proses pemikiran yang bermakna, teguh dan berkesan.

Norawi Haji Kata dilahirkan di Kota Belud Sabah pada 30 Julai 1970. Beliau mendapat pendidikan awal di kampungnya iatu SK Taun Gusi dan SMK Taun Gusi. Oleh kerana minatnya dalam bidang keguruan, beliau telah melanjutkan pengajiannya di Maktab Perguruan Kent, Tuaran dalam bidang Pengajian Melayu Sekolah Rendah dan telah mengikuti kursus lanjutan Sijil Perguruan Khas (KSPK) dalam bidang Kesusasteraan Melayu di Institut Bahasa Melayu pada tahun 2001. Beliau telah berkhidmat sebagai guru di beberapa buah sekolah dan pernah bertugas sebagai Penyelia Pelajaran di Pejabat Pelajaran Daerah Kota Belud bermula tahun 2004. Beliau mendapat Ijazah Sarjana Muda Pengajaran (Pendidikan Rendah) di Universiti Terbuka OUM pada November 2010.

Kelahiran kumpulan puisi itu mampu memperkaya khazanah sastera tanah air disamping memberikan sumbangan pemikiran dan pengalaman kepada khalayak pembacanya.

"Semoga kumpulan puisi ini dapat dibaca dan dihayati para pembaca dan seluruh peminat sastera tanah air," katanya sambil memberitahu bahaa beliau amat beruntung "kerana menjadi lelaki sepi walaupun dalam keadaan yang sentiasa dituntut oleh kesibukan dalam tugas sehari-hari".